17 January, 2012

Sebagai pemilik Iphone, pernahkah anda bertanya apakah aplikasi yang terbaik seharusnya anda miliki untuk Iphone anda? 


Selain dari aplikasi Facebook, Twitter, Skype, Yahoo Messenger, Tumblr, Blogger dan sebagainya, apakah aplikasi Iphone yang perlu untuk anda senaraikan sebagai aplikasi terpenting yang mampu membantu dalam pengajian, pembelajaran bahkan juga pengajaran yang berkaitan dengan pengajian Islam. Maka pada penulisan saya kali ini, suka untuk saya berkongsi dengan anda beberapa aplikasi Iphone yang perlu untuk dimiliki oleh pelajar dan tenaga pengajar pengajian Islam. 


1- al-Mushaf

Aplikasi al-Quran yang bukan ditaip semula tetapi sama sebagaimana helaian mashaf anda.




2- Tafsir al-Quran

Mengandungi Tafsir al-Tabari, Ibn Kathir dan al-Qurtubi. Versi percuma hanya memuatkan tafsir dari juz 30 sahaja. Jika anda inginkan tafsir yang lengkap untuk keseluruhan al-Quran anda perlu membelinya dengan harga $4.99.



3- Hadith 40

Aplikasi ini mempunyai terjemahan hadithnya dalam bahasa Inggeris, Indonesia dan Perancis.


4- Kitab Syarah Hadith 40

Kitab Syarah hadith 40  oleh Syaikh Ibn Uthaimin.


5- Takhrij al-Hadith

Anda ingin mencari status sesuatu hadith di laman dorar.net tetapi tidak berada di hadapan laptop? Jangan bimbang kerana laman dorar.net mempunyai aplikasi mencari status hadith di Iphone.



6- Hadith-Hadith yang Tidak Sahih

Aplikasi 'Ghair al-Shahihah' merupakan aplikasi yang memuatkan hadith-hadith yang tidak sahih. Walaupun pengisiannya agak ringkas dan kadangkala tanpa sebarang penerangan tetapi ia tetap mampu memberi manfaat bagi yang menginginkan satu aplikasi hadith dhaif dan maudu' yang mudah dan ringkas. 


7- Maktabati

Maktabati adalah aplikasi yang menghimpunkan pelbagai judul kitab dalam bahasa Arab. Kitab-kitab disenaraikan mengikut bidang-bidang tertentu contohnya Fiqh dan Aqidah, al-Quran al-Karim wa Ulumuhu, bahasa Arab dan sebagainya. Kitab yang ingin dibaca perlu dimuat turun terlebih dahulu. Namun begitu, tidak kesemua kitab-kitab yang disenaraikan adalah percuma. 


8- Tanya Ustadz

Tanya ustadz merupakan aplikasi soal jawab permasalahan sehari-hari yang ditinjau dari perspektif  syariat Islam. Pada pandangan saya, kemungkinan aplikasi ini adalah satu-satunya aplikasi konsultasi syariah yang dihasilkan dalam bahasa Indonesia. Artikel-artikel yang berupa jawapan kepada persoalan yang diajukan banyak membantu dalam memberikan pencerahan kepada pelbagai persoalan yang melingkari kehidupan masyarakat Islam.



Itulah 8 aplikasi Iphone berkenaan bahan bacaan dan rujukan Islam yang dapat saya senaraikan. Perlu untuk saya nyatakan bahawa di sana terdapat banyak lagi aplikasi di Apps store samada secara percuma atau berbayar yang boleh anda dapatkan dan manfaatkan untuk pengajian anda. Gunakanlah Iphone anda sebagai alat bantu untuk ilmu dan dakwah bukan setakat sebagai alat untuk berkomunikasi, bersosial dan berhibur.

Akhir sekali, Insya Allah, di lain kesempatan saya akan berkongsi dengan anda apakah aplikasi yang boleh membantu anda membaca nota, menaip tugasan dan nota kuliah, menguruskan jadual kerja dan belajar, serta aplikasi yang dapat membantu anda menyalin buku-buku yang tidak dapat anda bawa keluar dari perpustakaan.

Sekian, Wassalam.

04 January, 2012

Teringat ada seorang peserta seminar buat kecoh semasa saya membuat pembentangan di KUIS pada tahun 2010. 


Setiap slaid yang saya bentangkan dipermain-mainkan sehinggalah seorang pensyarah bertanya sesuatu kepadanya dengan perlahan lalu dia pun menjawab dengan kuatnya:


 "Eh, Sakinah Saptu! Siapa tak kenal!!!" 


Fuhh...masa tu, saya kata: "Ya Allah...siapakah hambamu itu? Adakah saya mengenali dia?" 


Muka saya merah. Malu dengan semua yang hadir di dalam dewan seminar itu. 


Terdiam sebentar. Mencari kekuatan. 


