30 October, 2013


Kita semua melakukan kesilapan dan kesalahan kerana itulah lumrah yang namanya manusia. Tetapi yang paling baik tatkala kesilapan menjengah adalah kita sedar tentang kehadirannya dan kita dengan rela hati membawa diri keluar dari lingkaran kesilapan tersebut. Insan tanpa kesilapan adalah insan takut dengan kegagalan. Padahal kegagalan itulah yang seringkali mengangkat insan berada di tangga kejayaan. 


Bila kamu gagal, sama ada dalam pelajaran, pekerjaan, perkahwinan dan sebagainya, tiba masanya untuk memuhasabah diri. Kerana apa yang Allah takdirkan berlaku, tidak semestinya atas kesilapan orang lain tetapi besar kemungkinan ia adalah atas kesilapan diri sendiri. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu" [al-Quran, al-Syura:30]

Ya, percayalah bahawa saya pernah gagal dan saya seringkali merasai kegagalan. Tetapi kegagalan itulah yang membuatkan saya memuhasabah diri dan akhirnya bangkit mengejar kejayaan. Atas sebab itu, saya tidak pernah memandang kegagalan orang lain terutamanya rakan-rakan dan para pelajar saya sebagai sesuatu yang jelek. Kerana kegagalan itu adalah langkah awal untuk seseorang merasai manisnya kejayaan bahkan jua kebahagiaan.

0 Comments:

Post a Comment