30 July, 2010

"Tangisanku hanya berlagu di hati
Mengenang akan hadirnya rindu
Tatkala esok akan bermula musim sepiku
Aku terpaksa walau hati tidak rela
Maka terjawab satu persoalan
Adakah kita akan berpisah?
Ya, senandung hiba mula berirama
Tika esok kita berpisah"




Dari Ibn Mas’ud r.a dia berkata: Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Siapa yang mengalami kesusahan atau kesedihan, hendaklah dia berdoa dengan mengucapkan kalimah-kalimah berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ابْنُ عَبْدِكَ ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَداً مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ القُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي، وَنُورَ بَصَرِي، وَجِلاَءَ حُزْنِي، وَذَهَابَ هَمِّي

Maksudnya: “Ya Allah, aku adalah hamba-Mu, anak hamba lelaki dan hamba perempuan-Mu, diriku berada di dalam genggaman-Mu, jiwaku berada di tangan-Mu, hukum-Mu berlaku pada diriku, keadilan keputusan-Mu berlaku terhadap diriku, aku memohon kepada-Mu dengan menyebut semua Asma’-Mu yang Engkau namakan diri-Mu dengannya atau Engkau turunkan dalam kitab-Mu atau Engkau mengajarkannya kepada seorang di antara makhluk-Mu atau Engkau memeliharanya di dalam ilmu ghaib di sisi-Mu. Jadikanlah al-Quran sebagai cahaya dadaku, kebahagiaan hatiku, penghapus kesedihanku dan pelenyap kesusahanku”

Maka, seorang dari satu kaum berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang-orang yang rugi adalah orang yang tidak membaca doa tersebut.” Nabi s.a.w menjawab: “Benar, kerana itu perlu kepada mereka yang mendengarnya mengajarkannya (kepada orang lain)” (H.R Ibn Hibban dan hadith ini dihukum sahih dalam kitab Sahih al-Targhib, No. 1822)

26 July, 2010

TANGKAL

Bismillah

Alhamdulillah, selepas menanti akhirnya Allah s.w.t mentakdirkan saya sekali lagi berada di bawah bumbung Kolej Ungku Omar. Lalu pada pagi Jumaat yang lepas saya mendaftarkan nama sebagai penghuni kolejnya untuk kali ke 10. Setelah mendapatkan kunci bilik, saya bergegas ke blok yang diberikan kepada saya. Bloknya tidak lah jauh dari kafe dan ianya terletak betul-betul di tengah-tengah kolej. Dengan lafaz bismillah, saya melangkahkan kaki masuk ke bilik yang agak suram dan tidak bermaya. Saya memerhatikan suasana sekelilingnya. Tingkapnya pecah, pintu almarinya satu hilang dan papan kenyataannya sudah berpisah dari tembok. Habuknya pula, tak perlu cakap. Memang jelas ketebalannya. Saya melepaskan lafaz berat, lalu berkata dalam hati: “Nak buat macam mana? Bersyukurlah. Yang penting dapat bilik!”. Seterusnya saya ingin bergegas keluar dari bilik kerana ingin menghadiri sebuah mesyuarat yang sedang berjalan pada waktu itu. Tetapi tiba-tiba saya terpaku melihat kertas yang tertampal di belakang pintu bilik saya. Saya agak kaget bila melihatnya. Kemudian saya amatinya dengan betul dan saya baca satu demi satu tulisan bahasa Arab itu. Saya mengerutkan dahi, lalu berkata dalam hati: “hmmm..tangkal!! Aduii, kenapa pula dengan bilik ni?”

Pada waktu itu, saya malas hendak memikirkan lebih lanjut mengenai tangkal itu. Bagi saya, mungkin penghuninya dahulu jenis yang penakut dan lemah semangat ataupun mungkin dia sering diganggu oleh makhluk halus. Justeru, saya tidak kuasa untuk mengambil tahu tentang hal itu. Namun, kekagetan saya timbul lagi tatkala saya melihat satu lagi ayat ‘tangkal’ tapi kali ini bukan di bilik saya. Kali ini, ianya terletak di papan notis dalam blok. Timbul di benak saya satu persoalan: “Kenapa pula dengan blok ini? Berhantu ke?” Apapun, persoalan itu saya kira bukanlah satu perkara penting untuk saya jawab dan bicarakan di ruangan ini. Sebenarnya saya terpanggil untuk bersuara apabila saya melihat logo Gabungan Mahasiswa GMUKM beserta dengan laman blognya tertera di hujung kertas itu. Dengan sebaris tulisan berbunyi: “Tampal di empat penjuru rumah”.



