29 December, 2011


[Berkongsi semula sebuah penulisan yang dihasilkan pada 16/12/2010]

Saya senyum.

Saya bersyukur dan bangga kerana dewasa ini masjid-masjid di Singapura mempunyai kumpulan remajanya yang hebat-hebat. Bukan semuanya lelaki malah ada juga remaja Muslimah. Mereka sama-sama mengembeleng tenaga bagi merancakkan program-program masjid untuk para remaja Islam di Singapura. Dan dalam banyak keadaan hasilnya adalah CEMERLANG! Subhanallah...





Perjuangan mereka dalam mengajak rakan-rakan remaja Islam mereka yang lain untuk mendekati masjid bukanlah calang-calang usaha. Saya tahu dan amat faham bahawa tentu terlalu banyak pengorbanan yang perlu dilakukan terutamanya dari sudut masa dan tenaga. Justeru, semua itu tidak boleh dipandang dengan sebelah mata. Namun, penulisan saya pada kali ini tidak mahu menyentuh tentang sebarang program yang telah mereka laksanakan. Saya cuma ingin berbicara tentang remaja muslimah yang bergiat aktif di masjid-masjid Singapura yang selalunya lebih dikenali dengan panggilan FATAYAT.

Penting untuk saya tegaskan bahawa remaja muslimah yang ingin berjuang untuk Islam, perlu memahami, menghayati dan mempraktikkan ajaran Islam dengan sebaiknya berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Ini kerana kita bukan sekadar mahu mempunyai remaja muslimah yang hanya tinggi dari sudut semangat juang mereka membawa remaja muslimah lain mendekati Islam dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti tetapi kita juga mahu mereka mempunyai KEFAHAMAN YANG TINGGI dari sudut akidah, ibadah, mu'amalah dan akhlak.


Kenapa saya katakan begini? Kerana saya mahu mengejutkan para remaja Muslimah yang aktif di masjid tapi kurang pengetahuan agamanya malah ada yang tidak mahir dan masih merangkak dalam membaca al-Quran dari tidur mereka yang panjang. Bukan niat saya ingin mematikan semangat mereka dalam berjuang melaksanakan dakwah tetapi saya cuma ingin mereka sedar dan seterusnya bersegera untuk meningkatkan diri mereka dari tidak tahu kepada tahu dan faham [dalam masa yang sama tidak berhenti dari terus bergiat aktif]. Keaktifan mereka di masjid sememangnya adalah sesuatu yang amat terpuji tetapi mereka tidak boleh membiarkan diri mereka terkapai-kapai dalam ketidaktahuan tentang banyak perkara dalam agama Islam. Ini kerana jika remaja Muslimah yang memperjuangkan Islam masih lagi keliru dan tidak faham dengan syariat Islam itu sendiri, bagaimana mereka ingin memimpin orang lain ke jalan yang benar?


Maka saya tidak hairan jika berlakunya ikhtilat (percampuran antara lelaki dan perempuan) yang agak sukar dibendung di kalangan belia dan beliawanis masjid. Tidak juga saya hairan jika masjid menjadi tempat belia dan beliawanis ini menjalin hubungan kasih terlarang dan saya juga tidak pelik jika ada remaja Muslimah masjid yang berpakaian menutup aurat tetapi sebenarnya tidak menutup aurat.


Atas sebab itu, pihak masjid tidak boleh berpada bila mana mereka sudah berada dengan kita di dalam kepompong masjid. Ini kerana kita bukan hanya ingin mereka SETAKAT MENDEKATI MASJID dan MENJADI SUKARELAWAN MASJID tetapi kita ingin mereka MENJADI REMAJA MUSLIMAH yang berkualiti terutamanya dari sudut AKIDAH, IBADAH dan AKHLAK dengan mendapat PEMBELAJARAN DAN KEFAHAMAN ITU DI MASJID.


Kita tidak boleh beranggapan bahawa tatkala seorang remaja Muslimah itu sudah mendekati masjid, menjadi ahli bagi kumpulan belianya dan dalam masa yang sama menjadi sukarelawan masjid, mereka dengan sendirinya boleh menjadi manusia baik yang faham agama. Jika ada pun begitu, ia hanya 3 dalam 10 orang. Lalu bagaimanakah keadaan untuk 7 orang lagi dalam 10 orang itu? Kita membiarkan atau kita berusaha untuk mentarbiahkan? Atau kita kata: "Tak apalah..dah bagus tu dia nak sama-sama dengan kita di Masjid, lama-lama nanti, dia fahamlah. Dia tolong kita pun dah dapat banyak pahala kalau dia ikhlas".


Sebenarnya kesudian mereka untuk berada dalam kumpulan belia masjid mengharapkan diri mereka ditarbiyah dan mendapat pengisian rohani yang sebaiknya. Mereka memerlukan masjid dalam merubah mereka kepada jati diri muslimah yang sebenar. Justeru, kita jangan hanya tahu mengggunakan khidmat mereka dalam 'mengimarahkan' program-program masjid tetapi tidak pandai pula membalasnya dengan cara yang saya kira wajar diberikan kepada mereka. Contohnya: jika mereka tidak pandai membaca al-Quran, usahakan kelas untuk mereka belajar hingga pandai membaca. Jika mereka tidak faham tentang hukum-hakam agama, usahakan satu kuliah khas untuk mereka belajar tentangnya. Bagi saya ini merupakan tanggungjawab masjid yang perlu diberi perhatian agar remaja muslimah mereka terbimbing bukan sahaja dari sudut kepimpinan dan organisasi tetapi juga dari sudut keimanan dan jati diri.

Semua itu adalah penting agar mereka kekal bersama dengan masjid dan merasa bahawa keberadaan mereka di masjid benar-benar berbaloi untuk agama dan diri mereka. Maaf saya kata, amat malanglah andai sesebuah masjid itu hanya mempunyai remaja Muslimah yang hebat dari sudut KUANTITInya tetapi tidak dari sudut KUALITINYA.


Wallahu'alam.

23 December, 2011

07 December, 2011

Tika ada pertemuan
Pasti ada senyuman
Bahagia.....

Bila berlakunya perpisahan
Pasti ada kesedihan
Derita......

Moga bertemu tidak jemu
Berpisah tidak gelisah

Pastinya ada rindu yang membeku di kalbu.

Bertemu dan berpisah kerana Allah.

30 November, 2011

Setiap pagi saya akan menikmati minuman madu hangat sebelum makanan lain di isi ke dalam perut saya. Pada waktu meminum madu itu saya duduk di meja makan yang terletak di ruang tamu dengan menghadap dinding yang ditampal 4 poster oleh suami saya. Antara empat poster tersebut, satu posternya seringkali menarik perhatian saya. Poster itulah yang saya lihat hampir setiap hari iaitu setiap kali saya minum madu, setiap kali saya sarapan dan setiap kali saya menikmati makanan tengah hari. Senang kata, setiap kali duduk di situ sendirian, poster itu akan saya tatap walau saya tahu saya tetap akan menatap perkara yang sama.

Poster itu tidaklah cantik mana, tapi ada sesuatu yang menarik perhatian saya iaitu 'SYURGA'.


Jalan menuju syurga tidaklah semudah yang diucapkan dan diimpikan. Banyak perhentian yang perlu disinggah, itupun belum tentu bila tiba pada perhentian ketiga terakhir (titian sirat), kita akan selamat sampai ke destinasi bernama syurga.

