14 November, 2012

[Berkongsi semula penulisan saya bertarikh 15 April 2009 bertajuk: "Andai Tiada dia..."]

Saya agak letih sehingga tertidur di atas karpet dengan buku yang menutupi muka . Saya ketepikan buku Muktalif al-hadith Baina al-Fuqaha' wa al-Muhaddithin dan cuba membetulkan posisi tidur saya.Tapi saya kata dalam hati: "Ish..tak le jadi ni..kena bangun jugak!"

SMS EMAK

Tadi petang, saya mendapat khidmat pesanan ringkas(sms) dari emak . Kata emak:

"Emak tahu. Engkau makan jangan lupa"

Sender:
Hp Mak
+658104****

Saya termenung. Mak selalu risau tentang makan saya. Maklum sahaja saya selalu lupa makan jika terlalu sibuk dengan sesuatu perkara. Tetapi sekarang saya tidak boleh buat-buat lupa tentang makan. Bila lewat makan sahaja kepala saya sakit dan pusing dan kadangkala juga seperti hendak pengsan. Jadi, perlu jaga makan. Dan Ajid selalu pesan pada saya: "Don't skip your meals".

Sebenarnya sms itu adalah balasan emak kepada sms saya tadi pagi. Saya minta emak mendoakan saya agar dipermudahkan untuk peperiksaan yang bakal saya duduki pada minggu hadapan. Peperiksaan semakin hampir tetapi persediaan saya masih lagi bertatih-tatih.

DOA EMAK...

Itulah dia rahsia besar kejayaan saya selama ini.

Percaya atau tidak, setiap apa yang ingin saya lakukan adalah beriringan dengan doa emak.

Waktu dulu semasa saya menduduki peperiksaan di Madrasah Alsagoff, saya selalu kata pada emak dengan hati penuh kerisauan:

"Mak doakan kakak dapat jawab exam. Doakan kakak ingat apa yang kakak hafal dan baca"

Dan emak seperti biasa hanya menganggukkan kepalanya. Maklum sahajalah pada waktu itu saya ke sekolah adalah awal pagi. Jam 6.15 pagi sudah keluar dari rumah. Mak tentu sahaja mengantuk ketika menghantar saya di depan pintu.

Ketika saya di Maahad Tahfiz pula saya selalu hubungi emak dan berkata:

"Mak, kakak nak exam. Mak doakan kakak"

Cuma sekarang ini, ketika saya di peringkat Universiti saya hanya meng'sms emak. Dan sms saya bunyinya juga hampir sama. Saya katakan padanya:

"Mak doakan kakak. Minggu depan kakak exam......kakak risau"

Doa emak saya pohon bukan sahaja ketika ingin menduduki peperiksaan. Setiap kali saya ingin membentang tugasan saya di dewan kuliah dan juga tutorial, saya mohon emak mendoakan saya agar saya dapat lakukan yang terbaik untuk pembentangan.

Bila saya sedih....saya juga sms emak tanpa menyatakan masalah saya:

"Mak doakan kakak..Kakak sedih dan risau"

Dan emak seperti biasa akan menjawab:

"Mak selalu doakan semua anak-anak mak"

Jawapannya ringkas. Tetapi cukup bermakna buat saya. Cukup berharga untu saya menatap hari dengan lebih bersemangat dan penuh dengan kekuatan.

BAGAI LANGIT DENGAN BUMI

Sunnguh...Emak tidak seperti saya dari sudut kefahaman agamanya.
Emak jauh berbeza dari saya bagaikan langit dengan bumi.Memang saya dan dia terlalu berbeza. Seringkali ada sahaja perkara yang saya ucapkan diberi respon yang menjengkelkan dari emak. Antara ucapan popular yang emak sering ucapkan pada saya bila saya cuba menerangkan sesuatu kepadanya tentang hukum ialah:

"Alaaa..kalau engkau semua dosa..semua tak boleh!" =)

Tetapi beza macam mana pun, saya tetap anak emak. Saya tetap mewarisi sikap-sikap emak.

Senang kata, banyak perkara seni yang ada dalam diri emak juga mengalir dalam diri saya. Cuma saya menggunakan seni itu di tempat yang betul dan perlu.

Satu perkara yang saya tidak pernah lupa, semasa saya kecil dahulu emak mendidik saya supaya membaca al-Quran dengan berlagu. Dari emak saya mengenal huruf Alif, Ba, Ta dan belajar menulis dan membaca jawi. Emak selalu melatih saya mengeja sama ada dalam bahasa Melayu ataupun Jawi. Cuma kurangnya, emak tidak pandai berbahasa Inggeris, jadi saya tidak terdidik bertutur bahasa Inggeris di rumah. Bahasa Melayu begitu sebati dalam diri saya kemudiannya diselit sedikit dengan bahasa Jawa dan Boyan. Apa yang pasti, sikap untuk belajar dengan tekun itu telah ditanamkan dalam diri saya oleh emak sedari kecil lagi.

ANDAI TIADA DIA..

Jika emak tiada, bagaimanakah saya?

Masih terbayang-bayang lagi bagaimana saya duduk jauh dari emak buat pertama kalinya.
Semua perkara saya perlu lakukannya sendiri. Saya perlu membasuh dan memasak. Waktu itu saya menangis teresak-esak. Saya memang tidak reti untuk melakukan semua itu kerana selama ini emak yang melakukannya untuk saya. Saya yang berada jauh di Melaka terus menghubungi emak dengan tangisan. Saya sedih kerana emak tiada di sisi untuk membantu saya. Bila emak mendengar tangisan saya, emak juga menangis pilu. Pada waktu itu baru saya sedar, alangkah BERMAKNANYA EMAK DALAM HIDUP SAYA. Dan bermula saat itu, saya belajar hidup berdikari TANPA EMAK DI SISI.

Walau kini saya mampu survive tanpa emak di sisi tidak bermakna saya melupakan emak. Emak adalah emak yang tiada galang gantinya.

Emak banyak membantu saya dalam menghadapi hidup ini. Walau kadangkala fikrah kami seringkali bercanggah tetapi emak banyak mengajar saya tentang erti sebuah kehidupan.

Bagaimana emak sabar menghadapi hidup ketika dia mengalami fatrah kesusahan dan keperitan, waktu itu saya melihat dan belajar tentang sabar dari emak.

Bagaimana emak menahan luka di jiwa hanya kerana fikirkan anak-anak, waktu itu saya belajar erti sebuah pengorbanan dan kasih sayang dari emak.

Bagaimana satu ketika dahulu emak sanggup bekerja kerana tidak mahu saya menahan lapar, waktu itu saya hanya mampu menangis dan belajar bahawa nyawa sekalipun emak sanggup gadaikan untuk saya.

Bagaimana emak masih lagi menguruskan saya, walau saya sudah bergelar seorang isteri, dan waktu ini saya melihat emak adalah terlalu mulia kerana baginya sejak saya masih di dalam rahim lagi hinggalah saya sudah memasuki gerbang kedewasaan saya adalah pengarang jantung hatinya.

Allahu Akbar... perit emak mengandung dan melahirkan saya tidak dapat saya balas ditambah lagi dengan kasih sayangnya yang tidak pernah berbelah bahagi kepada saya. Sayalah racun dan sayalah penawar baginya. Sungguh lemahnya saya bila mengenangkan semua itu. Apalah daya saya, Ya Allah.

