13 November, 2010

Oleh Dr Azwira Abd Aziz

[Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM]




Berdasarkan hakikat bahawa kesahihan amalan zahir dan batin saling berperanan dalam menentukan kesahihan amalan seseorang muslim, maka Islam telah meletakkan satu prinsip agama yang penting iaitu kewajipan berbeza dengan amalan golongan bukan Islam, baik dari segi kepercayaan, cara ibadat mahu pun budaya hidup. Islam menuntut umatnya supaya tidak meniru cara ibadat dan budaya hidup golongan bukan Islam, kerana peniruan itu dibimbangi boleh membawa kepada asimilasi agama dan budaya yang akhirnya akan menghakis identiti umat dan seterusnya melemahkan jati diri mereka. Asas bagi prinsip ini terkandung dalam banyak nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah, antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Maksudnya:

“Kesudahannya, Kami jadikan engkau (Muhammad) menjalankan satu syariat
(yang cukup lengkap) dari perkara agama,
maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang yang tidak mengetahui”[1].

Semua golongan bukan Islam adalah termasuk dalam pengertian ‘orang yang tidak mengetahui’, kerana mereka adalah golongan yang jahil dengan syariat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Dalam konteks ini, Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata (maksudnya):
Dan Dia (Allah) melarang Baginda daripada mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui, sedangkan termasuk dalam maksud orang-orang yang tidak mengetahui itu ialah semua orang yang menyalahi syariatnya[2].

Dalam ayat lain, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Maksudnya:

“…Dan janganlah pula mereka (orang beriman) menjadi seperti orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka,
setelah orang itu melalui masa yang lanjut, maka, hati mereka menjadi keras,
dan ramai di antara mereka menjadi fasik”[3].

Sheikh Al-Islam Ibn Taimiyyah mentafsirkan ayat ini dengan katanya yang bermaksud:
Maka maksud firmanNya “Dan janganlah pula mereka (orang beriman) menjadi”, adalah satu larangan mutlak daripada meniru mereka (ahli Kitab), meskipun ia khusus bagi larangan daripada meniru kekerasan hati mereka, tetapi kekerasan hati itu adalah hasil daripada maksiat[4].

Manakala Al-Hafiz Ibn Kathir pula menyimpulkan maksud ayat itu dengan katanya yang bermaksud:

Dan kerana inilah Allah melarang orang beriman daripada meniru mereka (ahli kitab) dalam apa jua perkara usul dan furu’[5].

Selain daripada ayat-ayat Al-Quran, terdapat banyak hadith Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjadi asas bagi prinsip ini, sehingga ada ulama yang mengumpulkan lebih daripada 30 buah hadith sahih mengenainya[6], seperti:

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap umatnya daripada menggunakan serunai dan loceng sebagai seruan solat pada zaman awal Islam kerana ia menyerupai cara puak Yahudi dan Nasrani sehinggalah Baginda diwahyukan dengan azan[7].

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam daripada solat pada waktu Matahari sedang terbit dan waktu ia sedang terbenam kerana ia adalah waktu sujud golongan penyembah Matahari[8].

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam daripada menjadikan perkuburan para anbiya’ dan shalihin sebagai tempat ibadat kerana yang demikian itu adalah amalan golongan Yahudi dan Nasrani[9].

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam daripada bersolat dengan berbungkus sehelai kain tanpa mengilasnya di tempat kilasan kerana yang demikian itu adalah perbuatan golongan Yahudi[10].

Suruhan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam supaya umatnya sekali sekala bersolat sambil memakai selipar dan khuf kerana puak Yahudi tidak mengharuskan[11].

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam daripada duduk bertongkat dengan tangan kiri dalam solat kerana yang demikian itu adalah cara duduk puak Yahudi[12].

Peringatan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap umatnya supaya bersahur bila berpuasa kerana golongan ahli Kitab berpuasa tanpa bersahur[13].

Saranan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam supaya umatnya menyegerakan berbuka puasa kerana golongan Yahudi dan Nasrani melewatkannya[14].

Saranan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam supaya umatnya berpuasa ‘Asyura’ pada hari kesembilan dan kesepuluh kerana golongan Yahudi dan Nasrani hanya berpuasa pada hari kesepuluh sahaja[15].

Saranan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam supaya jemaah haji bergerak dari Muzdalifah ke Mina sebelum terbit matahari kerana golongan Musyrikin biasanya bergerak selepas matahari terbit melepasi puncak Bukit Thubair di Makkah[16].