Setiap hari saya melihat poster itu dengan penuh muhasabah. Dahulu saya ada melihat poster yang hampir serupa dengan itu di bilik Dr Fadlan Mohd Othman. Hampir setiap hari juga saya melihat poster itu di biliknya. Pada mulanya saya hanya memandang sepi pada poster itu, tetapi bila suatu hari ketika anaknya yang bernama Maryam, tiba-tiba mengajak saya ke poster itu, kemudian menunjukkan kepada saya dengan jari telunjuknya yang comel sambil berkata: "Apa ni?" Saya senyum lalu menjawab: "Poster".
Inilah poster yang ditampal di bilik Dr Fadlan. Cumanya poster itu berwarna. Anaknya Maryam, telah meminta saya membaca setiap objek di poster itu bermula dari DUNIA hingga SYURGA.
Kemudian anak kecil itu meletakkan jari telunjuknya bermula dari DUNIA dan meminta saya membacakan untuknya. Jarinya berpindah dari satu perhentian ke satu perhentian sehinggalah tiba ke perhentian yang terakhir iaitu SYURGA. Setelah itu saya jadi terdiam seketika. Jiwa saya bergetar saat itu lalu berkata dalam hati: "Ya Allah, jalan menuju ke syurgaMu tidak lah semudah diucapkan dan diimpikan". Bermula dari hari itu, saya sering menatap poster itu ketika sendirian di bilik Dr Fadlan. Terus terang saya katakan, ia mampu memotivasikan diri untuk terus-terusan menjadi manusia taat, baik dan beramal saleh.
Setelah itu [ketika saya sudah tidak terlibat dengan JALSAH], kehidupan saya tidak lagi diserikan dengan poster itu. Lama tidak menatapnya sebagaimana saya berpeluang menatap poster itu bila setiap kali melaksanakan tugasan JALSAH di bilik Dr Fadlan. Hinggalah kemudian saya pulang ke Singapura dan melihat poster yang hampir serupa ditampal oleh suami saya di dinding rumah. Kali ini, memang setiap hari poster itu menjadi tatapan saya. Ia sering membuatkan saya menginsafi diri sendiri. Dalam hati ada gentar dan takut kerana akur diri ini tidak akan terlepas untuk berada pada perhentian demi perhentian itu. Entah bagaimana keadaan diri pada waktu itu. Pada hari yang pasti itu, saya sendiri tidak pasti kedudukan saya.

Amatilah poster itu.

Kita semua akan berada di situasi itu. Kita semua akan mati dan melalui alam barzakh sehinggalah sangkakala ditiupkan. Itulah hari kiamat. Kita bakal melaluinya bersama, di tempat yang sama dan pada masa yang sama. Ke mana kita ingin lari? Ke mana pula ingin kita bersembunyi? Kita akan melalui semua itu dan tiba pada destinasi sebenar kita: Syurga atau neraka. Bayangkan situasi itu lalu adakah kita masih lagi terfikir untuk merancang melakukan dosa?

Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:

"Aku bersumpah demi hari kiamat (1) Dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri) (2) Apakah manusia mengira, bahwa kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang belulangnya? (3) Bukan demikian, Sebenarnya kami Kuasa menyusun (kembali) jari jemarinya dengan sempurna. (4) Bahkan manusia itu hendak membuat maksiat terus menerus. (5) Ia berkata: "Bilakah hari kiamat itu?" (6) Maka apabila mata terbelalak (ketakutan) (7) Dan apabila bulan telah hilang cahayanya (8) Dan matahari dan bulan dikumpulkan (9) Pada hari itu manusia berkata: "Ke mana tempat berlari?" (10) Sekali-kali tidak! tidak ada tempat berlindung!(11) Hanya kepada Tuhanmu sajalah pada hari itu tempat kembali.(12) Pada hari itu diberitakan kepada manusia apa yang telah dikerjakannya dan apa yang dilalaikannya (13)Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri, (14) Meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya (15)" [al-Quran, al-Qiyamah: 1-15].

Saya kembali melihat 'SYURGA' di poster itu.

Sesungguhnya jalan menuju syurga itu ada pelbagai, maka terpulang bagi diri kita jalan mana yang ingin kita pilih. Allah s.w.t tidak hanya menetapkan satu jalan sahaja bagi kita kerana DIA MAHA TAHU tak semua kita MAMPU untuk melalui jalan yang sama.


Ketahuilah, syurga itu dihuni oleh hamba-hambaNYA yang BERKUALITI dan CEMERLANG. Maka seharusnya kita mendidik diri menjadi manusia BERKUALITI dan CEMERLANG dari sudut akidah, ibadah dan muamalah. Tetapi jika sekiranya kita asyik LEMAH DAN TIDAK PERLUKAN PADA KUALITI DAN KECEMERLANGAN, layakkah kita menjadi penghuni syurga?

Lalu tanyalah pada diri:

SYURGA atau NERAKA???

[Nota: Kini poster itu sudah tiada lagi di dinding rumah kerana suami saya sudah memindahkannya ke pejabat beliau].

21 November, 2011

SATU AMANAH

Menerima biasiswa itu adalah SATU AMANAH. AMANAH untuk meneruskan perjuangan bukan sahaja dalam menuntut ilmu al-Quran dan al-Sunnah bahkan dalam mengamalkannya, menyampaikan dan menyebarkannya kepada masyarakat. Mohon doa dari semuanya. [15 November 2011]

video

12 November, 2011

Oleh Sakinah Saptu

Al-Tanjim adalah satu istilah yang agak asing bagi kebanyakan masyarakat Islam. Ia adalah ilmu nujum yang dapat menafikan tauhid dan menjerumuskan pelakunya kepada kemusyrikan kerana orang itu menyandarkan sesuatu kejadian kepada selain Allah s.w.t.[1]

Menurut Ibn Taimiyyah: “al-Tanjim adalah meramal kejadian-kejadian di bumi berdasarkan petunjuk keadaan bintang”.[2] Maka atas dasar itu, al-Munajjim iaitu ahli nujum layak dikategorikan sebagai peramal.

Ilmu nujum sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Qaul al-Mufid 'ala Kitab al-Tauhid terbahagi kepada dua jenis[3]:

i. Ilmu al-Ta’thir. Ia terbahagi kepada tiga:

Pertama: Meyakini bahawa bintang-bintang mampu memberi kesan. Maknanya bintang-bintanglah yang mencipta peristiwa-peristiwa dan kejahatan. Ini adalah syirik besar.

Kedua: Menjadikan ia sebab untuk mendakwa ada padanya (bintang-bintang itu) ilmu ghaib. Contohnya bintang itu menentukan nasib seseorang sama ada kehidupannya bahagia ataupun tidak.

Ketiga: Menyakini ia adalah penyebab berlakunya kebaikan dan keburukan. Contohnya bila berlaku sesuatu dia menisbahkan kejadian itu kepada bintang dan tidaklah dia melakukan ini melainkan setelah berlakunya peristiwa tersebut. Maka ini dikategorikan sebagai syirik kecil.

ii. Ilmu al-Tasyir

Ilmu nujum jenis ini digunakan untuk tujuan kemaslahatan agama, petunjuk arah dan untuk mengetahui musim (dingin atau panas). Dari sinilah muncul hisab takwim, penentuan cuaca dan sebagainya. Maka jenis yang ini dibolehkan dalam Islam.

Mungkin antara sebab mengapa kepercayaan pada al-Tanjim tidak disedari menjalar dalam kehidupan masyarakat Islam ialah kerana dewasa ini ramalan menggunakan bintang lebih dikenali dengan nama horoskop. Horoskop atau ramalan zodiak adalah carta atau diagram yang menunjukkan kedudukan relatif objek langit seperti matahari, bulan, dan planet. Perkataan horoskop berasal dari bahasa Yunani yang bermaksud "melihat jam". Untuk memperoleh horoskop seseorang, tempat, hari dan tarikh lahir orang itu mesti diketahui. Tarikh itu pula akan jatuh pada salah satu daripada 12 lambang zodiak yang sedia ada iaitu Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagittarius, Capri­corn, Aquarius, dan Pisces. Menurut ilmu astrologi setiap zodiak itu mempunyai keperibadiannya yang tersendiri dan nasib setiap orang adalah berdasarkan kepada zodiak serta kedudukan matahari, bulan dan planet pada hari itu.[4]


Kebanyakan dari masyarakat Islam tidak menyedari bahawa perbuatan membaca dan mempercayai horoskop adalah dilarang dalam Islam. Malah perkara ini, jika diamati telah menjadi satu budaya masyarakat Islam terutamanya di kalangan muda-mudi untuk mengetahui bintang (zodiak) masing-masing dan seterusnya mendapatkan ramalan berkenaan apa yang bakal berlaku pada mereka berdasarkan kepada bintang zodiak tersebut. Paling ketara yang dapat dilihat hari ini ialah apabila ramai masyarakat Islam yang terjebak dengan permainan kuiz ramalan nasib dan horoskop di laman sosial Facebook.[5] Perlu ditegaskan bahawa membaca atau sekadar ingin mengetahui nasib diri melaluinya walaupun tidak mahu mempercayainya adalah sama hukumnya sebagaimana seseorang itu berjumpa bomoh tetapi tidak mempercayai kata-katanya. [Rujuk: Perkhidmatan Ahli Sihir Dalam Arus Pemodenan]. Justeru itu, seorang Muslim perlu membebaskan dirinya dari mempunyai sebarang hubungan dengan horoskop melainkan jika penglibatannya dalam horoskop adalah bertujuan untuk menerangkan kebatilan dan kesyirikan yang terkandung padanya kepada orang lain.