Lalu tangan saya tidak teragak-agak untuk menanggalkan kertas itu dari papan notis lantaran saya melihat bahayanya kertas itu terhadap akidah seorang Muslim. Lebih-lebih lagi saya risaukan ialah apabila penghuni blok itu berasa ‘selamat’ dengan adanya tampalan ayat-ayat ini di papan notis di dalam blok. Maka di situ, boleh sahaja menyebabkan berpindahnya rasa kebergantungan mereka kepada selain Allah s.w.t lantaran penghuni bloknya lebih mengharapkan kuasa sekeping kertas sebagai pelindung dari mengharap dan memohon perlindungan Allah s.w.t.

Sebenarnya tidak menjadi satu masalah besar jika kita menyediakan risalah kepada mahasiswa/siswi tentang doa-doa pendiding menurut al-Quran dan al-Hadith yang sahih sebagai panduan untuk dibaca dan diamalkan oleh rakan-rakan di kampus. Tetapi yang menjadi permasalahannya ialah apabila kita memberikan panduan yang tidak diajar oleh Nabi s.a.w dan menyatakan di dalam kertas itu: “Tampal di empat penjuru rumah”. Ini kerana kenyataan itu sekaligus mengangkat tulisan ayat suci al-Quran tersebut menjadi tangkal dan tentu sahaja bagi pihak-pihak yang tidak mengetahui tentang hukum menggantung dan menampal tangkal akan melakukan sebagaimana yang disarankan dalam kertas tersebut. Ketahuilah, sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “Siapa yang menggantung tangkal, maka dia telah melakukan kesyirikan” [H.R Ahmad bin Hanbal dalam kitab Musnadnya, No 17458. Hukum hadith: Sahih dalam kitab al-Silsilah al-Sahihah, No 492]

TANGKAL?

Mungkin ada yang kurang pasti berkenaan dengan tangkal. Maka perlu untuk saya jelaskan bahawa tangkal itu ialah sesuatu yang dikalungkan di leher atau bahagian dari tubuh seseorang dengan tujuan mendatangkan manfaat atau menolak mudarat sama ada kandungan tangkal itu adalah al-Quran, benang, kulit, kerikil dan seumpama dengannya. Dan tidak semestinya pula tangkal itu digantung di leher atau bahagian tubuh badan tetapi apa jua yang ditampal, disangkut dan diletak di sesuatu tempat seperti beg tangan, kocek, pintu, penjuru rumah, tingkap dan sebagainya dengan tujuan untuk mendinding diri atau ‘memagar’ sesuatu tempat tersebut, maka itu juga dikategorikan sebagai tangkal.

Tangkal terbahagi kepada dua jenis:

PERTAMA: TANGKAL YANG TIDAK BERSUMBERKAN AL-QURAN.

Ia dilarang oleh syariat Islam. Jika seseorang itu percaya bahawa tangkal itu adalah subjek atau faktor berpengaruh, maka ia dinyatakan musyrik dengan tingkat syirik besar. Tapi jika dia percaya bahawa tangkal hanya menyertai datangnya manfaat atau mudarat, maka dia dinyatakan telah melakukan syirik kecil. Contohnya dia masih percaya bahawa Allah s.w.t adalah punca keselamatan dan tangkal itu hanyalah ikhtiar. Maka dalam hal ini, dia telah melakukan syirik kecil.

Dari Ibn Mas’ud r.a beliau berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “ Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah adalah syirik”
[Hadith Sahih. Kitab al-Silsilah al-Sahihah No. 2972)

Maksud jampi dalam hadith di atas ialah jampi serapah yang tidak menurut al-Quran dan al-Sunnah yang sahih dan yang dimaksudkan dengan tiwalah pula ialah sesuatu yang digunakan oleh wanita untuk merebut cinta suaminya.

Perlu dinyatakan bahawa sesungguhnya tangkal diharamkan oleh syariat Islam kerana ia mengandung makna keterikatan hati dan tawakal kepada selain Allah s.w.t dan membuka pintu bagi masuknya kepercayaan-kepercayaan yang rosak tentang pelbagai hal yang ada. Akhirnya ia mampu menghantar kepada syirik yang besar.

