28 June, 2010

Doakan Untuknya

Bismillah

Mungkin ramai adik-adik UKM ingin mendengar suara saya dalam membincangkan isu hangat yang diperbahaskan tentang '40 ulama masuk umno'. Tentu sebab utamanya ialah kerana yang mengetuai 40 ulama itu adalah pensyarah yang begitu rapat dengan saya. Tapi, saya hanya mendiamkan diri. Ini kerana saya sedar saya tidak layak untuk campur tangan lantaran saya bukanlah berwarganegara Malaysia. Lalu berdiam diri itu adalah lebih baik untuk saya.

Namun, perlu saya katakan penyertaan pensyarah itu agak memeranjatkan saya dan amat tidak saya sangkakan. Bila pertama kali saya mendapat tahu perkara itu di laman facebook beberapa jam setelah berita disiarkan di televisyen Malaysia. Saya menjadi ragu dan satu soalan sahaja yang muncul di benak saya. "BENARKAH?"

Saya terus menghantar khidmat pesanan ringkas kepada empunya diri untuk mendapatkan kepastian. Jawapan yang saya terima:

"Salam Kak, Ya betul untuk dakwah dan platform..Harap memahami"

Air mata saya mengalir...memang tidak dapat saya tahan kesedihan itu. Ini kerana saya amat memahami bagaimanakah keadaannya bila seseorang itu menyertai parti politik. Saya menyebut parti politik bukan UMNO kerana bagi saya sama sahaja jika beliau masuk ke mana-mana parti sekalipun. Ianya bakal mengubah sebahagian besar kehidupannya. Kerana sejarah yang lepas telah membuktikan semua itu.

Bermula dari malam itu, blog beliau tidak sunyi dari cacian, makian, kutukan dan hinggalah kepada komen-komen yang mengkafirkan. Saya berasa hairan. Islam tidak pernah mengajar agar kita mencaci-maki orang lain. Bahkan Islam mengajar agar kita saling menghormati lebih-lebih lagi mereka di kalangan agamawan. Pilu sungguh jiwa saya membaca satu demi satu komen cacian itu. Terus terang saya katakan, beliau bukanlah orang sebarangan yang boleh dikutuk dan dihina sedemikian rupa. Jika tidak pernah mengenali dirinya dan jika tidak pernah mendengar kuliahnya, usahlah mengata yang bukan-bukan.

Ketahuilah, beliau adalah di antara pensyarah yang mengajar kami agar tetap berpegang teguh dengan sunnah, amanah dengan ilmunya dan mempunyai keperibadian tinggi yang layak dihormati. Sebagai insan yang rapat dengan beliau dan mengenali perwatakan, akhlak, cara pengajaran, ilmu yang diajar serta cara beliau bekerja, Sungguh saya katakan, dia tidak layak untuk menerima semua penghinaan itu.

Lalu dalam penulisan saya ini, ingin sekali saya menasihati pelajar-pelajar yang telah mendapat bimbingan beliau agar tidak turut serta dalam hal yang amat merugikan ini walau bagi anda dia itu tidak sehaluan dengan apa yang anda perjuangkan selama ini. Anda kenal dia sebagai orang yang baik-baik dan kuat pegangan agamanya. Lalu mengapa anda menafikan itu hanya kerana dia memasuki sebuah parti yang amat anda benci sekali?

Beristighfarlah, wahai adik-adik dan rakan-rakan pelajar UKM ku, kita tidak tahu adakah kemasukannya itu bakal mengulang sejarah lama atau dia yang bakal melakar sejarah baru. Doakan dirinya dan rakan-rakannya adalah lebih baik dari kamu mencaci-maki dan mengharapkan kejatuhannya. Doakan untuknya kerana doa itu sendiri berfungsi sebagai senjata yang mampu mengubah takdir. Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w dalam sebuah hadith yang sahih telah bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada yang dapat mencegah Qada’ (takdir) melainkan doa”

[H.R al-Tirmidhi dalam kitab Sunannya, Kitab al-Qadr, Bab Ma Ja a La Yaruddu al-Qadr Illa bi al-Dua’, No 2139. Hukum Hadith: Sahih dalam kitab Sahih al-Tirmidhi, No 2139]

Akhir sekali, bicara ini bukan kerana saya adalah pelajar yang taksub dengan beliau. Bukan juga kerana saya adalah setiausaha Jalsah Ilmiyyah Quraniyyah. TETAPI IA ADALAH BICARA SEORANG PELAJAR YANG AMAT MENGHORMATI GURUNYA YANG BANYAK MENGAJAR ERTI MENUNTUT ILMU DAN DAKWAH UNTUK MENEGAKKAN SUNNAH MENURUT KEFAHAMAN SALAF AL-SALEH.

