23 April, 2011

Usah mengharap balasan dari apa yang diberi kepada pasangan....
Bila pemberian diingat-ingatkan kepada pasangan...
Peringatan itu hanya mencalar balarkan jiwa
Akhirnya hanya mencacatkan kasih sayang.



"Hubungan kasih sayang bukanlah hubungan perniagaan yang mana kita mengharap keuntungan daripada modal yang diberikan. Segala-galanya dikira dalam bentuk angka. Kasih sayang bukan barang niaga, tetapi ia adalah pemberian ikhlas untuk mendapatkan sesuatu yang lebih berharga daripada Tuhan"

(Pahrol Mohamad Juoi, Majalah Solusi, Isu. No. 4, 2009, hlm. 47)

17 April, 2011



Ada air mata....
Mungkin kerana jiwa ini terlalu cengeng
atau mungkin kerana jiwa ini sudah terlalu jengkel

SAKIT dan PILU
PENUH DENGAN SENDU

Diri ini hanya memohon PENGERTIAN
bukan ungkitan tentang PENGORBANAN
Andai diri ini bukan manusia yang kenal di untung
tak mungkin ada penghargaaan dan penghormatan
jauh sekali ada kerinduan dan kasih sayang

Namun,
Entah mengapa....
dia tak penah mengerti untuk memahami
semakin diminta pengertian
semakin diasak diri ini tentang pengorbanan
Jangan matikan rasa ini, Ya Rabb
Hamba mohon, berikan kekuatan untuk perasaan hamba.

Siapakah yang bersalah?
Diri ini atau dia?
Ya, mungkin diri ini salah.
Salah kerana meminta sebuah PENGERTIAN.

LEMAH...
Tapi bukan itu yang diri ini mahu.

Hamba masih menanti dan mengharap
tanpa jemu
walau lidah kelu
walau jiwa pilu

Sunguh, ini adalah UJIAN
Anugerah dari Tuhan
Bukan untuk sebarangan insan.

Maka,
berhentilah wahai air mata
pergilah wahai sendu di jiwa...

06 April, 2011

Bismillah wassolatu wassalamu 'ala rasulillah

Terlalu lama...

Benar terlalu lama saya tidak berkongsi kata di blog ini.
Sepi...tiada apa jua berita dan cerita. Tetapi percayalah, saya tidak ke mana-mana. Cuma agak sibuk dengan pekerjaan kemudian sibuk pula dengan pengajian. Terlalu banyak perkara yang berlaku dan terlalu banyak juga perkara yang terbuku di kalbu. Setiap satunya dihadapi dengan hati yang berkecamuk pada awalnya tetapi kemudian saya kuatkan perasaan kerana saya tahu semua itu adalah anugerah. Allah s.w.t tidak mentakdirkan sesuatu dengan saja-saja, semuanya ada hikmahnya.

LULUS VIVA DAN PERASAAN ITU

Alhamdulillah, saya lulus viva (ujian lisan tesis) dan kini sedang dalam proses membaiki tesis. Tapi sejujurnya saya katakan, saya memang tidak ada fokus yang tinggi dalam membaiki ini. Saya banyak bermain dengan perasaan. Saya cuba menolak tepi perasaan demi perasaan ini, tapi ia tetap datang dan pergi. Adakalanya, membuatkan saya termenung dan menangis sendiri memikirkan tentang perasaan itu. Jangan bimbang IA adalah normal untuk saya. Memang saya begini, bila setiap kali perkara itu menerjah ke benak saya berulang kali tanpa henti. Beginilah keadaan saya. Dan akhirnya sekali lagi saya katakan pada diri, INI ADALAH ANUGERAH. MAKA KUATLAH WAHAI DIRI. ALLAH MAHA TAHU APA YANG TERBAIK UNTUK KAMU.

Saya mengukir senyuman.... =)

ADA SUKA ADA DUKA

Hakikatnya saya semakin dewasa (atau lebih tepat saya semakin tua). Apa yang saya lalui dalam hidup amat mendewasakan saya. Pandangan saya tentang kehidupan, cara menghadapi dan mengatasi liku-liku kehidupan tentu sekali berbeza ketika saya berumur awal 20an tahun dahulu. Dalam usia yang sedang menjejaki angka 30, saya sudah melalui pelbagai cerita suka yang amat mententeramkan jiwa dan pelbagai cerita duka yang amat mencalar-balarkan perasaan. Namun, sama ada suka atau duka, saya tidak mahu melihat itu semua sebagai garisan penamat untuk saya berpuas hati dengan apa yang saya kecapi hari ini. Kerana saya mengerti, suka dan duka itu adalah warna-warni kehidupan yang memberitahu kepada saya bahawa TERLALU BANYAK LAGI YANG BAKAL SAYA LALUI. Apa yang telah dihadapi adalah sebagai panduan agar saya tidak mengulangi kesilapan yang sama dan agar saya tidak jatuh terduduk bila diduga.

MUSLIMAH DAN DAKWAH

Sedikit bicara sebelum saya mengakhiri penulisan ini:

"Wahai saudari Muslimahku, dalam hidup ini, untuk berjuang atas nama agama, tidak semudah diucapkan di hujung bibir dan untuk menegakkan manhaj yang benar bukan semudah melagukan nyanyian di telinga manusia.

Namun, kesusahan dan kepayahan ini tidak bermakna kita perlu meninggalkan dakwah.



Kita terlalu banyak mengadu dan merintih
tentang itu yang tidak dipuashati
tentang ini yang tidak disukai

Jangan hanya sibuk dengan memikirkan tentang kekasih hati
Jangan hanya sibuk dengan mengimpikan pakaian dan aksesori
Jangan hanya sibuk dengan artis di kaca TV
Jangan hanya sibuk dengan meluah perasaan di FB
Mana al-Quran dan mana kitab hadis mu?
Mana kitab dan bahan bacaan mu?

Bergeraklah...jangan terlalu lemah!
Islam bukan sahaja memerlukan Muslimin
tetapi ia juga amat memerlukan Muslimat

Seperkara yang perlu kita ketahui
lemahnya lelaki adalah kerana manjanya wanita
Andai wanita itu manja dengan dunia
maka lelaki akan lemah pada agama
kerana wanita sering 'memaksa' lelaki
untuk menunaikan kehendak dunianya
wanita inginkan kemewahan dan kesenangan
kebanggaan dan penghormatan
akibatnya, lelaki tiada masa untuk agama
lantaran sibuk untuk menunaikan kehendak dunia wanita.

Maka lihatlah, di manakah dirimu wahai Muslimah
adakah kamu mengobarkan semangat juang lelakimu untuk dakwah?
atau adakah kamu mengobarkan semangat juang lelakimu untuk dunia?

Dan kita pula bagaimana?
Apakah yang telah dan akan kita lakukan untuk ISLAM?

Saya ada jawapan saya sendiri dan saya yakin anda sebagai insan bergelar Muslimah juga ada jawapan anda sendiri =)

Yang penting, hidup sebagai hamba Allah bukan hanya memikirkan tentang DIRI KITA SAHAJA tetapi kita ada tanggungjawab lain yang perlu difikirkan juga iaitu AGAMA ISLAM YANG TERCINTA"

Sekian dahulu dari saya. Moga kita bertemu di lain ketika.

Wassalam.