04 July, 2013


Ketika saya berada di alam remaja, saya duduk berjauhan dengan keluarga lantaran melanjutkan pengajian di luar negara. Ketika itu, buruk dan baik kita selalunya di'tegur' dan di'nasihati' oleh kakak-kakak senior. Namun selalunya, saya bukanlah jenis 'budak taat'. Bukan kerana tidak mahu menjadi budak baik tetapi saya memikirkan setiap nasihat dan teguran yang diberikan dengan saksama. Saya seringkali berada dalam situasi tertekan kerana ketidakpuasan hati yang sukar dibendung. ITU SALAH DAN INI TAK KENA. Terikat dengan peraturan yang dibuat atas nama agama dan ibadah, lebih-lebih lagi menjengkelkan saya. Bukan tidak suka menjadi Muslimah hidup penuh beribadah, cumanya saya musykil DI MANA DALILnya untuk berbuat demikian. Tetapi kerana kita adalah junior, yang terbaik ialah sami'na wa ato'na. Pengalaman saya ketika menjadi adik junior membuatkan saya berazam agar menjadi seorang kakak senior yang lebih prihatin dan berhati-hati. Terutama sekali dalam memberikan pengetahuan dan kefahaman agama yang betul kepada adik-adik junior.


Menjadi senior mengajar betul adalah kewajipan. Mendidik junior menjadi seorang muttabi' (beramal berdasarkan dalil) dan bukan muqallid (beramal hanya kerana ikut-ikutan dan hanya kerana itu perkara baik) adalah lebih-lebih lagi menjadi kewajipan. Justeru, jadilah kakak-kakak senior mengajar yang sahih. Bukan kakak-kakak senior yang hanya tahu beramal tanpa ilmu dan seterusnya menghukum adik-adik junior yang tidak beramal sama. 

Untuk adik-adik junior di mana pun anda berada, pertimbangkan semua yang diajar dan diajak oleh kakak-kakak senior kalian. Tak semestinya, mereka senior mereka betul dan semestinya amalan-amalan senior kalian yang kalian lihat 'baik' itu baik. Wallahu'alam.