Sesungguhnya larangan untuk melibatkan diri dalam ilmu perbintangan dan hal-hal berkaitan horoskop telah dinyatakan sejak dahulu lagi oleh baginda Nabi s.a.w dalam hadisnya, sebagaimana berikut:

عن زيد بن خالد الجهني أنه قال : صلى لنا رسول الله صلى الله عليه و سلم صلاة الصبح بالحديبية على إثر سماء كانت من الليلة فلما انصرف أقبل على الناس فقال : هل تدرون ماذا قال ربكم. قالوا الله ورسوله أعلم قال : أصبح من عبادي مؤمن وكافر فأما من قال مطرنا بفضل الله ورحمته فذلك مؤمن بي وكافر بالكوكب وأما من قال بنوء كذا وكذا فذلك كافر بي ومؤمن بالكوكب. [6]

Maksudnya: Daripada Zaid bin Khalid al-Juhniyy bahawasanya beliau berkata: Kami solat subuh bersama Rasulullah s.a.w di Hudaibiyyah setelah semalamnya turun hujan. Tatkala selesai, Nabi s.a.w menghadap orang ramai lalu bersabda: Tahukah kalian apa yang difirmankan oleh Tuhan kalian?” Mereka menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengatahui. Rasulullah s.a.w menjawab (Allah berfirman): Pada pagi ini ada di antara hambaku yang beriman kepadaku dan ada yang kafir. Adapun orang yang berkata hujan turun kepada kami kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya, maka dia beriman kepadaKu dan kafir kepada bintang. Sedangkan orang yang berkata hujan turun kepada kami kerana bintang itu dan ini, maka dia kafir kepadaKu dan beriman kepada bintang


عن ابن عباس قال : قال النبي صلى الله عليه و سلم : من اقتبس علما من النجوم اقتبس شعبة من السحر زاد مازاد .7]

Maksudnya: Daripada Ibn 'Abbas beliau berkata: “Siapa yang mempelajari satu cabang dari ilmu nujum, maka sesungguhnya dia telah mengambil satu bahagian dari ilmu sihir. Semakin bertambah (ilmu yang dipelajari), maka semakin bertambahlah (dosanya)."

Adapun sebab Islam melarang penggunaan bintang, planet dan matahari sebagai sumber ramalan adalah kerana ilmu-ilmu ghaib tidak tersimpan dalam objek-objek tersebut. Apabila seorang Muslim menggunakan bintang, planet dan matahari untuk membuat ramalan tertentu, seolah-olah dia mempercayai objek-objek tersebut mampu mengkhabarkan kepadanya ilmu ghaib tentang sesuatu yang akan berlaku. Ini semua adalah kepercayaan yang salah kerana tiada siapa atau apa jua yang mengetahui ilmu ghaib kecuali Allah s.w.t.[8]

Sesungguhnya Allah s.w.t telah berfirman:


Maksudnya: Katakanlah lagi: "Tiada siapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah” (65)[9]

Nota Kaki:
[1] Yazid Abdul Qadir Jawas, hlm. 289.

[2] Ali al-Syaikh, Jil. 2, hlm. 420.

[3] al-cUthaimin, Qaul al-Mufid cala Kitab al-Tauhid, Jil. 2, hlm. 5-7. [Perbahasan ini dipetik dengan pengubahsuaian oleh pengkaji].

[4] Wikipedia Ensiklopedia Bebas, Horoskop, t.th, http://ms.wikipedia.org/wiki/Horoskop%20%5b22 Ogos 2008].


[5] Facebook ialah sebuah tapak web rangkaian sosial yang dikendali dan dimiliki secara persendirian oleh Facebook, Inc dengan mempunyai 500 juta pengguna aktif hingga Julai 2010. Facebook diasaskan oleh Mark Zuckerberg bersama teman-teman sebiliknya dan rakan-rakan sekursus Sains komputernya iaitu Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes. (Wikipedia The free Encylopedia, Facebook, http://en.wikipedia.org/wiki/Facebook%20%5b2 September 2010]).

[6] al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab sifah al-Salah, Bab Yastaqbilu al-Imam al-Nas idha sallama, No. 810 & Kitab al-Istisqa’, Bab Qaul Allah ta’ala: “Watajcaluna rizqakum wa antum tukadhdhibun”, No. 991 & Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, Bab bayan kufr man qala mutirna ibnau’i, No. 240.


[7] Abu Daud, Sunan Abi Daud, Kitab al-Tibb, Bab fi al-Nujum, No. 3905 & Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Kitab al-Adab, Bab Tacallum al-Nujum, No. 3729.
Hukum hadis: Dinilai sahih oleh al-Dhahabi dalam kitab al-Muhadhdhab, No. 6/3233, al-cIraqi dalam kitab Takhrij al-Ihya’, No. 4/144 & Abani dalam kitab Sahih Abi Daud, No. 3905 & Sahih Ibn Majah, No. 3017.


[8] Hafiz Firdaus, 13 Perkara yang Mencemari Kemurnian Tauhid, Jahabersa, Johor Bahru, 2008, hlm. 66.

[9] al-Qur’an, al-Naml 27:65.

08 November, 2011

Mempunyai panggilan 'USTAZAH' di awal nama kita bukanlah satu perkara yang main-main. Walau saya tahu, ada antara masyarakat Islam kita tidak memandang tinggi pada jawatan atau gelaran ini, tetapi itu bukanlah alasan untuk kita menjadi setaraf dengan orang awam (orang yang tidak atau kurang mengetahui perkara berkaitan agama).



Satu perkara yang paling utama ialah bagaimana kefahaman kita terhadap dalil yang digunakan ketika menyampaikan ilmu atau menjawab soalan agar kita tidak memberi kefahahaman yang salah kepada orang yang menerima ilmu dari kita.

Saya berikan contoh untuk beberapa situasi seperti di bawah:

Situasi 1


"Saya dah tak tahan lagi ustazah...Balik rumah sahaja mabuk kemudian setiap hari saya dipukul-bantai. Saya nak cerai dari suami saya, boleh tak ustazah?"

Ustazah dengan yakin menjawab:

"Kak, tak elok cakap macam tu. Bergegar 'Arasy bila berlaku perceraian. Saya harap akak bersabar dulu, ya?"

[Hadith yang berbunyi:تزوجوا ولا تطلقوا فإن الطلاق يهتز له العرش

Maksudnya: "Berkahwinlah dan jangan kamu menjatuhkan talak. Sesungguhnya talak itu menggegarkan 'Arasy"

Status hadith: Dinilai sebagai munkar maudhu' oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam kitab Tarikh Baghdad (12/187). Menurut Ibn al-Jauziyy pula, bahawa hadith ini tidak sahih dalam kitab Maudhu'at Ibn al-Jauziyy (3/80). Manakala al-Albani menilainya sebagai palsu dalam kitab al-Silsilah al-Dha'ifah (731).Sila klik sini]


Situasi 2


"Ustazah, ada orang kata doa awal tahun dan akhir tahun tu, tak ada dalil? Betul ke?"

