10 May, 2010



Saya duduk bersandar di atas sofa buatan Itali di ruang tamu sambil memandang ke arah siling yang tidaklah seputih mana. Menarik nafas dengan berat lalu melepaskannya juga dengan berat.

Buntu.

Dahi saya berkerut seribu!

Sukar bagi saya untuk menyelesaikan masalah itu.

Masalah orang yang bertopengkan agama untuk kelihatan baik pada mata manusia. Menyebabkan berlakunya insiden menipu, ditipu dan akhirnya ramai yang TERTIPU!

Dek kerana asyiknya saya memikirkan permasalahan itu, saya terimbas kembali pada sebuah episod yang pernah berlaku dalam hidup saya. Sudah terlalu lama perkara itu. Namun walau sudah bertahun berlalu, ianya tidak pernah luput dan layu. Semuanya masih segar di ingatan saya kerana episod itu adalah antara catatan hidup saya tatkala usia saya sedang menginjak ke gerbang dewasa.

DIA SAYA HORMATI DAN SAYANGI

Dia yang berniqab amat saya hormati.

Menjaga wajahnya agar tidak kelihatan oleh lelaki bukan mahramnya sehingga bermain bola tampar di padang asrama banat pun dia masih mengenakan niqabnya.

Dia baik. TERAMAT BAIK TERHADAP SAYA.

Tiada kakak yang terbaik bagi saya pada ketika itu melainkan dia. Dia banyak memberikan sokongan dan dorongan kepada saya dalam setiap perkara yang saya lakukan. Dia amat memahami diri dan jiwa saya. Dia bukan sahaja sudi mendengar tangisan saya malah sudi jua membelai hati saya yang sentiasa dirundung duka dan hiba.

Subhanallah, kebaikannya memang sukar untuk saya ungkapkan.

Tidak terluah perasaan terharu saya bila mengenangkan sikapnya yang setia menjaga makan dan minum saya tatkala saya sakit dan sibuk mengulangkaji untuk peperiksaan. Malah dia juga sanggup membantu membasuh pakaian saya pada ketika itu. Dia sentiasa memberikan semangat kepada saya dengan berkata:

'Akak tahu, awak mampu buat yang terbaik"

Dia tidak pernah melupakan saya. Dia suka membelikan saya hadiah dan bila dia bercuti ke mana-mana bersama 'suami'nya, dia selalunya pulang dengan membawa hadiah untuk saya. Dia juga suka bercerita tentang kehidupannya dan juga tentang 'suami'nya yang merupakan pelajar lepasan pondok yang bergelar al-Hafiz.

Kedua-dua pasangan itu memang begitu baik di mata saya atau dengan kata yang lainnya begitu 'thiqah' pada pengamatan saya. Sehingga saya menghormati keduanya sebagaimana saya menghormati abang dan kakak sendiri lantaran saya melihat adanya pegangan agama dan kebaikan yang tiada tolok bandingnya pada kedua-dua insan itu.

MENGALIRNYA AIRMATA

Air mata saya mengalir....

Mengalir tatkala saya mengenangkan bagaimana sayang saya kepadanya berubah menjadi benci dan bagaimana hormat saya bertukar menjadi sebaliknya.

Siapa sangka, rupa-rupanya pada ukhwah itu ada PEMBOHONGAN yang tidak pernah terlintas oleh saya dilakukannya terhadap saya.

Saya tidak marah tetapi saya terlalu sedih dan pilu pada waktu itu. Manakan tidaknya sedih dan pilu itu menyelubungi seluruh jiwa saya bila insan yang saya sayang kerana agama dan kebaikannya, rupa-rupanya menggunakan agama dan kebaikan itu sendiri untuk menutup keaiban dan kesalahan dirinya.

Lalu di mana perlu saya letakkan dia di hati saya pada waktu itu?
Dalam hati saya ada segudang kecewa dan kesal yang tidak terluah.
Hancur semua rasa sayang dan hormat saya.
Sayalah insan yang paling berduka cita.