Semuanya terlalu mahal sehingga saya rasa tidak terbayar dengan apa jua harta sekalipun.

Airmata saya mengalir....
Terlalu deras ....

Emak terlalu cantik pada saya dan emak terlalu indah dalam hidup saya.

Senyuman emak adalah senyuman saya
Tangisan emak adalah tangisan saya
Andai tiada emak..tiadalah saya

Dan DOA EMAK ....adalah nyawa saya

Terlalu indah dan bermakna...

Hidup saya terasa tenang kerana REDHA EMAK sering mengiringi setiap gerak langkah saya.

Ya Allah...
Saya tidak mahu menjadi racun dalam hidupnya
Biarkan saya terus menjadi penawar jiwanya di dunia dan akhirat

Emak..kakak sayang emak...

"Ya Allah....sayangilah emak dan kasihanilah dia sebagaimana dia menyayangiku dan mengasihaniku dari kecil hinggalah kini"

04 October, 2012

Bismillah

Sekarang ini, memang pelajar sukar ditegur. Pelajar sekarang hanya mahu ingin perasaan mereka dijaga dan dibelai oleh guru. Tetapi sayang sekali, mereka tidak reti menghargai guru.


Mereka inginkan markah yang baik-baik dari guru, kata-kata yang baik-baik dari guru, tapi malang sekali, mereka tiada hati untuk berusaha melakukan yang terbaik. Buat tugasan dengan metodologi 'copy and paste' kemudian menjawab peperiksaan umpama berkata: 'tak kisah lah, yang penting aku jawab' tetapi di akhirnya mereka mengharapkan guru membri pujian dan markah A berderet atas usaha yang mereka sangka itu adalah usaha.


Entah...cakap salah dan tak cakap juga salah sebenarnya.


Ibarat ditelan mati emak dan diluah pula mati bapak.


Moga Allah beri kekuatan kepada kami para pendidik pengajian Islam untuk terus tabah dengan karenah-karenah pelajar yang cukup mencengkam jiwa dan perasaan.   

26 September, 2012


Tersenyum sendiri bila teringat semalam di dalam kuliah saya berkata:

"Contoh lah, ya? Saya datang mengajar hari ini kemudian saya kata: "Hari ini saya nak ajar satu zikir ni, kalau kakak amalkan, insya Allah tenang hidup, kakak. Akak bangun tidur tenang, pergi pasar tenang, nak tidur tenang, kalau mimpi pun tenang, Semuanya tenang. Zikir itu namanya Zikir Sakinah"

Semua dalam dewan dah tergelak dengar nama zikir itu. Saya sambung lagi:

"Bagaimana jika situasi itu berlaku? Adakah boleh kita amalkan zikir itu?"

Semua senyap dan saya lihat ada yang menggelengkan kepala dan ada juga yang senyum-senyum.

Saya tanya lagi: "Boleh atau tidak?"

Kemudian ada seorang kakak yang duduk di hadapan sekali menjawab: "Tak boleh ustazah, kita kena ikut Nabi"

Dengan pantas saya respon: "Subhanallah...tenang saya mendengar jawapan itu. Tak payah saya amalkan Zikir Sakinah pun, saya dah tenang" =)

[Bila kita diberikan dengan apa jua zikir, perlu dipastikan dari mana sumbernya, apakah dalilnya, adakah dalil itu sahih atau sebaliknya. Kerana zikir itu ibadah dan ibadah dalam Islam perlu berasaskan kepada wahyu bukan mengikut apa yang kita suka dan apa yang orang lain suka. wallahu'alam].

24 August, 2012

23 August, 2012

Saya belajar dua perkara dari video ini:

1) Betapa sabarnya dia dalam menuntut ilmu. Sabar dengan 'sikap' gurunya. Sifat untuk bersabar dengan 'sikap' guru ini sudah semakin hilang dari diri penuntut ilmu dewasa ini.

2) Orang yang tiada penglihatan berusaha untuk memahirkan diri dengan al-Quran. Lalu kita yang mempunyai penglihatan, apa yang kita buat dengan nikmat mata ini?

31 May, 2012

Alhamdulillah, pada 25 Mei 2012 yang lepas, Usrah Akhawat Jalsah telah melabuhkan tirainya. Saya amat berbesar hati atas peluang ini dan dapat bertemu pelajar-pelajar (adik-adik) JPQS, FPI, UKM saya dalam usrah, malah terharu juga kerana ada pelajar-pelajar dari Jabatan dan Fakulti lain turut menyertai. Semoga pertemuan kita selama 4 minggu ini telah memberi manfaat kepada semua dalam berusaha mendidik diri untuk menjadi MUSLIMAH CANTIK pada HARI INI, ESOK DAN SELAMANYA ♥ Moga bertemunya kita tidak jemu dan berpisahnya kita tidak gelisah ♥
 




Berikut saya muatkan untaian bicara dari seorang adik usrah mengenai Usrah Akhawat Jalsah 2011/2012:


Muslimah yang CANTIK itu, 
perlu mantap iman dan ilmunya, 
perlu cantik amalan dan akhlaknya,
Seiring dengan apa yang diketahuinya.

Muslimah yang CANTIK itu,
perhiasan bagi duniawi,
Unik tingkah lakunya,
Tahu kedudukannya,
Sebagai anak dan juga 'talibul ilm'
Lantas menjadi penyantun dan menyangjungi ibu bapanya,
Menjadi akur menghormati gurunya.

Muslimah yang CANTIK itu,
Sangat menjaga hatinya,
Takut pada TuhanNya,
Dan meletakkan Allah sebagai Asas segalanya
Terutama masalah cinta hatinya..

Inilah muslimah yang CANTIK,
Muslimah Asing di negeri ini,
Menjadi penggengam bara api,
Kelak dirimu sangat dinanti,
Menjadi penghibur terCANTIK di syurga hakiki.
[Ummu Nusaibah] ♥



Oleh kerana beliau tertinggal menyatakan satu lagi slot pengisian usrah dalam bait katanya, maka saya pun menambah:


Muslimah CANTIK itu
Berusaha menjadi sahabat
Bukan hanya mencari sahabat
Hatinya penuh dgn mahabbah
Tiada dengki dalam ukhwah
Sama-sama ingin berada di Jannah.


29 April, 2012

Aku masih ingat tatkala aku berendam airmata, 
tidurku tidak lena,
jiwaku sebak tidak terkata,
aku mengharapkan insan yang menyakitiku menghubungi 
walau untuk mengucapkan kata "Maafkan saya"
Pada waktu itu, 
aku tidak mahu mendengar apa jua penjelasan darinya
tapi cukuplah jika dia dapat mendengar tangisanku yang beraja di jiwa.

Tapi sayangnya...........insan itu hanya sepi seribu bahasa
hanya khidmat pesanan ringkas diberikan 
itupun untuk membela dirinya.

Aku kecewa dengan sikapnya....
Aku memang kecewa.

Subuhku bangun dengan bengkak di hati dan mata
aku masih mengharapkan insan itu menghubungiku untuk bertanya
tapi...aku hampa.

Telefon bimbitku berbunyi.......
Tertera nama seorang teman 
Aku menjawab panggilan itu.