Kemudian saya senyum dan meneruskan pembentangan. 


Tapi, ketahuilah..ia seperti mimpi ngeri kerana saya bimbang orang akan mengatakan: "Mungkin lelaki itu ada masalah peribadi dengan saya". 


Apapun, ia adalah satu pengalaman yang berharga untuk saya dan bila teringat kembali rasa ingin ketawa pula. 


Hai..macam-macam perangai manusia ni,ya? =)

02 January, 2012

Bismillah wassolatu wassalamu 'ala rasuulillah

1.32 pagi.

Sudah 2 Januari 2012. Masa sememangnya terlalu cepat berlalu. Kadangkala sukar untuk saya percaya bahawa tahun 2012 sudah membuka tirainya. Tahun 2011 pula berlalu dengan pelbagai peristiwa yang banyak mengubah kehidupan saya.

AWAL TAHUN 2011

Awal tahun 2011 agak berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya kerana saya pada waktu itu berada di bumi Sepanyol dan sekitar Andalusia. Keberadan saya di bumi Granada dan menyaksikan al-Hambra dengan kedua mata saya sendiri adalah pengalaman yang cukup berharga dan bermakna.






INSTITUT PENGAJIAN TINGGI AL-ZUHRI & K10

Pulang dari Sepanyol saya mendapat tawaran sebagai pensyarah sepenuh masa di Institut Pengajian Tinggi al-Zuhri untuk satu semester. Namun saya terpaksa berundur dari situ lebih awal kerana perlu menduduki  peperiksaan lisan (viva) untuk penulisan disertasi Master saya. Peletakan jawatan saya sebagai pensyarah sepenuh masa dari Institut tersebut mengundang airmata para pelajarnya (Para pelajar K10) yang bukan airmata biasa. Perit dan sakit saya melihat tangisan mereka apatahlagi merasa hangatnya pelukan demi pelukan dari pelajar perempuannya. Saat itu Allah s.w.t sahaja yang tahu perasaan saya. Saya akhirnya akur, memang saya begitu, seringkali datang dan pergi dalam kehidupan orang-orang yang mengenali dan baru mengenali saya. Saya tahu ia MENYAKITKAN, tetapi perpisahan itu perlu bagi mencetus RINDU.






LULUS UJIAN LISAN (VIVA) MASTER

Berbalik pada viva saya, Alhamdulillah saya lulus dan saya mengambil masa sebulan untuk memperbaiki tesis di bumi UKM walau sebenarnya masa yang diberikan kepada saya adalah 3 bulan. Semasa menghabiskan masa selama sebulan lebih di UKM, kebanyakan pensyarah saya memberikan semangat kepada saya agar meneruskan pengajian ke peringkat Phd. Antara pesanan yang paling membekas ialah pesanan dari Prof Madya Dr Ismail Yusoff. Katanya: "Anti masih muda. Sekarang dah ada Master. Sambung terus. Jangan berhenti. Banyak manfaatnya. UNTUK ILMU"






KEPUTUSAN MELANJUTKAN PENGAJIAN

Namun, sukar untuk saya membuat keputusan pada waktu itu sedangkan tarikh untuk saya menghantar borang permohonan Phd hanya berbaki seminggu sahaja lagi. Saya pada waktu itu perlu mempertimbangkan banyak perkara terutamanya tentang suami, keluarga dan terlebih lagi kewangan. Akhirnya, saya memajukan juga borang permohonan saya ke Pusat Pengajian Siswazah. Tiada yang saya harapkan, melainkan Allah s.w.t akan memudahkan perjalanan saya ke laluan ilmu untuk fasa ini kerana saya tahu perjuangan saya kali ini akan lebih mencabar dari yang sebelumnya. Besar kemungkinan saya perlu berulang-alik dari UKM ke Singapura untuk membiayai pengajian saya sendiri. ITU BUKAN MUDAH untuk saya. Ditambah lagi dengan masalah kesihatan yang seringkali datang dan pergi. Tapi kerana yakin bahawa keputusan yang saya muktamadkan ini adalah yang terbaik bukan sahaja untuk diri saya tetapi semua terutamanya untuk DAKWAH dan MANHAJ yang saya yakini, maka saya tidak mahu menjadikan kesukaran sebagai penghalang untuk saya meneruskan perjuangan. Saya yakin, Allah s.w.t  pasti menunjukkan jalan kepada saya untuk keluar dari kesukaran itu kelak.

SEMINAR MUSNAD

MUSNAD atau Seminar Antarabangsa Sunnah Nabawiah yang berlangsung pada 12-13 Julai di UM merupakan satu-satunya seminar yang saya hadiri sebagai pembentang untuk tahun 2011. Ia merupakan seminar yang baik dan banyak mendedahkan saya kepada kajian-kajian hadith terkini yang dilakukan oleh para ahli akademik.





