28 May, 2015

Tidak semua bahan dari Syiah adalah dari Syiah. Ada perbahasan dalam kitab Syiah telah menukil dari kitab-kitab Sunni. Kajian Marimoto Kazuo (2012) menunjukkan bahawa ketika penulis Syiah membahaskan tentang tingkah-laku yang perlu ditunjukkan kepada golongan Sayyid dan Sharif (mereka yang mempunyai silsilah keturunan dengan Rasulullah s.a.w), sumber yang dipetik ialah daripada kitab-kitab Sunni. 

Dalam perbahasan ini, Sunni dan Syiah bersepakat tentang kepentingan memberikan layanan baik terhadap golongan Sayyid dan Syarif. Kajian Marimoto (2012) telah menggariskan lima ciri asas yang perlu ditunjukkan oleh masyarakat Islam terhadap golongan Sayyid dan Syarif, iaitu pertama: menyara kehidupan para Sayyid dan Sharif terutama yang miskin di kalangan mereka. Kedua: menunjukkan rasa hormat kepada golongan Sayyid dan Sharif. Ketiga: Tidak boleh berlaku kasar terhadap Sayyid dan Sharif. Sesiapa yang melakukan hal tersebut atau mempunyai niat untuk melakukannya akan mendapat hukuman. Keempat: tidak perlu memberikan perhatian kepada masalah akhlak golongan Sayyid dan Sharif dan kelima, tidak digalakkan menunjukkan rasa tidak puas hati dan mengeluh terhadap perilaku salah golongan Sayyid dan Sharif. 

Lima ciri asas yang dinyatakan oleh Marimoto berdasarkan kepada cerita-cerita mimpi yang terdapat dalam kitab-kitab Sunni. Kewujudan karakter dari keturunan Nabi seperti Ali dan Fatimah dijadikan penguat kepada kesahihan mimpi. Namun, sejauhmana mimpi boleh dijadikan hujjah bagi menetapkan satu-satu asas dalam agama Islam? Tidakkah lima ciri asas ini menunjukkan kepada pengagungan yang membuta tuli terhadap golongan Sayyid dan Sharif? Setiap perilaku bobrok golongan ini tidak boleh disentuh. Mereka tetap perlu dihormati hanya kerana ada kesinambungan keturunan dengan Rasulullah s.a.w. 

Kajian ini membuka mata bahawa kadangkala kita dengan cepat menuduh satu golongan mengambil sumber dari satu golongan yang kita dakwa sudah tersesat. Tapi sebaliknya,  golongan sesat itu pula yang telah mengambil sumber dari golongan yang kita sedia maklum sebagai Sunni. 

Oleh itu, siapa yang ikut siapa sebenarnya? 

Bacaan lanjut: Marimoto Kazuo (2012), How to Behave toward Sayyids and Sharifs.