05 February, 2014

Tahun 2014 menjengah. 

Tahun ini saya mulai dengan persediaan untuk sebuah rehlah ibadah yang diimpikan oleh setiap insan bergelar Muslim iaitu menunaikan ibadah umrah di Makkah dan menziarahi Madinah al-Munawwarah. Sungguh, perjalanan ini membuatkan saya lebih jatuh cinta kepada Kota Madinah dan Makkah. Ia adalah sebuah perjalanan yang rasa syukurnya tidak terungkap dengan kata-kata. 

Madinah al-Munawwarah

Saya dan suami tiba di kota Madinah pada 18 Januari ketika azan subuh sedang berkumandang. Cuaca begitu sejuk pada waktu itu. Dan alhamdulillah urusan untuk check-in ke bilik hotel Anwar al-Madinah Movenpick tidak mempunyai sebarang masalah. Teruja sungguh bila saya masuk ke bilik itu. Ini kerana bilik yang kami tempah tersebut adalah bilik yang betul-betul berhadapan dengan Masjid al-Nabawi (Haram View). Justeru, saya dapat melihat Masjid al-Nabawi dengan begitu dekat dan melihat suasana persekitarannya dengan begitu jelas. Pendek kata, setiap hari kerjanya bila di bilik hotel ialah menghadap tingkap dan melihat masjid =)


Pemandangan dari bilik hotel

Dan pastinya, solat di Masjid al-Nabawi itu, amat menggugah jiwa dan perasaan saya. Pagi itu, setelah bersarapan pagi, saya dan suami masuk ke dalam masjid. Pertama kali, tatkala dahi saya sujud di permaidani masjid, terasa gigilan yang amat sangat kerana menahan rasa haru dan syukur. Subhanallah....hanya Allah sahaja yang mengetahui setiap apa yang tersembunyi di balik hati ini. Setiap apa yang saya rasai pada tika itu, memang tidak terluah dengan kata-kata penuh makna.


Masjid al-Nabawi di waktu Dhuha


Suasana selepas solat Subuh di Masjid al-Nabawi

Jika ada yang bertanya, apakah pengalaman yang paling indah ketika saya di Masjid al-Nabawi? Saya akan menjawab: 


Yang paling indah saya rasakan ialah apabila doa-doa yang saya panjatkan kepada Allah antara azan dan iqamah (solat Isyak) kemudiannya doa itu di'terjemah'kan dalam bait-bait ayat al-Quran oleh Imam di rakaat pertama dalam solat Isyak berjamaah itu. Bagai ingin gugur jantung saya! Seluruh jiwa dan raga saya bergetar. Getaran itu seolah-olah mengatakan kepada saya bahawa Allah tidak pernah mengenepikan saya. Setiap apa yang Allah takdirkan punya hikmah dan bukan saja-saja. Selayaknya saya menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dengan apa yang telah ditetapkan oleh-Nya. Dan sememangnya Allah maha mendengar dan maha mengetahui apa yang diinginkan oleh setiap hamba-Nya. 
Solat Maghrib di Masjid al-Nabawi

Kembara Madinah

Ketika di Madinah, saya dan suami telah mengikuti 'kembara Madinah' yang dibawakan khas oleh ustaz Ash-shafie Abdullah dan rakannya ustaz Mu'adz. Selama dua hari, kami telah berkunjung ke 60 tempat sejarah di sekitar kota Madinah. Antaranya ialah Masjid Quba', Gunung Uhud, Istana 'Urwah bin al-Zubair r.a, Masjid Tujuh, Telaga Nabi s.a.w, Telaga 'Uthman r.a, Muzium Madinah al-Munawwarah (al-Hijaz Railway Station) dan lain-lain.


Antara tempat yang dilawati di sekitar Madinah

Menariknya dalam kembara ini, akh ash-Shafie, menerangkan kepada kami sejarah yang berlaku di sebalik penamaan sesebuah tempat atau masjid berdasarkan kepada hadith-hadith yang sahih. Semoga Allah memberkati beliau dan sahabatnya atas usaha ini.

 Masjid Quba'

Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa bersuci di rumahnya, kemudian mendatangi Masjid Quba, lalu ia solat di dalamnya, maka baginya pahala seperti pahala umrah”. 
[HR. al-Tirmizi No. 298 dan Ibnu Majah No.1401. Hukum Hadith: Sahih dalam kitab Sahih al-Jami', No. 6154].
Masjid Tujuh

Menziarahi masjid tujuh adalah perkara yang tiada dalilnya bahkan ia antara perkara bid'ah JIKA seseorang beriktiqad (mempunyai kepercayaan) bahawa padanya mempunyai fadhilat yang khusus.

Istana 'Urwah bin al-Zubair

Menziarahi istana 'Urwah bin al-Zubair bin al-'Awwam r.a. Beliau adalah seorang tabi’in dan merupakan salah seorang dari al-Fuqaha’ al-Sab’ah (tujuh tokoh fuqaha’ /ulama) yang masyhur di Madinah. Beliau juga merupakan anak lelaki kepada al-Zubair bin Al-’Awwam r.a, salah seorang al-Sabiqunal Awwalun (para sahabat Nabi s.a.w yang pertama memeluk agama Islam).


