16 November, 2015

Artikel bertajuk 'Hadith Scholars and Tariqahs: An Ulama Group in 18th Century Haramayn and their Impact in the Islamic World ' ini telah diterbitkan pada tahun 1980 dalam Journal of Asian and African Studies. Ia telah membuatkan saya terfikir bahawa sarjana Barat rupanya sudah biasa dengan istilah Wahabi sejak sebelum saya dilahirkan lagi. Pasti, perbincangan tentang Wahabi sudah bermula lebih awal dari itu. Jika perbahasan tentang Wahabi sudah diakademikkan pada tahun 1980 atau mungkin lebih awal dari itu, tentu ketika kita sudah berada di tahun 2015 ini, terlalu banyak kajian ilmiah tentang isu Wahabi telah dilakukan oleh para sarjana.


Namun persoalannya, mengapa masih lagi tiada jalan keluar bagi memurnikan persepsi masyarakat tentang Wahabi? Sehingga hari ini, kita masih bercakaran dan saling menuding jari 'engkau salah, aku betul'. #ussread #akubukanWahabi

13 November, 2015

Shimek, Elizabeth D. (2012) dalam artikelnya "The Abaya: Fashion, Religion, and Identity in a Globalized World" membincangkan tentang asal usul Abaya yang hanya dari sejenis pakaian berwarna hitam kosong tanpa sebarang corak, kemudian mengalami transfomasi "abaya-as-fashion".
Transformasi tersebut mendapat tentangan dari pejuang Abaya asli dan mereka yang menitiberatkan pemakaian abaya sebagai simbol keagamaan dan adat budaya. Namun, 'abaya-as-fashion' (Abaya sebagai fesyen) yang boleh didapati dalam pelbagai potongan, warna, material dan dihiasi dengan pelbagai corak, ternyata diterima ramai bukan sahaja di negara Arab Teluk, bahkan popularitinya merentas dunia mengikut arus globalisasi.
Saya secara peribadinya sebagai penggemar Abaya, terfikir alangkah bertuahnya jika saya berada di tempat Shimek lantaran menurutnya: 

"During the fall 2011 semester, I attended the American University in Dubai in the United Arab Emirates in order to attain my certificate in Middle Eastern Studies. During this time, I was able to speak with and observe many women from around the Middle East who attend AUD and wear the abaya about their experiences and preferences. I was also able to visit many stores and special events to see how the abaya is made and marketed in the Gulf region. During the same semester, I was able to visit the city of Doha in Qatar, one of the UAE's near neighbors to attend the HYA Abaya Exhibition, which gathered small abaya producers and buyers from around the Persian Gulf to sell their wares. I also made visits to mosques and Muslim neighborhoods in London, UK, and Dearborn, Michigan, which are centers for Muslim populations in their regions. Anecdotes included in this study are drawn from these experiences" (hlm. 5). 

Saya mengukir senyuman ketika membaca perenggan ini lalu bertanya pada diri, kenapa dahulu saya tidak terfikir untuk membuat kajian tentang Abaya? 
smile emoticon
Namun di sebalik senyuman, sebenarnya ada kenyataan menarik dalam kajian beliau yang ingin saya ketengahkan. Shimek (2012) telah bersetuju bahawa faktor yang menyumbang ke arah kebangkitan neo fundamentalis Salafi Wahabi sebagai relevan kepada perkembangan 'abaya-as-fashion' secara global.Beliau menyatakan bahawa: 

"Factors contributing to the rise of neofundamentalist Islam globally are relevant to the development and spread of the abaya-as-fashion as well. After exposure to Western culture and fashion, young women throughout the Arab Gulf region have chosen to break with traditional practices in their areas in favor of a new practice" (hlm. 25)