Kekeliruan Dan Jawapan

Kesemua hadith di atas menyokong dan menguatkan tafsiran ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan prinsip berkenaan. Namun mungkin ada yang terkeliru dan mengatakan bahawa suruhan supaya berbeza dan larangan daripada meniru golongan bukan Islam hanya dalam perkara ibadat ritual seperti solat, puasa dan haji sahaja, bukan dalam perkara adat, budaya dan cara hidup. Kekeliruan ini boleh dijawab dengan dua jawapan, pertama jawapan bersifat umum manakala kedua jawapan secara khusus (spesifik):

Jawapan Umum

Telah sedia maklum bahawa Islam adalah satu cara hidup (The Way of Life) yang meliputi seluruh aktiviti kehidupan manusia. Justeru menghadkan ajaran Islam kepada ibadat-ibadat ritual semata-mata adalah satu daripada bentuk fahaman sekularisma.
Anas bin Malik radhiallahu 'anh telah meriwayatkan sebuah hadith yang menceritakan bahawa golongan Yahudi mengharamkan sebarang bentuk pergaulan dengan isteri yang berada dalam haid, sehinggakan dalam hal-hal yang tiada kaitan dengan persetubuhan seperti makan minum dan bergurau. Maka ketika ayat berkenaan haid diturunkan[17], Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan maksud ayat berkenaan dengan sabdanya:

اصنعوا كل شيء إلا النكاح.

Maksudnya:

“Kamu buatlah apa saja (ketika isteri kamu dalam haid) kecuali persetubuhan”.

Mendengar sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ini, mereka (orang Yahudi) berkata:

ما يريد هذا الرجل أن يدع من أمرنا شيئا إلا خالفنا فيه.

Maksudnya:

“Lelaki (Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) ini tidak akan membiarkan satu pun dari amalan kita kecuali dia berbeza dengan kita dalam melakukannya”[18].


Kata-kata orang Yahudi ini menunjukkan bahawa Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan perbezaan dengan mereka dalam semua perkara meliputi semua urusan kehidupan, sehingga terkeluar dari mulut mereka keluhan terhadap perbezaan yang banyak itu. Pengajaran yang tersirat di sebalik hadith ini ialah, bahawa suruhan supaya berbeza dan larangan daripada meniru golongan bukan Islam itu bukan terhenti setakat ibadat ritual semata-mata, bahkan juga meliputi perkara adat, budaya dan cara hidup.

Jawapan Spesifik

Terdapat banyak hadith sahih yang menunjukkan bahawa suruhan supaya berbeza dan larangan daripada meniru golongan bukan Islam memang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuklah dalam perkara-perkara adat dan budaya. Antara hadith-hadith yang menunjukkan sedemikian ialah:

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap umatnya daripada menghormati Baginda secara berlebihan (memuja) sebagaimana kaum Nasrani memuja Nabi Isa[19].

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam daripada menghormati orang yang duduk dengan cara berdiri kerana yang demikian itu adalah cara penghormatan orang Parsi terhadap pembesar mereka[20].

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap kaum lelaki daripada memakai pakaian yang dicelup dengan warna mua’sfar (merah oren) kerana ia merupakan warna pakaian orang bukan Islam[21].

Larangan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam daripada meniru cara berpakaian golongan bukan Islam[22].

Suruhan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam supaya kaum lelaki memendekkan misai dan membela janggut kerana ahli Kitab, Majusi dan Musyrikin mencukur janggut dan membela misai[23].

Suruhan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam supaya kita menginaikan janggut atau uban kerana ahli Kitab tidak menginaikan janggut dan uban mereka[24].

Suruhan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam supaya kita memakai seluar atau kain sarung bersilih ganti kerana kebiasaan ahli Kitab ialah memakai seluar sahaja[25].

Suruhan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam supaya kita memakai khuf atau selipar bersilih ganti kerana kebiasaan ahli Kitab ialah memakai khuf sahaja[26].

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam daripada duduk sambil menongkat tangan ke belakang kerana ia adalah cara duduk golongan Yahudi[27].

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam daripada bermain buah dadu kerana ia adalah sejenis judi yang dimainkan oleh orang ‘ajam (bukan Arab)[28].

Peniruan Tetap Haram Meskipun Dengan Niat Yang Baik

Kaedah usul fiqh telah menetapkan bahawa nas-nas yang bersifat suruhan menjurus kepada konsekuensi hukum wajib kecuali jika ada qarinah (petunjuk ilmiah) yang mengubah hukum wajib itu kepada sunat, manakala nas-nas yang bersifat larangan pula menjurus kepada konsekuensi hukum haram kecuali jika ada qarinah yang mengubah hukum haram itu kepada makruh[29].

