30 March, 2012

Ingin sahaja aku pergi jauh
menyendiri mencari suasana baru
pada tempat yang tiada mengenali
mencari kasih dan teman sejati.

Ucapan dan kata manis dulu
Kini hempedu
Ku buat-buat ia manis laksana madu
Ku ukir senyum walau hati berirama syahdu.


Hatiku memang sudah terlalu luka
Setiap hari berairmata
Usaha terus kuhalau duka
Menanti ceria bertamu pula.

Katamu aku insan mulia
Perlu memaafkan kerana ada alasan
Tapi kamu juga sebagai insan mulia
Mengapa sanggup mengabaikan perasaan.


Parut luka dulu belum lagi hilang
Ku mohon usah ditambah kesengsaraan
Syukur hatiku masih ada sayang
Pada insan yang terlalu banyak kebaikan
Pada insan yang telah mendidikku menjadi seorang insan.

Ya Rabb,
Berbekalkan kasih dan sayang  ini,
Hamba mohon kekuatan.....

11 March, 2012


Saya terbaca kembali kiriman saya bertarikh 25 Februari 2008. Ia adalah sesuatu yang baik untuk dikongsikan semula. Moga ia menjadi satu renungan yang bukan sekadar untuk direnung.

******************************************************************

Sepatutnya saya sudah dibuai mimpi pada waktu ini, tetapi keinginan saya untuk mencoretkan apa yang terbuku di jiwa saya lebih kuat dari keinginan saya untuk berada di atas katil. Apa yang saya lihat dan saksikan sebentar tadi terlalu mendesak saya untuk duduk di depan komputer ini walau saya sepatutnya perlu berehat untuk persediaan kelas memandu pada esok pagi.

Sebenarnya saya baru sahaja pulang dari Mesyuarat Agong Tahunan Jannah ke-5 (Kelab Jabatan al-Quran dan al-Sunnah). Di sana saya menyaksikan siswa dan siswi yang hebat-hebat dalam hal kepimpinan. Mereka berani dalam berhujjah dan mereka lantang menyuarakan persoalan, cadangan dan pandangan sehinggakan apa sahaja yang terkandung di dalam minit mesyuarat dipersoalkan walaupun kemusykilan mengenai kewujudan angka lima sen pada laporan kewangan Kelab. Kagumnya saya! Mereka terlalu peka dan mereka terlalu inginkan ketelitian di dalam soal kepimpinan.



Namun begitu hati saya tiba-tiba menjadi tawar. Apa yang saya lihat sukar untuk saya percaya sebenarnya. Ini kerana suasana bertukar pendapat dan mementingkan ketelitian itu tidak wujud di dalam sesi pembelajaran yang berlangsung baik di dalam dewan kuliah mahupun perbincangan tutorial.Wajah-wajah berani menyuarakan pendapat dan pandangan kadangkalanya adalah manusia berat mulut di dalam sesi perbincangan ilmiah, lebih-lebih lagi apabila diterjah oleh pensyarah dengan persoalan demi persoalan. Saya menjadi pelik. Adakah dunia kepimpinan dan pembelajaran merupakan dua situasi yang berbeza sedangkan keduanya menuntut perbincangan dan penukaran fikrah di antara satu sama lain?

Antara Perbincangan Ilmiah dan Mesyuarat Persatuan

Bila saya amati perbincangan ilmiah kelihatan lebih hambar dan lebih tidak bermaya jika hendak dibandingkan dengan perbincangan di dalam mesyuarat persatuan. Di dalam kuliah dan tutorial, siswa dan siswi lebih banyak mendengar dan berdiam diri. Apabila ditanya pendapat, lambat sekali untuk memberikan respon dan apabila didesak baru ada yang bersuara tetapi itupun masih di dalam keadaan yang tidak berkeyakinan. Akibatnya perbincangan di dalam bilik tutorial dan dewan kuliah seringkali membuatkan jiwa-jiwa yang menghadirinya seolah-olah tidur tetapi matanya celik dan pada kebanyakan waktu kepala mereka mengangguk tanda faham tetapi sebenarnya anggukan itu tidak memberikan apa-apa erti kefahaman.

