17 March, 2013

Malam ini terasa tak mampu untuk menumpukan perhatian pada pembacaan. Entah mengapa rasa rindu yang tak semena-mena ini datang tanpa dipinta. Saya rindu insan yang bernama pelajar.

RINDU

Ya, saya rindu pada mereka. Terasa sepi, tanpa kehadiran mereka. Sunyi tanpa kebisingan suara mereka.

Mereka penghibur hati lara. Bagai anak-anak kecil penghibur hati ayah bonda layaknya.

Kadangkala saya merasakan saya keterlaluan dalam melayani para pelajar saya. Bukan keterelaluan apa. Cuma, terlalu mendekati mereka hingga terasa seperti adik beradik sendiri. Adakah itu salah?


Banyak kali saya bertanya pada diri. Adakah salah tingkah saya sebagai guru tatkala menjadi teman kepada pelajar? (Pasti, yang saya maksudkan dalam penulisan ini adalah guru wanita dan para pelajar wanita) Ingin dijauhi terasa tak sampai hati. Walau ada orang kata, antara guru dan pelajar perlu ada batas pemisah agar mereka menjadi orang yang kenal diuntung. Tapi saya tidak merasakan sedemikian. Semakin saya dekati mereka, saya dapati barulah mereka menjadi manusia yang kenal diuntung. Bila kita mesra dan kasihi mereka serta menerima mereka dengan seadanya, mereka akan berusaha untuk menggenggam agama  sebagaimana kita berusaha mengenalkan kepada mereka erti hidup beragama yang sebenar.



ASET AGAMA

Setiap dari diri mereka pada pandangan saya adalah aset untuk agama. Mereka terlalu berharga. Jika satu kecundang ketika dalam laluan ilmu, ia adalah satu kerugian untuk agama dan dakwah itu sendiri. Dan jika satu berjaya dididik dan meneruskan perjuangan untuk memperjuangkan agama dengan manhaj yang benar, bukankah ia merupakan satu sumbangan besar untuk dakwah juga. Untuk itu, kita perlu menyentuh hati mereka terlebih dahulu, sebelum kita menyentuh minda mereka untuk memikirkan bagaimana menyelesaikan 'masalah ummat'. Ini kerana saya percaya bahawa hati yang berjaya disentuh dengan kasih sayang dan semangat juang bukan sahaja akan membentuk diri mereka menjadi pendakwah yang baik bahkan dari mereka bakal melahirkan sebuah generasi yang baik, untuk agama, bangsa dan juga negara.

Justeru, tidak salah mendekati pelajar dan memberikan tunjuk ajar dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Itu tandanya tiada sikap pilih kasih dan tiada sikap hanya memberikan perhatian kepada pelajar bijak sahaja. Ini kerana kita tidak mahu, kehadiran kita di sisi pelajar hanya meninggalkan kesan luka dan sakit hati pada diri mereka lantaran kata-kata kita sering mencalar-balarkan hati mereka dan merendahkan semangat diri mereka. Ia juga akan mencipta kesan negatif mereka terhadap guru agama dan seterusnya membina satu  pemikiran bahawa guru agama seringkali buruk kata-katanya. Oleh itu, berusahalah agar kehadiran kita dalam kehidupan mereka, menjadi pencetus inspirasi, pembakar semangat diri dan panduan untuk mereka mendekati Ilahi.



SUNNAH NABI KITA

Ketahuilah, menjadi guru yang dekat dengan pelajarnya adalah mencontohi sunnah Nabi kita. Di dalam banyak riwayat hadith yang sahih menunjukkan bahawa baginda bukan sahaja menjadi guru kepada para sahabat bahkan juga menjadi sahabat kepada mereka. Ini juga menunjukkan bahawa tugas baginda bukan setakat mengajar tetapi baginda memainkan peranan yang begitu besar sebagai seorang pendidik sehingga membentuk generasi sahabat yang tiada tolok bandingnya. Justeru, setiap diri kita yang bergelar guru perlu belajar menjadi guru yang berjiwa pelajar. Tidak salah mengasihi asalkan masih lagi ada had yang membatasi.

Metodologi Pendidikan Nabi yang disenaraikan oleh Dr Fadhl Ilahi adalah berdasarkan daripada hadith-hadith sahih yang masyhur. Saya menyarankan buku ini sebagai bacaan untuk mengetahui  kaedah pendidikan yang diaplikasikan oleh  baginda Nabi s.a.w. 

Sungguh, rindu di hati ini tak siapa yang tahu, melainkan Dia Tuhanku yang Satu. Semoga semua pelajarku menjadi aset agama itu. Hidup, mati, amal dan ibadah mereka hanya untuk Allah, Tuhan yang Satu.

0 Comments:

Post a Comment