26 July, 2010

TANGKAL

Bismillah

Alhamdulillah, selepas menanti akhirnya Allah s.w.t mentakdirkan saya sekali lagi berada di bawah bumbung Kolej Ungku Omar. Lalu pada pagi Jumaat yang lepas saya mendaftarkan nama sebagai penghuni kolejnya untuk kali ke 10. Setelah mendapatkan kunci bilik, saya bergegas ke blok yang diberikan kepada saya. Bloknya tidak lah jauh dari kafe dan ianya terletak betul-betul di tengah-tengah kolej. Dengan lafaz bismillah, saya melangkahkan kaki masuk ke bilik yang agak suram dan tidak bermaya. Saya memerhatikan suasana sekelilingnya. Tingkapnya pecah, pintu almarinya satu hilang dan papan kenyataannya sudah berpisah dari tembok. Habuknya pula, tak perlu cakap. Memang jelas ketebalannya. Saya melepaskan lafaz berat, lalu berkata dalam hati: “Nak buat macam mana? Bersyukurlah. Yang penting dapat bilik!”. Seterusnya saya ingin bergegas keluar dari bilik kerana ingin menghadiri sebuah mesyuarat yang sedang berjalan pada waktu itu. Tetapi tiba-tiba saya terpaku melihat kertas yang tertampal di belakang pintu bilik saya. Saya agak kaget bila melihatnya. Kemudian saya amatinya dengan betul dan saya baca satu demi satu tulisan bahasa Arab itu. Saya mengerutkan dahi, lalu berkata dalam hati: “hmmm..tangkal!! Aduii, kenapa pula dengan bilik ni?”

Pada waktu itu, saya malas hendak memikirkan lebih lanjut mengenai tangkal itu. Bagi saya, mungkin penghuninya dahulu jenis yang penakut dan lemah semangat ataupun mungkin dia sering diganggu oleh makhluk halus. Justeru, saya tidak kuasa untuk mengambil tahu tentang hal itu. Namun, kekagetan saya timbul lagi tatkala saya melihat satu lagi ayat ‘tangkal’ tapi kali ini bukan di bilik saya. Kali ini, ianya terletak di papan notis dalam blok. Timbul di benak saya satu persoalan: “Kenapa pula dengan blok ini? Berhantu ke?” Apapun, persoalan itu saya kira bukanlah satu perkara penting untuk saya jawab dan bicarakan di ruangan ini. Sebenarnya saya terpanggil untuk bersuara apabila saya melihat logo Gabungan Mahasiswa GMUKM beserta dengan laman blognya tertera di hujung kertas itu. Dengan sebaris tulisan berbunyi: “Tampal di empat penjuru rumah”.



Lalu tangan saya tidak teragak-agak untuk menanggalkan kertas itu dari papan notis lantaran saya melihat bahayanya kertas itu terhadap akidah seorang Muslim. Lebih-lebih lagi saya risaukan ialah apabila penghuni blok itu berasa ‘selamat’ dengan adanya tampalan ayat-ayat ini di papan notis di dalam blok. Maka di situ, boleh sahaja menyebabkan berpindahnya rasa kebergantungan mereka kepada selain Allah s.w.t lantaran penghuni bloknya lebih mengharapkan kuasa sekeping kertas sebagai pelindung dari mengharap dan memohon perlindungan Allah s.w.t.

Sebenarnya tidak menjadi satu masalah besar jika kita menyediakan risalah kepada mahasiswa/siswi tentang doa-doa pendiding menurut al-Quran dan al-Hadith yang sahih sebagai panduan untuk dibaca dan diamalkan oleh rakan-rakan di kampus. Tetapi yang menjadi permasalahannya ialah apabila kita memberikan panduan yang tidak diajar oleh Nabi s.a.w dan menyatakan di dalam kertas itu: “Tampal di empat penjuru rumah”. Ini kerana kenyataan itu sekaligus mengangkat tulisan ayat suci al-Quran tersebut menjadi tangkal dan tentu sahaja bagi pihak-pihak yang tidak mengetahui tentang hukum menggantung dan menampal tangkal akan melakukan sebagaimana yang disarankan dalam kertas tersebut. Ketahuilah, sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “Siapa yang menggantung tangkal, maka dia telah melakukan kesyirikan” [H.R Ahmad bin Hanbal dalam kitab Musnadnya, No 17458. Hukum hadith: Sahih dalam kitab al-Silsilah al-Sahihah, No 492]

TANGKAL?