Tatkala dia menghilangkan diri secara tiba-tiba.
Tiada khabar dan tiada berita.

Saya tidak tahu di mana dia. Semua orang bertanyakan tentang dia kepada saya. Bila saya katakan saya tidak tahu, semua orang seakan sukar mempercayai pengakuan jujur saya itu. Saya tertekan....

Saya bertambah tertekan bila mana 'suami'nya sudah mula menghubungi saya dan bercerita tentang pelbagai perkara yang amat mencalar-balarkan jiwa saya.

Bayangkan perasaan saya, bila saya mengetahui rupanya mereka tidak pernah diikat dengan tali akad. Bayangkan juga perasaan saya bila saya mendapat tahu kakak itu telah bertunang dengan lelaki pilihan ibunya sendiri.

Terdetik di benak saya pelbagai persoalan...

Jadi, selama ini 'suami'nya itu bukan suaminya?!
Dan yang bersamanya ke hulu dan ke hilir itu sebenarnya hanya kekasih hati yang selama ini menanggung segala perbelajaan hidupnya?
Lalu bagaimana pula dengan cerita-cerita kakak itu tentang kehidupan yang dilaluinya bersama 'suami'nya?

Allahu akbar.... air mata saya mengalir sederas-derasnya setelah saya mendapat tahu cerita sebenarnya. Saya merahsiakan perkara itu dari semua orang yang mengenalinya lantaran saya tidak mahu tersebarnya berita yang akan menjatuhkan air muka seorang muslimah berniqab sepertinya.

Sungguh, sukar untuk saya menerima bahawa semua itu hanya dusta semata.
Terlebih sukar untuk saya percaya bahawa kakak dan abang yang selama ini saya hormati, melakukan kemungkaran di sebalik niqabnya dan disebalik gelaran al-Hafiznya.

Menipu semua orang agar orang tidak memandang serong pada sebuah 'perhubungan' yang sememangnya tidak halal.

Saya ditipunya hidup-hidup akhirnya menyebabkan saya berasa TERTIPU yang amat sangat!

Sejak dia menghilangkan diri itu saya tidak pernah berjumpa dengannya hinggalah ke hari ini. Yang saya tahu, dia sudah bernikah dengan lelaki lain dan mempunyai beberapa orang anak. Dan saya tidak mahu mencari di mana dia berada sekarang dan saya pula tidak mahu mengetahui apa-apa tentang dirinya.

MENIPU, DITIPU DAN TERTIPU

Ya, saya tahu semua orang melakukan kesilapan. Moga kesilapan yang dilakukannya menjadi iktibar untuk dirinya dan terutamanya pada diri saya (begitu juga anda yang membaca).

Tentu ramai yang pernah menghadapi insiden menipu, ditipu dan tertipu, cuma jalan ceritanya tentu sahaja berbeza.

Saya banyak belajar dari episod hidup itu.

Belajar tentang erti kehidupan.
Belajar tentang erti persahabatan.
Belajar tentang erti KEIMANAN & KETAQWAAN.

Akhirnya saya berkata pada diri: Biarlah saya menjadi insan yang ditipu dan tertipu tetapi tidak sekali mahu menjadi insan yang MENIPU.

Nabi s.a.w telah bersabda:

من غشنا فليس منا

Maksudnya: "Siapa yang menipu kami, maka dia bukanlah di kalangan kami"
(Hadith sahih dalam kitab al-Silsilah al-Sahihah, No 1058)

Berbahagialah jika anda dihormati dan disayangi kerana agama (Islam) yang menghiasi diri. Namun, jangan sekali pergunakan itu sebagai tiket untuk menutup mungkar yang dilakukan dan akhirnya menipu orang lain. Penipuan itu teramat sakit rasanya untuk orang yang ditipu dan tertipu bila mana ianya dilakukan oleh ORANG YANG DILABEL SEBAGAI AGAMAWAN

Wallahu'alam

0 Comments:

Post a Comment