Ustazah menjawab:

"Apa pula? Tu tak penting. Yang penting ia benda baik. Kalau ia baik, buat je lah. Tak salah!"

[Untuk penjelasan sila klik sini]

Situasi 3

"Ustazah, boleh ke, kita bersalaman dengan lelaki bukan mahram bila dia menghulurkan tangan? Nanti bukan ke, kita mengaibkan dia kalau tak sambut tangan tu?"

Ustazah jawab:

"oooo...boleh jer! Kita salam sebab kita 'hormat' bukan dengan tujuan apa pun"

[Sila klik sini]

Situasi 4

"Ustazah, maaf saya nak tanya, tadi ustazah ada sebut tentang hadith, 'Tuntutlah ilmu sampai ke negeri Cina', itu hadith ke, ustazah?"

Ustazah jawab:

"Ya, itu Hadith Nabi. Sejak saya sekolah rendah lagi saya belajar hadith itu"

[Sila klik sini]

Hmmm.....mungkin ada yang tersenyum simpul bila membaca jawapan-jawapan tersebut.

Sebenarnya, apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah, seorang ustazah perlu peka dengan setiap jawapan atau setiap apa yang disampaikan kepada pelajar. Mereka bertanya kerana mereka inginkan kepastian dan jawapan yang jelas. Namun, jika kita hanya memberikan jawapan yang lebih membuatkan mereka merasa tertekan dan keliru, maka kita telah menyebabkan orang yang jahil bertambah jahil dan orang yang memerlukan pencerahan bertambah kabur pula.

Jawapan yang diberikan perlu berdasarkaan kepada dalil al-Quran dan al-Hadith yang SAHIH serta pandangan ulamak yang muktabar. Jika masalah itu ada khilaf (percanggahan pendapat) di sisi ulamak, maka jelaskan di mana khilafnya dan apakah pula jalan penyelesaian dari khilaf tersebut. Bukan menjawab dengan 'agakan' atau 'rasa-rasa' apatah lagi berdasarkan kepada sentimen dan emosi. Jika sekiranya kita tidak pasti atau tidak tahu pula, katakan sahaja: "Saya tidak pasti dan insya Allah, saya akan mencari jawapan untuk membantu merungkaikan masalah itu"

Jangan malu untuk berkata begitu. Ini kerana bila kita 'cuba' menjadi orang yang pura-pura tahu, kita akan salah memberi jawapan yang akan mengakibatkan orang tersalah faham terhadap agama dan bahkan boleh menyebabkan mereka beramal dengan sesuatu ibadah yang tidak terkandung dalam ajaran Islam.

Seperkara yang saya khuatirkan ialah bila di kalangan ustazah yang kurang mahir dalam mengenalpasti derajat sesuatu hadith. Situasi itu akan menyebabkan penyampaian ilmu atau jawapan kita berdasarkan kepada hadith-hadith masyhur yang tidak dinilai oleh ulamak hadith sebagai hadith Nabi s.a.w. Bila kita menyampaikan sesuatu yang sebenarnya bukan hadith Nabi, kita pula telah melakukan satu jenayah dalam agama iaitu berdusta atas nama Nabi s.a.w.

Berat!

Makin berat bila wujudnya anak murid yang taasub dengan seseorang ustazah. Bila ada ustazah lain yang cuba membetulkan kesilapan atau perkara yang diterlepas pandang itu, maka ada pula anak-anak murid taasub yang akan berkata:

"Eh takkan ustazah tu, salah dan tak tahu, pula? Lama saya belajar dengan ustazah tu! Saya nak pegang juga dengan pandangan ustazah tu!"

Ish....siapa pula kata ustazah tu salah dan tak tahu?

Kadang-kadang ustazah tu tak salah, cuma dia terlepas pandang atau mungkin apa yang dikatakannya itu bukanlah dalam bidang pengajiannya yang menyebabkan dia kurang faham dan akhirnya memberikan penjelasan yang kurang tepat.

Maka wahai anak-anak murid sekalian....jangan taasub guru! Nanti anda sesat jalan =) Seperkara lagi, dalam menuntut ilmu dan mencari kebenaran, kita bukan ikut kata guru semata tapi kita ikut kata-kata guru yang mana kata-kata itu adalah berdasarkan kata-kata Allah dan Sabda Nabi Muhammmad s.a.w disertakan juga dengan perbahasan di kalangan ulamak.

Dan kepada mereka yang bergelar ustazah (termasuk lah diri saya):

"Dalam menyampaikan ilmu kita perlu AMANAH. Apakah status hadith yang kita gunakan dan pandangan ulamak manakah yang kita lontarkan? Kalau tak tahu, mengaku sahaja tak tahu dan cuba cari jawapannya agar kita tahu kerana ilmu agama mana mungkin boleh di'goreng-goreng'. Perlu diingat, dewasa ini ramai orang yang bukan bidang agama begitu mahir dalam bab agama, bila anda dikesan oleh mereka dengan 'menggoreng' ilmu agama, ia akan menjatuhkan nilai diri anda sebagai seorang agamawan "

Maafkan saya jika ada yang terasa hati dengan penulisan yang dibuat dengan penuh rendah hati ini.

Bukan niat untuk menyindir sesiapa tetapi lebih kepada untuk kita sama-sama mempertingkat diri menjadi ustazah yang lebih berbakti.

Biar kita insafi di dunia lagi agar nanti di akhirat tidak kita kesali.

_______________________
*Pautan yang saya berikan di akhir setiap dialog adalah laman yang saya pilih sebagai bacaan lanjut agar penulisan saya difahami. Wallahu'alam.

04 November, 2011

افتقدك كثيييييرا

[Saya amat merasai kehilangan kamu]


Itu adalah luahan seorang pelajar yang sudah lama tidak bertemu dan dia meminta saya memberikan tazkirah ringkas khas untuknya di FB.

Saya senyum.

Terbayang wajah empunya diri serta kebaikannya terhadap saya sepanjang mengenalinya. Kini beliau jauh dari saya kerana meneruskan perjuangan menuntut ilmu di bumi yang mencatatkan perjuangan dakwah Nabi Musa a.s.

Ada RINDU yang sukar untuk saya luahkan.



Dahulu semasa dia berada di bawah bimbingan saya, dia hanyalah seorang pelajar di peringkat thanawiyah (sekolah menengah) tapi kini dia sudah melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah sarjanamuda.

Begitu pantas masa berlalu!

Saya akhirnya katakan kepada dia:

"Saya tak ada apa nak tazkirahnya =) cuma ingin berpesan sebagaimana yang pernah disabdakan oleh baginda Nabi s.a.w kepada isterinya Aisha r.a:

عَلَيْكِ بِتَقْوَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالرِّفْقِ فَإِنَّ الرِّفْقَ لَمْ يَكُ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا زَانَهُ وَلَمْ يُنْزَعْ مِنْ شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا شَانَهُ

Maksudnya: Bertakwalah kamu kepada Allah azza wa jalla dan bersikap lembut lah, kerana kelembutan tidak akan ada pada sesuatu melainkan ia akan menghiasinya dan tidaklah dihilangkan dari sesuatu melainkan akan memperburukkannya.
(H.R Ahmad dalam kitab Musnadnya dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam kitab Sahih al-Jami' No. (7927)"

Itu adalah antara untaian sabda baginda yang begitu indah.

Pesan yang menusuk di kalbu tentang TAQWA dan tentang KELEMAHLEMBUTAN.

Andai ada kelemahlembutan (lunak dan hikmah) dalam diri dan setiap tindakan yang dilakukan, ia akan menjadi penghias (mencantikkan) peribadi dan memberi hasil yang baik bagi tindakan itu. Tapi jika ia tiada, ia hanya memburukkan peribadi dan akan menghasilkan kesan buruk dari tindakan yang dilaksanakan.

Itulah sabda Nabi s.a.w kepada isteri baginda Aishah r.a dan saya sampaikan kepada seorang anak didik yang jauh di mata.