Sebelum itu, Shimek (2012) telah membincangkan idea Oliver Roy tentang pengaruh neofundamentalis Salafi Wahabi dalam artikel ini. Roy dalam bukunya 'Globalized Islam' mengkaji bahawa interpretasi agama dari neo fundamentalis Salafi Wahabi memisahkan pemuda Muslim dari amalan budaya ibubapa mereka. Pengaruh neofundamentalis ini pula telah menarik minat pemuda Muslim (yang tidak berpuas hati dengan amalan dan adat budaya ibubapa mereka), bukan sahaja di negara Barat bahkan seluruh dunia. Justeru, kefahaman neofundamentalis yang berjaya menyatukan Muslim secara global tersebut telah menginspirasi Roy tentang 'globalized' Islam. Oleh itu, Shimek (2012) mendapati bahawa ideologi yang berpengaruh memberikan nafas baru kepada budaya lama tersebut turut membantu mengeluarkan abaya dari konsep asalnya. Ia memisahkan abaya dari simbol agama dan adat kepada dunia fesyen selepas para pemudi Islam mendapat pendedahan meluas tentang fesyen dan adat Barat.

Sebenarnya saya tidak pernah terfikir bahawa keberadaan neofundamentalis Salafi Wahabi turut mempengaruhi dunia fesyen Abaya. Pada pengamatan saya, Salafi Wahabi selama ini hanya dikaitkan dengan perkembangan akidah dan amalan ibadah masyarakat Islam. Justeru, saya melihat ia adalah satu kenyataan menarik yang mungkin masih lagi boleh diberi ruang perdebatan.

Apa yang menjadi keprihatian saya ialah, adakah wajar neofundamentalis Salafi Wahabi dihubungkaitkan dengan perkembangan global 'abaya-as-fashion'? Ini kerana, Salafi Wahabi berusaha mengeluarkan masyarakat Islam dari adat dan budaya lama kepada amalan Islam yang asal (benar). Namun dari sudut isu abaya pula, ia mengeluarkan konsep asal abaya kepada satu konsep baru yang memang tiada langsung dalam budaya abaya.

Adakah mungkin dalam konteks artikel ini, ia melihat Salafi Wahabi sebagai satu gerakan 
yang membawa idea baru (tajdid) kepada amalan Islam?

Bacaan lanjut: Shimek, Elizabeth D., "The Abaya: Fashion, Religion, and Identity in a Globalized World" (2012).Lawrence University Honors Projects. Paper 12.

http://lux.lawrence.edu/luhp/12

05 June, 2015

Baru-baru ini komuniti Muslim di Singapura menunjukkan keprihatinan tentang 'The Holy Quran Exhibition' yang dianjurkan oleh Ahmadiyyah Muslim Community di Singapore Bookfair. Terdengar juga komen sinis mengapa MUIS (Majlis Ugama Islam Singapura) tidak dapat menghalang program tersebut sedangkan jelas Ahmadiyya mempunyai keyakinan yang berbeza dari ajaran Islam yang sebenar.

Hooker, M.Barry (2013) dalam eseinya bertajuk: "Muslim Law, Ahmadiyya and Islamic Doctrine in Singapore" telah membincangkan pendirian MUIS dalam isu ini. Oleh kerana Ahmadiyya percaya bahawa:

1. That Prophet Muhammad (peace be upon him) was not the last and final of all the prophets and messengers.
2. That after Prophet Muhammad there are still other prophets i.e., Mirza Ghulam Ahmad from Qadian, India.
3. That Mirza Ghulam Ahmad received revelations from Allah swt just as other Prophets of God and Messengers of God.
4. That Prophet Isa had died.
5. That Mirza Ghulam Ahmad is the Prophet Isa in his second incarnation.
6. That Mirza Ghulam Ahmad is also the awaited Imam Mahdi.


