29 April, 2012

Aku masih ingat tatkala aku berendam airmata, 
tidurku tidak lena,
jiwaku sebak tidak terkata,
aku mengharapkan insan yang menyakitiku menghubungi 
walau untuk mengucapkan kata "Maafkan saya"
Pada waktu itu, 
aku tidak mahu mendengar apa jua penjelasan darinya
tapi cukuplah jika dia dapat mendengar tangisanku yang beraja di jiwa.

Tapi sayangnya...........insan itu hanya sepi seribu bahasa
hanya khidmat pesanan ringkas diberikan 
itupun untuk membela dirinya.

Aku kecewa dengan sikapnya....
Aku memang kecewa.

Subuhku bangun dengan bengkak di hati dan mata
aku masih mengharapkan insan itu menghubungiku untuk bertanya
tapi...aku hampa.

Telefon bimbitku berbunyi.......
Tertera nama seorang teman 
Aku menjawab panggilan itu.

Soalan pertama yang diajukannya kepadaku:
"Ustazah, ok tak?"

Sungguh aku memang tidak dapat menahan tangis!
hanya kedengaran dariku adalah esakan dan tangisan
dia dengan sabar mendengar tangisan itu....
tanpa sebarang bicara.

Ya Allah, saat itu....
Baru kutahu, yang mana teman yang mana sahabat
Insan yang aku sayang selama ini sebagai seorang sahabat 
rupanya hanya seorang teman
tetapi
insan yang aku sayang sebagai seorang teman 
rupanya adalah seorang sahabat.

Aku sedar, insan yang kunanti panggilannya itu bukan sahabat
Dia hanya teman.

Seorang sahabat adalah mereka yang mengerti apa yang ada di sebalik jiwamu
dan sudi mendengar walau hanya tangisanmu.

Aku rindu sahabat itu
Biar jauh di mata
Tapi dekat di hati.

Terima Kasih, Sahabat
kerana menguatkan semangat
agar aku terus-terusan menjadi seorang hamba yang taat
dan memaafkan kesalahan insan di setiap saat.

25 April, 2012

Pernahkah kita berjalan sendiri tanpa mengetahui arah yang hendak dituju? 

Dengan deraian airmata kita berjalan lemah. Berjalan dan terus berjalan mengikut langkah kaki. Kita tiba di satu tempat yang jauh dari orang ramai kemudian kita duduk di tempat itu bukan kerana kepenatan tetapi  melayan perasaan yang terbungkam di jiwa. Airmata yang mengalir memang tidak dapat ditahan-tahan dan kita juga tidak mahu menahan air mata itu. Kita biarkan ia mengalir semahunya dan sederas-derasnya. Pada waktu itu, kita rasa ingin pergi jauh dari semua orang yang mengenali diri kita. Kita yakin tiada siapa yang akan memahami apa yang tersembunyi di sebalik hati walaupun orang itu adalah seorang kaunselor yang bertauliah. Kita buntu. Lalu kita berbisik: "Ya Rabb, ke mana harus aku pergi? Hamba mohon kekuatan".

Ada pada suatu ketika pula kita merasa terlalu sedih dengan apa yang dihadapi. Air mata mengalir tanpa dipaksa-paksa. Lalu kita mengambil keputusan duduk di tepi katil atau atas katil atau di salah satu penjuru bilik kemudian kita menangis semahunya dengan mengeluarkan esakan demi esakan syahdu. Kita duduk sambil merapatkan kedua kaki kita ke dada lalu membenamkan wajah ke lutut  yang dibaluti baju. Kita merangkul kedua kaki itu dengan erat kerana tidak dapat menahan kesedihan dan esakan. Sungguh, kita  amat mengharapkan ada yang hadir memeluk kita demi memberikan sedikit semangat tetapi kita tahu itu adalah mustahil. Lalu kita hanya mampu memeluk tubuh sendiri dengan erat bahkan teramat erat untuk menguatkan diri sambil beristighfar kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya.

Saya tahu tentu ada yang terkesan dengan kedua-dua situasi yang saya sebutkan di atas. 
Mungkin atau memang anda pernah melalui situasi seperti itu. Bukan sekali tetapi berkali-kali.

Adakah anda sedang mengimbas kembali semua detik-detik itu?
Detik-detik yang amat meruntun jiwa dan menghilangkan selera serta menghapuskan ceria?

