16 October, 2013

DERAIAN AIRMATA ITU

Pernahkah kita berjalan sendiri tanpa mengetahui arah yang hendak dituju?

Dengan deraian airmata kita berjalan lemah. Berjalan dan terus berjalan mengikut langkah kaki. Kita tiba di satu tempat yang jauh dari orang ramai kemudian kita duduk di tempat itu bukan kerana kepenatan tetapi  melayan perasaan yang terbungkam di jiwa. Airmata yang mengalir memang tidak dapat ditahan-tahan dan kita juga tidak mahu menahan air mata itu. Kita biarkan ia mengalir semahunya dan sederas-derasnya. Pada waktu itu, kita rasa ingin pergi jauh dari semua orang yang mengenali diri kita. Kita yakin tiada siapa yang akan memahami apa yang tersembunyi di sebalik hati walaupun orang itu adalah seorang kaunselor yang bertauliah. Kita buntu. Lalu kita berbisik: "Ya Rabb, ke mana harus aku pergi? Hamba mohon kekuatan".

Manakala ada pada suatu ketika pula kita merasa terlalu sedih dengan apa yang dihadapi. Air mata mengalir tanpa dipaksa-paksa. Lalu kita mengambil keputusan duduk di tepi katil atau atas katil atau di salah satu penjuru bilik kemudian kita menangis semahunya dengan mengeluarkan esakan demi esakan syahdu. Kita duduk sambil merapatkan kedua kaki kita ke dada lalu membenamkan wajah ke lutut yang dibaluti baju. Kita merangkul kedua kaki itu dengan erat kerana tidak dapat menahan kesedihan dan esakan. Kita amat mengharapkan ada yang hadir memeluk kita demi memberikan sedikit semangat tetapi kita tahu itu adalah mustahil. Lalu kita hanya mampu memeluk tubuh sendiri dengan erat bahkan teramat erat untuk menguatkan diri sambil beristighfar kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya.

Adakah anda sedang mengimbas kembali semua detik penuh airmata itu? Detik-detik yang amat meruntun jiwa dan menghilangkan selera serta menghapuskan ceria? Saya tahu tentu ada yang terkesan dengan kedua-dua situasi yang saya sebutkan di atas. Mungkin atau memang anda pernah melalui situasi seperti itu. Bukan sekali tetapi berkali-kali.

SENYUMLAH, KITA TIDAK BERSENDIRIAN

Senyumlah, wahai Muslimah yang kukasihi. Ketahuilah bahawa kita tidak bersendirian dalam situasi itu kerana ramai insan-insan seperti kita yang dirudung kesedihan dan kesayuan. Bahkan ada lebih buruk dari itu. Maka usahlah kita merasa, kita adalah manusia paling malang di dunia. Saya mengerti bahawa situasi itu amat memilukan dan menyakitkan bahkan ia menjadi sebahagian dari sejarah hidup yang tidak boleh diubah bahkan tak mampu dibuang dalam diari kehidupan.

Tetapi percayalah, ia hanya sedikit ujian yang Allah s.w.t hadiahkan kepada kita agar kita merasai betapa kebergantungan kepada Allah s.w.t adalah yang paling utama dalam hidup kita. Tatkala itu tiada siapa yang dapat meredakan kesedihan dan kesugulan jiwa yang terlalu penuh dengan sendu. Tiada siapa yang akan memahami apa yang sedang kita hadapi. Dan selalunya pada waktu itu, dalam fikiran dan jiwa kita  yang ada hanyalah ALLAH!

Pada waktu itu, kita tidak menyebut nama mak, abah, suami atau teman-teman tetapi yang ada dibibir kita hanya YA ALLAH, YA ALLAH dan YA ALLAH. Kita ulang dan ulang menyebutnya tanpa jemu sehingga kita sendiri tidak dapat terhitung jumlah sebutan tersebut.

 JIKA TERLUPA….

Jika terlupa, izinkan saya mengingatkan. Ya, mungkin kita terlupa betapa pilu dan hibanya baginda Ya'qub a.s tatkala kehilangan puteranya Yusuf a.s sehingga baginda mengucapkan:

إِنَّمَا أَشْكُو بَثِّي وَحُزْنِي إِلَى اللَّهِ
Maksudnya: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah.." [al-Quran,Yusuf:86]

Mungkin juga kita terlupa pada deraian airmata Nabi Yunus a.s tatkala berada di kegelapan perut ikan Nun. Dengan penuh kesedihan dan keinsafan baginda memohon ampun kepada Allah s.w.t sambil berdoa:

لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri" [al-Quran, al-Anbiya':87].

Bagaimana pula dengan Nabi Ayyub a.s? Lupakah kita betapa sabarnya baginda menghadapi ujian demi ujian? Pada waktu itu, baginda pun berdoa dan merayu kepada Allah s.w.t:

أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
Maksudnya: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani".

Dan usah pula kita lupa bagaimana sayunya baginda Nabi Muhammad s.a.w tatkala anaknya Ibrahim menghembuskan nafasnya yang terakhir. Pada saat itu, mengalir air mata baginda lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya mata ini menitiskan air mata dan hati ini bersedih, (namun) kami tidak akan mengatakan kecuali apa yang diredhai oleh Tuhan kami. Dan sesungguhnya kami merasa sedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim" (H.R al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, Kitab Janaiz, Bab  Qaul al-Nabiyy Inna bika lamahzunun, No. 1214).

