10 February, 2014

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Harapan saya agar semuanya berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya.

Hari ini saya terpanggil untuk mengisi ruangan blog ini apabila hampir setiap hari saya dihujani dengan pertanyaan yang sama dari teman-teman tentang bagaimana saya dan suami menunaikan umrah tanpa mengikut pakej yang disediakan oleh mana-mana travel agency. Justeru, supaya tidak menjawab soalan yang sama berulang kali, saya mengambil keputusan untuk menulis jawapan tersebut sebagai panduan untuk semua.

Soalan yang biasa ditanyakan kepada saya ialah:

1- "Bagaimana mendapatkan visa umrah?"

2- "Bagaimana dengan hotel dan tiket penerbangan?"

Untuk dua soalan di atas, saya nyatakan beberapa langkah berikut:

Pertama: Rancang perjalanan dengan baik. Jadi, tetapkan samada anda ingin pergi ke Madinah terlebih dahulu atau Makkah.

Kedua: Tempah tiket penerbangan (pergi-balik) melalui laman web penerbangan yang telah anda pilih (contoh: Singapore Airlines, Saudi Airlines, Emirates, Airasia dan lain-lain).  Paling penting, buat perbandingan harga antara setiap airlines terlebih dahulu agar ia mengikut bajet yang telah anda tetapkan.



Ketiga: Tempah hotel penginapan di Makkah dan Madinah. Tempah bilik hotel mengikut kepada kemampuan dan bajet anda di laman web hotels combined.



Keempat: Ambil suntikan vaksin meningitis di mana-mana klinik dan pastikan diberi surat pengesahan dari pihak klinik.

Kelima: Sediakan 2 keping gambar untuk setiap seorang [ukuran gambar mengikut saiz yang telah ditetapkan bagi visa Umrah]  dan salinan sijil nikah.

Keenam: Anda hubungi mana-mana travel agency [Islam] di Singapura untuk mendapatkan khidmat memohon visa umrah.  Suami saya telah memilih Halijah Travel bagi pengurusan visa dan dikenakan bayaran S$150 setiap seorang.

Ketujuh: Serahkan semua dokumen: Passport, tiket penerbangan, resit tempahan dan pembayaran hotel, surat doktor, gambar visa, sijil nikah dan sijil-sijil lain yang diperlukan kepada pihak travel agency bagi pengurusan visa. Mereka akan menghubungi anda setelah permohonan anda mendapat kelulusan dari Kedutaan Saudi di Singapura.

3- "Bagaimana dengan pengangkutan dari Madinah-Makkah/Makkah-Madinah?"

Anda boleh menaiki VIP bus antara Madinah dan Makkah/Jeddah atau sebaliknya dengan menggunakan SAPT.CO VIP Coach yang dikendalikan oleh Kerajaan Arab Saudi.  

Bayarannya ialah: 100 Riyal sehala/seorang. [Makanan disediakan di dalam bas]. 

Anda boleh menempah sehari atau beberapa hari sebelum tarikh anda ingin bertolak. Kaunter di Madinah terletak bersebelahan dengan Hotel Anwar al-Madinah Movenpick . Untuk ke sana, anda perlu menyeberang jalan dari hotel Movenpick untuk ke Elaf Taibah - Andalus Dar al Khair hotel. Dan anda akan dapati ada sebuah pejabat kecil berpintu kaca, bersebelahan dengan jalan raya di antara kedua-dua hotel tersebut. Sila lihat gambar untuk mendapatkan maklumat lanjut:



Selain dari itu, anda juga boleh menyewa kereta dengan bayaran 800 riyal. Selalunya, kereta sewa ini boleh didapati di tepi-tepi hotel. Dan pandai-pandailah anda tawar-menawar dengan pemandu kereta tentang bayaran.

4- "Makanan?"

Terdapat banyak kedai makanan di Makkah dan Madinah, jadi anda tidak perlu risau  =)

5- Air Zamzam


Air zamzam banyak dijual di kedai-kedai sekitar Makkah. Kebanyakan kedai yang kami kunjungi menjual air zamzam (seperti gambar di atas) dengan harga 25 riyal/10 liter. Tetapi anda boleh membeli air zamzam dengan packaging yang sama ini di lapangan terbang Jeddah di sebuah kafe bernama La Cuisine dengan harga yang lebih murah iaitu 17 riyal. 

6. "Bahasa?"

Usah risau tentang bahasa. Kerana selalunya bila mereka melihat anda, mereka akan berbual dalam bahasa Indonesia walaupun anda bertanya dalam bahasa Inggeris, melainkan jika wajah anda tidak ada muka orang Melayu. Jika muka ada iras-iras orang India atau Pakistan, maka bersiap sedialah untuk ditegur dalam bahasa Urdu =)

********************

Semoga maklumat yang saya nyatakan di sini, sedikit sebanyak dapat membantu anda yang musykil tentang perjalanan umrah saya tempoh hari. Akhir sekali, penting untuk saya tekankan bahawa perjalanan ke Makkah dan Madinah tanpa mengikut mana-mana pakej yang ditawarkan oleh travel agency lebih sesuai untuk mereka yang sudah pernah ke sana, faham dengan tata cara melaksanakan umrah dan inginkan perjalanan yang singkat. Jika anda baru pertama kali ingin menunaikan umrah, sebaiknya ikutlah mana-mana pakej yang disediakan oleh travel agency dengan bimbingan para ustaz dan pegawai umrah mereka. Ia adalah demi faktor keselamatan dan keselesaan juga. 

Hingga di sini dahulu.

Sekian dari saya, wassalam.

[Sila klik ini untuk membaca pengalaman saya ketika di Makkah dan Madinah].

0 Comments:

Post a Comment