......................................

SENYUMLAH, WAHAI SAUDARIKU

Kita tidak bersendirian dalam situasi itu kerana ramai insan-insan seperti kita yang dirudung kesedihan dan kesayuan. Bahkan lebih buruk dari itu. Maka usahlah kita merasa kita adalah manusia paling malang di dunia. Saya faham bahawa situasi itu amat memilukan dan menyakitkan bahkan ia akan menjadi sebahagian dari sejarah hidup yang tidak boleh diubah bahkan tak mampu dibuang dalam diari kehidupan. 

Tetapi percayalah ia hanya sedikit ujian yang Allah s.w.t hadiahkan kepada kita agar kita merasai betapa kebergantungan kepada Allah s.w.t adalah yang paling UTAMA dalam hidup kita. Tatkala itu tiada siapa yang dapat meredakan kesedihan dan kesugulan jiwa yang terlalu penuh dengan sendu itu. Tiada siapa yang akan fahami apa yang sedang kita hadapi. Dan selalunya, pada waktu itu dalam fikiran dan jiwa kita  yang ada hanyalah ALLAH!

Pada waktu itu, kita tidak menyebut nama mak, abah, suami atau teman-teman tetapi yang ada dibibir kita hanya YA ALLAH, YA ALLAH dan YA ALLAH. Kita ulang dan ulang menyebutnya tanpa jemu sehingga kita sendiri tidak dapat terhitung jumlah sebutan tersebut.

JIKA TERLUPA

Jika terlupa, izinkan saya mengingatkan. 

Mungkin kita terlupa betapa pilu dan hibanya baginda Ya'qub a.s tatkala kehilangan puteranya Yusuf a.s sehingga baginda mengucapkan:

إِنَّمَا أَشْكُو بَثِّي وَحُزْنِي إِلَى اللَّهِ 

Maksudnya: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah.." [Yusuf:86]

Mungkin juga kita terlupa pada deraian airmata Nabi Yunus a.s tatkala berada di kegelapan perut ikan Nun. Dengan penuh kesedihan dan keinsafan baginda memohon ampun kepada Allah s.w.t sambil berdoa:


 لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri" [al-Anbiya':87].

Bagaimana pula dengan Nabi Ayyub a.s? Lupakah kita betapa sabarnya baginda menghadapi ujian demi ujian. Dari kehilangan harta, anak-anak sehinggalah baginda ditimpa dengan penyakit yang mengakibatkan baginda disisihkan oleh masyarakat sekelilingnya? Pada waktu itu, baginda pun berdoa dan merayu kepada Allah s.w.t:

أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

Maksudnya: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani".

Dan usah pula kita lupa bagaimana sayunya baginda Nabi Muhammad s.a.w tatkala anaknya Ibrahim menghembuskan nafasnya yg terakhir. Pada saat itu,  mengalir air mata baginda lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya mata ini menitiskan air mata dan hati ini bersedih, (namun) kami tidak akan mengatakan kecuali apa yang diredhai oleh Tuhan kami. Dan sesungguhnya kami merasa sedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim" (H.R al-Bukhari dalam kitab Sahihnya).

MEREKA ADALAH UTUSAN ALLAH, wahai saudariku. 

Mereka juga menghadapi kesedihan dan mengalirkan airmata syahdu. Justeru siapalah kita untuk terlepas dari ujian ini. Kita hanyalah hamba Allah yang tidak ma'sum bahkan terlalu banyak melakukan dosa, lantas untuk apa dipertikaikan hadirnya sebuah ujian yang mencengkam jiwa? Sedangkan ujian-ujian itu adalah ruang untuk menghapuskan dosa sebagaimana sabda baginda Nabi s.a.w dalam sebuah hadith sahih yang bermaksud:

“Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahaan, kesedihan, gangguan dan kegelisahan sehinggalah duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian dari dosa-dosanya”(HR al-Bukhari, No 5514).

MARI KITA FIKIRKAN BERSAMA

Tatkala kita berjalan dengan hanya mengikut langkah kaki tanpa arah tujuan kerana melayan perasaan sedih, Alhamdulillah kita masih mampu meneruskan kehidupan kita hingga saat ini. Kemudian bila kita menangis teresak-esak sendirian dan terpaksa memeluk tubuh sendiri untuk memberikan kekuatan pada diri, Alhamdulillah.....hari ini kita masih mampu tersenyum dan merasa bahagia. Dan apabila ia berlaku berulang-ulang kali kepada kita, Alhamdulillah kita berjaya melepasi dan mengatasi perasaan dan situasi itu. 


