29 January, 2011

Doktor Jiwa

Bismillah

Alhamdulillah wassalatu wassalamu 'ala Rasulillah,



Lama rasanya saya tidak menulis di blog ini. Walaupun sebenarnya banyak perkara yang ingin saya kongsikan terutamanya mengenai perjalanan saya ke Sepanyol tempoh hari. Namun, saya tidak berpeluang untuk menulis dek kondisi kesihatan yang tidak memberangsangkan dan juga perlu memberikan tumpuan pada pembacaan dan penyediaan nota pengajaran bagi kelas yang berlangsung setiap minggu. Begitu juga perlu menghadiri sesi perbincangan dan menyediakan kertas cadangan bagi mengadakan program dan kursus yang telah dirancang.



Cuma malam ini, saya terpanggil untuk menulis sesuatu yang dibualkan antara saya dan ukhti Hafizah. Apabila ditanya kepada saya oleh ukhti Hafizah di perhentian bas pada Khamis lalu mengenai para pensyarah saya di Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, UKM, saya katakan:



"Mereka bukan sahaja bekerja sebagai orang yang mengajar subjek di dewan kuliah dan kelas tutorial tetapi mereka adalah pensyarah yang 'berhati'. Dalam banyak keadaan mereka bersedia menadah telinga untuk mendengar setiap persoalan dan kecelaruan yang membelenggu. Mereka ada senyum, mereka ada tawa dan mereka ada gurauan walau sebenarnya ada penat yang tak mampu terluah. Kak Sakinah hormat mereka sebagai manusia yang baik-baik dan berilmu. Kak Sakinah banyak belajar dari mereka bukan sahaja tentang ilmu tetapi tentang kehidupan. Mereka tidak jemu untuk memberikan semangat dan nasihat agar kita terus menjadi manusia yang selalu dahagakan ilmu dan amanah dengan ilmunya"



Ukhti Hafizah mengukirkan senyuman tatkala mendengar jawapan saya. Saya juga mengukir senyuman. Lalu saya berkata dalam hati saya:



"Saya juga ingin menjadi seorang pensyarah yang bukan sahaja hebat mengajar subjek tetapi saya juga ingin menjadi seorang pensyarah yang 'berhati'. Sebagaimana dahulu Dr Fadlan pernah berkata pada saya: "kerana ustaz dan ustazah adalah doktor jiwa"





Kepada adik-adik yang bergelar ustaz dan ustazah, saya nasihatkan pada diri saya dan anda: "Usah hanya menjadi seorang pengajar tetapi jadilah seorang pendidik. Tentu sahaja seorang mudarris (pengajar) takkan sama nilainya dengan seorang murabbi (pendidik) pada diri seorang pelajar"



Hingga di sini dahulu penulisan saya. Insya Allah, kita bertemu kembali di lain ketika. =)



Wassalam.