Melihat batu bersurat yang terdapat di sekitar Madinah. Ia dipamerkan di Muzium al-Madinah al-Munawwarah yang terletak di bangunan al-Hijaz Railway Station.
Gunung Uhud

Dari Abu Sa’id Al Khudri Radhiyallahu 'ahnu, beliau berkata: Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam telah bersabda,”Janganlah kalian mencela sahabat-sahabatku. Seandainya salah seorang dari kalian berinfaq emas seperti Gunung Uhud, tidak akan menyamai satu mud (infaq) salah seorang dari mereka dan tidak pula setengahnya.
[H.R Imam Al Bukhari dalam Shahih-nya, kitab Al Manaqib, Bab Qauluhu Lau Itakhadztu Khalilan, no. 3397]
 


Makkah al-Mukarramah

Seterusnya kami tiba di Makkah pada 22 Januari 2014. Pengurusan di Swissotel Makkah juga tidak mempunyai sebarang masalah dan kami dapat check-in ke bilik dengan cepat. Teruja juga ketika masuk ke dalam bilik ini. Bilik Kaabah View yang kami tempah amat memuaskan hati. Gembira kerana dapat melihat seluruh Masjidil Haram dan Kaabah dengan jelas. Cuma pemandangannya tidaklah berapa indah dek kerja-kerja pengubahsuaian dan naik-taraf yang sedang dilakukan ke atas Masjidil Haram. 


Kaabah View Room (Swissotel)

Setelah berehat dan membersihkan diri, kami terus bergegas ke Masjidil Haram bagi menunaikan solat Maghrib berjamaah. Tetapi, oleh kerana masjid dibanjiri dengan ribuan jemaah dan qamat pula sudah dilaungkan, kami terpaksa solat di luar masjid sahaja. Kemudian sejurus selepas solat Maghrib tersebut, kami terus melaksanakan Tawaf, Sa'i dan kemudiannya bertahallul. Alhamdulillah, dengan itu selesailah ibadah umrah kami, pada hari pertama kami menjejakkan kaki di Makkah. Moga segala ibadah dan doa kami diterima Allah s.w.t. 





رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

"Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui [al-Quran, al-Baqarah:127] 



Maqam Ibrahim

Kita Bukan Menyembah Kaabah

Suasana di Makkah tidak sama sebagaimana Madinah. Makkah begitu sesak dengan manusia ditambah lagi dengan persekitaran yang agak kotor dan berhabuk lantaran kerja-kerja pengubahsuaian Masjidil Haram yang sedang dilakukan. Sehingga ramai yang berkata: Makkah pada bulan Januari tahun ini sesaknya umpama musim haji. Dan saya tidak menafikan kenyataan itu. 


Kesesakan di Masjidil Haram selepas solat Isyak

Ini kerana di Makkah terutamanya di Masjidil Haram, memang terlalu sesak. Saya melihat bahkan merasai sendiri ribuan manusia berasak-asak, tolak-menolak dan bermacam ragam lagi ketika melaksanakan tawaf. Di hadapan kaabah  pula, sekumpulan manusia berasak-asakan untuk memegang dan mengusap-usap kaabah. Di tempat Hajar al-Aswad, 'gamat'nya suasana memang tidak terkata. Melihatkan suasana tersebut, membuatkan saya terfikir: 

Alangkah indahnya, jika semua umat Islam yang datang ke Tanah Haram berakhlak dengan akhlak Nabi s.a.w. Lebih-lebih indah, jika semuanya beribadah dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Tentu sahaja, ibadah umrah akan lebih tenang dan mungkin situasinya lebih terkawal. 
Mungkin ramai yang terlupa. Kita bukan menyembah kaabah tapi kita menyembah Allah s.w.t.  


Kita bukan menyembah Kaabah. Tetapi kita menyembah Allah s.w.t.

Bila Malaysia Bertemu Palestin

Pada hari kedua di Masjidil Haram, saya solat Maghrib bersebelahan dengan seorang makcik dari Penang. Nama beliau Cik Faridah. Beliau datang berjalan kaki dari hotel yang jaraknya sejauh 15 minit perjalanan ke masjid ditemani oleh seorang rakan serombongannya yang berasal dari KL. Di sebelah kiri saya pula, dua orang wanita Arab berasal dari Palestin. Suasana jadi agak kecoh sedikit bila dalam masa menunggu solat Isyak, wanita Arab bernama Najah ingin berbual-bual dengan Makcik Faridah. Saya di tengah-tengah rasa nak tergelak pun ada. 

Terus Cik Faridah dengan loghat 'Penang'nya pun bertanya saya: "Dio kato apo dia?"

Saya senyum lalu berkata:  "Dia tanya, cik dari mana?" 

Cik Faridah pun jawab: "Ooo... Saya dari Malaysia" 

Pada awalnya, memang saya senyum sahaja dan tidak sedikit pun ada rasa ingin berbual. Tapi bila Najah bertanya, adakah saya datang bersama makcik Faridah, saya pun jawab tidak dan saya berasal dari Singapura. Terus Cik Faridah terperanjat bila dia mendengar saya berbahasa Arab. 


