29 October, 2014


Ketika membentang di ISDEV, USM semalam, saya tiada keyakinan diri lantaran menjadi satu-satunya pembentang dari UKM dalam sesi tersebut. Rasa tidak selesa. Kerana dalam bilik itu, semuanya kelihatan rapat belaka. Maklumlah, masing-masing datang untuk mendengar dan memberi sokongan padu kepada pembentangan dari rakan masing-masing. Justeru, saya akui pembentangan saya tidak berapa baik. Tetapi sesi soal jawab yang umpama debat parlimen itu, berlangsung dengan begitu hangat dan jika tidak dikawal, saya kira pasti bakal berlaku aksi baling-membaling buku (baca: pergaduhan)  

Akhirnya, pengulas kertas kerja (baca: pensyarah ISDEV) yang mententeramkan suasana. Tabik hormat saya kepada beliau kerana walau saya 'orang luar' tapi dia bersikap neutral dan mampu berbincang atas nama akademik. Paling saya tabik pada beliau kerana dia berkata di hadapan rakan-rakan dan para pelajarnya: "Saya kenal ustazah Sakinah, kita pernah jumpa di seminar SQ (Seminar Antarabangsa al-Quran anjuran UNISZA), sama-sama sebagai pembentang" Reaksi saya? Terkejut. Saya memang tak perasan beliau. Rasa bersalah pula sebab tak ambil peduli dengan rakan pembentang di dalam seminar yang telah saya ikuti di Terengganu itu. 


Beliau seterusnya meminta saya memperkenalkan diri dan menceritakan tentang latarbelakang saya. Pada mulanya saya menolak untuk memperkenalkan diri. Tapi beliau kata: "Tak apa, jangan segan. Ramai dalam bilik ini yang tak kenal siapa ustazah" Saya pun menunaikan permintaan pengulas kertas kerja. Reaksi mereka? Terkejut! Kerana, pertama: saya calon doktor Falsafah. Kedua: saya dibimbing oleh TIGA penyelia. Ketiga: Saya warganegara Singapura. Keempat: mereka sangka saya pensyarah UKM tapi sebenarnya bukan  

Seterusnya beliau memberikan ulasan yang positif terhadap kertas kerja saya. Banyak komen positif yang telah beliau berikan, antaranya ialah: "Penulisan kertas kerja ustazah Sakinah ada banyak kekuatan....,antaranya ustazah Sakinah telah menulis kertas kerja ini secara analitikal. Tahniah!"


Alhamdulillah, selesai sudah sesi 'rehlah' saya di Pulau Pinang. Jazakallahu Khairaa, Ajid (suami saya) kerana membawa saya bercuti di Penang dan dalam masa yang sama, saya berpeluang menyertai graduate workshop di ISDEV (Centre for Islamic Development and Management Studies), USM.

0 Comments:

Post a Comment