Justeru, MUIS menegaskan bahawa Ahmadiyya bukan daripada Islam kerana: 

The Laws in Islamic Syariat are:
i. Prophet Muhammad pbuh is the last Prophet until the end of the world, there shall be no other prophets after him and there shall be no other Messenger after him.
ii. The Islamic syariat brought by Prophet Muhammad pbuh is the last and final syariat sent down to mankind, and there shall be no other syariats after Islam.
ii. Claiming oneself as Prophet or Messenger (of God) after the Prophet Muhammad pbuh, will cause oneself to be out of the fold of Islam because of having contradicted the Al Qur’an and the sound Hadith of the Prophet.

Tetapi, mengapa tiada sebarang tindakan dilakukan oleh MUIS bagi menghalang program anjuran Ahmadiyya yang berlangsung di Suntec City dari 3-6 Jun 2015 tersebut? Hooker, M.Barry (2013) telah menjawab persoalan ini dalam esei beliau. Beliau merumuskan bahawa:

Singapore is a secular state and its Constitution duly provides for the freedom to believe and practise religion, and to establish and maintain charitable and educational institutions (art 15). But its legal history is based on the precedent and judicial policy of the former colonial Straits Settlements. For the present discussion this means, first, that religion – in this case Islam – has already been confined to family law and trusts; and second, that it has no public law significance. (hlm. 32)

Ini menunjukkan bahawa MUIS tidak mempunyai autoriti untuk menghalang program yang dianjurkan lantaran Singapura adalah sebuah negara sekular yang memberikan kebebasan terhadap apa jua kepercayaan dan amalan agama. Setelah MUIS sendiri menyatakan bahawa Ahmadiyya bukan dari ajaran Islam, ini bermakna MUIS tidak boleh mempunyai sebarang campur tangan (seperti menghalang atau menghentikan) kepercayaan penganut lain dan segala aktiviti penyebarannya.

Apa yang utama di sini ialah, komuniti Islam Singapura jelas dengan pendirian MUIS dalam hal ini dan kita sendiri jelas dengan prinsip dan kepercayaan Ahmadiyya. Oleh itu, jagalah diri dan keluarga kalian dan berpeganglah dengan firman Allah yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala)" (al-Quran, al-Tahrim:6)

Akhir sekali, saya mencadangkan kepada anda agar membaca kajian Hooker (2013) yang saya lampirkan di bahagian bacaan lanjut bagi memahami bagaimana MUIS menyelesaikan isu Ahmadiyya di Singapura.

Bacaan lanjut:

Hooker, M. Barry, Essay: Muslim Law, Ahmadiyya and Islamic Doctrine in Singapore (July 22, 2013). Australian Journal of Asian Law, Vol. 14, No. 1, Article 7, 2013. Available at SSRN: http://ssrn.com/abstract=2296747

28 May, 2015

Tidak semua bahan dari Syiah adalah dari Syiah. Ada perbahasan dalam kitab Syiah telah menukil dari kitab-kitab Sunni. Kajian Marimoto Kazuo (2012) menunjukkan bahawa ketika penulis Syiah membahaskan tentang tingkah-laku yang perlu ditunjukkan kepada golongan Sayyid dan Sharif (mereka yang mempunyai silsilah keturunan dengan Rasulullah s.a.w), sumber yang dipetik ialah daripada kitab-kitab Sunni. 

Dalam perbahasan ini, Sunni dan Syiah bersepakat tentang kepentingan memberikan layanan baik terhadap golongan Sayyid dan Syarif. Kajian Marimoto (2012) telah menggariskan lima ciri asas yang perlu ditunjukkan oleh masyarakat Islam terhadap golongan Sayyid dan Syarif, iaitu pertama: menyara kehidupan para Sayyid dan Sharif terutama yang miskin di kalangan mereka. Kedua: menunjukkan rasa hormat kepada golongan Sayyid dan Sharif. Ketiga: Tidak boleh berlaku kasar terhadap Sayyid dan Sharif. Sesiapa yang melakukan hal tersebut atau mempunyai niat untuk melakukannya akan mendapat hukuman. Keempat: tidak perlu memberikan perhatian kepada masalah akhlak golongan Sayyid dan Sharif dan kelima, tidak digalakkan menunjukkan rasa tidak puas hati dan mengeluh terhadap perilaku salah golongan Sayyid dan Sharif. 

