28 April, 2010



"Ramai RINDU pada akak"

Saya mengukir senyuman ketika mendengar ucapan itu. Benar, sudah terlalu lama saya menghilang dari UKM. Tentu sahaja ada insan-insan yang mencari dan tentu sahaja ada insan-insan yang merindui.

Beberapa minggu kebelakangan ini, laman facebook saya dipenuhi dengan ucapan perpisahan dan video perpisahan yang dibuat khas buat tatapan rakan-rakan tersayang. Begitu juga banyak gambar-gambar yang dinaikturun sebagai tanda kenangan untuk semua rakan-rakan tahun 3 pengajian.

Minggu ini adalah minggu terakhir pelajar-pelajar tahun 3 UKM menjadi penghuni UKM.

Itu bermakna saya bakal berpisah dengan adik-adik tahun 3 Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah, FPI, UKM.

Saya termenung seketika...

Mungkinkah saya menghadiahkan kepada mereka dengan pelukan perpisahan?

Ada air jernih mula bergenang di kolam mata saya.

TAHUN 2008

Teringat perpisahan pada tahun 2008 dahulu.

Satu demi satu adik-adik (rakan seperjuangan sepanjang 3 tahun peringkat sarjana muda di UKM) saya peluk erat dengan tangisan sebelum saya berangkat pulang ke Singapura.

Saat itu ucapan maaf dilafaz, ucapan sayang diucap dan pelbagai ucapan pujian dan penghargaan saling dihadiahkan.

Semua itu diluah dalam dakapan kasih sayang penuh ukhwah yang tidak tergambar sayunya.

Tangisan...esakan...sedu-sedan...bagai ada kematian.

Ya Allah..peritnya jiwa saya pada ketika itu.

Sakitnya perpisahan sehingga sedu-sedan saya tidak berakhir walau kereta yang dipandu oleh suami saya sudah meluncur laju meninggalkan bumi UKM.

Mereka masih saya ingat, masih saya kenang dan masih saya rindui.


TAHUN 2009

Tahun 2009 pula menjelang....

Sekali lagi, dengan perasaan berat saya hadiahkan dakapan perpisahan untuk adik-adik(akhawat) JPQS saya yang bakal bergelar graduan.

Ada air mata tapi tiada sedu sedan kerana saya sudah belajar dari perpisahan yang pertama.

Dakapan demi dakapan erat dari adik-adik memang amat menyentuh jiwa dan perasaan.

Sayu dan pilu.

Pada mereka saya berpesan: "Gunakan ilmu yang ada dengan amanah dan sebaik-baiknya"

TAHUN 2010

Kini tahun 2010...

Saya perlu menghadapi perpisahan yang sama.

Cuma pada kali ini saya berada jauh dari adik-adik. Saya tidak dapat meluangkan banyak masa tatkala mereka sedang menghadapi saat-saat akhir di bumi UKM.

Ada sebak dan ada juga rasa terkilan...

Kerana mereka juga adik-adik yang baik
adik-adik yang prihatin
adik-adik yang penyayang
adik-adik yang tahu erti menghormati

***********************

Setiap tahun saya berganti adik-adik JPQS.

Mereka hadir dalam hidup saya bagai suria di pagi hari.

Ceria dan penuh kasih sayang.

Saya tidak punya apa-apa untuk mereka melainkan kata-kata semangat dan nasihat untuk mereka meneruskan perjuangan dalam menuntut ilmu al-Quran dan al-Hadith.

Saya tidak kisah jika mereka ingin berbicara panjang dengan saya.

Tidak saya marah jika mereka ingin bergurau dan menyakat saya.

Saya juga tidak punya masalah jika mereka ingin mengadu apa jua hal kepada saya.

Malah saya juga tidak menafikan saya seringkali menjadi orang tengah untuk mereka menyampaikan apa yang terbuku di hati kepada pensyarah JPQS.

Cumanya, jika mereka sedar bahawa dalam bicara saya seringkali ada nasihat dan
jika mereka fahami bahawa dalam gurauan saya seringkali ada perkara yang ingin saya peringatkan.

Kerana HIKMAH ITU ADALAH SEGALANYA.

Baru lahir kasih sayang dan baru ada rasa ingin menghormati.

Saya ingin mereka belajar bahawa menjadi yang paling tua tidak bererti kita perlu mendominasi, kita perlu ego, kita juga perlu memaksa yang muda mendengar kata kita dan seterusnya menghormati kita.

Sebenarnya menjadi yang paling tua itu menyandang tanggungjawab yang amat besar iaitu untuk mendidik dan menjadi contoh terbaik untuk yang muda.

KITA TIDAK AKAN DIHORMATI DAN DIKASIHI MELAINKAN KITA MENGHORMATI DAN MENGASIHI ORANG LAIN.

Saya mengukir senyuman. Tidak manis tetapi pahit.

Pahit lantaran bakal berlakunya perpisahan.

SALAM PERPISAHAN

Kepada adik-adik tahun 3 JPQS saya ucapkan salam perpisahan dan selamat bergelar graduan JPQS, FPI, UKM. Ketahuilah:

"Dalam hati ini ada selautan kasih untuk mu
Dari kasih ini kubentuk sebuah harapan
Ku hiasi ia dengan persahabatan
Untuk melihatmu sebagai pejuang Islam"

"Perpisahan pasti ada tangis dan sendu tapi ia tentunya menghadiahkan rindu.
Bersabarlah, kerana perpisahan bukan akhir kepada perjuangan. Tetapi ia adalah permulaan pada sebuah perjuangan sebagai seorang da'i.
Tanpa teman dan rakan-rakan di sisi.
Lalu bagaimanakah kamu dan ilmumu?
Adakah kamu akan terus tetap dalam dakwah atau mengalah?
Adik, itulah antara tujuan perpisahan agar kamu sedar erti perjuangan sebenarnya".

=) =) =)

AKAK SAYANG SEMUANYA.

P/S: Terus terang saya katakan,bukan mudah menjadi seorang kakak kepada berbelas (atau mungkin berpuluh) adik akhawat JPQS.

0 Comments:

Post a Comment