Mungkin ada yang kurang pasti berkenaan dengan tangkal. Maka perlu untuk saya jelaskan bahawa tangkal itu ialah sesuatu yang dikalungkan di leher atau bahagian dari tubuh seseorang dengan tujuan mendatangkan manfaat atau menolak mudarat sama ada kandungan tangkal itu adalah al-Quran, benang, kulit, kerikil dan seumpama dengannya. Dan tidak semestinya pula tangkal itu digantung di leher atau bahagian tubuh badan tetapi apa jua yang ditampal, disangkut dan diletak di sesuatu tempat seperti beg tangan, kocek, pintu, penjuru rumah, tingkap dan sebagainya dengan tujuan untuk mendinding diri atau ‘memagar’ sesuatu tempat tersebut, maka itu juga dikategorikan sebagai tangkal.

Tangkal terbahagi kepada dua jenis:

PERTAMA: TANGKAL YANG TIDAK BERSUMBERKAN AL-QURAN.

Ia dilarang oleh syariat Islam. Jika seseorang itu percaya bahawa tangkal itu adalah subjek atau faktor berpengaruh, maka ia dinyatakan musyrik dengan tingkat syirik besar. Tapi jika dia percaya bahawa tangkal hanya menyertai datangnya manfaat atau mudarat, maka dia dinyatakan telah melakukan syirik kecil. Contohnya dia masih percaya bahawa Allah s.w.t adalah punca keselamatan dan tangkal itu hanyalah ikhtiar. Maka dalam hal ini, dia telah melakukan syirik kecil.

Dari Ibn Mas’ud r.a beliau berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “ Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah adalah syirik”
[Hadith Sahih. Kitab al-Silsilah al-Sahihah No. 2972)

Maksud jampi dalam hadith di atas ialah jampi serapah yang tidak menurut al-Quran dan al-Sunnah yang sahih dan yang dimaksudkan dengan tiwalah pula ialah sesuatu yang digunakan oleh wanita untuk merebut cinta suaminya.

Perlu dinyatakan bahawa sesungguhnya tangkal diharamkan oleh syariat Islam kerana ia mengandung makna keterikatan hati dan tawakal kepada selain Allah s.w.t dan membuka pintu bagi masuknya kepercayaan-kepercayaan yang rosak tentang pelbagai hal yang ada. Akhirnya ia mampu menghantar kepada syirik yang besar.

KEDUA: TANGKAL YANG BERSUMBERKAN DARI AL-QURAN

Dalam hal ini, ulama berbeza pendapat, iaitu ada sebahagian membolehkan dan ada yang mengharamkannya. Namun, pendapat yang paling kuat ialah pendapat yang mengharamkannya. Ini kerana dalil yang mengharamkan tangkal sebagai perbuatan syirik tidak membezakan sama ada tangkal itu berasal dari al-Quran ataupun bukan dari al-Quran.

Maka dengan membolehkan tangkal dari al-Quran sebenarnya kita telah membuka peluang menyebarkan tangkal dari jenis pertama yang jelas-jelas haram. Maka sarana yang dapat menghantar kepada perbuatan haram mempunyai hukum haram yang sama dengan perbuatan haram itu sendiri. Ia juga menyebabkan tergantungnya hati kepadanya sehingga pelaku akan ditinggalkan oleh Allah s.w.t dan diserahkan kepada tangkal tersebut untuk menyelesaikan masalahnya. (Penjelasan dipetik dari Syarah Aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah oleh Yazid Abdul Qadir Jawas, hlm 299-301, dengan pengubahsuaian dan penambahan dari penulis)

Dengan itu, berdasarkan daripada penjelasan di atas, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa tidak seharusnya pihak Gabungan Mahasiswa UKM menyediakan kertas-kertas seperti ini kepada mahasiswa/siswi. Perlu untuk saya tegaskan bahawa perkara yang melibatkan akidah seperti ini seharusnya dirujuk dahulu kepada para agamawan yang thiqah. Saya faham bahawa GMUKM berniat baik untuk membantu rakan-rakan pelajar yang diselubungi ketakutan apabila menghadapi situasi-situasi getir seperti berlaku insiden pukau-memukau, serangan orang minyak dan sebagainya. Namun, pihak GMUKM juga perlu sedar bahawa sesuatu bantuan dan panduan yang ingin dihulurkan perlulah selaras dengan al-Quran dan al-Hadith yang sahih. Harapan saya, pihak GMUKM mengambil perhatian serius dalam perkara ini dan akan lebih berhati-hati dalam hal seumpama ini pada masa-masa akan datang.

Wallahu’alam.

0 Comments:

Post a Comment