04 April, 2012

Bismillah

Saya melihat kalendar. 4 April 2012.

Sudah dua bulan saya memulakan pengajian Doktor Falsafah. Dua bulan juga saya berada di bumi UKM dan persekitarannya. Alhamdulillah, keadaan saya di sini baik. Saya mendapat tempat penginapan yang dekat dengan Fakulti dan tidak berapa jauh juga dari perpustakaan. Cuma masalah sedikit dari sudut makanan lantaran bagi saya kafe di tempat penginapan ini tidaklah menyediakan makanan yang agak menyelerakan saya. Atas sebab itu, saya selalu memilih untuk makan di kafe canselori yang terletak bersebelahan dengan fakulti. Saya senyum. Biasalah, kita tak akan dapat semua yang kita suka dan inginkan. Maka bersyukurlah =)

HANYA SATU SUBJEK

Untuk pengajian kali ini agak berbeza dengan pengajian saya yang lepas. Kali ini saya hanya perlu menghadiri satu subjek sahaja iaitu Kaedah Penyelidikan. Seharusnya saya tidak perlu menghadiri kuliah ini dan boleh dikecualikan tetapi kerana kod subjek lepas yang saya duduki semasa sarjanamuda dahulu sudah berubah  [isi kandungan kuliah juga turut berubah], maka saya tidak mempunyai pilihan melainkan untuk hadir ke kuliah tersebut. Apapun, ia amat baik untuk saya agar saya lebih jelas tentang metodologi penyelidikan di peringkat Doktor Falsafah.  Walau di setiap buku memperkatakan perkara yang sama tentang metodologi penyelidikan tapi di sana tetap ada perbezaannya untuk setiap peringkat pengajian. Justeru, penyelidikan di peringkat Doktor Falsafah tidak sama sebagaimana penyelidikan di peringkat Sarjana. Sungguh, untuk ini saya perlu lebih bekerja keras agar saya faham tentang perbezaannya dan tidak terikut-ikut dengan gaya penulisan saya semasa di peringkat sarjana.

SEMINAR SERANTAU MAQASID AL-QURAN 2012


Semester ini saya terlibat sebagai pembentang utama Seminar Maqasid al-Quran 2012. Seminar yang diadakan julung-julung kalinya oleh Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM dengan kerjasama Darul Quran Singapura amat menyenangkan hati saya. Akhirnya hasrat saya untuk melihat Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah mengorak langkah keluar dari bumi Malaysia tercapai juga. Lebih menyenangkan ia diadakan di bumi tempat tumpah darah sendiri dan seminar berlangsung di Darul Quran Singapura tempat bertautnya kasih antara saya dan suami. Alhamdulillah, usaha saya memperkenalkan Darul Quran Singapura kepada Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, UKM pada tahun 2010 merupakan usaha dan langkah yang bijak. Harapan saya, moga kedua-dua buah institusi ini dapat terus bekerjasama dalam mengendalikan program-program ilmiah dan menjadikannya sebagai satu usaha dakwah bagi mendekatkan lagi masyarakat Islam kepada al-Quran dan al-Sunnah dan seterusnya memotivasikan mereka untuk beramal dengan kedua-duanya.

PROPOSAL

Sudah masuk kali ketiga saya menukar tajuk kajian. Untuk tajuk ketiga ini, saya sedang berusaha mengumpulkan sebanyak mungkin bahan bacan dan rujukan terutamanya jurnal dan tesis yang berkaitan dengan tajuk saya. Apa tajuknya? Ermmm, rasanya belum masanya untuk saya maklumkan kepada semua =) Jika pembentangan proposal untuk tajuk ini berjaya dan diluluskan, Insya Allah saya akan banyak menulis mengenainya. 

"ITULAH KAK SAKINAH, KAKAK PHD DARI SINGAPORE"

Memandangkan saya hanya mempunyai satu subjek sahaja dalam seminggu dan kerja saya setiap hari hanya ke perpustakaan dan menatap laptop mencari bahan untuk kajian literatur, kebosanan memang tidak segan silu bertamu. Saya jadi resah kerana tidak menyampaikan ilmu. Saya seolah-olah rasa mati kerana menjadi orang yang tidak 'memberi'. Lalu saya pun berkata pada diri saya: 

"Apa guna saya duduk di UKM, sebagai seorang kakak senior tetapi saya hanya duduk menyendiri dan berdiam diri tanpa sedikit pun mahu membantu adik-adik sejabatan saya yang memerlukan bantuan dari sudut perasaan dan pembelajaran? Adakah saya hanya mahu dikenali sebagai "Itulah Kak Sakinah, kakak PHD dari Singapore?"  

Dan saya berkata lagi:

"Dengan pengalaman saya yang sudah 'masak' dengan dunia pembelajaran sedari peringkat sarjanamuda dan sarjana, saya seharusnya ke hadapan membantu adik-adik Muslimah saya memecahkan tembok permasalahan yang mereka hadapi ketika belajar. Saya pernah bergelar pelajar seperti mereka malah hingga sekarang saya masih bergelar pelajar, pasti saya faham apa yang terbuku di jiwa mereka. Saya juga faham apa sebenarnya yang mereka risaukan dan apa yang mereka inginkan ketika belajar. Maka tidak salah saya memberikan sedikit pencerahan kepada mereka terhadap kekeliruan yang mereka tidak mampu suarakan lebih-lebih lagi kepada pensyarah mereka sendiri"

Saya senyum lalu berkata: "Jadi, apalah salahnya jika saya memperuntukkan sedikit ruang dan masa untuk bersama-sama mereka? Saya tidak rugi apa-apa."

Akhirnya saya membuat keputusan untuk membuka sesi perkongsian dengan adik-adik Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah (akhawat) yang terdiri dari pelajar sarjanamuda (tahun 1-3) dan ada juga pelajar sarjana (Master). Ia diadakan di bilik kolej saya dengan tidak mengenakan sebarang bayaran. Pada minggu ini saya adakan satu slot khas untuk mereka yang berminat mengetahui cara untuk 'Menjejaki Bahan Rujukan al-Quran dan al-Hadith Menerusi Internet'. Respon dari mereka, Alhamdulillah. Saya rasa 'hidup' bila dapat berkongsi ilmu dan saya rasa bahagia tatkala melihat adik-adik jabatan saya gembira dan tersenyum ceria.


Lalu saya katakan pada diri saya bahawa sesi ini tidak boleh berhenti di sini sahaja =) 

Saya akan bertemu mereka lagi di sesi akan datang dengan perkongsian yang lebih membuatkan mereka gembira dan ceria tatkala melalui kehidupan bergelar pelajar sarjanamuda dan sarjana. Moga Allah s.w.t permudahkan segalanya.

Hingga di sini sahaja penulisan saya kali ini. Insya Allah, kita bertemu lagi di penulisan akan datang.

Salam dari saya di bumi UKM =)

0 Comments:

Post a Comment