Lima ciri asas yang dinyatakan oleh Marimoto berdasarkan kepada cerita-cerita mimpi yang terdapat dalam kitab-kitab Sunni. Kewujudan karakter dari keturunan Nabi seperti Ali dan Fatimah dijadikan penguat kepada kesahihan mimpi. Namun, sejauhmana mimpi boleh dijadikan hujjah bagi menetapkan satu-satu asas dalam agama Islam? Tidakkah lima ciri asas ini menunjukkan kepada pengagungan yang membuta tuli terhadap golongan Sayyid dan Sharif? Setiap perilaku bobrok golongan ini tidak boleh disentuh. Mereka tetap perlu dihormati hanya kerana ada kesinambungan keturunan dengan Rasulullah s.a.w. 

Kajian ini membuka mata bahawa kadangkala kita dengan cepat menuduh satu golongan mengambil sumber dari satu golongan yang kita dakwa sudah tersesat. Tapi sebaliknya,  golongan sesat itu pula yang telah mengambil sumber dari golongan yang kita sedia maklum sebagai Sunni. 

Oleh itu, siapa yang ikut siapa sebenarnya? 

Bacaan lanjut: Marimoto Kazuo (2012), How to Behave toward Sayyids and Sharifs.

22 April, 2015

Saya keluar dari keretapi KLIA Ekspres dan terus menuju ke tangga bergerak. Sampai di atas, saya bertembung dengan seorang pakcik yang sedang termengah-mengah kerana menaiki tangga. Tangannya pula memeluk erat beg galasnya. Entah mengapa rasa ringan pula mulut ini lalu bertanya:

"Pakcik, kenapa tak naik escalator?"

Dia: "Achik tak tahu ada escalator. Ni pertama kali pakcik naik train ni"

Saya: "Pakcik nak pergi mana?"

Dia: "Achik nak pergi bas terminal. Nak beli tiket ke Johor. Adik tahu ke, mana tempatnya?"

Saya: "Tahu, saya pun nak ke sana. Nanti saya tunjukkan. Beg pakcik kenapa?"

Dia: "Ini, beg achik zipnya pecah. Sebab tu, kena pegang. Tak le, pakai di badan"

Saya menganggukkan kepala. Dia melihat beg saya lalu bertanya:

"Adik, student?"

Saya: "Ya"

"Belajar apa? Bukan ke masa ni, banyak U (baca: Universiti) tengah cuti?"

"Saya pelajar pengajian Islam. Pelajar degree memang tengah cuti. Saya balik kampus nak jumpa pensyarah"

Dia: "Adik, pelajar master?"

Saya senyum lalu menjawab: "Bukan"

Dia: "Pelajar PhD? Achik pun baru habis PhD tahun lepas"

Mendengar ucapannya, saya seperti ingin memberhentikan langkah saya. Aduh! Pakcik ini, seorang Doktor! Sedapnyalah, aku panggil dia pakcik dari tadi!

Saya: "Maafkan saya, Doktor. Saya tak tahu"

Dia: "Eh, tak apa. Jangan panggil saya doktor. Pakcik je, sudah" Dia senyum. "Tapi, pakcik ambil PhD di UK dalam bidang matematik. Tak sama lah, macam adik. Bagus lagi, ambil pengajian Islam. Patut pakcik panggil adik ni, ustazah"

Saya: "Tak apa, pakcik. Saya masih banyak yang perlu belajar. Ni, PhD pun rasa lambat sangat"

Dia: "Eh, jangan risau. Itu biasa. Stay positive"

Saya mengganggukkan kepala saya mendengar ucapannya. Dia memberitahu saya bahawa dia adalah seorang pensyarah Universiti dan dia sempat bertanya apa pekerjaan saya sebelum saya menyambung pengajian di peringkat PhD. Kami pun sampai di TBS (Terminal Bersepadu Selatan). Saya menunjukkan kepada beliau ruangan untuk membeli tiket bas. Setelah itu, saya meminta diri: "Ok, pakcik. Saya nak pergi tempat lain"

Sebelum berpisah, dia pun berkata: 

"Terima kasih. Ustazah jangan risau tentang study. Teruskan..."