KEDUA: TANGKAL YANG BERSUMBERKAN DARI AL-QURAN

Dalam hal ini, ulama berbeza pendapat, iaitu ada sebahagian membolehkan dan ada yang mengharamkannya. Namun, pendapat yang paling kuat ialah pendapat yang mengharamkannya. Ini kerana dalil yang mengharamkan tangkal sebagai perbuatan syirik tidak membezakan sama ada tangkal itu berasal dari al-Quran ataupun bukan dari al-Quran.

Maka dengan membolehkan tangkal dari al-Quran sebenarnya kita telah membuka peluang menyebarkan tangkal dari jenis pertama yang jelas-jelas haram. Maka sarana yang dapat menghantar kepada perbuatan haram mempunyai hukum haram yang sama dengan perbuatan haram itu sendiri. Ia juga menyebabkan tergantungnya hati kepadanya sehingga pelaku akan ditinggalkan oleh Allah s.w.t dan diserahkan kepada tangkal tersebut untuk menyelesaikan masalahnya. (Penjelasan dipetik dari Syarah Aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah oleh Yazid Abdul Qadir Jawas, hlm 299-301, dengan pengubahsuaian dan penambahan dari penulis)

Dengan itu, berdasarkan daripada penjelasan di atas, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa tidak seharusnya pihak Gabungan Mahasiswa UKM menyediakan kertas-kertas seperti ini kepada mahasiswa/siswi. Perlu untuk saya tegaskan bahawa perkara yang melibatkan akidah seperti ini seharusnya dirujuk dahulu kepada para agamawan yang thiqah. Saya faham bahawa GMUKM berniat baik untuk membantu rakan-rakan pelajar yang diselubungi ketakutan apabila menghadapi situasi-situasi getir seperti berlaku insiden pukau-memukau, serangan orang minyak dan sebagainya. Namun, pihak GMUKM juga perlu sedar bahawa sesuatu bantuan dan panduan yang ingin dihulurkan perlulah selaras dengan al-Quran dan al-Hadith yang sahih. Harapan saya, pihak GMUKM mengambil perhatian serius dalam perkara ini dan akan lebih berhati-hati dalam hal seumpama ini pada masa-masa akan datang.

Wallahu’alam.

20 July, 2010

Bismillah

Setiap awal semester selalunya ada ujian melanda. Lalu saya pujuk hati dan diri dengan berkata: “Alaaa…Sakinah..bukan tak biasa”. Ya..bukan tidak biasa hidup penuh ujian.

BERATNYA HATI

Untuk pengetahuan semua, saya kini berada di kota Singa setelah empat hari pulang ke UKM. Berat sungguh hati ini untuk melangkah pergi pada pagi itu kerana memikirkan pulangnya saya ke Singapura, maka akan tertangguh lagi perbincangan saya dengan penyelia untuk jangka masa yang agak lama. Kerisauan itu bertapak di jiwa saya lebih-lebih lagi bila memikirkan banyak perkara yang telah dirombak semula oleh penyelia demi memperbaiki dan memantapkan lagi penulisan disertasi saya. Malah tajuk disertasi juga telah dirombak. Pada pagi Jumaat itu, Ustaz melakar 4 peta minda. Ustaz suruh saya pilih mana yang paling sesuai. Saya tidak dapat membuat keputusan. Akhirnya ustaz yang putuskan. Ustaz pilih: Aqidah- Syariat- Akhlak.

Ustaz kata: “Anti buat dulu, ana nak tengok macam mana anti huraikan”. Dahi saya berkerut seribu. Bila ustaz lihat saya kepeningan dan agak ‘blurrr’, ustaz kata: “Eh, anti jangan pening lah, mudah jer ni!” Hmmm…ya, mudah ustaz!
*Saya positifkan pemikiran saya*.

Keduanya, saya bertambah berat hati bila mana memikirkan Jalsah Ilmiyyah Quraniyyah (JIQ) yang bakal bermula pada khamis ini. Terpaksa membuat kerja-kerja dari jarak jauh dan memantau pergerakan Ajk (ahli jawatankuasa) dari jarak jauh juga. Memang agak sukar sikit bila setiausahanya tiada, lebih-lebih lagi pada program JIQ yang pertama untuk semester ini dan lebih-lebih lagi ramai ajknya adalah ajk baru yang masih lagi dalam tempoh berkenalan dengan perjalanan JIQ. Namun, apalah daya saya. Saya terpaksa meninggalkannya. Apapun, saya percaya mereka semua dapat melaksanakannya dengan baik dan secemerlang mungkin, insya Allah.