Soalan pertama yang diajukannya kepadaku:
"Ustazah, ok tak?"

Sungguh aku memang tidak dapat menahan tangis!
hanya kedengaran dariku adalah esakan dan tangisan
dia dengan sabar mendengar tangisan itu....
tanpa sebarang bicara.

Ya Allah, saat itu....
Baru kutahu, yang mana teman yang mana sahabat
Insan yang aku sayang selama ini sebagai seorang sahabat 
rupanya hanya seorang teman
tetapi
insan yang aku sayang sebagai seorang teman 
rupanya adalah seorang sahabat.

Aku sedar, insan yang kunanti panggilannya itu bukan sahabat
Dia hanya teman.

Seorang sahabat adalah mereka yang mengerti apa yang ada di sebalik jiwamu
dan sudi mendengar walau hanya tangisanmu.

Aku rindu sahabat itu
Biar jauh di mata
Tapi dekat di hati.

Terima Kasih, Sahabat
kerana menguatkan semangat
agar aku terus-terusan menjadi seorang hamba yang taat
dan memaafkan kesalahan insan di setiap saat.

25 April, 2012

Pernahkah kita berjalan sendiri tanpa mengetahui arah yang hendak dituju? 

Dengan deraian airmata kita berjalan lemah. Berjalan dan terus berjalan mengikut langkah kaki. Kita tiba di satu tempat yang jauh dari orang ramai kemudian kita duduk di tempat itu bukan kerana kepenatan tetapi  melayan perasaan yang terbungkam di jiwa. Airmata yang mengalir memang tidak dapat ditahan-tahan dan kita juga tidak mahu menahan air mata itu. Kita biarkan ia mengalir semahunya dan sederas-derasnya. Pada waktu itu, kita rasa ingin pergi jauh dari semua orang yang mengenali diri kita. Kita yakin tiada siapa yang akan memahami apa yang tersembunyi di sebalik hati walaupun orang itu adalah seorang kaunselor yang bertauliah. Kita buntu. Lalu kita berbisik: "Ya Rabb, ke mana harus aku pergi? Hamba mohon kekuatan".

Ada pada suatu ketika pula kita merasa terlalu sedih dengan apa yang dihadapi. Air mata mengalir tanpa dipaksa-paksa. Lalu kita mengambil keputusan duduk di tepi katil atau atas katil atau di salah satu penjuru bilik kemudian kita menangis semahunya dengan mengeluarkan esakan demi esakan syahdu. Kita duduk sambil merapatkan kedua kaki kita ke dada lalu membenamkan wajah ke lutut  yang dibaluti baju. Kita merangkul kedua kaki itu dengan erat kerana tidak dapat menahan kesedihan dan esakan. Sungguh, kita  amat mengharapkan ada yang hadir memeluk kita demi memberikan sedikit semangat tetapi kita tahu itu adalah mustahil. Lalu kita hanya mampu memeluk tubuh sendiri dengan erat bahkan teramat erat untuk menguatkan diri sambil beristighfar kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya.

Saya tahu tentu ada yang terkesan dengan kedua-dua situasi yang saya sebutkan di atas. 
Mungkin atau memang anda pernah melalui situasi seperti itu. Bukan sekali tetapi berkali-kali.

Adakah anda sedang mengimbas kembali semua detik-detik itu?
Detik-detik yang amat meruntun jiwa dan menghilangkan selera serta menghapuskan ceria?

......................................

SENYUMLAH, WAHAI SAUDARIKU

Kita tidak bersendirian dalam situasi itu kerana ramai insan-insan seperti kita yang dirudung kesedihan dan kesayuan. Bahkan lebih buruk dari itu. Maka usahlah kita merasa kita adalah manusia paling malang di dunia. Saya faham bahawa situasi itu amat memilukan dan menyakitkan bahkan ia akan menjadi sebahagian dari sejarah hidup yang tidak boleh diubah bahkan tak mampu dibuang dalam diari kehidupan. 

Tetapi percayalah ia hanya sedikit ujian yang Allah s.w.t hadiahkan kepada kita agar kita merasai betapa kebergantungan kepada Allah s.w.t adalah yang paling UTAMA dalam hidup kita. Tatkala itu tiada siapa yang dapat meredakan kesedihan dan kesugulan jiwa yang terlalu penuh dengan sendu itu. Tiada siapa yang akan fahami apa yang sedang kita hadapi. Dan selalunya, pada waktu itu dalam fikiran dan jiwa kita  yang ada hanyalah ALLAH!

Pada waktu itu, kita tidak menyebut nama mak, abah, suami atau teman-teman tetapi yang ada dibibir kita hanya YA ALLAH, YA ALLAH dan YA ALLAH. Kita ulang dan ulang menyebutnya tanpa jemu sehingga kita sendiri tidak dapat terhitung jumlah sebutan tersebut.

JIKA TERLUPA

Jika terlupa, izinkan saya mengingatkan. 

Mungkin kita terlupa betapa pilu dan hibanya baginda Ya'qub a.s tatkala kehilangan puteranya Yusuf a.s sehingga baginda mengucapkan:

إِنَّمَا أَشْكُو بَثِّي وَحُزْنِي إِلَى اللَّهِ 

Maksudnya: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah.." [Yusuf:86]

Mungkin juga kita terlupa pada deraian airmata Nabi Yunus a.s tatkala berada di kegelapan perut ikan Nun. Dengan penuh kesedihan dan keinsafan baginda memohon ampun kepada Allah s.w.t sambil berdoa:


 لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri" [al-Anbiya':87].

Bagaimana pula dengan Nabi Ayyub a.s? Lupakah kita betapa sabarnya baginda menghadapi ujian demi ujian. Dari kehilangan harta, anak-anak sehinggalah baginda ditimpa dengan penyakit yang mengakibatkan baginda disisihkan oleh masyarakat sekelilingnya? Pada waktu itu, baginda pun berdoa dan merayu kepada Allah s.w.t:

أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

Maksudnya: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani".

Dan usah pula kita lupa bagaimana sayunya baginda Nabi Muhammad s.a.w tatkala anaknya Ibrahim menghembuskan nafasnya yg terakhir. Pada saat itu,  mengalir air mata baginda lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya mata ini menitiskan air mata dan hati ini bersedih, (namun) kami tidak akan mengatakan kecuali apa yang diredhai oleh Tuhan kami. Dan sesungguhnya kami merasa sedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim" (H.R al-Bukhari dalam kitab Sahihnya).

MEREKA ADALAH UTUSAN ALLAH, wahai saudariku. 

Mereka juga menghadapi kesedihan dan mengalirkan airmata syahdu. Justeru siapalah kita untuk terlepas dari ujian ini. Kita hanyalah hamba Allah yang tidak ma'sum bahkan terlalu banyak melakukan dosa, lantas untuk apa dipertikaikan hadirnya sebuah ujian yang mencengkam jiwa? Sedangkan ujian-ujian itu adalah ruang untuk menghapuskan dosa sebagaimana sabda baginda Nabi s.a.w dalam sebuah hadith sahih yang bermaksud:

“Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahaan, kesedihan, gangguan dan kegelisahan sehinggalah duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian dari dosa-dosanya”(HR al-Bukhari, No 5514).