Oh, dia panggil saya 'ustazah'. Saya pula semakin rasa bersalah kerana tidak memanggilnya 'Dr'. Tapi kemudian, saya muhasabah kembali, mungkin Allah ingin mengajar kamu tentang maksud RENDAH DIRI.

Apa jua gelaran yang kamu sandang akan menjadi tidak bermakna, jika kamu SOMBONG.

Itu adalah pertemuan yang sebentar, tapi mengandungi pengajaran seumur hidup.

24 March, 2015

Dakwah perlu terus berjalan, walau yang ingin mendengar hanya seorang dua.

Sayangnya, bila dakwah didasari keuntungan. Ramai yang rela mengambil pendakwah ala selebriti yang pengisiannya pula ala mi maggi.
Mudah dan segera.

Akhirnya, kita juga bakal menghasilkan generasi Muslim yang ingin amal ibadahnya bersifat 'mudah' dan 'segera'.

Sedangkan, tiada istilah 'mudah' dan 'segera' untuk menuju SYURGA.

18 March, 2015

Ilmu Lelaki?

Terpandang kitab 'Ilmu al-Rijal. Kemudian teringat seorang teman pra-siswazah (degree). Dia melihat senarai subjek saya. Dalam senarai itu, terdapat subjek bernama " 'Ilmu al-Rijal". Dia pun bertanya:

"Kak Sakinah, kenapa student hadith belajar pasal Ilmu lelaki?"

Pada waktu itu, saya tidak tahu adakah saya patut ketawa atau bagaimana. Tetapi, memandangkan beliau adalah pelajar Jabatan Bahasa Arab dan Tamadun Islam, saya tidak tega untuk mentertawakannya lalu mampu senyum sampai telinga.

Saya pun menjawab: 

"Itu bukan ilmu pasal lelaki. Ilmu al-Rijal belajar tentang perawi hadith. Sejarah, biodata dan istilah-istilah yang berkaitan dengan perawi hadith"

Bila mendengar penjelasan saya, dia sendiri yang ketawa kuat.

Dia: "Ya Allah, aku ingatkan pasal lelaki. Tulah, pelik! Kak Sakinah belajar pasal ilmu lelaki"


Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah, tak semua perkara dalam pengajian Islam diketahui oleh pelajar pengajian Islam itu sendiri. Kerana masing-masing berada dalam bidang yang berbeza. Jika kita ingin mantapkan ilmu hadith, bergurulah dengan guru yang belajar hadith dan begitulah seterusnya. Belajar dengan guru yang betul agar kita dapat kefahaman yang betul juga.

Kerana jika kita sakit gigi, pasti kita berjumpa dengan doktor gigi. Mana mungkin kita berjumpa dengan doktor mata, bukan?

"Lama tak nampak?" kakak di kaunter PTSL (Perpustakaan Tun Seri Lanang) menyapa saya dengan wajah yang ceria.

"Akak ingat saya?" Saya bertanya begitu, kerana perpustakaan mempunyai beratus pelajar yang keluar masuk pada setiap hari. Lagipun, saya memang tidak pernah berbual dengan kakak pustakawan tersebut.

"Biasa nampak awak duduk baca buku. Lama tak nampak. Hari ini, baru lihat wajahnya"

Saya senyum.

"Saya tak sihat. Jadi, balik rumah"

Dia: "Jabatan mana?"

Saya: "Jabatan Quran"

Dia mengembalikan kad matrik saya dengan wajah ceria.