Wallahu'alam.

15 June, 2010

Makluman kepada pengunjung setia blog umairah-sh. Saya akan berhenti menulis dari blog untuk jangka masa yang agak lama bagi memberi laluan kepada perkara-perkara yang lebih penting.

Apapun, semuanya dialu-alukan untuk terus menziarahi blog umairah-sh bagi memanfaatkan setiap pautan atau penulisan yang disertakan di dalam blog ini.



Mohon doa dari semuanya agar terus dikurniakan kesihatan dan segala urusan saya dipermudahkan oleh Allah s.w.t.

Sebarang perkara boleh terus menghubungi telefon bimbit saya (hp Singapura) atau emelkan di alamat alqamariah@yahoo.com

Sekian

Wassalam =)

Bismillah

Dia pernah marah yang membuatkan saya menangis hiba, bila saya mengatakan (dalam bentuk tulisan) bahawa saya TIDAK REDHA pada setiap perbuatannya yang MELANGGAR SYARIAT. Dia mengatakan saya membuka aibnya. Dia malu dengan teman-teman. Demi menjaga hatinya dan menghormati perasaannya, saya men'delete' penulisan itu (walau sebenarnya bagi saya penulisan itu tidaklah bertujuan membuka aibnya. Malah penulisan itu adalah luahan rasa sayang saya dan keprihatinan saya padanya).

Sejak itu saya jadi tawar hati dengannya dan dia pula begitu berjauh hati dengan saya.

Hubungan kami hambar.

Baru beberapa minggu saya cuba berbaik semula dengannya atas nasihat emak. Berbual-bual dengannya seperti tiada apa yang berlaku.

Tapi hari ini, hati saya tercalar lagi bila terjumpa laman facebooknya.



Sudah acapkali saya ingatkan bahawa dia adalah seorang pelajar agama dan mengajar agama. Tapi, dia.....

Berat sungguh jiwa saya. Tak terluah dengan apa jua kata sebenarnya.

Apapun, HIDAYAH BUKAN MILIK SAYA.

08 June, 2010

Enam Tahun



Beberapa hari yang lalu, genap usia pernikahan saya menjangkau ke angka 6.

Kadang-kala memang tak sedar bahawa saya sudah agak lama berada di alam rumah tangga. Maklum sahaja, belum punya cahaya mata mentelah lagi terlalu sibuk dnegan dunia pengajian.

Dalam masa 5 tahun pernikahan itu pula, kami sering duduk berjauhan. Bertemu hanya sebulan sekali. Maka berpisah dalam masa yang lama sudah begitu sebati dalam diri saya. Tiada tangisan dan tiada juga keluh-kesah yang memanjang walau sering diulit rindu yang datang dan pergi dan tanpa segan silu mengetuk pintu hati.

Kemudian saya teringat pada seorang adik yang pernah melahirkan rasa rindunya yang teramat sangat pada suaminya. Dalam keluh-kesah dihimpit rindu itu dia bertanya kepada saya:

"Kak..macam mana akak boleh hidup macam ni? Saya tengok akak ok je? Ceria. Akak tak rindu suami akak, ke?", tanyanya penuh kehairanan.

Saya senyum. Lalu menjawab persoalannya:

"Hmmm..tak normal lah kalau akak kata, akak tak rindu. Mesti rindu. Cuma, ia perlu dikawal. Kita perlu bijak kendalikan perasaan kita. Kita yang pilih untuk hidup cara begini, jadi untuk apa kita menangis dan bermuram duka. Nanti, nak study pun tak boleh. Kat sini (UKM), banyak perkara yang perlu kita selesaikan. Nak ulangkaji pelajaran, buat kajian, assignments dan banyak lagi perkara lain. Kena banyak sabar. Rindu tetap rindu"

"Saya tak sabar nak habiskan degree saya. Saya nak duduk dengan suami saya. Tak tahan dah rasa duduk jauh-jauh macam ni. Saya tak kuat...." Luahnya dengan hiba lalu ada air mata yang tak mampu ditahan mengalir di pipinya. Dia megesat airmata dengan hujung tudung labuhnya.