MARI KITA FIKIRKAN BERSAMA

Tatkala kita berjalan dengan hanya mengikut langkah kaki tanpa arah tujuan kerana melayan perasaan sedih, Alhamdulillah kita masih mampu meneruskan kehidupan kita hingga saat ini. Kemudian bila kita menangis teresak-esak sendirian dan terpaksa memeluk tubuh sendiri untuk memberikan kekuatan pada diri, Alhamdulillah.....hari ini kita masih mampu tersenyum dan merasa bahagia. Dan apabila ia berlaku berulang-ulang kali kepada kita, Alhamdulillah kita berjaya melepasi dan mengatasi perasaan dan situasi itu. 


Bukankah itu menunjukkan kita adalah HEROIN dalam filem kehidupan kita? 

Walau tanpa pengarah, walau tanpa video kamera hatta walau tanpa peminat sekalipun, kita tetap berjaya menjadi seorang HEROIN =)

Anda, saya dan kita semua adalah heroin kerana berjaya menghadapi ujian dengan hati penuh sabar dan redha!

Tahniah kerana ANDA adalah MUSLIMAH YANG HEBAT DAN MENAKJUBKAN!.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Amat menakjubkan keadaan seorang mukmin, sesungguhnya semua keadaannya adalah baik belaka. Ini tidak berlaku kecuali kepada seorang mukmin. Sekiranya dia dikurniakan kesenangan dia akan bersyukur dan ini baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa kesusahan pula dia akan bersabar dan ini juga baik untuknya.'(H.R Muslim)

23 April, 2012

13 April, 2012

Adik-adik Muslimahku,
Dalam hati ini ada selautan kasih untukmu
Dari kasih ini kubentuk sebuah harapan
Kuhiasi ia dengan persahabatan
Untuk melihatmu sebagai pejuang Islam.

Jangan sekali kau berundur dari dakwah ini
kerana takut dengan cacian manusia
Jangan sekali kau buang dakwah ini
Hanya kerana mencari redha manusia. 

Pesanan dariku yang kau panggil KAKAK dan USTAZAH.

04 April, 2012

Bismillah

Saya melihat kalendar. 4 April 2012.

Sudah dua bulan saya memulakan pengajian Doktor Falsafah. Dua bulan juga saya berada di bumi UKM dan persekitarannya. Alhamdulillah, keadaan saya di sini baik. Saya mendapat tempat penginapan yang dekat dengan Fakulti dan tidak berapa jauh juga dari perpustakaan. Cuma masalah sedikit dari sudut makanan lantaran bagi saya kafe di tempat penginapan ini tidaklah menyediakan makanan yang agak menyelerakan saya. Atas sebab itu, saya selalu memilih untuk makan di kafe canselori yang terletak bersebelahan dengan fakulti. Saya senyum. Biasalah, kita tak akan dapat semua yang kita suka dan inginkan. Maka bersyukurlah =)

HANYA SATU SUBJEK

Untuk pengajian kali ini agak berbeza dengan pengajian saya yang lepas. Kali ini saya hanya perlu menghadiri satu subjek sahaja iaitu Kaedah Penyelidikan. Seharusnya saya tidak perlu menghadiri kuliah ini dan boleh dikecualikan tetapi kerana kod subjek lepas yang saya duduki semasa sarjanamuda dahulu sudah berubah  [isi kandungan kuliah juga turut berubah], maka saya tidak mempunyai pilihan melainkan untuk hadir ke kuliah tersebut. Apapun, ia amat baik untuk saya agar saya lebih jelas tentang metodologi penyelidikan di peringkat Doktor Falsafah.  Walau di setiap buku memperkatakan perkara yang sama tentang metodologi penyelidikan tapi di sana tetap ada perbezaannya untuk setiap peringkat pengajian. Justeru, penyelidikan di peringkat Doktor Falsafah tidak sama sebagaimana penyelidikan di peringkat Sarjana. Sungguh, untuk ini saya perlu lebih bekerja keras agar saya faham tentang perbezaannya dan tidak terikut-ikut dengan gaya penulisan saya semasa di peringkat sarjana.

SEMINAR SERANTAU MAQASID AL-QURAN 2012


Semester ini saya terlibat sebagai pembentang utama Seminar Maqasid al-Quran 2012. Seminar yang diadakan julung-julung kalinya oleh Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM dengan kerjasama Darul Quran Singapura amat menyenangkan hati saya. Akhirnya hasrat saya untuk melihat Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah mengorak langkah keluar dari bumi Malaysia tercapai juga. Lebih menyenangkan ia diadakan di bumi tempat tumpah darah sendiri dan seminar berlangsung di Darul Quran Singapura tempat bertautnya kasih antara saya dan suami. Alhamdulillah, usaha saya memperkenalkan Darul Quran Singapura kepada Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, UKM pada tahun 2010 merupakan usaha dan langkah yang bijak. Harapan saya, moga kedua-dua buah institusi ini dapat terus bekerjasama dalam mengendalikan program-program ilmiah dan menjadikannya sebagai satu usaha dakwah bagi mendekatkan lagi masyarakat Islam kepada al-Quran dan al-Sunnah dan seterusnya memotivasikan mereka untuk beramal dengan kedua-duanya.

PROPOSAL

Sudah masuk kali ketiga saya menukar tajuk kajian. Untuk tajuk ketiga ini, saya sedang berusaha mengumpulkan sebanyak mungkin bahan bacan dan rujukan terutamanya jurnal dan tesis yang berkaitan dengan tajuk saya. Apa tajuknya? Ermmm, rasanya belum masanya untuk saya maklumkan kepada semua =) Jika pembentangan proposal untuk tajuk ini berjaya dan diluluskan, Insya Allah saya akan banyak menulis mengenainya. 

"ITULAH KAK SAKINAH, KAKAK PHD DARI SINGAPORE"

Memandangkan saya hanya mempunyai satu subjek sahaja dalam seminggu dan kerja saya setiap hari hanya ke perpustakaan dan menatap laptop mencari bahan untuk kajian literatur, kebosanan memang tidak segan silu bertamu. Saya jadi resah kerana tidak menyampaikan ilmu. Saya seolah-olah rasa mati kerana menjadi orang yang tidak 'memberi'. Lalu saya pun berkata pada diri saya: 

"Apa guna saya duduk di UKM, sebagai seorang kakak senior tetapi saya hanya duduk menyendiri dan berdiam diri tanpa sedikit pun mahu membantu adik-adik sejabatan saya yang memerlukan bantuan dari sudut perasaan dan pembelajaran? Adakah saya hanya mahu dikenali sebagai "Itulah Kak Sakinah, kakak PHD dari Singapore?"  

Dan saya berkata lagi:

"Dengan pengalaman saya yang sudah 'masak' dengan dunia pembelajaran sedari peringkat sarjanamuda dan sarjana, saya seharusnya ke hadapan membantu adik-adik Muslimah saya memecahkan tembok permasalahan yang mereka hadapi ketika belajar. Saya pernah bergelar pelajar seperti mereka malah hingga sekarang saya masih bergelar pelajar, pasti saya faham apa yang terbuku di jiwa mereka. Saya juga faham apa sebenarnya yang mereka risaukan dan apa yang mereka inginkan ketika belajar. Maka tidak salah saya memberikan sedikit pencerahan kepada mereka terhadap kekeliruan yang mereka tidak mampu suarakan lebih-lebih lagi kepada pensyarah mereka sendiri"

Saya senyum lalu berkata: "Jadi, apalah salahnya jika saya memperuntukkan sedikit ruang dan masa untuk bersama-sama mereka? Saya tidak rugi apa-apa."