Dalam hati saya berkata: 

"Subhanallah. Pahala lah untuk kamu, wahai kakak. Kerana kau telah menyambut aku dengan wajah ceria hari ini. Sebagaimana sabda baginda: "Setiap kebaikan itu adalah sadaqah dan di antara kebaikan itu ialah kamu berjumpa saudara kamu dengan wajah yang berseri-seri" [H.R al-Tirmizi dalam kitab sunannya dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam kitab Sahih Sunan al-Tirmizi] 

01 March, 2015

Jam 12.58 tengah malam: 

Ketika saya sedang membaca sebuah artikel jurnal, tiba-tiba berbunyi suara kucing di sebelah saya. Meja belajar memang terletak bersebelahan dengan tingkap dan saya pasti, suara itu datang dari luar tingkap.

Aduhai, waktu-waktu begini, suara kucing itu entah mengapa 'meremang' rasanya. Dalam hati kata: 

"Ini kucing ke, bukan? Nak selak langsir dan tengok, takut pula aku!" 

Hmm, abaikan sahaja. Dia tahu saya masih belum tidur kerana mendengar saya membaca artikel jurnal dengan suara perlahan. Terperanjat juga, kerana bila saya berhenti membaca, dia tiba-tiba bersuara dari luar tingkap. Mungkin dia nak kata: "Aku tak faham apa yang kau baca"

Saya: "Kalau kau tak faham, aku sendiri sedang memahamkan kajian Andreas Gorke (2011) ini. 

Dalam artikelnya "The Relationship between Maghazi and Hadith in early Islamic Scholarship" menyimpulkan bahawa Maghazi (Sirah Nabi) tidak dianggap diperolehi daripada Hadith. Tetapi hadith menyediakan bahan tambahan kepada Maghazi. Menurutnya, Maghazi dan Hadith adalah dua bidang yang berbeza walaupun kedua-duanya saling mempengaruhi antara satu dan yang lain. Selain memberikan sumber tambahan kepada Maghazi, ahli Maghazi terkesan dengan penggunaan sistem sanad yang dipraktikkan oleh para Muhaddith. 

Andreas Gorke dalam artikel ini secara jelas menyatakan hadith bukan sumber mutlak dalam sejarah Nabi s.a.w. Ia adalah sebagai satu sumber tambahan bagi menyokong sejarah yang berada dalam catatan ahli Maghazi. Lantaran menurutnya, ahli Maghazi dan ahli Hadith mempunyai pendekatan yang berbeza terhadap hadith. Ahli Hadith kebiasaannya memilih hadith yang mempunyai sanad yang terbaik, tetapi ahli Maghazi menggunakan Hadith sebagaimana mereka menggambil ayat al-Quran dan catatan Syair (tidak menitikberatkan tentang sanad yang terbaik).

Cuma timbul persoalan, bolehkah dalam menyatakan sejarah yang bersangkut-paut dengan Nabi Muhammad s.a.w, hadith sahih tidak dijadikan sebagai sumber utama? Kerana bagiku, andai ia dinafikan sebagai sumber utama, sejarah di sekitar hidup baginda akan menjadi 'haru-biru' dengan cerita karut-marut yang datangnya entah dari mana. Justeru, keberadaan sanad semata dalam catatan sejarah, belum menentukan kesahihan sesebuah peristiwa. Sebagaimana sanad dalam sesebuah hadith belum tentu menunjukkan hadith itu adalah sahih"

[Andreas Görke (2011). The relationship between maghāzī and Hadīth in early Islamic scholarship. Bulletin of the School of Oriental and African Studies, 74, pp 171-185
doi:10.1017/S0041977X11000012]

#ussdikampus

26 February, 2015


Ketika sedang menuju ke Gate A11, di Terminal 3, Changi Airport semalam, saya singgah di kedai buku Times. Niat asal hanya ingin 'tengok-tengok' sahaja, kerana gate A11 belum lagi dibuka. 


