01 March, 2015

Jam 12.58 tengah malam: 

Ketika saya sedang membaca sebuah artikel jurnal, tiba-tiba berbunyi suara kucing di sebelah saya. Meja belajar memang terletak bersebelahan dengan tingkap dan saya pasti, suara itu datang dari luar tingkap.

Aduhai, waktu-waktu begini, suara kucing itu entah mengapa 'meremang' rasanya. Dalam hati kata: 

"Ini kucing ke, bukan? Nak selak langsir dan tengok, takut pula aku!" 

Hmm, abaikan sahaja. Dia tahu saya masih belum tidur kerana mendengar saya membaca artikel jurnal dengan suara perlahan. Terperanjat juga, kerana bila saya berhenti membaca, dia tiba-tiba bersuara dari luar tingkap. Mungkin dia nak kata: "Aku tak faham apa yang kau baca"

Saya: "Kalau kau tak faham, aku sendiri sedang memahamkan kajian Andreas Gorke (2011) ini. 

Dalam artikelnya "The Relationship between Maghazi and Hadith in early Islamic Scholarship" menyimpulkan bahawa Maghazi (Sirah Nabi) tidak dianggap diperolehi daripada Hadith. Tetapi hadith menyediakan bahan tambahan kepada Maghazi. Menurutnya, Maghazi dan Hadith adalah dua bidang yang berbeza walaupun kedua-duanya saling mempengaruhi antara satu dan yang lain. Selain memberikan sumber tambahan kepada Maghazi, ahli Maghazi terkesan dengan penggunaan sistem sanad yang dipraktikkan oleh para Muhaddith. 

Andreas Gorke dalam artikel ini secara jelas menyatakan hadith bukan sumber mutlak dalam sejarah Nabi s.a.w. Ia adalah sebagai satu sumber tambahan bagi menyokong sejarah yang berada dalam catatan ahli Maghazi. Lantaran menurutnya, ahli Maghazi dan ahli Hadith mempunyai pendekatan yang berbeza terhadap hadith. Ahli Hadith kebiasaannya memilih hadith yang mempunyai sanad yang terbaik, tetapi ahli Maghazi menggunakan Hadith sebagaimana mereka menggambil ayat al-Quran dan catatan Syair (tidak menitikberatkan tentang sanad yang terbaik).

Cuma timbul persoalan, bolehkah dalam menyatakan sejarah yang bersangkut-paut dengan Nabi Muhammad s.a.w, hadith sahih tidak dijadikan sebagai sumber utama? Kerana bagiku, andai ia dinafikan sebagai sumber utama, sejarah di sekitar hidup baginda akan menjadi 'haru-biru' dengan cerita karut-marut yang datangnya entah dari mana. Justeru, keberadaan sanad semata dalam catatan sejarah, belum menentukan kesahihan sesebuah peristiwa. Sebagaimana sanad dalam sesebuah hadith belum tentu menunjukkan hadith itu adalah sahih"

[Andreas Görke (2011). The relationship between maghāzī and Hadīth in early Islamic scholarship. Bulletin of the School of Oriental and African Studies, 74, pp 171-185
doi:10.1017/S0041977X11000012]

#ussdikampus

0 Comments:

Post a Comment