Akhirnya saya membuat keputusan untuk membuka sesi perkongsian dengan adik-adik Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah (akhawat) yang terdiri dari pelajar sarjanamuda (tahun 1-3) dan ada juga pelajar sarjana (Master). Ia diadakan di bilik kolej saya dengan tidak mengenakan sebarang bayaran. Pada minggu ini saya adakan satu slot khas untuk mereka yang berminat mengetahui cara untuk 'Menjejaki Bahan Rujukan al-Quran dan al-Hadith Menerusi Internet'. Respon dari mereka, Alhamdulillah. Saya rasa 'hidup' bila dapat berkongsi ilmu dan saya rasa bahagia tatkala melihat adik-adik jabatan saya gembira dan tersenyum ceria.


Lalu saya katakan pada diri saya bahawa sesi ini tidak boleh berhenti di sini sahaja =) 

Saya akan bertemu mereka lagi di sesi akan datang dengan perkongsian yang lebih membuatkan mereka gembira dan ceria tatkala melalui kehidupan bergelar pelajar sarjanamuda dan sarjana. Moga Allah s.w.t permudahkan segalanya.

Hingga di sini sahaja penulisan saya kali ini. Insya Allah, kita bertemu lagi di penulisan akan datang.

Salam dari saya di bumi UKM =)

30 March, 2012

Ingin sahaja aku pergi jauh
menyendiri mencari suasana baru
pada tempat yang tiada mengenali
mencari kasih dan teman sejati.

Ucapan dan kata manis dulu
Kini hempedu
Ku buat-buat ia manis laksana madu
Ku ukir senyum walau hati berirama syahdu.


Hatiku memang sudah terlalu luka
Setiap hari berairmata
Usaha terus kuhalau duka
Menanti ceria bertamu pula.

Katamu aku insan mulia
Perlu memaafkan kerana ada alasan
Tapi kamu juga sebagai insan mulia
Mengapa sanggup mengabaikan perasaan.


Parut luka dulu belum lagi hilang
Ku mohon usah ditambah kesengsaraan
Syukur hatiku masih ada sayang
Pada insan yang terlalu banyak kebaikan
Pada insan yang telah mendidikku menjadi seorang insan.

Ya Rabb,
Berbekalkan kasih dan sayang  ini,
Hamba mohon kekuatan.....

11 March, 2012


Saya terbaca kembali kiriman saya bertarikh 25 Februari 2008. Ia adalah sesuatu yang baik untuk dikongsikan semula. Moga ia menjadi satu renungan yang bukan sekadar untuk direnung.

******************************************************************

Sepatutnya saya sudah dibuai mimpi pada waktu ini, tetapi keinginan saya untuk mencoretkan apa yang terbuku di jiwa saya lebih kuat dari keinginan saya untuk berada di atas katil. Apa yang saya lihat dan saksikan sebentar tadi terlalu mendesak saya untuk duduk di depan komputer ini walau saya sepatutnya perlu berehat untuk persediaan kelas memandu pada esok pagi.

Sebenarnya saya baru sahaja pulang dari Mesyuarat Agong Tahunan Jannah ke-5 (Kelab Jabatan al-Quran dan al-Sunnah). Di sana saya menyaksikan siswa dan siswi yang hebat-hebat dalam hal kepimpinan. Mereka berani dalam berhujjah dan mereka lantang menyuarakan persoalan, cadangan dan pandangan sehinggakan apa sahaja yang terkandung di dalam minit mesyuarat dipersoalkan walaupun kemusykilan mengenai kewujudan angka lima sen pada laporan kewangan Kelab. Kagumnya saya! Mereka terlalu peka dan mereka terlalu inginkan ketelitian di dalam soal kepimpinan.



Namun begitu hati saya tiba-tiba menjadi tawar. Apa yang saya lihat sukar untuk saya percaya sebenarnya. Ini kerana suasana bertukar pendapat dan mementingkan ketelitian itu tidak wujud di dalam sesi pembelajaran yang berlangsung baik di dalam dewan kuliah mahupun perbincangan tutorial.Wajah-wajah berani menyuarakan pendapat dan pandangan kadangkalanya adalah manusia berat mulut di dalam sesi perbincangan ilmiah, lebih-lebih lagi apabila diterjah oleh pensyarah dengan persoalan demi persoalan. Saya menjadi pelik. Adakah dunia kepimpinan dan pembelajaran merupakan dua situasi yang berbeza sedangkan keduanya menuntut perbincangan dan penukaran fikrah di antara satu sama lain?

Antara Perbincangan Ilmiah dan Mesyuarat Persatuan

Bila saya amati perbincangan ilmiah kelihatan lebih hambar dan lebih tidak bermaya jika hendak dibandingkan dengan perbincangan di dalam mesyuarat persatuan. Di dalam kuliah dan tutorial, siswa dan siswi lebih banyak mendengar dan berdiam diri. Apabila ditanya pendapat, lambat sekali untuk memberikan respon dan apabila didesak baru ada yang bersuara tetapi itupun masih di dalam keadaan yang tidak berkeyakinan. Akibatnya perbincangan di dalam bilik tutorial dan dewan kuliah seringkali membuatkan jiwa-jiwa yang menghadirinya seolah-olah tidur tetapi matanya celik dan pada kebanyakan waktu kepala mereka mengangguk tanda faham tetapi sebenarnya anggukan itu tidak memberikan apa-apa erti kefahaman.

Bukan Anti Berpesatuan dan Anti Aktiviti Luar bilik Kuliah/Tutorial

Situasi ini menyebabkan saya menyoal diri sendiri, perbincangan mana yang lebih penting, persatuan atau pembelajaran? Saya bukan anti pada persatuan. Ini kerana pada satu ketika dahulu saya merupakan ketua pengawas di Madrasah Alsagoff al-Arabiah Singapura dan seterusnya menjadi insan yang bertanggungjawab dalam menubuhkan Persatuan Muraqibah Umum (PMU) yang kini bertukar nama kepada Prisma (saya tidak berapa pasti dengan ejaannya). Seterusnya ketika menuntut di Maahad Tahfiz Melaka saya merupakan naib ketua unit pendidikan Majlis Perwakilan Pelajar dan juga bertanggungjawab mengendalikan program kelas asas Tahfiz untuk kanak-kanak. Maknanya saya bukan manusia asing dalam dunia persatuan. Begitu juga saya bukan anti pada aktiviti luar kuliah dan tutorial. Buktinya, semasa saya berjuang menuntut ilmu selama 10 tahun di Madrasah Alsagoff saya banyak terlibat dengan aktiviti atas pentas dan saya juga tersenarai sebagai salah seorang pembahas madrasah pada pertandingan bahas antara sekolah-sekolah menengah di Singapura. Semasa di Maahad pula saya banyak terlibat dengan ta’lim, tazkirah, usrah dan juga pernah dihantar oleh Maahad untuk memberikan ceramah di sekolah rendah dan menengah di Melaka. Saya nyatakan semua ini bukan untuk mendabik dada menunjukkan kehebatan saya tetapi saya ingin pembaca mengetahui bahawa saya bukan pelajar anti berpesatuan dan anti pada dunia aktif. Sungguh pada satu masa (tidak silap saya ketika saya di tahun 2) saya pernah berkecil hati dengan seseorang apabila dia mengatakan bahawa dia memandang rendah terhadap saya kerana hanya cemerlang di dalam akademik tetapi tidak pada yang lain. Mmmm..usah memandang rendah pada saya dengan sebarangan dan usah mudah memandang rendah pada orang lain. Hebat sangat kah diri kita? Sedangkan apa sahaja yang kita punyai hanyalah milik Allah semata, kita tidak mempunyai apa-apa. Kita kosong sebenarnya!

