24 March, 2015

Dakwah perlu terus berjalan, walau yang ingin mendengar hanya seorang dua.

Sayangnya, bila dakwah didasari keuntungan. Ramai yang rela mengambil pendakwah ala selebriti yang pengisiannya pula ala mi maggi.
Mudah dan segera.

Akhirnya, kita juga bakal menghasilkan generasi Muslim yang ingin amal ibadahnya bersifat 'mudah' dan 'segera'.

Sedangkan, tiada istilah 'mudah' dan 'segera' untuk menuju SYURGA.

18 March, 2015

Ilmu Lelaki?

Terpandang kitab 'Ilmu al-Rijal. Kemudian teringat seorang teman pra-siswazah (degree). Dia melihat senarai subjek saya. Dalam senarai itu, terdapat subjek bernama " 'Ilmu al-Rijal". Dia pun bertanya:

"Kak Sakinah, kenapa student hadith belajar pasal Ilmu lelaki?"

Pada waktu itu, saya tidak tahu adakah saya patut ketawa atau bagaimana. Tetapi, memandangkan beliau adalah pelajar Jabatan Bahasa Arab dan Tamadun Islam, saya tidak tega untuk mentertawakannya lalu mampu senyum sampai telinga.

Saya pun menjawab: 

"Itu bukan ilmu pasal lelaki. Ilmu al-Rijal belajar tentang perawi hadith. Sejarah, biodata dan istilah-istilah yang berkaitan dengan perawi hadith"

Bila mendengar penjelasan saya, dia sendiri yang ketawa kuat.

Dia: "Ya Allah, aku ingatkan pasal lelaki. Tulah, pelik! Kak Sakinah belajar pasal ilmu lelaki"


Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah, tak semua perkara dalam pengajian Islam diketahui oleh pelajar pengajian Islam itu sendiri. Kerana masing-masing berada dalam bidang yang berbeza. Jika kita ingin mantapkan ilmu hadith, bergurulah dengan guru yang belajar hadith dan begitulah seterusnya. Belajar dengan guru yang betul agar kita dapat kefahaman yang betul juga.

Kerana jika kita sakit gigi, pasti kita berjumpa dengan doktor gigi. Mana mungkin kita berjumpa dengan doktor mata, bukan?

"Lama tak nampak?" kakak di kaunter PTSL (Perpustakaan Tun Seri Lanang) menyapa saya dengan wajah yang ceria.

"Akak ingat saya?" Saya bertanya begitu, kerana perpustakaan mempunyai beratus pelajar yang keluar masuk pada setiap hari. Lagipun, saya memang tidak pernah berbual dengan kakak pustakawan tersebut.

"Biasa nampak awak duduk baca buku. Lama tak nampak. Hari ini, baru lihat wajahnya"

Saya senyum.

"Saya tak sihat. Jadi, balik rumah"

Dia: "Jabatan mana?"

Saya: "Jabatan Quran"

Dia mengembalikan kad matrik saya dengan wajah ceria.


Dalam hati saya berkata: 

"Subhanallah. Pahala lah untuk kamu, wahai kakak. Kerana kau telah menyambut aku dengan wajah ceria hari ini. Sebagaimana sabda baginda: "Setiap kebaikan itu adalah sadaqah dan di antara kebaikan itu ialah kamu berjumpa saudara kamu dengan wajah yang berseri-seri" [H.R al-Tirmizi dalam kitab sunannya dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam kitab Sahih Sunan al-Tirmizi] 

01 March, 2015

Jam 12.58 tengah malam: 

Ketika saya sedang membaca sebuah artikel jurnal, tiba-tiba berbunyi suara kucing di sebelah saya. Meja belajar memang terletak bersebelahan dengan tingkap dan saya pasti, suara itu datang dari luar tingkap.

Aduhai, waktu-waktu begini, suara kucing itu entah mengapa 'meremang' rasanya. Dalam hati kata: 

"Ini kucing ke, bukan? Nak selak langsir dan tengok, takut pula aku!" 

Hmm, abaikan sahaja. Dia tahu saya masih belum tidur kerana mendengar saya membaca artikel jurnal dengan suara perlahan. Terperanjat juga, kerana bila saya berhenti membaca, dia tiba-tiba bersuara dari luar tingkap. Mungkin dia nak kata: "Aku tak faham apa yang kau baca"

Saya: "Kalau kau tak faham, aku sendiri sedang memahamkan kajian Andreas Gorke (2011) ini. 

Dalam artikelnya "The Relationship between Maghazi and Hadith in early Islamic Scholarship" menyimpulkan bahawa Maghazi (Sirah Nabi) tidak dianggap diperolehi daripada Hadith. Tetapi hadith menyediakan bahan tambahan kepada Maghazi. Menurutnya, Maghazi dan Hadith adalah dua bidang yang berbeza walaupun kedua-duanya saling mempengaruhi antara satu dan yang lain. Selain memberikan sumber tambahan kepada Maghazi, ahli Maghazi terkesan dengan penggunaan sistem sanad yang dipraktikkan oleh para Muhaddith. 

Andreas Gorke dalam artikel ini secara jelas menyatakan hadith bukan sumber mutlak dalam sejarah Nabi s.a.w. Ia adalah sebagai satu sumber tambahan bagi menyokong sejarah yang berada dalam catatan ahli Maghazi. Lantaran menurutnya, ahli Maghazi dan ahli Hadith mempunyai pendekatan yang berbeza terhadap hadith. Ahli Hadith kebiasaannya memilih hadith yang mempunyai sanad yang terbaik, tetapi ahli Maghazi menggunakan Hadith sebagaimana mereka menggambil ayat al-Quran dan catatan Syair (tidak menitikberatkan tentang sanad yang terbaik).

Cuma timbul persoalan, bolehkah dalam menyatakan sejarah yang bersangkut-paut dengan Nabi Muhammad s.a.w, hadith sahih tidak dijadikan sebagai sumber utama? Kerana bagiku, andai ia dinafikan sebagai sumber utama, sejarah di sekitar hidup baginda akan menjadi 'haru-biru' dengan cerita karut-marut yang datangnya entah dari mana. Justeru, keberadaan sanad semata dalam catatan sejarah, belum menentukan kesahihan sesebuah peristiwa. Sebagaimana sanad dalam sesebuah hadith belum tentu menunjukkan hadith itu adalah sahih"

[Andreas Görke (2011). The relationship between maghāzī and Hadīth in early Islamic scholarship. Bulletin of the School of Oriental and African Studies, 74, pp 171-185
doi:10.1017/S0041977X11000012]

#ussdikampus