Hampir setengah jam membelek buku demi buku. Buku bertajuk: "How to deal with Difficult People" menarik perhatian saya. Bukunya tipis, harga juga berpatutan. "Rasanya boleh dihabiskan membaca sepanjang 45 minit dalam pesawat nanti". Itulah kata saya dalam hati.

Tapi kemudiannya, saya terpandang buku ini. Ya, sudah lama saya tahu tentang keberadaan buku ini di pasaran, cuma belum berkesempatan untuk lebih mengambil tahu. Setelah melihat isi kandungannya, ternyata ia sebuah buku yang patut dan penting saya baca. 

Hati mula berkira-kira. Nak beli ke tidak? Membeli buku ini, bakal 'menipiskan' jumlah wang yang sedang 'menipis' di dalam akaun. Tapi, akhirnya ambil buku ini, pergi ke kaunter pembayaran dan keluarkan kad bank. 

"Aku beli kamu dengan bismillah"

27 January, 2015

Saya teringat kisah pada tahun 2002. Kisah si ibu di stesen bas Singapore-Malacca. [Tak pasti, sekarang masih ada atau tidak stesen bas tersebut].

Saya lihat ibu itu menangis seorang diri di bangku stesen. Dia sedang menunggu bas ekspres menuju ke Melaka. Kemudian datang tiga orang lelaki berusia dalam lingkungan 30an-50an. Berlakulah dialog antara mereka berempat:

Anak Lelaki 1: "Mak, kenapa mak buat macam ni? Kalau mak nak balik, kan kita boleh hantar mak balik?" Nada suaranya agak marah. Mungkin menyusahkan dirinya yang perlu ambil cuti kecemasan atau cuti setengah hari untuk mengejar emaknya di stesen bas.

Ibu dengan tangisannya pun berkata:
"Korang semua sibuk. Mana ada masa? Aku kat sini, korang pun bukan peduli"

Anak Lelaki 2: "Mak, kita kan kerja. Balik malam. Bukan tak kisah pasal mak. Dah lah, mak. Kita balik, k? Mak jangan buat macam ini. Nanti kalau apa-apa jadi kat mak dekat sana, susah. Kitorang jauh"

Ibu: "Biarlah mak balik. Kat sana mak ada kawan. Kat sini, apa ada? Bini korang pun bukan suka dekat mak"

Anak lelaki yang ketiga pula hanya diam sahaja. Mungkin dia sendiri tidak tahu ingin berkata apa.

Bas Delima Ekspres yang dijadualkan ke Melaka sudah mula ingin bergerak. Saya mengangkat bag galas sambil sempat membuang pandang ke arah mereka berempat. Saya naik bas dan meengambil tempat duduk. Dari dalam bas, saya melihat mereka lagi. Akhirnya, ibu itu berjaya dipujuk. Mereka membawa ibu mereka masuk ke kereta salah seorang dari mereka.

Pada waktu itu, umur saya belum masuk ke angka 20 lagi. Saya dengan cepat membuat kesimpulan: "Anak derhaka dan mereka tidak pandai menjaga emak". Tapi hari ini, saya melihat masalah itu dari pelbagai sudut. Antaranya:

1- Emak yang selalu buat karenah dan anak perlu bersabar melayan karenah emak.

2- Anak berbesar hati untuk menjaga emak, tetapi pasangan mereka tidak mahu menjaga ibu mertua.

3- Anak bukan tak sayang emak, tetapi kekangan masa dan lambakan kerja, menyebabkan mereka tidak punya masa bukan sahaja untuk ibubapa bahkan untuk anak isteri sendiri. Mungkin lebih teruk, hingga tiada masa untuk mengurus diri sendiri.

Pengajarannya: setiap apa yang berlaku dalam kehidupan kita, ia perlu dilihat dari pelbagai sudut agar kita tidak cepat menghukum diri sendiri dan orang lain. Justeru, belajarlah dari pengalaman lantaran ia akan menghindarkan diri kita dari membuat sebuah keputusan yang 'membunuh' jiwa.