Ketiga, perasan berat yang menghuni di hati saya adalah kerana saya masih belum puas dan jemu duduk di UKM. Apapun, terpaksa melangkah pergi walau rindu masih belum terlerai lagi…

TERPAKSA PULANG

Kenapa saya terpaksa pulang? Saya tersenyum pahit bila memikirkan semuanya itu adalah gara-gara saya tidak berjaya mendapat penginapan kolej di dalam UKM. Menurut mereka saya perlu menunggu hingga tiga atau empat minggu lagi, itu pun belum pasti sama ada ada tempat atau tidak. Allahu akbar…Memang itu satu yang parah untuk jiwa saya. Saya kuatkan perasaan dan terus-terusan percaya bahawa Allah s.w.t akan mentakdirkan yang terbaik untuk saya.

SAYA BELAJAR TENTANG ITU...

Apapun, sepanjang 4 hari di sana saya banyak belajar. Belajar tentang perkara yang amat bermakna, yang boleh saya coretkan sebagaimana berikut:

"Bila kita susah jarang sekali orang datang dan bertanya tentang kita. Sikit sekali orang yang ingin menawarkan bantuan apatah lagi berkongsi kesenangan yang dia ada bersama kawan yang susah. Kadang-kadang bila kita susah kita tak mengharapkan orang membantu kita tapi cukup sekadar bertanya tentang keadaan kita.

Namun berapa ramai insan bergelar kawan yang peka tentang hal ini? Kita asyik sibuk dengan diri kita sehingga kita mengabaikan kawan kita yang berada dalam kesusahan. Adakah kita ambil peduli bahawa kawan kita sedang dalam kelaparan, kehausan, kesakitan, kesedihan dan tiada tempat untuk berteduh? Tentu sahaja kawan kita tidak akan menjaja tentang kesusahan dirinya. Tentu sahaja dia juga tidak mahu menangisi dan meratapi kesusahannya di hadapan kita. Tetapi sebagai insan yang kita angkat diri kita sebagai kawan kepadanya apalah salahnya kita sekadar bertanya atau mengambil tahu. Jika sekiranya kita memang tidak mampu untuk memberikan bantuan, apalah salahnya sekurang-kurangnya kita peluk dia dengan erat atau sekurang-kurangnya kita genggam jari-jemarinya untuk memberikan dia semangat agar terus kuat menghadapi kesusahan. TAPI KITA TIDAK BEGITU. KITA HANYA MEMBIARKAN KAWAN KITA TANPA SEDIKIT PUN ADA RASA INGIN MENGAMBIL TAHU DAN TANPA PULA USAHA UNTUK MENYELAMI JIWANYA WALAU SEKELUMIT RASA.



Itulah kita. Kita selalu ingat pada kawan kita bila kita susah. Tapi kita jarang sekali peka dengan kesusahan kawan kita yang seringkali kita cari dia tatkala kita dirudung duka dan nestapa. Lalu wajarkah kita dikatakan sebagai kawan yang baik???

Nabi s. a.w bersabda yang bermaksud:

“Perumpamaan orang-orang mukmin pada saling mencintai, mengasihi dan menyayangi adalah seperti satu tubuh. Jika satu anggota tubuh merasa sakit akan menjalarlah ia pada seluruh tubuh dengan tidak dapat tidur dan merasa demam.”

[H.R Muslim dalam kitab Sahihnya, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab Tarahum al-Mukminina wa ta'atufihin wa ta'adudihim, No 6538]

Maka jika sekiranya kita tidak merasa sakit dengan kesakitan kawan kita dan tidak pula kita merasa susah dengan kesusahan kawan kita, usah mendabik dada mengaku kita adalah kawan, rakan atau sahabat yang baik dan saling mengasihi dalam sebuah ikatan persahabatan dan persaudaraan. Ini kerana kita terlalu jauh sekali dengan perumpamaan yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. Lalu tanya-tanyalah diri kita dan muhasabahlah diri kita, kita ini adalah rakan yang bagaimana?

Tentu sahaja saya tiada jawapannya… KERANA JAWAPANNYA ADA DALAM DIRI ANDA SENDIRI."


Wallahu’alam.

05 July, 2010

01 July, 2010