22 April, 2015

Saya keluar dari keretapi KLIA Ekspres dan terus menuju ke tangga bergerak. Sampai di atas, saya bertembung dengan seorang pakcik yang sedang termengah-mengah kerana menaiki tangga. Tangannya pula memeluk erat beg galasnya. Entah mengapa rasa ringan pula mulut ini lalu bertanya:

"Pakcik, kenapa tak naik escalator?"

Dia: "Achik tak tahu ada escalator. Ni pertama kali pakcik naik train ni"

Saya: "Pakcik nak pergi mana?"

Dia: "Achik nak pergi bas terminal. Nak beli tiket ke Johor. Adik tahu ke, mana tempatnya?"

Saya: "Tahu, saya pun nak ke sana. Nanti saya tunjukkan. Beg pakcik kenapa?"

Dia: "Ini, beg achik zipnya pecah. Sebab tu, kena pegang. Tak le, pakai di badan"

Saya menganggukkan kepala. Dia melihat beg saya lalu bertanya:

"Adik, student?"

Saya: "Ya"

"Belajar apa? Bukan ke masa ni, banyak U (baca: Universiti) tengah cuti?"

"Saya pelajar pengajian Islam. Pelajar degree memang tengah cuti. Saya balik kampus nak jumpa pensyarah"

Dia: "Adik, pelajar master?"

Saya senyum lalu menjawab: "Bukan"

Dia: "Pelajar PhD? Achik pun baru habis PhD tahun lepas"

Mendengar ucapannya, saya seperti ingin memberhentikan langkah saya. Aduh! Pakcik ini, seorang Doktor! Sedapnyalah, aku panggil dia pakcik dari tadi!

Saya: "Maafkan saya, Doktor. Saya tak tahu"

Dia: "Eh, tak apa. Jangan panggil saya doktor. Pakcik je, sudah" Dia senyum. "Tapi, pakcik ambil PhD di UK dalam bidang matematik. Tak sama lah, macam adik. Bagus lagi, ambil pengajian Islam. Patut pakcik panggil adik ni, ustazah"

Saya: "Tak apa, pakcik. Saya masih banyak yang perlu belajar. Ni, PhD pun rasa lambat sangat"

Dia: "Eh, jangan risau. Itu biasa. Stay positive"

Saya mengganggukkan kepala saya mendengar ucapannya. Dia memberitahu saya bahawa dia adalah seorang pensyarah Universiti dan dia sempat bertanya apa pekerjaan saya sebelum saya menyambung pengajian di peringkat PhD. Kami pun sampai di TBS (Terminal Bersepadu Selatan). Saya menunjukkan kepada beliau ruangan untuk membeli tiket bas. Setelah itu, saya meminta diri: "Ok, pakcik. Saya nak pergi tempat lain"

Sebelum berpisah, dia pun berkata: 

"Terima kasih. Ustazah jangan risau tentang study. Teruskan..."

Oh, dia panggil saya 'ustazah'. Saya pula semakin rasa bersalah kerana tidak memanggilnya 'Dr'. Tapi kemudian, saya muhasabah kembali, mungkin Allah ingin mengajar kamu tentang maksud RENDAH DIRI.

Apa jua gelaran yang kamu sandang akan menjadi tidak bermakna, jika kamu SOMBONG.

Itu adalah pertemuan yang sebentar, tapi mengandungi pengajaran seumur hidup.

0 Comments:

Post a Comment