30 November, 2014

TRUST!

Saya memandang ke luar tingkap. Pagi tadi, awan cerah begitu cantik. Matahari memancar dengan terik. Kemudian langit mendung dan hujan turun tanpa henti hingga kini. Benarlah kata pepatah, kusangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari.

Tiba-tiba kedengaran bunyi mesej. Saya membaca mesej yang baru tiba. Dari seorang adik junior yang memberikan salam lalu berbicara tentang kepercayaan. Katanya tidak mahu ada percaya lagi pada segelintir orang, lantaran sudah tersebarnya rahsia diri. Katanya, serik!

Ya, kita semua belajar dari pengalaman. Ada satu masa kita terlalu mempercayai, kerana kita yakin sudah cukup mengenali, bahkan kita juga yakin orang itu tak mungkin memungkiri janji. Tapi siapa sangka, orang yang kita terlalu percayai itu, dialah yang terlalu menyakiti kita. Kita maafkan dia, tapi kepercayaan kita padanya tak mungkin sama seperti dulu. Justeru, berhati-hatilah, teman. Bila kamu dipercayai, jangan sekali kamu khianati. Ketahuilah, mengkhianati itu sama sebagaimana kamu menjatuhkan harga diri sendiri. 


0 Comments:

Post a Comment