Bukankah itu menunjukkan kita adalah HEROIN dalam filem kehidupan kita? 

Walau tanpa pengarah, walau tanpa video kamera hatta walau tanpa peminat sekalipun, kita tetap berjaya menjadi seorang HEROIN =)

Anda, saya dan kita semua adalah heroin kerana berjaya menghadapi ujian dengan hati penuh sabar dan redha!

Tahniah kerana ANDA adalah MUSLIMAH YANG HEBAT DAN MENAKJUBKAN!.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Amat menakjubkan keadaan seorang mukmin, sesungguhnya semua keadaannya adalah baik belaka. Ini tidak berlaku kecuali kepada seorang mukmin. Sekiranya dia dikurniakan kesenangan dia akan bersyukur dan ini baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa kesusahan pula dia akan bersabar dan ini juga baik untuknya.'(H.R Muslim)

23 April, 2012

13 April, 2012

Adik-adik Muslimahku,
Dalam hati ini ada selautan kasih untukmu
Dari kasih ini kubentuk sebuah harapan
Kuhiasi ia dengan persahabatan
Untuk melihatmu sebagai pejuang Islam.

Jangan sekali kau berundur dari dakwah ini
kerana takut dengan cacian manusia
Jangan sekali kau buang dakwah ini
Hanya kerana mencari redha manusia. 

Pesanan dariku yang kau panggil KAKAK dan USTAZAH.

04 April, 2012

Bismillah

Saya melihat kalendar. 4 April 2012.

Sudah dua bulan saya memulakan pengajian Doktor Falsafah. Dua bulan juga saya berada di bumi UKM dan persekitarannya. Alhamdulillah, keadaan saya di sini baik. Saya mendapat tempat penginapan yang dekat dengan Fakulti dan tidak berapa jauh juga dari perpustakaan. Cuma masalah sedikit dari sudut makanan lantaran bagi saya kafe di tempat penginapan ini tidaklah menyediakan makanan yang agak menyelerakan saya. Atas sebab itu, saya selalu memilih untuk makan di kafe canselori yang terletak bersebelahan dengan fakulti. Saya senyum. Biasalah, kita tak akan dapat semua yang kita suka dan inginkan. Maka bersyukurlah =)

HANYA SATU SUBJEK

Untuk pengajian kali ini agak berbeza dengan pengajian saya yang lepas. Kali ini saya hanya perlu menghadiri satu subjek sahaja iaitu Kaedah Penyelidikan. Seharusnya saya tidak perlu menghadiri kuliah ini dan boleh dikecualikan tetapi kerana kod subjek lepas yang saya duduki semasa sarjanamuda dahulu sudah berubah  [isi kandungan kuliah juga turut berubah], maka saya tidak mempunyai pilihan melainkan untuk hadir ke kuliah tersebut. Apapun, ia amat baik untuk saya agar saya lebih jelas tentang metodologi penyelidikan di peringkat Doktor Falsafah.  Walau di setiap buku memperkatakan perkara yang sama tentang metodologi penyelidikan tapi di sana tetap ada perbezaannya untuk setiap peringkat pengajian. Justeru, penyelidikan di peringkat Doktor Falsafah tidak sama sebagaimana penyelidikan di peringkat Sarjana. Sungguh, untuk ini saya perlu lebih bekerja keras agar saya faham tentang perbezaannya dan tidak terikut-ikut dengan gaya penulisan saya semasa di peringkat sarjana.

SEMINAR SERANTAU MAQASID AL-QURAN 2012


Semester ini saya terlibat sebagai pembentang utama Seminar Maqasid al-Quran 2012. Seminar yang diadakan julung-julung kalinya oleh Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM dengan kerjasama Darul Quran Singapura amat menyenangkan hati saya. Akhirnya hasrat saya untuk melihat Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah mengorak langkah keluar dari bumi Malaysia tercapai juga. Lebih menyenangkan ia diadakan di bumi tempat tumpah darah sendiri dan seminar berlangsung di Darul Quran Singapura tempat bertautnya kasih antara saya dan suami. Alhamdulillah, usaha saya memperkenalkan Darul Quran Singapura kepada Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, UKM pada tahun 2010 merupakan usaha dan langkah yang bijak. Harapan saya, moga kedua-dua buah institusi ini dapat terus bekerjasama dalam mengendalikan program-program ilmiah dan menjadikannya sebagai satu usaha dakwah bagi mendekatkan lagi masyarakat Islam kepada al-Quran dan al-Sunnah dan seterusnya memotivasikan mereka untuk beramal dengan kedua-duanya.