Berdasarkan kaedah ini, maka nas-nas suruhan supaya berbeza mesti difahami sebagai wajib kerana tidak ada qarinah yang menunjukkan ia hanya sekadar sunat, manakala nas-nas larangan daripada peniruan pula mesti difahami sebagai haram kerana tidak ada qarinah yang menunjukkan ia hanya sekadar makruh.

Dengan perkataan lain, Islam mewajibkan umatnya berbeza dengan golongan bukan Islam dan pada masa yang sama mengharamkan umatnya meniru mereka. Akan tetapi timbul satu persoalan, jika peniruan itu dilakukan dengan niat atau tujuan yang baik, maka adakah ia tetap haram? Jawapannya, ia tetap dilihat sebagai haram kerana prinsip ibadat dalam Islam telah menetapkan bahawa tujuan yang baik tidak sekali-kali akan menghalalkan cara. Ini kerana syarat penerimaan amalan bukan terletak pada niat baik semata-mata, tetapi juga pada cara yang betul sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

Dari sudut yang lain, larangan Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam daripada meniru golongan bukan Islam seperti sabdanya: “Jangan kamu melampau memujaku sebagaimana golongan Nasrani melampau memuja (Nabi) Isa Ibn Maryam”[30], adalah lahir daripada kebimbangan Baginda terhadap pujian berlebihan yang boleh membawa kepada kesyirikan, sepertimana yang berlaku kepada golongan Nasrani. Justeru kebimbangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam termasuk dalam kaedah fiqh yang masyhur dikenali sebagai Sad Az-Zarai’ (menutup pintu-pintu kemudaratan).

Namun apa yang dibimbangi oleh Baginda itu telah benar-benar menjadi kenyataan apabila ramai dari kalangan umat Islam pada hari ini tanpa mereka sedari telah meniru amalan golongan bukan Islam, bukan sahaja dalam perkara kebudayaan seperti cara berpakaian dan berhibur, malah peniruan juga berlaku dalam perkara ibadat khusus seperti amalan berzikir menggunakan ‘biji tasbih’ secara beramai-ramai dengan suara yang nyaring, bermelodi disertai hayunan badan dan kepala[31].

Malahan, tanpa mereka sedari ramai dari kalangan mereka terdedah kepada bahaya kesyirikan dan kekufuran melalui amalan salawat yang mempersekutukan sifat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dengan sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala[32]. Maka benarlah sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

لتتبعن سنن من كان قبلكم
شبرا بشبر وذراعا بذراع،

حتى لو دخلوا جحر ضب لدخلتموه،

قالوا: اليهود والنصارى؟

قال: فمن؟.

Maksudnya:

“Sesungguhnya kamu akan ikut cara golongan sebelum kamu
sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta,

hatta jika mereka masuk lubang biawak pun nescaya kamu akan mengikutinya.”

Sahabat bertanya: “Golongan Yahudi dan Nasranikah (yang kamu maksudkan)?”

Baginda menjawab: “(Kalau tidak mereka) siapa lagi?”[33].


Hikmah Di Sebalik Suruhan Berbeza Dan Larangan Peniruan

Semua ayat dan hadith di atas serta banyak lagi nas lain yang semaksud dengannya, menunjukkan bahawa kewajipan menyalahi etika ibadah, budaya dan cara hidup golongan bukan Islam adalah sebahagian daripada prinsip agama. Namun timbul persoalan di sini, apakah hikmah di sebalik prinsip ini dan kenapa pihak syara’ kelihatan begitu prihatin terhadapnya? Jawapannya ialah kerana peniruan dan persamaan budaya hidup akan membibitkan rasa kasih sayang serta wala’ (kepatuhan), sedangkan kasih sayang dan wala’ kepada golongan yang tidak beriman bercanggah dengan tuntutan iman, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Maksudnya:

“Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat saling berkasih sayang dengan orang yang menentang Allah dan RasulNya,
sekalipun mereka itu terdiri daripada bapa-bapa, anak-anak,
saudara-mara dan ahli keluarga. Mereka (orang beriman) itulah orang yang
Allah telah tanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka
dengan pertolongan yang datang daripadanya”[34].


Menjelaskan maksud ayat ini, Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata (maksudnya):

Allah Subhanahu wa Ta’ala menegaskan bahawa tidak ada seorang pun orang beriman yang saling berkasih sayang dengan orang yang tidak beriman. Sesiapa yang menyayangi orang yang tidak beriman, maka dia bukan seorang yang beriman. Oleh kerana persamaan amalan zahir itu adalah punca terbibitnya kasih sayang, maka ia (persamaan amalan zahir) adalah haram[35].