KONVOKESYEN UKM KALI KE-39

Untuk kali kedua saya menaiki pentas DECTAR di Majlis Konvokesyen UKM. Kali ini sebagai Graduan siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia.


Cuma kali ini, konvokesyen tidak semeriah dulu semasa mengambil skrol ijazah sarjanamuda. Kali ini, saya rasa sepi, kerana tiada rakan sejabatan di kalangan akhawat yang berkonvo bersama saya.

Dr Wan Nasyrudin Wan Abdullah menasihatkan saya: "Semoga enti teruskan lagi perjuangan menuntut ilmu...Jangan sentiasa mencari alasan untuk sengaja gagal dalam perjuangan".

TERLERAINYA SEBUAH PERSAHABATAN

Airmata mengalir. Mengalir terlalu deras.

Saya perlu menerima bahawa sebuah persahabatan yang amat saya sayang terpaksa saya relakan ia berhenti di tengah jalan pada bulan Oktober 2011. Apalah daya saya. Walau ia amat menyakitkan, tetapi saya perlu akur dan menghormati sebuah keputusan.




Bertemu dan berpisah kerana Allah.

MENERIMA BIASISWA

Pada 14 November saya menghadiri majlis penganugerahan biasiswa Madrasah Alsagoff al-Arabiah.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Allah s.w.t permudahkan urusan saya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Sebenarnya setelah menghantar borang permohonan untuk melanjutkan pengajian, saya membuat permohonan untuk mendapatkan biasiswa Madrasah Alsagoff al-Arabiah. Kemudian saya dipanggil untuk satu sesi temuduga dan Alhamdulillah, setelah itu pihak Madrasah Alsagoff bersetuju untuk memilih saya sebagai salah seorang penerima biasiswa tersebut.

Saya berasa lega kerana hampir separuh dari masalah utama saya untuk melanjutkan pengajian mendapat jalan penyelesaiannya. Walau ada rasa lega tapi masih di jiwa ini ada rasa beban yang semakin berat digalas kerana:

"Menerima biasiswa itu adalah SATU AMANAH. AMANAH untuk meneruskan perjuangan bukan sahaja dalam menuntut ilmu al-Quran dan al-Sunnah bahkan dalam mengamalkannya, menyampaikan dan menyebarkannya kepada masyarakat. Mohon doa dari semuanya".



video



AKHIR TAHUN 2011

2011 adalah tahun yang menyaksikan kematangan saya dalam dunia pengajaran dan pembelajaran. Pada tahun ini, saya banyak mengajar kelas-kelas dewasa di Institut Pengajian Tinggi al-Zuhri dan kuliah Muslimah di Masjid Darul Ghufran. Ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya di mana pelajar saya selalunya terdiri di kalangan remaja dan pelajar dari institusi pengajian tinggi.

Kali ini saya bukan sahaja mengajar subjek hadith tetapi saya mengajar pelbagai macam subjek dari subjek Metodologi Kajian Ilmiah hinggalah ke subjek Sejarah Pendidikan Islam. Tanpa disedari rupanya sudah setahun saya bersama al-Zuhri untuk kelas-kelas Sijil dan Diploma separuh masanya. 

Apapun saya berasa amat bertuah kerana setiap kali memasuki kelas yang baru saya bertemu dengan pelajar-pelajar yang baru yang terdiri di kalangan mereka yang kebanyakannya lebih dewasa dari saya yang saya yakin mereka bukan calang-calang orang. 

Dan tatkala melihat mereka dapat menerima cara saya menyampaikan pengajaran dan mengikuti pembelajaran di dalam kelas saya dengan penuh minat, ia sedikit sebanyak membantu semangat saya untuk terus memberikan yang terbaik.

Satu sahaja membuatkan saya tersentuh ialah mereka yang lebih dewasa ini faham untuk menghormati saya yang lebih muda sehinggakan saya rasa sayu bila para pelajar saya yang saya panggil dengan makcik dan kakak, memeluk dan mencium saya bila usai solat berjamaah di masjid. Mereka ada sebaya mak saya bahkan ada yang lebih tua dari emak saya. Sifat keibuan dan keprihatinan mereka menyejukkan jiwa saya. Moga kehadiran saya dalam hidup mereka juga, menyejukkan jiwa mereka.

KINI 2012

2012 hadir dan akan menyaksikan saya sekali lagi bergelar pelajar sepenuh masa di Universiti Kebangsaan Malaysia. Tetapi kali ini sebagai calon PhD yang memegang biasiswa Madrasah Alsagoff al-Arabiah.

Banyak perkara yang perlu saya belajar dan perbaiki. Hakikatnya, menutut ilmu itu tidak akan pernah tamat hinggalah ke hujung usia. 

Semoga jalan yang saya pilih ini menjadi antara jalan yang memudahkan saya untuk menuju ke syurga.

Doakan saya....