Tidak lupa juga, saya tujukan sabda itu untuk diri saya sendiri serta semua Muslimah di luar sana.

Moga ada manfaatnya.

Wallahu'alam.

03 November, 2011

Bismillah

Lama bukan saya tidak menulis di sini?

Bukan tidak mahu cuma mungkin kerana lidah saya kelu yang menyebabkan jari-jemari saya kaku.

Ada perkara yang mematikan rasa tapi bukan perjuangan.
Ada perkara yang menggugat semangat tapi ia bukan penghalang untuk meneruskan kehidupan.

Tatkala dalam hati kita punya seribu satu kesedihan yang tidak terluah, kita hanya punya airmata sebagai pengganti bicara. Ketahuilah, mengalirkan airmata bukan tanda TIDAK REDHA.



Saya terus berusaha mengukir senyuman kerana selalu percaya bahawa senyum itu indah walau hati berkalang gundah. Biarlah dengan apa jua yang berlaku dan atas alasan apa pun diberikan kepada saya kenapa ia berlaku, tapi bila sekali jiwa dilukai ia tetap meninggalkan kesan yang dalam.

Luka sudah baik tapi parutnya tetap ada.

Alhamdulillah,
airmata sudah berhenti,
tidak mahu ada lagi benci,
masih ada kasih dalam hati,
walau sudah tawar hati,
Sungguh ia adalah hadiah dari Ilahi.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahaan, kesedihan, gangguan dan kegelisahan sehinggalah duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian dari dosa-dosanya”(HR al-Bukhari, No 5514).

24 October, 2011

13 October, 2011

"Wahai saudari Muslimahku, dalam hidup ini,
untuk berjuang atas nama agama,
tidak semudah diucapkan di hujung bibir
dan untuk menegakkan manhaj yang benar
bukan semudah melagukan nyanyian di telinga manusia.

Namun, kesusahan dan kepayahan ini tidak bermakna kita perlu meninggalkan dakwah.



Kita terlalu banyak mengadu dan merintih
tentang itu yang tidak dipuashati
tentang ini yang tidak disukai

Jangan hanya sibuk dengan memikirkan tentang kekasih hati
Jangan hanya sibuk dengan mengimpikan pakaian dan aksesori
Jangan hanya sibuk dengan artis di kaca TV
Jangan hanya sibuk dengan meluah perasaan di FB
Mana al-Quran dan mana kitab hadismu?
Mana kitab dan bahan bacaan mu?

Bergeraklah...jangan terlalu lemah!
Islam bukan sahaja memerlukan Muslimin
tetapi ia juga amat memerlukan Muslimat

Seperkara yang perlu kita ketahui
lemahnya lelaki adalah kerana manjanya wanita
Andai wanita itu manja dengan dunia
maka lelaki akan lemah pada agama
kerana wanita sering 'memaksa' lelaki
untuk menunaikan kehendak dunianya
wanita inginkan kemewahan dan kesenangan
kebanggaan dan penghormatan
akibatnya, lelaki tiada masa untuk agama
lantaran sibuk untuk menunaikan kehendak dunia wanita.

Maka lihatlah, di manakah dirimu wahai Muslimah
adakah kamu mengobarkan semangat juang lelakimu untuk dakwah?
atau adakah kamu mengobarkan semangat juang lelakimu untuk dunia?

Dan kita pula bagaimana?
Apakah yang telah dan akan kita lakukan untuk ISLAM?

Saya ada jawapan saya sendiri dan saya yakin anda sebagai insan bergelar Muslimah juga ada jawapan anda sendiri"

Salam Kasih

Sakinah Saptu

Saat hatiku diketuk oleh kasihmu
Aku redha dengan ketentuan
Walau dirimu masih asing dalam hidupku
Tidak kukenal budimu
Tidak kuselam hatimu
Aku yakin akan takdir Tuhan
Aku pasrah dengan jodoh pertemuan



Kerana telah ku berjanji pada Ilahi
Tidak kucintai seorang lelaki
Melainkan tali akad itu pasti disimpul mati

Walau mak kata masih terlalu awal
Walau ramai kata adakah sudah kenal
Aku yakin dengan ketentuan Tuhan
Kau tetap menjadi pilihan

Jelas cintaku
demi iman
Jelas kasihku
demi Islam
Walau banyak kelebihan dan kekurangan
Untuk apa kupersoalkan
Kerana semua manusia tidak ada kesempurnaan

Biar Tuhan menjadi saksi
Di atas cinta yang terpatri
Berpaksikan iman di hati
bahawa kasih ini
adalah untuk seorang lelaki
Suami yang kucintai.

Sakinah Saptu
1 Mei 2007

04 October, 2011

Aku mencari
puteri-puteri yang ingin tetap berada di jalan dakwah.
Puteri-puteri yang mencari kebenaran dan BERANI untuk thabat di jalan Sunnah.
Puteri-puteri yang hatinya penuh dengan cinta dan cita
Puteri-puteri yang hatinya rindu kepada ilmu untuk agamanya



Menangis matanya kerana takutkan penciptaNya
Sayu jiwanya kerana melihat kepincangan dalam masyarakatnya
Mereka menegakkan kebenaran bukan kerana manusia
Mereka menghalang kemungkaran bukan kerana nama
Puteri-puteri yang sedar bahawa cinta seorang da'iyah bukan cinta biasa.

Tinta Kasih

Sakinah Saptu

23 September, 2011



Pada Ajid pernah ku coretkan:

Di dalam perkahwinan ini ada lebih, ada kurangnya
Maafkan di atas segala kekurangan
Bersyukurlah di atas segala kelebihan
Moga Ajid faham
Hati ini sentiasa hidup
Hidup untuk berjuang demi agama Allah
Hidup untuk terus berada di jalan Allah…

07 September, 2011

30 August, 2011


22 August, 2011

Saya tidak berapa sihat malam itu.

Terlebih lagi saya terlalu letih lantaran paginya saya berada di auditorium Masjid Sultan untuk menyampaikan Kuliah Bimbingan Dewasa (Andalus). Kemudian pulang sahaja ke rumah saya duduk di hadapan laptop untuk membuat persediaan mengajar bagi Sijil Pengajian al-Quran di Institut pengajian Tinggi al-Zuhri pada jam 2.00 petang pula.

Kelas petang itu berakhir pada jam 4.30. Sungguh tidak terkata lemahnya saya.

Tapi, saya sudah berjanji. Maka saya sedaya upaya menunaikan janji tersebut.

Akhirnya, dengan izin Allah s.w.t, solat Isyak, tarawih dan witir di Madrasah Alsagoff diimamkan oleh saya pada malam itu.

Selepas solat saya perlu pulang kerana saya tak betah untuk menunggu lama.

Saya dipeluk oleh seorang demi seorang asatizah yang pernah mendidik saya sedari saya berada di darjah satu sehinggalah saya bergelar graduan Madrasah Alsagoff.

Waktu itu, Allah sahaja yang tahu perasaan saya. Syahdu!

Pelukan ustazah Sapiah serta kata-katanya amat menyentuh perasaan saya.

Dia menghantar saya pulang hingga ke pintu gate madrasah.

Sungguh, pelukannya pada malam itu memang cukup erat.

"Ustazah doakan saya" Dia senyum lalu mengusap lembut badan saya.

Katanya:"Insya Allah, khair.."

Ada airmata yang tak mampu saya tahan lalu dia berkata lagi kepada saya:

"Selalu-selalu datang ke sini untuk beri contoh pada adik-adik"

Saya balas permintaan itu dengan senyuman dan airmata.

Bila saya kata:

"Jangan pandang saya terlalu tinggi, ustazah. Saya tak ada apa-apa"

Dia kata: "Anti berhak!"

Airmata saya semakin laju tak mampu saya tahan....

SAYA RINDU.

18 August, 2011

Untuk mereka yang masih belum berpunya kerana setia mencari CINTA HALAL iaitu cinta selepas pernikahan....



