17 January, 2012

Sebagai pemilik Iphone, pernahkah anda bertanya apakah aplikasi yang terbaik seharusnya anda miliki untuk Iphone anda? 


Selain dari aplikasi Facebook, Twitter, Skype, Yahoo Messenger, Tumblr, Blogger dan sebagainya, apakah aplikasi Iphone yang perlu untuk anda senaraikan sebagai aplikasi terpenting yang mampu membantu dalam pengajian, pembelajaran bahkan juga pengajaran yang berkaitan dengan pengajian Islam. Maka pada penulisan saya kali ini, suka untuk saya berkongsi dengan anda beberapa aplikasi Iphone yang perlu untuk dimiliki oleh pelajar dan tenaga pengajar pengajian Islam. 


1- al-Mushaf

Aplikasi al-Quran yang bukan ditaip semula tetapi sama sebagaimana helaian mashaf anda.




2- Tafsir al-Quran

Mengandungi Tafsir al-Tabari, Ibn Kathir dan al-Qurtubi. Versi percuma hanya memuatkan tafsir dari juz 30 sahaja. Jika anda inginkan tafsir yang lengkap untuk keseluruhan al-Quran anda perlu membelinya dengan harga $4.99.



3- Hadith 40

Aplikasi ini mempunyai terjemahan hadithnya dalam bahasa Inggeris, Indonesia dan Perancis.


4- Kitab Syarah Hadith 40

Kitab Syarah hadith 40  oleh Syaikh Ibn Uthaimin.


5- Takhrij al-Hadith

Anda ingin mencari status sesuatu hadith di laman dorar.net tetapi tidak berada di hadapan laptop? Jangan bimbang kerana laman dorar.net mempunyai aplikasi mencari status hadith di Iphone.



6- Hadith-Hadith yang Tidak Sahih

Aplikasi 'Ghair al-Shahihah' merupakan aplikasi yang memuatkan hadith-hadith yang tidak sahih. Walaupun pengisiannya agak ringkas dan kadangkala tanpa sebarang penerangan tetapi ia tetap mampu memberi manfaat bagi yang menginginkan satu aplikasi hadith dhaif dan maudu' yang mudah dan ringkas. 


7- Maktabati

Maktabati adalah aplikasi yang menghimpunkan pelbagai judul kitab dalam bahasa Arab. Kitab-kitab disenaraikan mengikut bidang-bidang tertentu contohnya Fiqh dan Aqidah, al-Quran al-Karim wa Ulumuhu, bahasa Arab dan sebagainya. Kitab yang ingin dibaca perlu dimuat turun terlebih dahulu. Namun begitu, tidak kesemua kitab-kitab yang disenaraikan adalah percuma. 


8- Tanya Ustadz

Tanya ustadz merupakan aplikasi soal jawab permasalahan sehari-hari yang ditinjau dari perspektif  syariat Islam. Pada pandangan saya, kemungkinan aplikasi ini adalah satu-satunya aplikasi konsultasi syariah yang dihasilkan dalam bahasa Indonesia. Artikel-artikel yang berupa jawapan kepada persoalan yang diajukan banyak membantu dalam memberikan pencerahan kepada pelbagai persoalan yang melingkari kehidupan masyarakat Islam.



Itulah 8 aplikasi Iphone berkenaan bahan bacaan dan rujukan Islam yang dapat saya senaraikan. Perlu untuk saya nyatakan bahawa di sana terdapat banyak lagi aplikasi di Apps store samada secara percuma atau berbayar yang boleh anda dapatkan dan manfaatkan untuk pengajian anda. Gunakanlah Iphone anda sebagai alat bantu untuk ilmu dan dakwah bukan setakat sebagai alat untuk berkomunikasi, bersosial dan berhibur.

Akhir sekali, Insya Allah, di lain kesempatan saya akan berkongsi dengan anda apakah aplikasi yang boleh membantu anda membaca nota, menaip tugasan dan nota kuliah, menguruskan jadual kerja dan belajar, serta aplikasi yang dapat membantu anda menyalin buku-buku yang tidak dapat anda bawa keluar dari perpustakaan.

Sekian, Wassalam.

0 Comments:

Post a Comment