28 June, 2010

Doakan Untuknya

Bismillah

Mungkin ramai adik-adik UKM ingin mendengar suara saya dalam membincangkan isu hangat yang diperbahaskan tentang '40 ulama masuk umno'. Tentu sebab utamanya ialah kerana yang mengetuai 40 ulama itu adalah pensyarah yang begitu rapat dengan saya. Tapi, saya hanya mendiamkan diri. Ini kerana saya sedar saya tidak layak untuk campur tangan lantaran saya bukanlah berwarganegara Malaysia. Lalu berdiam diri itu adalah lebih baik untuk saya.

Namun, perlu saya katakan penyertaan pensyarah itu agak memeranjatkan saya dan amat tidak saya sangkakan. Bila pertama kali saya mendapat tahu perkara itu di laman facebook beberapa jam setelah berita disiarkan di televisyen Malaysia. Saya menjadi ragu dan satu soalan sahaja yang muncul di benak saya. "BENARKAH?"

Saya terus menghantar khidmat pesanan ringkas kepada empunya diri untuk mendapatkan kepastian. Jawapan yang saya terima:

"Salam Kak, Ya betul untuk dakwah dan platform..Harap memahami"

Air mata saya mengalir...memang tidak dapat saya tahan kesedihan itu. Ini kerana saya amat memahami bagaimanakah keadaannya bila seseorang itu menyertai parti politik. Saya menyebut parti politik bukan UMNO kerana bagi saya sama sahaja jika beliau masuk ke mana-mana parti sekalipun. Ianya bakal mengubah sebahagian besar kehidupannya. Kerana sejarah yang lepas telah membuktikan semua itu.

Bermula dari malam itu, blog beliau tidak sunyi dari cacian, makian, kutukan dan hinggalah kepada komen-komen yang mengkafirkan. Saya berasa hairan. Islam tidak pernah mengajar agar kita mencaci-maki orang lain. Bahkan Islam mengajar agar kita saling menghormati lebih-lebih lagi mereka di kalangan agamawan. Pilu sungguh jiwa saya membaca satu demi satu komen cacian itu. Terus terang saya katakan, beliau bukanlah orang sebarangan yang boleh dikutuk dan dihina sedemikian rupa. Jika tidak pernah mengenali dirinya dan jika tidak pernah mendengar kuliahnya, usahlah mengata yang bukan-bukan.

Ketahuilah, beliau adalah di antara pensyarah yang mengajar kami agar tetap berpegang teguh dengan sunnah, amanah dengan ilmunya dan mempunyai keperibadian tinggi yang layak dihormati. Sebagai insan yang rapat dengan beliau dan mengenali perwatakan, akhlak, cara pengajaran, ilmu yang diajar serta cara beliau bekerja, Sungguh saya katakan, dia tidak layak untuk menerima semua penghinaan itu.

Lalu dalam penulisan saya ini, ingin sekali saya menasihati pelajar-pelajar yang telah mendapat bimbingan beliau agar tidak turut serta dalam hal yang amat merugikan ini walau bagi anda dia itu tidak sehaluan dengan apa yang anda perjuangkan selama ini. Anda kenal dia sebagai orang yang baik-baik dan kuat pegangan agamanya. Lalu mengapa anda menafikan itu hanya kerana dia memasuki sebuah parti yang amat anda benci sekali?

Beristighfarlah, wahai adik-adik dan rakan-rakan pelajar UKM ku, kita tidak tahu adakah kemasukannya itu bakal mengulang sejarah lama atau dia yang bakal melakar sejarah baru. Doakan dirinya dan rakan-rakannya adalah lebih baik dari kamu mencaci-maki dan mengharapkan kejatuhannya. Doakan untuknya kerana doa itu sendiri berfungsi sebagai senjata yang mampu mengubah takdir. Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w dalam sebuah hadith yang sahih telah bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada yang dapat mencegah Qada’ (takdir) melainkan doa”

[H.R al-Tirmidhi dalam kitab Sunannya, Kitab al-Qadr, Bab Ma Ja a La Yaruddu al-Qadr Illa bi al-Dua’, No 2139. Hukum Hadith: Sahih dalam kitab Sahih al-Tirmidhi, No 2139]

Akhir sekali, bicara ini bukan kerana saya adalah pelajar yang taksub dengan beliau. Bukan juga kerana saya adalah setiausaha Jalsah Ilmiyyah Quraniyyah. TETAPI IA ADALAH BICARA SEORANG PELAJAR YANG AMAT MENGHORMATI GURUNYA YANG BANYAK MENGAJAR ERTI MENUNTUT ILMU DAN DAKWAH UNTUK MENEGAKKAN SUNNAH MENURUT KEFAHAMAN SALAF AL-SALEH.

Wallahu'alam.

0 Comments:

Post a Comment