30 May, 2013




Masalah-masalah seperti ini membuka mata bahawa wanita terutamanya MUSLIMAH perlu lebih ramai tampil ke hadapan menjadi 'pakar' dalam pelbagai bidang (bidang yang harus diceburi oleh Muslimah). Namun, untuk menghasilkan seorang Muslimah yang 'pakar' ia tidak semudah menghasil seorang lelaki Muslim yang pakar. Ini kerana sokongan dari pelbagai pihak terutamanya ibu bapa dan suami adalah amat-amat diperlukan bagi menghasilkan seorang MUSLIMAH PAKAR. 

Jika kita asyik 'menyembunyikan' Muslimah kita dengan memberikan alasan-alasan wanita tak perlu belajar tinggi, wanita tempatnya di dapur dan pelbagai lagi alasan-alasan yang lain, kita akan kehilangan MUSLIMAH PAKAR dan akhirnya kita juga TERPAKSA membiarkan ibu-ibu kita, isteri-isteri kita, anak-anak gadis kita dan wanita muslimah yang lainnya, merujuk kepada lelaki yang pakar dalam bidang yang mereka perlu dirujuk contohnya dalam hal-ehwal perbidanan, perubatan dan pendidikan. 

Kita ingin Muslimah kita diperiksa oleh seorang doktor perempuan ketika sakit, kita ingin Muslimah kita diperiksa oleh pegawai wanita ketika menjalani pemeriksaan kastam, kita ingin Muslimah kita diajar oleh seorang guru wanita dalam bidang-bidang tertentu, kita ingin Muslimah kita mendapat seorang tukang jahit wanita yang membentuk pakaian sesuai syar'i, kita ingin Muslimah kita mendapat konsultasi dari seorang pegawai wanita dalam apa jua permasalahan, tetapi apa yang kita inginkan itu tidak boleh tercapai bila kita memomokkan kepada wanita Muslimah kita sendiri bahawa jika mereka berada di luar rumah hanya menjadi perosak anak bangsa. Ketahuilah, Muslimah Pakar yang saya maksudkan ialah mereka dididik oleh ibu bapa dan suami dengan ilmu agama yang tinggi. Ini kerana menghasilkan Muslimah pakar bukan bermakna mereka perlu dibiarkan tenggelam dengan 'kepakaran' mereka tanpa pendidikan agama yang betul. 

Justeru, Muslimah-muslimah di luar sana, jika anda seorang pelajar NUS, NIE, NTU atau mana-mana pelajar politeknik, belajarlah bidang yang sedang anda ceburi dengan mahir (jika bidang itu adalah bidang yang harus untuk diceburi oleh seorang wanita Muslimah) agar anda dapat menyumbang semula kepada masyarakat Islam terutamanya kepada kaum Muslimah. Jangan merasakan bidang yang anda ceburi kini hanya sia-sia. Apa jua pekerjaan dan bidang kita, semuanya memerlukan kepada iman, akhlak, amanah dan tanggungjawab. Andai dilaksanakan dengan baik, ia adalah pahala untuk kita. Hatta jika anda seorang pakar dalam bidang bakeri atau catering sekalipun, ia tetap memerlukan kepada iman, akhlak, amanah dan tanggungjawab kerana tanpa semua itu kemungkinan anda tidak kisah dalam menggunakan bahan-bahan yang tidak halal dan kemudiannnya menjual ia kepada pelanggan. 

Dahulu, saya dilanda dilema apabila perlu belajar memandu dengan instructor lelaki tapi kemudiannya saya bertemu dengan seorang instructor perempuan yang mengajar saya memandu sehingga saya lulus ujian memandu. Saya memilih instructor perempuan kerana saya tidak mahu berdua-duaan dalam kereta bersama bukan mahram sepanjang sesi pembelajaran. Dan Alhamdulillah, ada juga instructor perempuan dan dia adalah satu-satunya instructor perempuan di akademi tersebut. Saya belajar bersama dia dalam beberapa bulan dan dalam masa yang sama dia juga belajar dari saya. Dari tidak bertudung alhamdulillah, dia telah mengenakan tudungnya. 

Kemudian saya terfikir, jika semua Muslimah yang belajar memandu terlalu prihatin seperti saya, sedangkan akademi tersebut kekurangan instructor perempuan, tentu ramai Muslimah menarik diri dan tidak menduduki kelas memandu. Bukankah situasi ini, menunjukkan kepada perlunya lebih ramai instructor wanita agar Muslimah kita lebih terjaga dirinya tatkala ke kelas memandu? Dan teringat juga semasa sakit gigi tempoh hari, susah betul nak cari doktor gigi Muslimah.

Ada, tapi tak ramai.......... Ada tapi fully booked........