07 December, 2014

Sebelum kamu menyebarkan cinta, maka amat perlu kamu menyebarkan kebenaran. Kerana bicara kita atas nama cinta, belum tentu berada atas nama kebenaran. Carilah yang benar, kerana itulah penghalang dari tersilap jalan. Saya mencadangkan buku ini, bagi sesiapa yang ingin mendapatkan penjelasan yang adil tentang poligami. 



05 December, 2014

Saya mengumpul ikan bilis yang terdapat dalam lauk sayur yang saya beli. Kerana saya ingin memberikan kepada kucing oren kecil itu makan. Dia datang ke arah saya. Dia mengiaw simpati. Saya meletakkan ikan bilis tersebut di atas lantai. Tiba-tiba "Zaaaap!!!" 

Oh! Saya terperanjat bila seekor kucing hitam sudah terlebih dahulu merampas ikan bilis itu darinya. Tak terkata saya dibuatnya. Si Oren kecil, memandang kucing hitam yang sedang menikmati ikan bilisnya. Dia lalu memandang ke arah saya. Saya mengangkatnya naik ke atas meja kafe dan memberikan apa yang ada di pinggan saya. 


Ketika melihat si Oren kecil makan, saya melepaskan nafas dengan berat. Bukankah manusia juga begitu? Sering menindas yang lemah dan mengambil kesempatan ke atas hak milik orang lain. Kerana bagi kebanyakan manusia, usah dikisah bagaimana cara untuk mendapatkan apa yang dihajati. Siapa cepat dia dapat dan siapa yang berani dialah di'segani'. 

Wahai kucing, terima kasih kerana hari ini aku pelajari sesuatu darimu. Sungguh, hanya TAQWA sahaja yang akan menjadikan kita hamba Allah yang lebih berhati-hati terhadap apa yang bukan milik kita.

04 December, 2014

Dari jauh, saya melihat seekor anak kucing berwarna oren di kafe KDO. Kecil sekali, tentunya dia masih bayi. Dia mengiaw meminta simpati dari para pelajar yang sedang menikmati makan tengah hari. Tiada yang melayan rintihan suaranya. Bahkan, ada yang menghentak kerusi ke arahnya agar pergi dari meja makan mereka. Dia berlalu sedih. Dia membawa diri ke satu sudut dan membuang pandang ke luar kafe.

Saya melihatnya tanpa berkelip. Di usia, sekecil itu, dia sudah berdikari mencari sesuap nasi untuk mengalas perutnya yang lapar. Kasihan, bukan? Saya pergi ke arahnya. Saya menghulurkan tangan saya. Dia mendongak melihat wajah saya. Saya senyum ke arahnya. Saya pegang kepala dan badannya. Kurus dan tidak terurus. Dia bangun dari duduknya. Tidak mengiaw tetapi meletakkan dua tangan kecilnya di jubah hitam saya. Saya membelai kepalanya dengan lembut. Dia kelihatan agak tenang. Subhanallah, comel. Sungguh comel makhluk ciptaan Tuhan ini. Lama saya membelai tubuhnya yang kecil.

Saya ingin bangun, pulang ke bilik. Dengan perlahan saya mengangkat tubuhnya dari jubah saya. Dia kelihatan tenang. Lalu saya pun berkata dalam hati:

"Kadangkala kita tak minta banyak dari orang lain. Kita cuma ingin ada insan di sisi. Duduk bersama kita, walau tanpa sebarang bicara. Tapi yang pasti, kita tahu, ada kasih dan simpati, pada sesuatu yang mungkin orang lain tak mampu beri"


Wahai kucing comel, nanti kita jumpa lagi.

Duduk bersama, tanpa sebarang bicara dan suara.