Dia lalu berkata dan bertanya: "Pandai cakap Arab. Belajar mano?" Maka dari situ, bermula sesi bersuai kenal antara saya, Najah (dan rakannya, Karimah) dan Cik Faridah (dan rakannya kak Ju). Najah dan Karimah melihat saya tanpa kelip dan senyuman mereka pula tidak lekang dari bibir, bila saya menterjemahkan apa yang makcik Faridah ingin sampaikan kepada mereka. 

Antaranya, makcik Faridah kata: "Habaq kat orang Arab ni, kita selalu doakan Palestin" Lalu kesukaan sungguh Najah dan Karimah bila mereka diberitahu orang Islam di merata tempat mendoakan mereka. 

Kemudian, dia suruh saya baca al-Quran dan dia kata nak dengar saya baca. Saya terkejut dengan permintaan itu lalu meminta kepastian: 

"Saya! Awak nak dengar saya baca (al-Quran)?" 

Karimah dengan pantas menjawab: "Ya, kamu baca. Kami nak dengar kamu baca"

Saya pun baca. Bila mereka mendengar bacaan al-Quran saya, mereka mengangguk-anggukkan kepala. Di wajah mereka terpancar rasa gembira dan terharu lalu Najah berkata: "Mumtaaz!!"

Manakala makcik Faridah pula, bukan main bangga lagi bila saya baca al-Quran. Dia pun kata pada Najah sambil tepuk-tepuk bahu saya:" Dia baca good (bagus)!!! Orang Melayu pandai baca Quran, tau!" 

Dan paling lawak bagi saya, bila Najah dan Karimah suruh saya tulis nama mereka dalam bahasa Arab. Saya pun turuti sahaja permintaan itu lalu menulis. Kemudian untuk ke berapa kalinya pun saya tak pasti, mereka terperanjat lagi dan mengangguk-anggukkan kepala ketika melihat saya tulis nama mereka dalam bahasa Arab dengan betul. Dan saya pula berkata dalam hati: "Ya Allah, tak pernah saya terfikir ada orang Arab nak dengar saya baca Quran. Kemudian suruh tulis nama dia pula tu!" =)

Lalu azan Isyak pun berkumandang, kami menunaikan solat Isyak dan seterusnya usai solat kami pun bersalaman sambil mendoakan antara satu dan yang lain sebelum berpisah.

Berangkat Pulang


Ketika di Makkah, saya dan suami hanya banyak menghabiskan masa di bilik hotel dan Masjidil Haram serta kawasan di sekitar masjid. Kembara Makkah yang telah dirancang oleh suami saya terpaksa dibatalkan kerana saya berasa kurang sihat dan agak keletihan. Kami berada di Makkah selama 4 malam dan pada 27 Januari, kami pun berangkat pulang.


Apapun, perjalanan ke Madinah dan Makkah tanpa mengikut mana-mana rombongan Umrah adalah pengalaman yang amat bermakna. Banyak yang telah saya pelajari di dalam rehlah ibadah ini terutamanya tentang pentingnya mempunyai rasa bersyukur, menyemai diri dengan kesabaran dan menghias diri dengan adab dan akhlak. Malah saya juga belajar tentang perbezaan sikap, mentaliti, budaya dan cara kehidupan sesebuah masyarakat. Justeru itu, siiruu fil ardi fanzuruu (berjalanlah, di atas muka bumi ini, dan lihatlah), maka imanmu akan berkata: "Sedarlah dirimu hanya HAMBA".


Jazakumullahu Khairaa

Dengan itu, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada yang banyak membantu sepanjang kami berada di Madinah iaitu akh Ash-shafie Abdullah dan rakannya akh Mu'adz Sidin. Bahkan, akh Ash-Shafie juga telah turut menyertai kami ke Makkah bagi bersama-sama menunaikan ibadah umrah. Begitu juga tidak dilupakan kepada Ahmad Emjay yang menemani kami membeli-belah di Madinah dan Zen Zaini yang sudi datang untuk bertemu kami setelah hampir sepuluh tahun tidak bertemu. Kepada insan-insan ini saya ucapkan, Jazakumullahu khairaa.


Akhir sekali, kepada insan yang mana mungkin saya lupakan iaitu suami dan kekasih saya, Yazid.  Jazakallahu khairaaa kerana berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi merealisasikan impian saya ini. Dan ada benarnya kata orang bahawa kasih sayang suami pada isteri itu bukan melalui ucapan cintanya tetapi ia seringkali dizahirkan melalui perbuatan dan tindakannya. =) 




Hingga kini masih kurasa rindu
Pada Tanah Haram bumi penuh berkah
Moga dapat lagi kita bertemu
Sebelum badan dikandung tanah.

Untuk melihat pengalaman saya, di sekitar Makkah dan Madinah, sila ke pautan berikut:


Sekian, Wassalam.

0 Comments:

Post a Comment