04 January, 2013


Orang yang berilmu agama selalunya berperang dengan dua keadaan: Cakap salah dan tak cakap pun salah.

(1) Bila mereka cakap, dikatakan sombong, menghukum, memfitnah, tunjuk pandai, merendahkan orang lain, TAK JAGA PERASAAN ORANG dan sebagainya (sedangkan mereka diminta untuk menjawab soalan, memberikan komentar dan memberikan pencerahan).

(2) Bila tak cakap, dikatakan tidak beramanah dengan ilmu, biarkan orang dalam kesalahan, penakut, tak jalankan dakwah dan sebagainya.

Susah bukan?

Orang agama selalunya tersepit di tengah-tengah. AKHIRNYA MEREKA SERBA SALAH.

Justeru, adakah orang agama hanya perlu berbicara tentang perkara-perkara yang 'menyedapkan' dan 'menyukakan' hati orang? Dan bila mereka melihat sebarang kesalahan, mereka hanya patut diam dan menyokong (dengan mencari dalil-dalil yang seakan-akan menyokong) kerana tidak mahu 'menyakitkan' dan 'menimbulkan kemarahan' orang?

Hari ini dalil (sumber ilmu agama Islam) adalah satu yang allergic bagi kebanyakan masyarakat Islam. Orang menyampah dengan kita bila kita berbual dengan dalil. Orang sudah tidak mahu mendengar dalil kerana dalil tidak menepati zaman, kononya.

Ketahuilah, apabila kita asyik memikirkan tentang rasional akhirnya dalil dilihat tidak lagi rasional. Semua orang berhak mempunyai pandangan tersendiri, tapi pandangan itu tidak boleh diterima jika ia mendahulukan rasional daripada apa yang terkandung pada al-Quran dan al-Hadith.

Apapun, akhlak adalah utama (bagi orang yang belajar agama dan bagi orang yang tidak belajar agama). Orang belajar agama perlu bercakap dengan akhlak dan orang yang tidak belajar agama pula perlu menjawab dengan akhlak.

Kerana itu yang ada pada Nabi kita. Buat orang jatuh cinta padanya.

..................................