Di samping membibitkan kasih sayang yang menjadi bukti kelemahan iman, persamaan amalan zahir juga menjadi faktor kepada terhakisnya identiti dan kemerosotan jati diri kerana kekuatan jati diri bergantung kepada kekuatan iman. Berdasarkan hikmah dan alasan ini, maka, setiap muslim wajib berbeza dengan golongan bukan Islam dalam semua aktiviti kehidupan mereka meliputi cara berpakaian, cara berjalan, cara makan minum, cara menghias rumah, cara berbelanja, cara berhibur, cara bergaul, cara berekreasi, cara bersukan dan sebagainya. Dengan perbezaan itu, mudah-mudahan jati diri keimanan dapat dibina di atas asas yang mantap, yang tidak boleh digugat oleh arus kehidupan moden.

Pun begitu, prinsip kewajipan berbeza ini tidak menghalang umat Islam daripada menjalinkan hubungan kerjasama dan perpaduan dengan golongan bukan Islam. Islam menggalakkan kita bekerjasama dan bersatu padu dalam segala hal yang berkaitan dengan pembangunan dan kepentingan bersama. Piagam Madinah yang termeterai antara umat Islam dengan puak-puak Yahudi dan kabilah-kabilah Arab membuktikan bahawa hubungan kerjasama dan perpaduan dengan golongan bukan Islam amat digalakkan oleh Islam. Cuma, kerjasama dan perpaduan itu perlu dipastikan berlaku dalam bentuk akomodasi dan intergrasi yang mampu mempertahankan identiti Islam dan bukan dalam bentuk asimilasi yang boleh menghakis jati diri agama.

Nota Kaki:

[1] Al-Jaathiah, 45:18.
[2] Ibn Taimiyyah, Iqtida’ As-Sirat Al-Mustaqim Fi Mukhalafat Ashab Al-Jahim, hal:8.
[3] Al-Hadid, 57:16.
[4] Ibn Taimiyyah, Iqtida’ As-Sirat Al-Mustaqim, hal:43.
[5] Ibn Kathir, Tafsir Al-Quran Al-A’zim, 4:332.
[6] Al-Albani, Jilbab Al-Mar’ah Al-Muslimah Fi Al-Kitab Wa As-Sunnah, hal:166-212.
[7] Sahih Sunan Abi Daud, no:498.
[8] Sahih Muslim, no:832.
[9] Sahih Muslim, no:530-532.
[10] Sahih Sunan Abi Daud, no:635.
[11] Sahih Sunan Abi Daud, no:652.
[12] Mustadrak Al-Hakim, lihat: Jilbab Al-Mar’ah, hal: 175.
[13] Sahih Muslim, no:1096.
[14] Musnad Ahmad, lihat: Jilbab Al-Mar’ah, hal: 176.
[15] Sahih Muslim, no:1134.
[16] Sahih Al-Bukhari, no:3626.
[17] Al-Baqarah, 2:222.
[18] Sahih Muslim, no:302.
[19] Sahih Al-Bukhari, no:3445.
[20] Sahih Muslim, no:413.
[21] Sahih Muslim, no:2077.
[22] Sahih Muslim, no:2069.
[23] Sahih Al-Bukhari, no:5553.
[24] Musnad Ahmad, lihat: Jilbab Al-Mar’ah, hal: 184-185
[25] Al-Albani, Jilbab Al-Mar’ah hal:184-185.
[26] Al-Albani, Jilbab Al-Mar’ah, hal:184-185.
[27] Sahih Sunan Abi Daud, no:4848.
[28] Musnad Ahmad, lihat: Jilbab Al-Mar’ah, hal: 198-200.
[29] Wahbah Az-Zuhaili, Usul Al-Fiqh Al-Islami, 1:234-235.
[30] Sahih Al-Bukhari, no:3261.
[31] Untuk mendapat penjelasan yang terperinci tentang perkara ini sila lihat: Hafiz Firdaus Abdullah, 2000, Zikir-zikir Selepas Solat Fardu Sebagaimana Yang Diajar Dan Dilakukan Oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, Johor, hal:81-102.
[32] Seperti Salawat Syifa’. Penulis khususkan perbincangan mengenainya dalam sebuah rencana berjudul:Kekaburan Salawat Syifa’ Perlu Dijelaskan.
[33] Sahih Muslim, no:2669.
[34] Al-Mujadalah, 58:22.[35] Ibn Taimiyyah, Iqtida’ As-Sirat Al-Mustaqim, hal:6-7.
* Penulisan ini dipetik dari buku 15 Asas Jati diri Muslim Cemerlang, hlm 39-53.

0 Comments:

Post a Comment