Mana yang Lebih Penting?

Berbalik pada persoalan: Mana yang lebih penting? Jika bertanya pada saya tentu sahaja pelajaran menjadi pilihan hati saya. Ramai yang masuk universiti tetapi masih tidak faham tentang ilmu yang dipelajari setakat belajar untuk menduduki peperiksaan, mendapat keputusan, kemudian menggenggam segulung ijazah. Itulah satu bentuk pemikiran tentang belajar yang sudah menjadi penyakit dalam diri mahasiwa/wi. Saya tidak bimbang jika penyakit ini menular di kalangan pelajar fakulti bukan Islam. Tetapi yang membimbangkan saya apabila mahasiswa/wi Fakulti Pengajian Islam ramai yang mempunyai penyakit ini. Ramai yang kurang berkemahiran dalam bahasa Arab dan ilmu nahu walaupun yang asas, tidak kurang juga yang masih lemah dalam pembacaan al-Quran begitu juga dalam memahami teks Arab. Satu keadaan yang diketahui oleh diri mereka sendiri tetapi hanya dipandang sebelah mata. Sebabnya masa lapang yang ada tidak diperuntukan untuk membaiki kelemahan tetapi lebih kepada aktiviti persatuan dan yang lain-lainnya. Malah kadangkala kepentingan pada persatuan lebih aula dari duduk menelaah kitab. Ramai antara kita yang sanggup bersengkang mata untuk persatuan dan perkara-perkara lain tetapi tidak mampu duduk hingga subuh hari untuk pelajaran. Kita mudah mengalah dalam perkara yang melibatkan pembelajaran tetapi tidak mudah mengalah dalam perkara yang lain. Di mana silapnya? Jelas, terlalu banyak yang perlu kita muhasabahkan dalam diri kita untuk direnungi lalu mentajdid niat untuk apa kita berada di laluan ilmu ini.

Muhasabah Diri

“Ya Allah aku tidak mahu berada di sini untuk menerima pujian, sanjungan, penghargaan dan anugerah semata-mata, apatah lagi memegang tampuk kepimpinan kerana aku mengerti bahawa ia bukan calang-calang tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh hikmah dan amanah, yang aku mahu adalah ilmu yang menghasilkan kebijaksanaan, hikmah dan kepakaran dalam membantu agama Mu. Lantas masaku adalah untuk ilmu. Moga dengan ilmu itu aku menjadi manusia yang lebih terpimpin dalam melaksanakan usaha dakwah untuk memimpin orang lain.”

Ketahuilah, kepimpinan itu bukan hanya terserlah pada persatuan dan organisasi malah kepimpinan itu lebih terserlah apabila jiwa dan fikrah kita terpimpin dengan ilmu dan akhlak diri yang berasaskan al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Pemimpinkah kita, andai apa yang penting (belajar dengan tekun dan fokus) menjadi seolah perkara sampingan? Jangan buat-buat lupa, belajar juga adalah satu amanah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat sana. Wallahua’lam.

Selesai penulisan pada Jam 2.30 pagi
25 Januari 2008

10 February, 2012

Takutilah setiap kata yang keluar dari dirimu wahai pendakwah. Kerana setiap kata itu akan dijadikan coretan dan ikutan oleh mereka yang menghormatimu sebagai ahli ilmu. Contohilah Imam Ahmad ibn Hanbal, tatkala beliau dipenjarakan kerana permasalahan al-Quran itu dikatakan sebagai mahkluq, datang al-Marzawiy, salah seorang sahabat/muridnya pada hari-hari beliau dipenjarakan dan al-Marzawiy berkata kepadanya: "Wahai ustaz, Allah berfirman: Dan janganlah kamu membunuh diri kamu" (al-Nisa:29) Beliau (Imam Ahmad) berkata: "Wahai al-Marzawiy keluarlah (dari penjara) dan perhatikanlah apa yang engkau lihat". Al-Marzawiy mengatakan: "Maka aku keluar menuju halaman istana khalifah, lalu aku melihat ramai orang yang mana tidak ada yang dapat menghitung jumlah mereka kecuali Allah. Kertas-kertas di tangan mereka, pena-pena dan tinta-tinta di lengan mereka". Al-Marzawiy bertanya kepada mereka: "Apa yang kalian lakukan?" Lalu mereka menjawab: "Kami menanti apa yang akan dikatakan oleh Ahmad lalu kami akan menulisnya" Al-Marzawiy berkata: "Tetaplah di tempat kalian" Kemudian dia masuk menemui Ahmad ibn Hanbal dan berkata: "Aku melihat satu kaum di tangan mereka ada kertas dan pena. Mereka sedang menanti apa yang akan engkau katakan lalu akan menulisnya" Lalu Ahmad berkata: "Wahai al-Marzawiy, apakah aku akan menyesatkan mereka semua? Biarlah aku membunuh diriku dan aku tidak akan menyesatkan mereka" [Kisah dipetik dari kitab al-Tasfiyah wa al-Tarbiyah oleh al-Halaby]

08 February, 2012

Dalam hidup kita, pasti ada sahaja perkara yang tidak kena. Banyak perkara yang kita inginkan tetapi ada sahaja yang menghalang dan menghadang jalan kita. Namun, semua itu bukan alasan untuk kita berhenti berjuang dalam meneruskan kehidupan. 

Banyak perkara yang kita TAK NAK dalam hidup ini berlaku, tapi ia berlaku. Usah bertanya kenapa Allah beri. Kita cuma perlu yakin semua itu adalah hadiah dari Allah untuk menjadikan kita hamba yang bersyukur.




Walau apapun yang berlaku dan atas alasan apa pun ia berlaku, hidup perlu diteruskan dengan tabah dan senyuman  MEMANG PERIT menghadapi hidup yang tidak seindah mentari pagi. SAKIT DAN SUSAH itu tidak indah. Tapi percayalah, Allah maha tahu apa yang terbaik untuk kita.

Semua itu adalah permulaan kepada cabaran hidup yang lebih hebat. Kita tak punya apa-apa untuk menghalang segala apa yang mendatang kelak. Tapi kita punya IMAN, SABAR, REDHA DAN TAQWA untuk itu.

MENANGISLAH ANDAI KITA MAHU kerana tangisan bukan tanda kelemahan tetapi adalah kekuatan, wahai adikku. Takut? Letak tepi perasaan itu. Kita perlukan keyakinan dalam hidup bukan ketakutan. Keyakinan itu perlu teguh seteguh kita yakin Allah itu satu dan Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah!