Saya merenung wajahnya yang comel lalu menggenggam jari-jemarinya.

"Adik...", sebenarnya saya turut sayu melihat keadaannya. Terhenti sebentar kata-kata yang ingin saya hadiahkan kepadanya. "Masa mula-mula adik nak nikah, tentu adik rasa adik kuat untuk hadapi semua ini,kan?"

Dia menganggukkan kepalanya. Saya menyambung bicara:

"Tidak ada siapa yang memaksa kita memilih jalan ini. Bernikah dan dalam masa yang sama belajar. Kemudian berpisah dengan suami. Itu pilihan kita. Maka, kita juga yang perlu laluinya tanpa sebarang keluh dan kesah. Tidak ada alasan yang perlu kita bina setelah kita sendiri memuktamadkan sebuah keputusan. Banyakkan bersabar..sikit je lagi untuk habiskan degree. Lagi berapa bulan sahaja. Lepas ni, dah boleh balik kampung, duduk dengan suami"

Dia senyum mendengar kata-kata saya. Saya juga senyum.

"Lepas tu..adik sambunglah master", kata saya sengaja mengusiknya.

Lalu dengan cepat dia berkata: "Ha....tak nak!!! Cukuplah degree ni merana!"

SAKIT RINDU

Saya tidak menafikan bahawa berkahwin dan kemudiannya belajar bagi seorang perempuan adakalanya amat menguji kekuatan diri dan perasaan. Lebih-lebih lagi untuk mereka yang terpaksa duduk berjauhan dari suami tersayang. Benar, mungkin ada yang kata, apa yang nak rasa susahnya bila suami dan anak-anak (bagi wanita yang sudah mempunyai anak)duduk berjauhan. Bukankah itu lebih memudahkan diri yang memang sedia sibuk dengan pengajian. Ya, secara zahirnya memang nampak tiada susahnya. Tapi secara batinnya hanya Allah sahaja yang tahu. Semuanya kerana RINDU. RINDU HALAL itu MEMANG INDAH walau sakitnya AMAT PARAH. Bila diri diulit rindu, tentu sahaja tidak terluah dengan apa jua kata. Sebenarnya kata-kata tak mampu untuk mengungkap bagaimanakah rasa rindu itu. Selalunya tiada kata atau bicara, yang ada hanya airmata.

Begitulah rasa yang mendera dalam masa lima tahun perkahwinan ini. Sentiasa diulit sakit rindu yang tidak pernah mengenal erti jemu untuk bertamu. Namun, apakah perlu untuk saya laluinya dengan penuh tangisan dan keluhan hiba yang tidak sudah-sudah? Perjalanan saya dalam dunia belajar masih jauh dan terlalu banyak amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh bijaksana dan saksama. Melayan sakit rindu itu tidak akan membawa saya ke mana. Hanya menjadikan diri lemah, lesu dan tidak bermaya.

6 TAHUN

Enam tahun nampak lama. Tapi saya tahu sebenarnya usia itu masih muda untuk menobatkan kami sebagai pasangan suami isteri yang sudah matang dalam bahtera rumahtangga. Perjalanan kami masih jauh, ada banyak impian yang masih belum tercapai dan banyak liku-liku yang menanti untuk ditempuh.

Apa yang pasti, sepanjang enam tahun bersama saya akui bahawa dia adalah suami yang teramat baik terhadap saya. Subhanallah, dia menjaga saya umpama menjaga nyawanya sendiri. Begitu juga menyediakan keperluan dan kesenangan untuk saya dan keluarganya tanpa berbelah bagi.

Kebaikannya sering membuatkan saya rasa terharu dan mengalirkan air mata.

Lantas saya teringat pada sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dalam kitab Sunannya yang bermaksud:

"Jika sekiranya aku ingin menyuruh seseorang itu sujud kepada seseorang yang lain, akan aku suruh seorang isteri itu sujud kepada suaminya" (Hukum Hadith: Sahih)

Memang dalam maksud hadith itu, jika dahulu saya agak kurang faham mengapa baginda bersabda sedemikian rupa. Tapi kini, saya mengerti. Kerana suami bukanlah manusia sebarangan bagi diri seorang isteri.

TERIMA KASIH ATAS DOA

Terima kasih atas doa semuanya untuk usia pernikahan ini. Semoga Allah s.w.t sentiasa merahmati kami dan membantu SAYA dan suami untuk terus kuat dalam melayari bahtera rumahtangga yang saya akur amat tidak mudah.