27 January, 2015

Saya teringat kisah pada tahun 2002. Kisah si ibu di stesen bas Singapore-Malacca. [Tak pasti, sekarang masih ada atau tidak stesen bas tersebut].

Saya lihat ibu itu menangis seorang diri di bangku stesen. Dia sedang menunggu bas ekspres menuju ke Melaka. Kemudian datang tiga orang lelaki berusia dalam lingkungan 30an-50an. Berlakulah dialog antara mereka berempat:

Anak Lelaki 1: "Mak, kenapa mak buat macam ni? Kalau mak nak balik, kan kita boleh hantar mak balik?" Nada suaranya agak marah. Mungkin menyusahkan dirinya yang perlu ambil cuti kecemasan atau cuti setengah hari untuk mengejar emaknya di stesen bas.

Ibu dengan tangisannya pun berkata:
"Korang semua sibuk. Mana ada masa? Aku kat sini, korang pun bukan peduli"

Anak Lelaki 2: "Mak, kita kan kerja. Balik malam. Bukan tak kisah pasal mak. Dah lah, mak. Kita balik, k? Mak jangan buat macam ini. Nanti kalau apa-apa jadi kat mak dekat sana, susah. Kitorang jauh"

Ibu: "Biarlah mak balik. Kat sana mak ada kawan. Kat sini, apa ada? Bini korang pun bukan suka dekat mak"

Anak lelaki yang ketiga pula hanya diam sahaja. Mungkin dia sendiri tidak tahu ingin berkata apa.

Bas Delima Ekspres yang dijadualkan ke Melaka sudah mula ingin bergerak. Saya mengangkat bag galas sambil sempat membuang pandang ke arah mereka berempat. Saya naik bas dan meengambil tempat duduk. Dari dalam bas, saya melihat mereka lagi. Akhirnya, ibu itu berjaya dipujuk. Mereka membawa ibu mereka masuk ke kereta salah seorang dari mereka.

Pada waktu itu, umur saya belum masuk ke angka 20 lagi. Saya dengan cepat membuat kesimpulan: "Anak derhaka dan mereka tidak pandai menjaga emak". Tapi hari ini, saya melihat masalah itu dari pelbagai sudut. Antaranya:

1- Emak yang selalu buat karenah dan anak perlu bersabar melayan karenah emak.

2- Anak berbesar hati untuk menjaga emak, tetapi pasangan mereka tidak mahu menjaga ibu mertua.

3- Anak bukan tak sayang emak, tetapi kekangan masa dan lambakan kerja, menyebabkan mereka tidak punya masa bukan sahaja untuk ibubapa bahkan untuk anak isteri sendiri. Mungkin lebih teruk, hingga tiada masa untuk mengurus diri sendiri.

Pengajarannya: setiap apa yang berlaku dalam kehidupan kita, ia perlu dilihat dari pelbagai sudut agar kita tidak cepat menghukum diri sendiri dan orang lain. Justeru, belajarlah dari pengalaman lantaran ia akan menghindarkan diri kita dari membuat sebuah keputusan yang 'membunuh' jiwa.

Yang paling penting, kita juga belajar bahawa setiap apa yang kita lihat, belum tentu ia memaknakan apa yang tersurat.

15 January, 2015

Penantian

Penantian itu satu penyeksaan. 

Kadang-kadang, aku tidak faham. Apa yang kita tidak suka orang lain buat pada kita, itulah yang kita selalu buat pada orang lain. Moga kesabaran aku, sentiasa luas tidak bertepi, bahkan tiada henti.

Jam 3. Aku menanti. Jam 4. Aku terus menanti. Hingga berkumandanglah azan Asar.
Ada titis airmata yang aku tahan.
Aku lalu mengorak langkah menuju ke Masjid UKM. Mengangkat takbir dalam solat berjamaah. Dahiku sujud pada permaidani masjid yang baru.


Bukan gebunya permaidani yang membuatku rasa sayu. Tapi dekatnya terasa hati ini dengan Tuhan, yang membuatku rasa syahdu.
Akhirnya aku sedar,
Saat ramai orang menolak kehadiran kita,
Saat ramai orang kurang menghargai kita,
Saat ramai orang memperlekehkan kita,
Kita masih ada Allah yang tak pernah mengecewakan,
Kita masih ada Allah yang tak membiarkan kita sendirian.
Saat itu juga, aku melafazkan dengan penuh harapan:
"Allahumma A'innii 'alaa zikrika wa syukrika wa husni 'ibaadatik"
[Ya Allah, bantulah aku untuk mengingat-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadah dengan baik kepada-Mu] H.R Abu Daud. Hadithnya dinilai sahih dalam kitab Sahih Abu Daud.


07 January, 2015

Bergegar bangunan kolej dek dentuman petir
Kilat sabung menyabung tanpa henti, membuat jiwa jadi khuatir,
Bakal robohkah bangunan ini? Itu yang kufikir
Tapi di langit itu umpama ada cerita getir.

Dalam khuatir itu, sekali lagi aku berfikir,
Pesanan apakah yang Ingin Tuhan sampaikan?
Di atas sana, ada sandiwara langit.
Kisah malaikat mengatur hujan
Bunyi petir itu rupanya tasbih si petir pada Tuhan.

Dari ‘Ikrimah mengatakan bahawasanya Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma tatkala mendengar suara petir, beliau mengucapkan:
سُبْحَانَ الَّذِي سَبَّحَتْ لَهُ
”Subhanallazi sabbahat lahu” 
(Maha suci Allah yang petir bertasbih kepada-Nya). Lalu beliau mengatakan:

”Sesungguhnya petir adalah malaikat yang meneriaki (membentak) untuk mengatur hujan sebagaimana pengembala ternak membentak haiwannya.” 
[Disebutkan oleh Imam al-Bukhari dalam Kitab Adabul Mufrad, No. 722. Al Albani mengatakan bahawa hadith ini hasan].

Apabila Abdullah bin Al-Zubair mendengar petir, dia menghentikan bicara, kemudian mengucapkan:
سُبْحَانَ الَّذِيْ يُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمِدِهِ وَالْمَلاَئِكَةُ مِنْ خِيْفَتِهِ
Subhaanallazi yusabbihur ra’du bihamdihi wal malaaikatu min khiifatihi
“Maha Suci Allah yang petir bertasbih dengan memuji-Nya dan begitu juga para malaikat, kerana takut kepadaNya” 
[Imam al-Bukhari dalam Kitab Adabul Mufrad, No. 723. Al Albani mengatakan bahawa hadith ini sahih].





Ya, pada dentuman petir itu ada pesanan

Bunyi petir itu adalah tasbihnya kepada Tuhan,
Lalu di mana pula, tasbih kita kepada-Nya?

Sungguh, sandiwara langit di atas sana,
Ada tanda-tanda kebesaran Tuhan yang Esa,
Bagi mereka yang takut kepada-Nya.