[Bicara Kasih ini saya hadiahkan untuk seorang Adik yang pernah menjadi antara insan yang teristimewa dalam hidup saya]

17 January, 2012

Sebagai pemilik Iphone, pernahkah anda bertanya apakah aplikasi yang terbaik seharusnya anda miliki untuk Iphone anda? 


Selain dari aplikasi Facebook, Twitter, Skype, Yahoo Messenger, Tumblr, Blogger dan sebagainya, apakah aplikasi Iphone yang perlu untuk anda senaraikan sebagai aplikasi terpenting yang mampu membantu dalam pengajian, pembelajaran bahkan juga pengajaran yang berkaitan dengan pengajian Islam. Maka pada penulisan saya kali ini, suka untuk saya berkongsi dengan anda beberapa aplikasi Iphone yang perlu untuk dimiliki oleh pelajar dan tenaga pengajar pengajian Islam. 


1- al-Mushaf

Aplikasi al-Quran yang bukan ditaip semula tetapi sama sebagaimana helaian mashaf anda.




2- Tafsir al-Quran

Mengandungi Tafsir al-Tabari, Ibn Kathir dan al-Qurtubi. Versi percuma hanya memuatkan tafsir dari juz 30 sahaja. Jika anda inginkan tafsir yang lengkap untuk keseluruhan al-Quran anda perlu membelinya dengan harga $4.99.



3- Hadith 40

Aplikasi ini mempunyai terjemahan hadithnya dalam bahasa Inggeris, Indonesia dan Perancis.


4- Kitab Syarah Hadith 40

Kitab Syarah hadith 40  oleh Syaikh Ibn Uthaimin.


5- Takhrij al-Hadith

Anda ingin mencari status sesuatu hadith di laman dorar.net tetapi tidak berada di hadapan laptop? Jangan bimbang kerana laman dorar.net mempunyai aplikasi mencari status hadith di Iphone.



6- Hadith-Hadith yang Tidak Sahih

Aplikasi 'Ghair al-Shahihah' merupakan aplikasi yang memuatkan hadith-hadith yang tidak sahih. Walaupun pengisiannya agak ringkas dan kadangkala tanpa sebarang penerangan tetapi ia tetap mampu memberi manfaat bagi yang menginginkan satu aplikasi hadith dhaif dan maudu' yang mudah dan ringkas. 


7- Maktabati

Maktabati adalah aplikasi yang menghimpunkan pelbagai judul kitab dalam bahasa Arab. Kitab-kitab disenaraikan mengikut bidang-bidang tertentu contohnya Fiqh dan Aqidah, al-Quran al-Karim wa Ulumuhu, bahasa Arab dan sebagainya. Kitab yang ingin dibaca perlu dimuat turun terlebih dahulu. Namun begitu, tidak kesemua kitab-kitab yang disenaraikan adalah percuma. 


8- Tanya Ustadz

Tanya ustadz merupakan aplikasi soal jawab permasalahan sehari-hari yang ditinjau dari perspektif  syariat Islam. Pada pandangan saya, kemungkinan aplikasi ini adalah satu-satunya aplikasi konsultasi syariah yang dihasilkan dalam bahasa Indonesia. Artikel-artikel yang berupa jawapan kepada persoalan yang diajukan banyak membantu dalam memberikan pencerahan kepada pelbagai persoalan yang melingkari kehidupan masyarakat Islam.



Itulah 8 aplikasi Iphone berkenaan bahan bacaan dan rujukan Islam yang dapat saya senaraikan. Perlu untuk saya nyatakan bahawa di sana terdapat banyak lagi aplikasi di Apps store samada secara percuma atau berbayar yang boleh anda dapatkan dan manfaatkan untuk pengajian anda. Gunakanlah Iphone anda sebagai alat bantu untuk ilmu dan dakwah bukan setakat sebagai alat untuk berkomunikasi, bersosial dan berhibur.

Akhir sekali, Insya Allah, di lain kesempatan saya akan berkongsi dengan anda apakah aplikasi yang boleh membantu anda membaca nota, menaip tugasan dan nota kuliah, menguruskan jadual kerja dan belajar, serta aplikasi yang dapat membantu anda menyalin buku-buku yang tidak dapat anda bawa keluar dari perpustakaan.

Sekian, Wassalam.

04 January, 2012

Teringat ada seorang peserta seminar buat kecoh semasa saya membuat pembentangan di KUIS pada tahun 2010. 


Setiap slaid yang saya bentangkan dipermain-mainkan sehinggalah seorang pensyarah bertanya sesuatu kepadanya dengan perlahan lalu dia pun menjawab dengan kuatnya:


 "Eh, Sakinah Saptu! Siapa tak kenal!!!" 


Fuhh...masa tu, saya kata: "Ya Allah...siapakah hambamu itu? Adakah saya mengenali dia?" 


Muka saya merah. Malu dengan semua yang hadir di dalam dewan seminar itu. 


Terdiam sebentar. Mencari kekuatan. 


Kemudian saya senyum dan meneruskan pembentangan. 


Tapi, ketahuilah..ia seperti mimpi ngeri kerana saya bimbang orang akan mengatakan: "Mungkin lelaki itu ada masalah peribadi dengan saya". 


Apapun, ia adalah satu pengalaman yang berharga untuk saya dan bila teringat kembali rasa ingin ketawa pula. 


Hai..macam-macam perangai manusia ni,ya? =)

02 January, 2012

Bismillah wassolatu wassalamu 'ala rasuulillah

1.32 pagi.

Sudah 2 Januari 2012. Masa sememangnya terlalu cepat berlalu. Kadangkala sukar untuk saya percaya bahawa tahun 2012 sudah membuka tirainya. Tahun 2011 pula berlalu dengan pelbagai peristiwa yang banyak mengubah kehidupan saya.

AWAL TAHUN 2011

Awal tahun 2011 agak berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya kerana saya pada waktu itu berada di bumi Sepanyol dan sekitar Andalusia. Keberadan saya di bumi Granada dan menyaksikan al-Hambra dengan kedua mata saya sendiri adalah pengalaman yang cukup berharga dan bermakna.






INSTITUT PENGAJIAN TINGGI AL-ZUHRI & K10

Pulang dari Sepanyol saya mendapat tawaran sebagai pensyarah sepenuh masa di Institut Pengajian Tinggi al-Zuhri untuk satu semester. Namun saya terpaksa berundur dari situ lebih awal kerana perlu menduduki  peperiksaan lisan (viva) untuk penulisan disertasi Master saya. Peletakan jawatan saya sebagai pensyarah sepenuh masa dari Institut tersebut mengundang airmata para pelajarnya (Para pelajar K10) yang bukan airmata biasa. Perit dan sakit saya melihat tangisan mereka apatahlagi merasa hangatnya pelukan demi pelukan dari pelajar perempuannya. Saat itu Allah s.w.t sahaja yang tahu perasaan saya. Saya akhirnya akur, memang saya begitu, seringkali datang dan pergi dalam kehidupan orang-orang yang mengenali dan baru mengenali saya. Saya tahu ia MENYAKITKAN, tetapi perpisahan itu perlu bagi mencetus RINDU.