PROPOSAL

Sudah masuk kali ketiga saya menukar tajuk kajian. Untuk tajuk ketiga ini, saya sedang berusaha mengumpulkan sebanyak mungkin bahan bacan dan rujukan terutamanya jurnal dan tesis yang berkaitan dengan tajuk saya. Apa tajuknya? Ermmm, rasanya belum masanya untuk saya maklumkan kepada semua =) Jika pembentangan proposal untuk tajuk ini berjaya dan diluluskan, Insya Allah saya akan banyak menulis mengenainya. 

"ITULAH KAK SAKINAH, KAKAK PHD DARI SINGAPORE"

Memandangkan saya hanya mempunyai satu subjek sahaja dalam seminggu dan kerja saya setiap hari hanya ke perpustakaan dan menatap laptop mencari bahan untuk kajian literatur, kebosanan memang tidak segan silu bertamu. Saya jadi resah kerana tidak menyampaikan ilmu. Saya seolah-olah rasa mati kerana menjadi orang yang tidak 'memberi'. Lalu saya pun berkata pada diri saya: 

"Apa guna saya duduk di UKM, sebagai seorang kakak senior tetapi saya hanya duduk menyendiri dan berdiam diri tanpa sedikit pun mahu membantu adik-adik sejabatan saya yang memerlukan bantuan dari sudut perasaan dan pembelajaran? Adakah saya hanya mahu dikenali sebagai "Itulah Kak Sakinah, kakak PHD dari Singapore?"  

Dan saya berkata lagi:

"Dengan pengalaman saya yang sudah 'masak' dengan dunia pembelajaran sedari peringkat sarjanamuda dan sarjana, saya seharusnya ke hadapan membantu adik-adik Muslimah saya memecahkan tembok permasalahan yang mereka hadapi ketika belajar. Saya pernah bergelar pelajar seperti mereka malah hingga sekarang saya masih bergelar pelajar, pasti saya faham apa yang terbuku di jiwa mereka. Saya juga faham apa sebenarnya yang mereka risaukan dan apa yang mereka inginkan ketika belajar. Maka tidak salah saya memberikan sedikit pencerahan kepada mereka terhadap kekeliruan yang mereka tidak mampu suarakan lebih-lebih lagi kepada pensyarah mereka sendiri"

Saya senyum lalu berkata: "Jadi, apalah salahnya jika saya memperuntukkan sedikit ruang dan masa untuk bersama-sama mereka? Saya tidak rugi apa-apa."

Akhirnya saya membuat keputusan untuk membuka sesi perkongsian dengan adik-adik Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah (akhawat) yang terdiri dari pelajar sarjanamuda (tahun 1-3) dan ada juga pelajar sarjana (Master). Ia diadakan di bilik kolej saya dengan tidak mengenakan sebarang bayaran. Pada minggu ini saya adakan satu slot khas untuk mereka yang berminat mengetahui cara untuk 'Menjejaki Bahan Rujukan al-Quran dan al-Hadith Menerusi Internet'. Respon dari mereka, Alhamdulillah. Saya rasa 'hidup' bila dapat berkongsi ilmu dan saya rasa bahagia tatkala melihat adik-adik jabatan saya gembira dan tersenyum ceria.


Lalu saya katakan pada diri saya bahawa sesi ini tidak boleh berhenti di sini sahaja =) 

Saya akan bertemu mereka lagi di sesi akan datang dengan perkongsian yang lebih membuatkan mereka gembira dan ceria tatkala melalui kehidupan bergelar pelajar sarjanamuda dan sarjana. Moga Allah s.w.t permudahkan segalanya.

Hingga di sini sahaja penulisan saya kali ini. Insya Allah, kita bertemu lagi di penulisan akan datang.

Salam dari saya di bumi UKM =)