Mereka adalah utusan Allah s.w.t, wahai Muslimah yang kukasihi. Mereka juga menghadapi kesedihan dan mengalirkan airmata syahdu. Justeru, siapalah kita untuk terlepas dari ujian ini. Kita hanyalah hamba Allah yang tidak ma'sum bahkan terlalu banyak melakukan dosa, lantas untuk apa dipertikaikan hadirnya sebuah ujian yang mencengkam jiwa? Sedangkan ujian-ujian itu adalah ruang untuk menghapuskan dosa sebagaimana sabda baginda Nabi s.a.w dalam sebuah hadith sahih yang bermaksud:

“Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahaan, kesedihan, gangguan dan kegelisahan sehinggalah duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian dari dosa-dosanya” (HR al-Bukhari dalam kitab sahihnya, Kitab al-Marda, Bab Maa Ja’a fi Kaffarah al-Mardaa, No. 5318).

DOA PENAWAR HATI KITA

Indahnya Islam dan indahnya sunnah Nabi kita kerana di waktu jiwa pilu dengan sendu juga baginda Nabi s.a.w mengajarkan kepada kita dengan doa sebagai penawar hati. Dalam hal ini, Ibn Mas’ud r.a dia berkata: Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Siapa yang mengalami kesusahan atau kesedihan, hendaklah dia berdoa dengan mengucapkan kalimah-kalimah berikut:
اللَّهُمَّ إِنّيِ عَبْدُكَ ابْنُ عَبْدِكَ ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فيِ كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ ا سْتَأْثَرْتَ بِهِ فيِ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ القُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي، وَنُورَ بَصَرِي، وَجِلَاءَ حُزْنِي، وَذَهَابَ هَمّي.

Maksudnya: “Ya Allah, aku adalah hamba-Mu, anak hamba lelaki dan hamba perempuan-Mu, diriku berada di dalam genggaman-Mu, jiwaku berada di tangan-Mu, hukum-Mu berlaku pada diriku, keadilan keputusan-Mu berlaku terhadap diriku, aku memohon kepada-Mu dengan menyebut semua Asma’-Mu yang Engkau namakan diri-Mu dengannya atau Engkau turunkan dalam kitab-Mu atau Engkau mengajarkannya kepada seorang di antara makhluk-Mu atau Engkau memeliharanya di dalam ilmu ghaib di sisi-Mu. Jadikanlah al-Quran sebagai cahaya dadaku, kebahagiaan hatiku, penghapus kesedihanku dan pelenyap kesusahanku”

(siapa yang membaca doa ini) Tidaklah melainkan Allah menghilangkan kesusahan dan kesedihannya dan menggantikannya dengan kegembiraan. Lalu mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah perlu untuk kami mengajarkan kalimah-kalimah ini?” Nabi s.a.w menjawab: “Ya, perlu kepada mereka yang mendengarnya mengajarkannya (kepada orang lain)” (H.R Ahmad dalam kitab Musnadnya dan ia dinilai sahih oleh Ibn Qayyim (Syifa’ al-‘Alil, 2/749), Ahmad Syakir (Musnad, 6/153) dan al-Albani (Sahih al-Targhib, No. 1822).

MARI KITA RENUNGKAN BERSAMA

Tatkala kita berjalan dengan hanya mengikut langkah kaki tanpa arah tujuan kerana melayan perasaan sedih, Alhamdulillah kita masih mampu meneruskan kehidupan kita hingga saat ini. Kemudian bila kita menangis teresak-esak sendirian dan terpaksa memeluk tubuh sendiri untuk memberikan kekuatan pada diri, Alhamdulillah, hari ini kita masih mampu tersenyum dan merasa bahagia. Dan apabila ia berlaku berulang-ulang kali kepada kita, Alhamdulillah kita berjaya melepasi dan mengatasi perasaan dan situasi itu. Bukankah itu menunjukkan kita adalah HEROIN dalam filem kehidupan kita? Walau tanpa pengarah, walau tanpa video kamera hatta walau tanpa peminat sekalipun, kita tetap berjaya menjadi seorang HEROIN.

Yakinlah bahawa anda, saya dan kita semua adalah heroin kerana berjaya menghadapi ujian dengan hati penuh sabar dan redha. Tahniah kerana ANDA adalah MUSLIMAH YANG HEBAT DAN MENAKJUBKAN! Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:


"Amat menakjubkan keadaan seorang mukmin, sesungguhnya semua keadaannya adalah baik belaka. Ini tidak berlaku kecuali kepada seorang mukmin. Sekiranya dia dikurniakan kesenangan dia akan bersyukur dan ini baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa kesusahan pula dia akan bersabar dan ini juga baik untuknya.' (H.R Muslim dalam kitab sahihnya, Kitab al-Zuhd wa Raqa’iq, Bab al-Mu’min amruhu kulhuhu khair, No. 7692)

0 Comments:

Post a Comment