LULUS UJIAN LISAN (VIVA) MASTER

Berbalik pada viva saya, Alhamdulillah saya lulus dan saya mengambil masa sebulan untuk memperbaiki tesis di bumi UKM walau sebenarnya masa yang diberikan kepada saya adalah 3 bulan. Semasa menghabiskan masa selama sebulan lebih di UKM, kebanyakan pensyarah saya memberikan semangat kepada saya agar meneruskan pengajian ke peringkat Phd. Antara pesanan yang paling membekas ialah pesanan dari Prof Madya Dr Ismail Yusoff. Katanya: "Anti masih muda. Sekarang dah ada Master. Sambung terus. Jangan berhenti. Banyak manfaatnya. UNTUK ILMU"






KEPUTUSAN MELANJUTKAN PENGAJIAN

Namun, sukar untuk saya membuat keputusan pada waktu itu sedangkan tarikh untuk saya menghantar borang permohonan Phd hanya berbaki seminggu sahaja lagi. Saya pada waktu itu perlu mempertimbangkan banyak perkara terutamanya tentang suami, keluarga dan terlebih lagi kewangan. Akhirnya, saya memajukan juga borang permohonan saya ke Pusat Pengajian Siswazah. Tiada yang saya harapkan, melainkan Allah s.w.t akan memudahkan perjalanan saya ke laluan ilmu untuk fasa ini kerana saya tahu perjuangan saya kali ini akan lebih mencabar dari yang sebelumnya. Besar kemungkinan saya perlu berulang-alik dari UKM ke Singapura untuk membiayai pengajian saya sendiri. ITU BUKAN MUDAH untuk saya. Ditambah lagi dengan masalah kesihatan yang seringkali datang dan pergi. Tapi kerana yakin bahawa keputusan yang saya muktamadkan ini adalah yang terbaik bukan sahaja untuk diri saya tetapi semua terutamanya untuk DAKWAH dan MANHAJ yang saya yakini, maka saya tidak mahu menjadikan kesukaran sebagai penghalang untuk saya meneruskan perjuangan. Saya yakin, Allah s.w.t  pasti menunjukkan jalan kepada saya untuk keluar dari kesukaran itu kelak.

SEMINAR MUSNAD

MUSNAD atau Seminar Antarabangsa Sunnah Nabawiah yang berlangsung pada 12-13 Julai di UM merupakan satu-satunya seminar yang saya hadiri sebagai pembentang untuk tahun 2011. Ia merupakan seminar yang baik dan banyak mendedahkan saya kepada kajian-kajian hadith terkini yang dilakukan oleh para ahli akademik.





KONVOKESYEN UKM KALI KE-39

Untuk kali kedua saya menaiki pentas DECTAR di Majlis Konvokesyen UKM. Kali ini sebagai Graduan siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia.


Cuma kali ini, konvokesyen tidak semeriah dulu semasa mengambil skrol ijazah sarjanamuda. Kali ini, saya rasa sepi, kerana tiada rakan sejabatan di kalangan akhawat yang berkonvo bersama saya.

Dr Wan Nasyrudin Wan Abdullah menasihatkan saya: "Semoga enti teruskan lagi perjuangan menuntut ilmu...Jangan sentiasa mencari alasan untuk sengaja gagal dalam perjuangan".

TERLERAINYA SEBUAH PERSAHABATAN

Airmata mengalir. Mengalir terlalu deras.

Saya perlu menerima bahawa sebuah persahabatan yang amat saya sayang terpaksa saya relakan ia berhenti di tengah jalan pada bulan Oktober 2011. Apalah daya saya. Walau ia amat menyakitkan, tetapi saya perlu akur dan menghormati sebuah keputusan.




Bertemu dan berpisah kerana Allah.

MENERIMA BIASISWA

Pada 14 November saya menghadiri majlis penganugerahan biasiswa Madrasah Alsagoff al-Arabiah.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Allah s.w.t permudahkan urusan saya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Sebenarnya setelah menghantar borang permohonan untuk melanjutkan pengajian, saya membuat permohonan untuk mendapatkan biasiswa Madrasah Alsagoff al-Arabiah. Kemudian saya dipanggil untuk satu sesi temuduga dan Alhamdulillah, setelah itu pihak Madrasah Alsagoff bersetuju untuk memilih saya sebagai salah seorang penerima biasiswa tersebut.

Saya berasa lega kerana hampir separuh dari masalah utama saya untuk melanjutkan pengajian mendapat jalan penyelesaiannya. Walau ada rasa lega tapi masih di jiwa ini ada rasa beban yang semakin berat digalas kerana:

"Menerima biasiswa itu adalah SATU AMANAH. AMANAH untuk meneruskan perjuangan bukan sahaja dalam menuntut ilmu al-Quran dan al-Sunnah bahkan dalam mengamalkannya, menyampaikan dan menyebarkannya kepada masyarakat. Mohon doa dari semuanya".






AKHIR TAHUN 2011

2011 adalah tahun yang menyaksikan kematangan saya dalam dunia pengajaran dan pembelajaran. Pada tahun ini, saya banyak mengajar kelas-kelas dewasa di Institut Pengajian Tinggi al-Zuhri dan kuliah Muslimah di Masjid Darul Ghufran. Ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya di mana pelajar saya selalunya terdiri di kalangan remaja dan pelajar dari institusi pengajian tinggi.

Kali ini saya bukan sahaja mengajar subjek hadith tetapi saya mengajar pelbagai macam subjek dari subjek Metodologi Kajian Ilmiah hinggalah ke subjek Sejarah Pendidikan Islam. Tanpa disedari rupanya sudah setahun saya bersama al-Zuhri untuk kelas-kelas Sijil dan Diploma separuh masanya. 

Apapun saya berasa amat bertuah kerana setiap kali memasuki kelas yang baru saya bertemu dengan pelajar-pelajar yang baru yang terdiri di kalangan mereka yang kebanyakannya lebih dewasa dari saya yang saya yakin mereka bukan calang-calang orang. 

Dan tatkala melihat mereka dapat menerima cara saya menyampaikan pengajaran dan mengikuti pembelajaran di dalam kelas saya dengan penuh minat, ia sedikit sebanyak membantu semangat saya untuk terus memberikan yang terbaik.

Satu sahaja membuatkan saya tersentuh ialah mereka yang lebih dewasa ini faham untuk menghormati saya yang lebih muda sehinggakan saya rasa sayu bila para pelajar saya yang saya panggil dengan makcik dan kakak, memeluk dan mencium saya bila usai solat berjamaah di masjid. Mereka ada sebaya mak saya bahkan ada yang lebih tua dari emak saya. Sifat keibuan dan keprihatinan mereka menyejukkan jiwa saya. Moga kehadiran saya dalam hidup mereka juga, menyejukkan jiwa mereka.

KINI 2012

2012 hadir dan akan menyaksikan saya sekali lagi bergelar pelajar sepenuh masa di Universiti Kebangsaan Malaysia. Tetapi kali ini sebagai calon PhD yang memegang biasiswa Madrasah Alsagoff al-Arabiah.

Banyak perkara yang perlu saya belajar dan perbaiki. Hakikatnya, menutut ilmu itu tidak akan pernah tamat hinggalah ke hujung usia. 

Semoga jalan yang saya pilih ini menjadi antara jalan yang memudahkan saya untuk menuju ke syurga.

Doakan saya....