"This is a poem dedicated to all single Muslim brothers and sisters who reject following their desires and falling into haraam but are instead keeping halal until they get married. Because everyone needs a little encouragement sometimes!" :)

08 August, 2011

For anyone who listens to my lectures or those of someone else, and for anyone who reads my works or those of someonE else, Do not let your heart soften up with anything MORE THAN THE QURAN! By Allah, Listening to thousands of lectures does not even equate to one verse from the book of Allah! -Syaikh Salih al-Maghamsi.


He advises everyone to remember three things:
1) No one is greater than Allah
2) No speech is greater than the speech of Allah
3) No one knows more about Allah than He

05 August, 2011

LOVE OF ALLAH

03 August, 2011

Bismillah wassolatu wassalamu 'ala Rasulillah

Alhamdulillah, atas nikmat diberi peluang untuk bertemu Ramadhan sekali lagi. Moga kita berusaha sebaik mungkin untuk memanfaatkan bulan yang mana pada bulan ini, pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup serta syaitan-syaitan dibelenggu.

Sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadith, daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةَ ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: Apabila Ramadhan tiba, pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup serta syaitan-syaitan dibelenggu. [H.R al-Bukhari, dalam kitab Sahih al-Bukhari, No. 1898 dan Muslim, dalam kitab Sahih Muslim, No. 2547]




Untuk makluman, saya akan kurang menulis dalam bulan Ramadhan ini kerana masa yang amat terhad untuk saya luangkan. Bagi pelajar-pelajar Muslimah saya di Singapura yang ingin bertadarus al-Quran bersama saya, boleh mengunjungi Masjid Darul Ghufran.



Sesi tadarus bersama saya diadakan sepanjang bulan Ramadhan, pada hari Isnin-Khamis dari jam 11.30 pagi -1.00 petang.

Manakala pada setiap hari Jumaat, saya berada di Masjid yang sama tetapi untuk sesi Klinik al-Quran dari jam 2.30-4.00 petang.

Akhir sekali, sebagai sebuah perkongsian yang boleh kita renungkan bersama: Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda:

مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ تَعَالَى يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya:

Tidaklah satu kaum berkumpul di salah satu di antara rumah-rumah Allah, membaca Kitabullah dan mempelajarinya di antara mereka kecuali akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), mereka dinaungi rahmat, dikelilingi oleh para Malaikat dan Allah memuji mereka di hadapan para Malaikat yang ada di sisi-Nya.[H.R Muslim, dalam kitab Sahih Muslim, No. 7028].

Sekian, Wassalam.

29 July, 2011

Bismillah


Semenjak semalam saya agak terkesan dengan sebuah nasyid Arab tentang persahabatan yang saya lihat di laman youtube. Bila melihat video itu saya terkenangkan rakan lama saya bernama Asyunifar.


Beliau adalah rakan baik saya ketika di Madrasah Alsagoff al-Arabiah. Walau persabahatan itu bermula bukan dari peringkat rendah persekolahan tetapi saya amat bersyukur dengan ikatan ukhwah antara kami.

SAYA DAN ASYUNIFAR

Pada dua tahun terakhir persekolahan, banyak perkara yang kami lalui bersama dari peristiwa yang manis-manis hinggalah ke peristiwa yang pahit-pahit. Terus terang saya katakan, kami banyak menghabiskan masa bersama di dalam dan di luar waktu sekolah.

Di dalam sekolah, kami sama-sama diberi amanah untuk memegang jawatan muraqibah umum (pengawas) yang mana pada waktu itu saya merupakan ketua kepada semua muraqibah. Kemudian kami dilantik sebagai pembahas Madrasah Alsagoff seterusnya dengan kesungguhan kami lalu terbentuklah Persatuan Muraqibah Umum (PMU) yang mana ia menjadi batu loncatan kepada kewujudan PRISMA (saya tak pasti akan ejaan itu dan saya juga tidak pasti adakah PRISMA masih lagi bergerak aktif ataupun tidak).

Manakala pada waktu luar sekolah, kami sering ke mana-mana bersama sama ada ke rumah teman, mencari dan membeli barang keperluan atau perkara-perkara lain yang kami rasakan kami perlu pergi bersama. Dan persahabatan antara kami berdua ini juga dikongsi bersama empat orang rakan kami yang lain iaitu Jumaesah, Syahidah Said, Hikmah dan Hafizah Wahab. Cuma antara kami berenam, saya dan Asyunifar lebih diibaratkan umpama isi dengan kuku.

BERPISAH

Sehingga tiba detik saya, Asyunifar dan rakan-rakan lain menjadi agak renggang walau masih lagi baik. Ini kerana mereka berlima melanjutkan pengajian di KISDAR (kini dikenali dengan KUIS). Manakala saya pula memilih untuk melanjutkan pengajian saya di Maahad Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat.

Kami direnggangkan oleh jarak dan masa serta komitmen terhadap pengajian dan pekerjaan yang tidak mampu kami elakkan. Tambahan pula, saya seringkali berada jauh di UKM dan jarang-jarang pulang ke Singapura. Seterusnya saya pula melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana sedangkan Asyunifar dan yang lainnya sudah lama berada di Singapura dan menceburi bidang pekerjaan. Jauh di sudut hati ini, saya rasa begitu asing dari hidup mereka.....

DULU DAN SEKARANG

Tapi saya akur, begitulah kehidupan. Dulu dan sekarang tentu sahaja berbeza. Dahulu adalah usia belasan tahun yang fikiran kami hanya memikirkan tentang belajar dan kawan tetapi sekarang fikiran kami lebih memikirkan tentang tanggungjawab dan amanah yang disandang sebagai seorang dewasa yang sudah berkerjaya dan berkeluarga.

CERITA CINTA LOLLIPOP

Apapun saya teringat pada cerita cinta lollipop yang pernah saya kongsikan di perhentian bas dengan beberapa pelajar akhawat K10 al-Zuhri. Sambil memberikan kepada mereka gula-gula lollipop saya bercerita:

"Anggaplah kawan kita macam gula-gula lollipop"

Saya senyap dan mereka pula kebingungan. Tanya salah seorang di antara mereka:

"Maksudnya ustazah?"

Saya senyum lalu berkata: "Bila kita makan lollipop kita ada dua pilihan sama ada untuk memegang batang gula-gula ini ataupun membiarkan ia (tanpa memegang batang gula-gula itu). Anggaplah ketika kita memegang batang itu, kawan kita sedang berada dalam kesusahan di mana dia memerlukan kepada sokongan dan dorongan kita. Dan anggaplah apabila kita memakannya tanpa memegangnya, kawan kita itu sedang dalam keadaan yang menyenangkan dan menggembirakan"



Saya diam seketika sebelum menyambung kata.

Mereka masih lagi kebingungan nampaknya. Lalu saya meneruskan bicara:


"Kesimpulannya, sama ada kawan kita itu berada dalam keadaan senang atau susah, dia tetap manis bagi kita. Kita tidak akan membiarkan dia dan akan sentiasa bersamanya. Macam itulah juga gula-gula lollipop, sama ada kita makan ia dengan memegang batang gula-gula itu atau tidak, ia TETAP MANIS"

Mereka pun senyum lalu berkata: "Oooooo...faham-faham" =) =) =)

UHIBBUKUNNA FILLAH

Hmmm..begitulah juga rakan saya, Asyunifar dan yang lainnya. Mereka TETAP MANIS bagi saya. Sungguh...walau kita jauh di mata tapi dekat sekali di hati ini.

Uhibbukunna Fillahhh...

Sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda;

إِذا أَحبَّ أَحدُكُم أَخاهُ فَليُعلِمهُ أَنهُ أَحبَّهُ

Maksudnya:
"Jika Salah seorang dari kamu mencintai saudaranya, hendaklah dia memberitahu kepdanya bahawa dia mencintainya"
[H.R Ahmad dalam kitab Musnad Ahmad Ibn Hanbal (No. 17171). Dinilai sahih dalam kitab Sahih al-Jami' (No. 279)]

28 July, 2011

27 July, 2011

Bismillah wassolatu wassalamu 'ala rasulillah

Hari ini saya rasa ingin menulis kerana begitu lama tidak mencatat tentang pelayaran hidup sehari-hari. Banyak sebab mengapa saya menyepi. Saya senyum pahit.

