01 March, 2013

Saya termenung jauh ketika di dalam.bas.Membuang pandang ke luar tingkap. Tidak ada apa yang saya perhatikan. Hanya merenung tentang diri. Dari dulu hingga kini.

PENYELIAAN PhD

Penyeliaan Phd saya agak lembab untuk semester ini lantaran saya menulis di Singapura dan dalam masa yang sama bekerja separuh masa sebagai pensyarah di sebuah Institut Pengajian Tinggi di sini. Di samping itu, saya menerima banyak tawaran mengajar dan jemputan untuk menyampaikan kuliah dan seminar. Malah bukan itu sahaja, saya juga tertekan dengan situasi rumah yang tidak berapa kondusif untuk saya menulis dan menelaah. Jadi, situasi ini banyak menjejas perjalanan penulisan tesis saya. Saya rasa ingin menangis. Tapi apalah daya saya. Saya hanya menahan tangisan di jiwa dan meyakinkan pada diri bahawa saya mampu untuk menghadapi semuanya dengan tabah.

Tapi secara jujurnya saya katakan bahawa saya tertekan kerana bab 2 saya tidak tahu bagaimana ingin saya gerakkan ia. Menulis salah dan membaca juga salah. Lalu saya membuat keputusan untuk cuti seminggu dan pulang ke kampus bertemu dengan penyelia. Harapan saya satu sahaja pada waktu itu, iaitu agar jiwa saya dapat kembali kepada dunia penulisan tesis saya yang saya kira sudah lama saya hilang penghayatan tentangnya. Justeru pada pertengahan bulan November tahun lalu, saya pulang ke UKM. Pada waktu saya bertemu dengan penyelia, saya memang bercelaru. Saya cuba melarikan kecelaruan yang bersarang di hati saya. Saya cuba sedaya upaya berbual dengan tenang. Tapi saya tewas. Beliau seolah-olah dapat menebak apa yang terbuku di hati ini. Rasanya itulah pertama kali saya dapat menangis sepuas-puasnya setelah sekian lama saya pendamkan tangisan saya di dalam jiwa.



INGIN BERHENTI

Adakalanya saya rasa ingin berhenti kerana merasakan saya tidak memerlukan PhD ini. Cukuplah dengan Ijazah Sarjana yang saya miliki. Kemudian saya bertanya pula pada diri, "Perlukah engkau mengaku kalah pada sebuah tragedi perasaan?" Tragedi perasaan? Hmmm, tragedi kehilangan insan yang menjadi sumber inspirasi itu, sepatutnya saya buang jauh-jauh. Walau saya tidak menafikan ia tidak semudah itu. Lukanya berparut hingga ke hari ini. Sakitnya pula cepat terasa bila teringat kembali. 

Sudah,lah. Yang berlalu, biarkan ia berlalu. Saya sudah terlanjur. Ya, saya sudah terlanjur langkah. Keterlanjuran ini tidak boleh diundur lagi. Saya tidak boleh berhenti dan saya perlu terus berlari. Penyelia saya sudah berpesan: "Tidak semua orang Allah beri peluang untuk mempunyai PhD. Allah beri hanya pada yang terpilih. PhD adalah amanah"

Saya senyum. Memilih untuk berhenti bukan diri saya. Ini kerana saya bukan si Mat Jenin yang suka berangan-angan. Sekali sudah melangkah bukan masanya lagi undur berundur. Terus dan terus maju dan tidak mahu tragedi itu menjadi batu yang menghalang.

TIDAK MAHU ADA TEKANAN

Saya akui saya terlalu banyak kelemahan. Terlalu banyak yang perlu saya pelajari. Saya tidak mahu terlalu banyak tertekan hanya kerana PhD. Justeru, sekarang ini saya melalui kehidupan saya seperti biasa tanpa menekan-nekan diri agar perlu mencapai target PhD.

Saya juga masih ingat nasihat penyelia saya. Beliau berkata: "Anti tak boleh nak samakan diri anti dulu dan sekarang. Masa degree dan master kita berbeza dengan PhD. Dulu kita masih muda, fikiran kita masih fresh. Kita tak ada banyak masalah. Tapi sekarang, kita bekerja, kita fikirkan banyak perkara. Semakin usia kita meningkat, semakin banyak perkara yang perlu kita fikirkan dan selesaikan. Celaru itu perkara biasa"

Yang pentng, saya tidak mahu semangat ini hilang dan saya tetap akan selesaikan ia dalam masa 3 tahun yang telah ditetapkan. Kini pengajian saya sudah melangkah ke tahun yang kedua dan saya ingin selesaikan pengajian ini dengan penuh ceria dan gembira. Tidak mahu ada tekanan yang terlalu hebat kerana hidup saya sendiri sudah penuh dengan tekanan yang tidak tertanggung sebenarnya.




BILA IA SELESAI...

Masa ini, adalah masa untuk saya menimba pengalaman, menyumbang dan menghasilkan karya untuk masyarakat. Itu yang sedang saya lakukan sambil berusaha melaksanakan kajian PhD. Ini kerana bila tamatnya pengajian, saya tidak mahu pulang kepada masyarakat dengan tangan kosong. Pengajian kali ini, bukan setakat belajar tetapi ia lebih dari itu.

Saya tahu ia tidak mudah.

Tapi saya juga tahu, saya ada Allah s.w.t tempat pergantungan yang paling aula.

DIA yang memudahkan dan DIA juga yang menguatkan saya.

..................

0 Comments:

Post a Comment