20 November, 2013

Sebagai seorang Muslimah, kita mempunyai harga diri yang begitu tinggi. Atas dasar itu, jangan mudah memuji dan memuja ketampanan seorang lelaki. Tak elok didengar orang atau dengan kata lain, tak elok dibaca orang. 



Setampan mana pun seorang lelaki dan secair mana pun hati bila melihat ketampanan itu, sebaiknya simpan sahaja di dalam diri. Itu bukan bermakna menipu diri. Tapi itu adalah menjaga maruah diri, bahkan menjunjung perintah Allah agar menundukkan pandangan. [Rujuk: Surah al-Nur:31]






Berkali-kali telah saya nyatakan bahawa perintah menundukkan pandangan bukan hanya untuk lelaki, tetapi ia juga teraplikasi bagi wanita. Pesanan ini bukan untuk menyindir sesiapa. Tetapi lahir atas dasar prihatin, mungkin selama ini kita TERLUPA. 

18 November, 2013

Ada rasa letih di jiwa ini
Kaku sudah penulisanku kali ini
Kucuba menarikan jari-jemari dengan jiwa
Ia tetap kaku mungkin kecewa
Adakah sudah tiba masa berhenti
Telah kian lama kujadikan ia tempat melarikan diri?
Kututup duka dengan kesibukan
Kuhindar sepi dengan kecemerlangan
Adakah luka itu kian parah?
Hingga kini terasa semakin nazak?


Tapi kaki ini tetap berlari
Mengikut arus tak ingin berhenti
bersama luka yang tak terubati

Bukan aku pasrah
Cuma tidak aku mengaku kalah
Tetap melihat esok penuh harapan
Walau terasa langkah semakin perlahan




Dalam hati ada tangisan
kuterjemahkan ia dengan senyuman
menggenggam tabah dengan iman
Mengorak langkah meneruskan perjuangan
Lalu berkata pada diri:
Tidaklah yang lebih mengerti
Tentang setiap isi hati
Melainkan DIA, ALLAHU RABBI.

~SakinahSaptu181113~

02 November, 2013

Akhlak


Kita semua tidak sempurna begitulah juga dengan para ulama serta para guru agama kita. Andai ada yang tersilap kata, ajar atau tulis yang dilakukan oleh mereka, maka tegurlah dengan penuh hikmah. Buatlah teguran 'di sebalik tabir'. Mungkin mereka tersilap atau terlepas pandang. Kerana memang dah namanya manusia, tidak terlepas dari sebarang kesilapan. Atau mungkin, mereka lebih tahu dari kita, kerana kebarangkaliannya begitu besar bahawa ada ilmu pada mereka yang mana ia tidak ada pada kita.

Masalah tidak akan selesai, andai kita menegur di khalayak lebih-lebih lagi di media sosial ini dengan memberikan gelaran-gelaran tertentu kepada mereka, seperti Kazzab, Muzabzib, Fasiq, Syubhah dan sebagainya. Malah ia kelihatan begitu jelek, andai dilakukan oleh sesama ulama dan disaksikan oleh para pelajar mereka yang selama ini memandang tinggi kepada ilmu dan budi. Itu bukan apa yang diajar oleh Nabi s.a.w.

Andai benar mengaku mengikut sunnah dan andai benar ingin menisbahkan diri pada salaf, berakhlak seperti para salafussoleh. Kerana sunnah dan salaf bukan setakat pada hal AKIDAH dan IBADAH apatahlagi hanya meliputi tentang SUNNAH DAN BIDAAH tapi ia juga melibatkan soal AKHLAK.

Ini adalah pesan terutamanya untuk diri SAYA yang masih lagi belajar dan kita semua yang perlu terus-terusan belajar.