05 February, 2014


Selepas kuliah hadith, makcik-makcik dan kakak-kakak sepertimana biasanya, kecoh dan suka-ria bersalam-salaman. Ada seorang makcik ni, dia ucap terima kasih pada saya. Dia ucap banyak kali terima kasih sehingga nak keluar dewan pun, dia ucap terima kasih lagi. Kemudian saya pun tanya:
"Kenapa Cik cakap terima kasih banyak kali?" 

Dia pegang bahu saya, dan ucap lagi: "Terima kasih" 

Saya dah mula 'senyum sampai telinga' dan bertanya lagi: "Kenapa terima kasih?" 

Dia jawab: "Yelah, terima kasih ustazah, sebab ajar kita" 

"Oh, sebab itu. Saya pun ucap terima kasih, sebab Cik sudi datang. Jauh naik bas dan turun bas".

"Tak apa. Cik suka!" 

Makcik ini, saya gelar dia 'makcik Seranggoon' kerana dia tinggal di sana. Setiap pagi, jam 7.30 pagi dia sudah keluar menuju ke Masjid Assyafaah yang terletak di Sembawang. Jalannya tidaklah sepantas saya. Jalannya kita panggil 'jalan orang tua'. Perlahan-lahan. Tapi semangatnya kuat. Walau perlu menaiki 2 bas, dia gagahkan juga diri menuju ke Masjid. 

Di dalam kuliah tersebut, bukan beliau seorang yang tinggal jauh. Ada seorang makcik pula tinggal di Chai Chee. Setiap pagi Selasa, perlu bersesak-sesak dengan penumpang MRT untuk ke kuliah. Dengan keadaan beliau yang mempunyai beberapa penyakit 'kronik', untuk datang ke kuliah sejauh di Masjid Assyafaah, bagi saya ia memerlukan mujahadah yang begitu tinggi. 

Subhanallah. Saya puji sifat ini. Tak kisah jauh macam mana pun, tetap sanggup pergi untuk belajar. Bahkan akhlak dengan guru juga dapat dilihat dengan jelas ada pada mereka.

Kita yang muda pastinya perlu berasa malu dengan diri lantaran mereka yang tua sanggup bersusah payah untuk ilmu. Sedangkan kita yang muda dan sihat pula, kadangkala perlekehkan ilmu walau ia di depan mata.

Moga kita semua sama-sama bermuhasabah agar tidak malas dalam menuntut ilmu. 

ILMU AGAMA 

0 Comments:

Post a Comment