Ada orang kadangkala memandang serong dengan usaha kita menulis kerana sesetengah orang akan menyangka kita hanya ingin menarik perhatian orang dan berbangga dengan apa yang kita lakukan. Tetapi, bila difikir-fikir, untuk apa kita ingin menarik perhatian orang dan untuk apa pula kita berbangga dengan setiap pencapaian kita. Bukan itu tujuan kita. Kita hanya ingin menjadi pembakar semangat kepada insan bernama adik-adik Muslimah yang saya akur, kebanyakannya masih lagi keliru laluan mana yang perlu diredah dan jalan mana yang perlu diambil untuk meneruskan kehidupan. Mereka memerlukan kisah sehari-hari sebagai penguat semangat untuk terus thabat dalam melalui laluan ilmu dan dakwah. Mereka perlu diperingatkan bahawa ilmu bukan setakat dipelajari tetapi amat perlu untuk dipraktikkan dan diajarkan kepada orang lain.

Penting untuk saya tegaskan, berkongsi tetang perjalanan hidup bukan bererti kita ingin mencanangkan pada dunia bahawa kita adalah muslimah yang baik yang perlu dijadikan role model tetapi lebih kepada sekadar ingin menjadi sumber inspirasi dan menyakinkan kepada yang lain bahawa agama perlu dijadikan sebagai jalan hidup yang tidak harus diketepikan. Kerana sekitar kita sendiri sudah memperlihatkan betapa ramainya muslimah yang tidak yakin dengan agama mereka walau bergelar muslimah. Betapa ramai pula Muslimah yang teragak-agak untuk berpegang teguh dengan agama kerana bimbang diri tidak bebas untuk melakukan apa yang diinginkan.

Atas sebab itu, saya banyak menghabiskan masa saya dengan para pelajar Muslimah saya yang masih muda berumur antara belasan tahun dan dua puluhan tahun. Duduk bersama mereka sambil berbual dan berkongsi cerita suka dan duka. Bukan hanya menceritakan tentang pengalaman belajar dan hidup saya tetapi yang paling penting menceritakan kepada mereka tentang kalamullah dan sabda nabi s.a.w yang sahih. Mereka tersenyum, tertawa dan MENANGIS.

Lalu saya berkata pada diri:

"Jika bukan kita yang menunjukkan jalan yang benar kepada mereka.....SIAPA LAGI?"

Berikut saya sertakan bersama lagu yang dihadiahkan oleh pensyarah saya, Dr. Fadlan Mohd Othman. Bait kata dalam lagu ini, seringkali menjadi pembakar semangat untuk saya terus berada di laluan ini:


Ayuhlah…..
Wahai pemudi pendakwah
wahai pemudi pembawa nasihat
wahai pemudi yang beramal

Ayuhlah…..
Demi berkhidmat kepada agamanya
Dia sanggup berletih matanya dan bangun di malam hari
Berdakwah tanpa mengenal penat lelah
menyeru kepada pekerjaan yang baik

Ayuhlah…..
Berdakwah kepada jalan yang lurus
dalam masyarakatnya dia adalah seorang yang memberi petunjuk (tunjuk ajar)
yang dapat memberi faedah

Ayuhlah…..
Dia memberi nasihat tatkala melihat kesalahan
Dan semuanya merupakan pengorbanan dan pemberian
Dia memberi taujihat dan pengajaran
melaluinya dapat merawat hati-hati

Ayuhlah…..
Dia mengingatkan kepada dambaan keampunan Allah
pada hamba yang kembali bertaubat dan meninggalkannya dosa-dosa
yang mengadu pada Penciptanya dan bertaubat
dek takut dengan gugatan-gugatan azab

Ayuhlah…..
Dia membawa risalah dari langit [memperjuangkan agamanya]
membuang hati-hati yang kosong [tandus]
memberi pengajaran peringatan bagi pemudi-pemudi
yang alpa dan mengikut hawa nafsu mereka

Ayuhlah…..
selayaknya baginya ucapan terima kasih
atas pelakukan mereka yang terpuji
baginya pujian dan penghormatan
selayaknya baginya pemudi yang mulia
Ayuhlah…..

Diterjemahkan oleh Ustaz Mohd Norzi Nasir [Jazakallah]


01 July, 2011

Pada awal tahun 2011, siri perjalanan 'siiru fil ardi fanzuruu' saya menjelajah ke kota Barcelona, Sepanyol. Pada pengamatan saya, kota Barcelona tidak ada apa yang menariknya. Hanya sebuah kota yang dipenuhi dengan pengunjung dari pelbagai negara dan dihiasi dengan bangunan-bangunan yang dikira sebagai unik pada mata sesetengah pengunjungnya. Mungkin kerana jiwa saya bukanlah penggemar kepada seni bina bangunan yang tiada ciri-ciri keislaman membuatkan saya melihatnya bukan dengan pandangan seni tetap lebih kepada pandangan sepi. Sesepi kota itu dari bi'ah Islamiah walaupun sebenarnya sejarah tidak pernah menipu bahawa Islam pernah bertapak beberapa abad di Sepanyol dan mencipta ketamdunannya dan menjadi batu loncatan kepada dunia Eropah merasai keagungan ilmu serta pencetus kepada keintelektualan manusia.

Tiga hari pertama di sana, kami (saya dan suami) sempat megunjungi beberapa tempat yang menjadi tarikan pelancong di Barcelona.











GRANADA

Pada hari keempat kami menjejakkan kaki di bumi GRANADA. Ketibaan kami pada pagi itu disambut oleh kabus yang agak tebal dengan cuaca yang sejuknya bukan kepalang. Dengan menaiki teksi kami tiba di Portago Suites tempat penginapan kami yang cukup cantik dan menarik bagi saya.





Tidak seperti di Barcelona, Granada lebih mudah untuk mencari makanan halal. Ini kerana kebanyakan peniaga di sana merupakan peniaga Arab yang berniaga pelbagai macam barangan yang terdiri dari barangan cenderamata hingalah kepada makanan mentah seperti daging dan ayam halal. Di sini, sering sekali kami disapa dengan ucapan 'Assalamu'alaikum'.






MASJID AL-TAQWA

Tidak jauh dari tempat penginapan kami ada sebuah kedai runcit yang dikendalikan oleh sepasang suami isteri beragama Islam yang berasal dari India. Mereka amat peramah dan alhamdulillah baik orangnya. Isterinya telah membantu kami menunjukkan jalan ke masjid al-Taqwa yang terletak tidak jauh dari kawasan penginapan kami. Sampai di sana kami mendapat taklimat ringkas dari seorang peniaga Arab berkenaan masjid tersebut. Sayangnya masjid pada waktu itu tidak dibuka kerana ia hanya dibuka pada waktu solat sahaja. Justeru, kami tidak berpeluang untuk masuk ke dalam masjid.




MASJID GRANADA

Perjalanan kami diteruskan dengan mengunjungi MASJID GRANADA yang terletak di kawasan perumahan AlBaicin. Kami menuju ke masjid tersebut dengan menaiki bas comel bernama 'al-Hambra'. Masjid ini terletak bersebelahan dengan Mirador de San Nicholas. Dari perkarangan masjid tersebut, pengunjung dapat melihat al-Hambra dan kawasan sekitarnya. Masjid ini cantik, tapi sayangnya amat sunyi sepi dan keberadaannya pula lebih menjadi tempat tarikan pelancong dari pelbagai bangsa dan agama. Kami amat bertuah kerana dibenarkan masuk ke dalam Masjid oleh pegawai yang bertugas di Masjid itu.





Untuk melihat gambar Masjid al-Taqwa dan Masjid Granada sila ke link ini.

Lalu bagaimana pula dengan AL-HAMBRA?