Yang paling penting, kita juga belajar bahawa setiap apa yang kita lihat, belum tentu ia memaknakan apa yang tersurat.

15 January, 2015

Penantian

Penantian itu satu penyeksaan. 

Kadang-kadang, aku tidak faham. Apa yang kita tidak suka orang lain buat pada kita, itulah yang kita selalu buat pada orang lain. Moga kesabaran aku, sentiasa luas tidak bertepi, bahkan tiada henti.

Jam 3. Aku menanti. Jam 4. Aku terus menanti. Hingga berkumandanglah azan Asar.
Ada titis airmata yang aku tahan.
Aku lalu mengorak langkah menuju ke Masjid UKM. Mengangkat takbir dalam solat berjamaah. Dahiku sujud pada permaidani masjid yang baru.


Bukan gebunya permaidani yang membuatku rasa sayu. Tapi dekatnya terasa hati ini dengan Tuhan, yang membuatku rasa syahdu.
Akhirnya aku sedar,
Saat ramai orang menolak kehadiran kita,
Saat ramai orang kurang menghargai kita,
Saat ramai orang memperlekehkan kita,
Kita masih ada Allah yang tak pernah mengecewakan,
Kita masih ada Allah yang tak membiarkan kita sendirian.
Saat itu juga, aku melafazkan dengan penuh harapan:
"Allahumma A'innii 'alaa zikrika wa syukrika wa husni 'ibaadatik"
[Ya Allah, bantulah aku untuk mengingat-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadah dengan baik kepada-Mu] H.R Abu Daud. Hadithnya dinilai sahih dalam kitab Sahih Abu Daud.


07 January, 2015

Bergegar bangunan kolej dek dentuman petir
Kilat sabung menyabung tanpa henti, membuat jiwa jadi khuatir,
Bakal robohkah bangunan ini? Itu yang kufikir
Tapi di langit itu umpama ada cerita getir.

Dalam khuatir itu, sekali lagi aku berfikir,
Pesanan apakah yang Ingin Tuhan sampaikan?
Di atas sana, ada sandiwara langit.
Kisah malaikat mengatur hujan
Bunyi petir itu rupanya tasbih si petir pada Tuhan.

Dari ‘Ikrimah mengatakan bahawasanya Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma tatkala mendengar suara petir, beliau mengucapkan:
سُبْحَانَ الَّذِي سَبَّحَتْ لَهُ
”Subhanallazi sabbahat lahu” 
(Maha suci Allah yang petir bertasbih kepada-Nya). Lalu beliau mengatakan:

”Sesungguhnya petir adalah malaikat yang meneriaki (membentak) untuk mengatur hujan sebagaimana pengembala ternak membentak haiwannya.” 
[Disebutkan oleh Imam al-Bukhari dalam Kitab Adabul Mufrad, No. 722. Al Albani mengatakan bahawa hadith ini hasan].

Apabila Abdullah bin Al-Zubair mendengar petir, dia menghentikan bicara, kemudian mengucapkan:
سُبْحَانَ الَّذِيْ يُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمِدِهِ وَالْمَلاَئِكَةُ مِنْ خِيْفَتِهِ
Subhaanallazi yusabbihur ra’du bihamdihi wal malaaikatu min khiifatihi
“Maha Suci Allah yang petir bertasbih dengan memuji-Nya dan begitu juga para malaikat, kerana takut kepadaNya” 
[Imam al-Bukhari dalam Kitab Adabul Mufrad, No. 723. Al Albani mengatakan bahawa hadith ini sahih].





Ya, pada dentuman petir itu ada pesanan

Bunyi petir itu adalah tasbihnya kepada Tuhan,
Lalu di mana pula, tasbih kita kepada-Nya?

Sungguh, sandiwara langit di atas sana,
Ada tanda-tanda kebesaran Tuhan yang Esa,
Bagi mereka yang takut kepada-Nya.