30 November, 2014

TRUST!

Saya memandang ke luar tingkap. Pagi tadi, awan cerah begitu cantik. Matahari memancar dengan terik. Kemudian langit mendung dan hujan turun tanpa henti hingga kini. Benarlah kata pepatah, kusangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari.

Tiba-tiba kedengaran bunyi mesej. Saya membaca mesej yang baru tiba. Dari seorang adik junior yang memberikan salam lalu berbicara tentang kepercayaan. Katanya tidak mahu ada percaya lagi pada segelintir orang, lantaran sudah tersebarnya rahsia diri. Katanya, serik!

Ya, kita semua belajar dari pengalaman. Ada satu masa kita terlalu mempercayai, kerana kita yakin sudah cukup mengenali, bahkan kita juga yakin orang itu tak mungkin memungkiri janji. Tapi siapa sangka, orang yang kita terlalu percayai itu, dialah yang terlalu menyakiti kita. Kita maafkan dia, tapi kepercayaan kita padanya tak mungkin sama seperti dulu. Justeru, berhati-hatilah, teman. Bila kamu dipercayai, jangan sekali kamu khianati. Ketahuilah, mengkhianati itu sama sebagaimana kamu menjatuhkan harga diri sendiri. 


26 November, 2014

"Kenapa?"

Lama aku duduk di sini. 
Sendiri. 
Mengubati luka. 
Mengenang kisah lama. 
Senyum pahit mengingat yang bahagia.
Tidak pernah aku bertanya kepada Tuhan: "Kenapa?"
Tapi hari ini, di hatiku bersuara: "Ya Rabb, kenapa?"
Moga hatiku tak kering cinta.
Terus melangkah dengan ceria. 
Walau hati seribu duka. 

Sungguh...
Aku penat dengan sandiwara dunia.
Penat juga menagih cinta.
Wahai manusia, mengapa kau tidak punya 'jiwa'?

[Kuala Lumpur International Airport (KLIA), 11.56 pagi, 26 November 2014]

13 November, 2014

Selepas solat Asar semalam, saya mengalirkan airmata deras. Saya sendiri tidak faham dengan perasaan itu. Bersyukur pada tahap yang tidak terluah mungkin.

Dua hari sebelum kolokium, saya agak kecewa lantaran ada sedikit kesalahan ejaan dalam penulisan kertas kerja saya. Sedangkan saya sudah membaca kertas kerja itu, berulang-kali. Hmm, namanya pun manusia, bukan? Kita memang tidak sempurna dan tidak terlepas dari kesalahan. Lantaran itu, saya tidak mengharapkan apa-apa dari kertas kerja itu, melainkan untuk berkongsi ilmu dan pandangan.

Sehari sebelumnya, saya berjumpa penyelia utama dan saya maklumkan kepada beliau, bahawa saya takut ingin membentang kertas kerja tersebut kerana mungkin ada banyak salahnya. Tetapi beliau sebagaimana biasanya, mempositifkan saya. Katanya: 

"Dah namanya kita belajar. Kalau tak ada salah, itu bukan belajar. Yang penting, anti buat yang terbaik dan selebihnya tawakkal kepada Allah"

Semalam (12 November 2014) berlangsunglah, Kolokium Antarabangsa Siswazah Pengajian Islam (KASPI) 2014. Berbekalkan kalamullah, "Faiza 'azamta fatawakkal 'alallah" saya membentangkan kertas kerja saya. Penilai kertas kerja, P.M Dr Muhd Najib Abd Kadir, memberikan maklum balas yang menenangkan hati saya. Soalan-soalan yang beliau ajukan juga, saya dapat menjawabnya dengan baik. Selesai sesi pembentangan, beliau pun berpesan kepada saya: 

"Sakinah, anti jangan balik dulu, tau! Ada hadiah"

Saya: "Hadiah?"

Dia tidak berkata apa-apa tetapi hanya memberikan senyumannya kepada saya sebagai jawapan. Di akhir kolokium semalam, diumumkan nama pemenang kertas kerja. Ya, alhamdulillah, kertas kerja saya dianugerahkan Pingat Emas dalam Kolokium Antarabangsa Siswazah Pengajian Islam (KASPI), 2014. Saya senyum kerana rasa lega. Saya sangka itu sahaja yang saya bawa pulang dari kolokium semalam.

Tetapi ada perkara lain yang memeranjatkan saya, iaitu pengumuman Anugerah Kertas Kerja Terbaik (Hasil Kajian). Pada waktu itu, saya tidak memberikan sebarang perhatian terhadap pengumuman tersebut. Bila nama saya diumumkan:

"SAUDARI SAKINAH SAPTU" [Saudari lah, konon =)].

Saya termenung sebentar. Adik junior saya Julia dan Hanna, yang excited

"Yaayyyyy!!! Kak Sakinah!!!"

                       

Saya tengok muka Julia dan bertanya: "Eh, serius ke apa?"

Julia: "Akak!!! Pergilah ambil cepat!!!"

Alhamdulillah atas sejarah semalam.