25 June, 2013


Terlalu banyak perkara yang menarik perhatian saya di dalam buku ini. Terasa ingin mengulas setiap satu artikel yang terkandung di dalamnya. 


Tatkala saya membaca artikel bertajuk 'Hantar Genius Belajar Agama', saya sependapat dengan penulis pada bait ayat ini: "Kanak-kanak hanya dibenarkan untuk bercita-cita dengan kerjaya yang muluk-muluk sahaja. Doktor, guru, peguam, jurutera dan pilot. Kerjaya seperti pegawai agama, imam masjid, mufti, kadi atau ustaz jarang kedengaran dari mulut anak-anak Muslim terutamanya dari kalangan keluarga middle class. Materialisme mencengkam anak-anak seawal usia dalam memandang kehidupan" (halaman 87-88).

Di tempat yang lain, penulis menyatakan: " Lebih malang, anak-anak yang pintar digalurkan untuk mempelajari bidang sains sahaja. Anak-anak yang tidak berapa pandai, disalurkan pula untuk belajar agama. Kita melaburkan anak-anak yang 'biasa-biasa' sahaja untuk menjaga urusan agama umat ini" (Halaman 88).

Melepaskan nafas berat kerana perlu mengakui kebenaran ini. Saya tidak perlu melihat kepada yang jauh-jauh. Hanya melihat kepada contoh diri sendiri. Tatkala saya berusaha mempelajari bidang agama hingga ke peringkat Doktor Falsafah, tidak kurang orang yang mencebik. Ini adalah kerana pertama, mentaliti masyarakat kebanyakannya tidak melihat pengajian Islam sebagai bidang yang menguntungkan dan membanggakan. Cukup-cukuplah belajar hingga degree sahaja. Tak ke mana pun, dengan PhD. Lagi-lagi di Singapura. 

Kedua, saya adalah seorang WANITA yang sudah BERSUAMI. Masyarakat ada yang tidak gemar, orang perempuan sibuk belajar sedangkan sudah berlaki. Duduklah rumah, jaga suami, jaga rumah, mak mertua, dan paling penting, beranak banyak-banyak.

Ketiga, belajar bidang agama, akhirnya jadi ustazah juga! Jangan buang masa, belajar tinggi-tinggi. Lagipun, orang perempuan tak perlu nak bersyarah pasal agama. Ramai ustaz-ustaz yang hebat-hebat boleh bercakap. 

Tentu ada yang tersenyum. Ya, jika untuk saya, tersenyum pahit. Pahit menerima bahawa karier sebagai pensyarah wanita pengajian Islam tidak sebagaimana karier doktor, jurutera, jururawat, pengetua sekolah dan sebagainya. Karier seorang ustazah hanya karier biasa. Ia adalah karier yang tidak menguntungkan. bagi sesetengah masyarakat.

Justeru, kebanyakan masyarakat sering memandang sebelah mata dan merasakan orang-orang hebat atau wanita-wanita Muslimah yang hebat, perlu menjawat jawatan yang hebat-hebat. Bukan sebagai seorang pensyarah pengajian Islam yang hanya bergelar Ustazah. 

Tetapi pelik, bila ada asatizah kita yang mengajar biasa-biasa, tidak mengendalikan kelas dengan professional dan tidak mampu mengadakan perbincangan secara kritis di dalam pengajarannya, masyarakat kita mencebik lagi. "Ustazzz / ustazaaaahhh, biasalah. Buat kerja sambil lewa. Tak boleh nak lawan, bukan ustaz/ustazah yang buat presentation" dan pelbagai macam lagi kata-kata pedih. 

Persoalannya, bukankah pada awal lagi semenjak anak-anak kita kecil, kita tidak pernah menanamkan di minda anak-anak agar menjadi seorang ahli agama yang professional? Malah, kita sering memomokkan kepada anak-anak, jadi orang agama nanti nak makan apa?. Lalu bila terhasilnya asatizah yang 'biasa-biasa', anda salahkan orang lain juga? Bukankah itu 'standard' yang telah ditetapkan oleh kebanyakan masyarakat? Belajar agama, tak ada apa sangat. Kalau anak kita pandai, kenapa nak biarkan dia jadi ustaz atau ustazah? 'Kesian' masa depan dia" Hmmm...pelik bukan, orang Islam kita?

Apapun, terima kasih pada penulis buku ini, beliau adalah pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM. Jazakallahu khairaa Dr Mohd Al Adib Samuriatas hadiah yang diberikan ini.

Moga kehadiran buku ini di pasaran, menjadi pembuka mata kepada diri kita yang sering merasakan bidang agama ini tiada apa-apanya. Dalam masa yang sama, dapat menjernihkan kehidupan kita dalam beragama, dengan mengambil sebaik-baik petunjuk iaitu petunjuk Nabi s.a.w.