Semasa melihatnya saya terkesima dan berkata dalam hati:

"Ya Allah...Islam itu tinggi dan tidak ada apa yang dapat menandingi ketinggiannya. Dan ketinggiannya itu hanya dirasai oleh MUSLIM YANG MENGERTI"

Insya Allah, kita berjumpa di penulisan saya yang seterusnya berkenaan pengalaman saya berada di dalam al-Hambra.

18 June, 2011

07 June, 2011

Tujuh Tahun


Sudah genap usianya 7 tahun.

Tapi saya tiada kata untuk mengatakan apa-apa pada kali ini. Akhirnya ia mengingatkan saya, pada penulisan saya saat ia menjejaki tangga ke 6 pada tahun lalu. Apa yang diluahkan pada tahun lepas, tentu sekali sama seperti tahun ini. Walau saya tahu, terlalu banyak perkara yang berlaku saat-saat ia sedang hampir ke angka 7. Tapi semua itu merupakan satu pengalaman pahit manis rumahtangga yang pasti berlaku pada sesiapa sahaja. Dalam sebuah perkahwinan, KESABARAN dan sikap BERTOLAK-ANSUR adalah paling utama.

Perlu untuk saya katakan, bernikah pada usia yang muda tidak pernah saya kesali bahkan ia merupakan satu rahmat yang perlu disyukuri.

Alhamdulillah atas segalanya.

Berikut saya muatkan kembali penulisan tahun lepas saat usia pernikahan menjangkau ke enam tahun:

ENAM TAHUN

Beberapa hari yang lalu, genap usia pernikahan saya menjangkau ke angka 6.



Kadang-kala memang tak sedar bahawa saya sudah agak lama berada di alam rumah tangga. Maklum sahaja, belum punya cahaya mata mentelah lagi terlalu sibuk dengan dunia pengajian.

Dalam masa 5 tahun pernikahan itu pula, kami sering duduk berjauhan. Bertemu hanya sebulan sekali. Maka berpisah dalam masa yang lama sudah begitu sebati dalam diri saya. Tiada tangisan dan tiada juga keluh-kesah yang memanjang walau sering diulit rindu yang datang dan pergi dan tanpa segan silu mengetuk pintu hati.

Kemudian saya teringat pada seorang adik yang pernah melahirkan rasa rindunya yang teramat sangat pada suaminya. Dalam keluh-kesah dihimpit rindu itu dia bertanya kepada saya:

"Kak..macam mana akak boleh hidup macam ni? Saya tengok akak ok je? Ceria. Akak tak rindu suami akak, ke?", tanyanya penuh kehairanan.

Saya senyum. Lalu menjawab persoalannya:

"Hmmm..tak normal lah kalau akak kata, akak tak rindu. Mesti rindu. Cuma, ia perlu dikawal. Kita perlu bijak kendalikan perasaan kita. Kita yang pilih untuk hidup cara begini, jadi untuk apa kita menangis dan bermuram duka. Nanti, nak study pun tak boleh. Kat sini (UKM), banyak perkara yang perlu kita selesaikan. Nak ulangkaji pelajaran, buat kajian, assignments dan banyak lagi perkara lain. Kena banyak sabar. Rindu tetap rindu"

"Saya tak sabar nak habiskan degree saya. Saya nak duduk dengan suami saya. Tak tahan dah rasa duduk jauh-jauh macam ni. Saya tak kuat...." Luahnya dengan hiba lalu ada air mata yang tak mampu ditahan mengalir di pipinya. Dia megesat airmata dengan hujung tudung labuhnya.

Saya merenung wajahnya yang comel lalu menggenggam jari-jemarinya.

"Adik...", sebenarnya saya turut sayu melihat keadaannya. Terhenti sebentar kata-kata yang ingin saya hadiahkan kepadanya. "Masa mula-mula adik nak nikah, tentu adik rasa adik kuat untuk hadapi semua ini,kan?"

Dia menganggukkan kepalanya. Saya menyambung bicara:

"Tidak ada siapa yang memaksa kita memilih jalan ini. Bernikah dan dalam masa yang sama belajar. Kemudian berpisah dengan suami. Itu pilihan kita. Maka, kita juga yang perlu laluinya tanpa sebarang keluh dan kesah. Tidak ada alasan yang perlu kita bina setelah kita sendiri memuktamadkan sebuah keputusan. Banyakkan bersabar..sikit je lagi untuk habiskan degree. Lagi berapa bulan sahaja. Lepas ni, dah boleh balik kampung, duduk dengan suami"

Dia senyum mendengar kata-kata saya. Saya juga senyum.

"Lepas tu..adik sambunglah master", kata saya sengaja mengusiknya.

Lalu dengan cepat dia berkata: "Ha....tak nak!!! Cukuplah degree ni merana!"

SAKIT RINDU

Saya tidak menafikan bahawa berkahwin dan kemudiannya belajar bagi seorang perempuan adakalanya amat menguji kekuatan diri dan perasaan. Lebih-lebih lagi untuk mereka yang terpaksa duduk berjauhan dari suami tersayang. Benar, mungkin ada yang kata, apa yang nak rasa susahnya bila suami dan anak-anak (bagi wanita yang sudah mempunyai anak)duduk berjauhan. Bukankah itu lebih memudahkan diri yang memang sedia sibuk dengan pengajian. Ya, secara zahirnya memang nampak tiada susahnya. Tapi secara batinnya hanya Allah sahaja yang tahu. Semuanya kerana RINDU. RINDU HALAL itu MEMANG INDAH walau sakitnya AMAT PARAH. Bila diri diulit rindu, tentu sahaja tidak terluah dengan apa jua kata. Sebenarnya kata-kata tak mampu untuk mengungkap bagaimanakah rasa rindu itu. Selalunya tiada kata atau bicara, yang ada hanya airmata.

Begitulah rasa yang mendera dalam masa lima tahun perkahwinan ini. Sentiasa diulit sakit rindu yang tidak pernah mengenal erti jemu untuk bertamu. Namun, apakah perlu untuk saya laluinya dengan penuh tangisan dan keluhan hiba yang tidak sudah-sudah? Perjalanan saya dalam dunia belajar masih jauh dan terlalu banyak amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh bijaksana dan saksama. Melayan sakit rindu itu tidak akan membawa saya ke mana. Hanya menjadikan diri lemah, lesu dan tidak bermaya.

6 TAHUN

Enam tahun nampak lama. Tapi saya tahu sebenarnya usia itu masih muda untuk menobatkan kami sebagai pasangan suami isteri yang sudah matang dalam bahtera rumahtangga. Perjalanan kami masih jauh, ada banyak impian yang masih belum tercapai dan banyak liku-liku yang menanti untuk ditempuh.

Apa yang pasti, sepanjang enam tahun bersama saya akui bahawa dia adalah suami yang teramat baik terhadap saya. Subhanallah, dia menjaga saya umpama menjaga nyawanya sendiri. Begitu juga menyediakan keperluan dan kesenangan untuk saya dan keluarganya tanpa berbelah bagi.

Kebaikannya sering membuatkan saya rasa terharu dan mengalirkan air mata.

Lantas saya teringat pada sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dalam kitab Sunannya yang bermaksud:

"Jika sekiranya aku ingin menyuruh seseorang itu sujud kepada seseorang yang lain, akan aku suruh seorang isteri itu sujud kepada suaminya" (Hukum Hadith: Sahih)

Memang dalam maksud hadith itu, jika dahulu saya agak kurang faham mengapa baginda bersabda sedemikian rupa. Tapi kini, saya mengerti. Kerana suami bukanlah manusia sebarangan bagi diri seorang isteri.

TERIMA KASIH ATAS DOA

Terima kasih atas doa semuanya untuk usia pernikahan ini. Semoga Allah s.w.t sentiasa merahmati kami dan membantu SAYA dan suami untuk terus kuat dalam melayari bahtera rumahtangga yang saya akur amat tidak mudah.


****************************

Alhamdulillah, kini sudah 7 tahun.

Ya, Semoga Allah s.w.t sentiasa merahmati kami dan membantu SAYA dan suami untuk terus kuat dalam melayari bahtera rumahtangga yang saya akur amat tidak mudah.