Bukan Anti Berpesatuan dan Anti Aktiviti Luar bilik Kuliah/Tutorial

Situasi ini menyebabkan saya menyoal diri sendiri, perbincangan mana yang lebih penting, persatuan atau pembelajaran? Saya bukan anti pada persatuan. Ini kerana pada satu ketika dahulu saya merupakan ketua pengawas di Madrasah Alsagoff al-Arabiah Singapura dan seterusnya menjadi insan yang bertanggungjawab dalam menubuhkan Persatuan Muraqibah Umum (PMU) yang kini bertukar nama kepada Prisma (saya tidak berapa pasti dengan ejaannya). Seterusnya ketika menuntut di Maahad Tahfiz Melaka saya merupakan naib ketua unit pendidikan Majlis Perwakilan Pelajar dan juga bertanggungjawab mengendalikan program kelas asas Tahfiz untuk kanak-kanak. Maknanya saya bukan manusia asing dalam dunia persatuan. Begitu juga saya bukan anti pada aktiviti luar kuliah dan tutorial. Buktinya, semasa saya berjuang menuntut ilmu selama 10 tahun di Madrasah Alsagoff saya banyak terlibat dengan aktiviti atas pentas dan saya juga tersenarai sebagai salah seorang pembahas madrasah pada pertandingan bahas antara sekolah-sekolah menengah di Singapura. Semasa di Maahad pula saya banyak terlibat dengan ta’lim, tazkirah, usrah dan juga pernah dihantar oleh Maahad untuk memberikan ceramah di sekolah rendah dan menengah di Melaka. Saya nyatakan semua ini bukan untuk mendabik dada menunjukkan kehebatan saya tetapi saya ingin pembaca mengetahui bahawa saya bukan pelajar anti berpesatuan dan anti pada dunia aktif. Sungguh pada satu masa (tidak silap saya ketika saya di tahun 2) saya pernah berkecil hati dengan seseorang apabila dia mengatakan bahawa dia memandang rendah terhadap saya kerana hanya cemerlang di dalam akademik tetapi tidak pada yang lain. Mmmm..usah memandang rendah pada saya dengan sebarangan dan usah mudah memandang rendah pada orang lain. Hebat sangat kah diri kita? Sedangkan apa sahaja yang kita punyai hanyalah milik Allah semata, kita tidak mempunyai apa-apa. Kita kosong sebenarnya!

Mana yang Lebih Penting?

Berbalik pada persoalan: Mana yang lebih penting? Jika bertanya pada saya tentu sahaja pelajaran menjadi pilihan hati saya. Ramai yang masuk universiti tetapi masih tidak faham tentang ilmu yang dipelajari setakat belajar untuk menduduki peperiksaan, mendapat keputusan, kemudian menggenggam segulung ijazah. Itulah satu bentuk pemikiran tentang belajar yang sudah menjadi penyakit dalam diri mahasiwa/wi. Saya tidak bimbang jika penyakit ini menular di kalangan pelajar fakulti bukan Islam. Tetapi yang membimbangkan saya apabila mahasiswa/wi Fakulti Pengajian Islam ramai yang mempunyai penyakit ini. Ramai yang kurang berkemahiran dalam bahasa Arab dan ilmu nahu walaupun yang asas, tidak kurang juga yang masih lemah dalam pembacaan al-Quran begitu juga dalam memahami teks Arab. Satu keadaan yang diketahui oleh diri mereka sendiri tetapi hanya dipandang sebelah mata. Sebabnya masa lapang yang ada tidak diperuntukan untuk membaiki kelemahan tetapi lebih kepada aktiviti persatuan dan yang lain-lainnya. Malah kadangkala kepentingan pada persatuan lebih aula dari duduk menelaah kitab. Ramai antara kita yang sanggup bersengkang mata untuk persatuan dan perkara-perkara lain tetapi tidak mampu duduk hingga subuh hari untuk pelajaran. Kita mudah mengalah dalam perkara yang melibatkan pembelajaran tetapi tidak mudah mengalah dalam perkara yang lain. Di mana silapnya? Jelas, terlalu banyak yang perlu kita muhasabahkan dalam diri kita untuk direnungi lalu mentajdid niat untuk apa kita berada di laluan ilmu ini.

Muhasabah Diri

“Ya Allah aku tidak mahu berada di sini untuk menerima pujian, sanjungan, penghargaan dan anugerah semata-mata, apatah lagi memegang tampuk kepimpinan kerana aku mengerti bahawa ia bukan calang-calang tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh hikmah dan amanah, yang aku mahu adalah ilmu yang menghasilkan kebijaksanaan, hikmah dan kepakaran dalam membantu agama Mu. Lantas masaku adalah untuk ilmu. Moga dengan ilmu itu aku menjadi manusia yang lebih terpimpin dalam melaksanakan usaha dakwah untuk memimpin orang lain.”

Ketahuilah, kepimpinan itu bukan hanya terserlah pada persatuan dan organisasi malah kepimpinan itu lebih terserlah apabila jiwa dan fikrah kita terpimpin dengan ilmu dan akhlak diri yang berasaskan al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Pemimpinkah kita, andai apa yang penting (belajar dengan tekun dan fokus) menjadi seolah perkara sampingan? Jangan buat-buat lupa, belajar juga adalah satu amanah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat sana. Wallahua’lam.

Selesai penulisan pada Jam 2.30 pagi
25 Januari 2008