04 April, 2010

Dengan lafaz bismillah saya memulakan bicara

Untuk pengetahuan semua, kondisi saya masih lagi kurang memberangsangkan tetapi saya tidak mahu menunda lagi meluah rasa pada hari ini.

Bimbang kerana siapa tahu, esok lusa saya tidak berpeluang menaip lagi...tidak berpeluang menatap blog umairah-sh.

Berbicara dari hati...

Saya dan Denggi

Minggu ini, sudah masuk minggu ketiga saya lemah dan tidak berdaya. Mungkin baru pulih atau mungkin masih belum pulih. Saya sendiri sukar untuk menjangkakan tahap kesihatan saya. Ini kerana demam saya seringkali datang dan pergi.

Akibat terlalu memaksa diri untuk menjayakan Forum Perdana Jalsah Ilmiyyah Quraniyyah pada 1 April yang lepas, keesokan malamnya saya diserang demam dan sakit kepala secara tiba-tiba. Sakitnya tidak pernah saya rasa sebelum ini. Sehingga saya mengalirkan air mata yang bukan sedikit dan sehingga hendak bangun ke tandas pun saya tidak mampu. Mujur dua orang adik saya, Ayu dan Sa'adah sanggup datang dari Kolej Keris Mas ke bilik saya di Kolej Ungku Omar untuk melihat keadaan saya dan mereka mengambil tindakan cepat membawa saya ke klinik dengan menaiki teksi.

Sesungguhnya menunggu mereka datang dari kolej Keris Mas adalah satu penyeksaan. Sakitnya kepala saya, Allah sahaja yang tahu. Saya sudah mula membayangkan yang tidak-tidak dan dengan deraian air mata saya mengucapkan kalimah La Ilaha Illah berulang-ulang kali.

Apapun, Alhamdulillah. Pada hari ini, saya masih boleh duduk di hadapan laptop menaip dan membaca dan dalam banyak keadaan saya menghadap laptop dengan keadaan berbaring dek kerana ketidakmampuan saya untuk duduk berlama-lamaan seperti kebiasaannya. Saya mohon doa dari semuanya untuk kesihatan saya.

Jalsah Ilmiyyah Quraniyyah (JIQ)

Alhamdulillah, Jalsah Ilmiyyah Quraniyyah telah menutup tirainya pada semester ini dengan Forum Perdana JIQ kali-1. Forum yang diadakan buat julung-julung kalinya itu mendapat sambutan dari para pelajar, pensyarah dan juga individu luar dari UKM. Kejayaan Forum itu menandakan JIQ adalah satu program yang layak menaikkan nama Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, FPI, UKM walau usianya baru setahun jagung.



JIQ mampu bergerak sendiri dengan ajknya yang hanya 7 orang. Sebenarnya saya selalu percaya bahawa ajk yang sedikit tidak menandakan kita lemah dan tidak mampu dan ajk yang ramai pula tidak bererti ianya sebuah organisasi yang gah, hebat dan mantap. Jika setiap ajk mengerti dengan bidang tugas masing-masing dan sentiasa bersedia untuk membantu dan memberikan komitmen, maka tidak menjadi masalah yang besar walau dalam sebuah jawatankuasa itu hanya dianggotai oleh 3 orang. Yang penting, kita bijak meletakkan setiap ajk di tempatnya. Suami saya selalu berkata kepada saya:

'Kita lihat kemahiran yang ada pada diri seseorang dan kemudiannya kita gunakan kemahiran yang ada pada seseorang itu dengan sepenuhnya. Letak diri seseorang itu di tempat yang betul, baru sesuatu yang ingin kita lakukan dapat berjalan dengan jayanya'.

Melihat kejayaan JIQ membuatkan saya menjadi gusar hati untuk meninggalkannya. Entah bagaimana situasi JIQ pada semester hadapan. Ini kerana sebahagian ajk JIQ akan membawa haluan masing-masing. Saya akui bahawa untuk menghidupkannya yang hampir mati pada awal semester ini merupakan satu cabaran yang amat sukar bagi saya. Terlalu banyak yang saya tempuhi dan saya juga tidak menafikan terlalu banyak air mata yang saya baziri. Daripada JIQ 'zero' kini sudah menjadi HERO.

Ya, saya mampu tersenyum syukur melihat kebangkitannya kini. Tapi adakah saya perlu melihat ia kembali zero dan berkubur setelah berhempas pulas melalui pelbagai jerih-perih yang bukan calang-calangnya? Justeru, banyak perkara yang perlu saya PERTIMBANGKAN dan saya perlu membuat satu keputusan yang bijak... untuk DIRI SAYA dan juga JIQ.

Tetapi seperti biasa ...ALANGKAH SUKARNYA MEMBUAT SATU KEPUTUSAN.

Ya Allah...permudahkanlah segala urusan saya dan tunjukkanlah apa yang terbaik untuk saya dan insan-insan di sekeliling saya.

TESIS

Saya perlu menyelesaikan apa yang perlu saya selesaikan sebelum semester ini berakhir dan sebelum saya berangkat pulang ke kota Singa.

Moga segalanya dipermudahkan walau saya tahu tidak mudah....lebih-lebih lagi dengan keadaan saya yang teramat lemah.

MAAFKAN SAYA

Di kesempatan ini, saya ingin memohon maaf kepada semua yang mengenali saya. Maafkan saya jika selama ini saya ada melakukan kesilapan dan kesalahan yang mana mungkin saya sengajakan atau tidak sengajakan. Saya manusia biasa tidak pula ma'sum, tentu banyak perkara yang saya lakukan ada yang mengguris hati dan perasaan.

Ya, saya akui..saya seringkali inginkan yang terbaik. Dan dalam menginginkan yang terbaik, dalam banyak keadaan saya seperti memaksa dan mengkrtik itu dan ini. Bukan kerana saya mengada-ngada. Tetapi saya cuma ingin anda tahu, MUSLIM PERLU CEMERLANG DALAM BANYAK PERKARA. JUSTERU, SAYA AMAT PRIHATIN TENTANG KETELITIAN SESEBUAH KERJA YANG DILAKSANAKAN. Jika ada yang terasa selama mana bekerja dengan saya, mohon sangat-sangat dimaafkan segalanya.

Satu perkara ingin saya tekankan, bagi mereka yang sering iri hari pada saya atau kurang berkenan pada saya, buang sahajalah perasaan itu. Ini kerana saya tidak punya apa-apa. Saya akui saya adalah insan yang 'HIGH-PROFILE' tapi itu semua bukan saya yang minta. Saya tidak pernah berusaha meng'high-profile' kan diri saya. Nikmat itu dari Allah s.w.t dan semuanya milik Allah s.w.t. AKHIRNYA, SAYA MEMANG TIDAK PUNYA APA-APA.

Setiap kesalahan insan pada saya telah saya maafkan dan saya tidak mahu membawa semua itu hingga ke hujung nyawa saya. Cuma yang pentingnya, apa yang berlaku saya catatkan sebagai sejarah dan itu tidak bermakna saya tidak memaafkan.

TERIMA KASIH

Ingin saya senaraikan insan-insan di UKM yang layak mendapat ucapan terima kasih dari saya:

1- Ustaz Fadlan Mohd Othman
2- Dr Azwira Abd Aziz
3- Ketua Jabatan, para pensyarah dan kakitangan Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, FPI, UKM.
4- Adik-adik saya: Aishah Othman, Ayu, Sa'adah, Ida, Adilah Othman, Nabilah Said, Miza, Azimah, Akmaliah, Najihah, Luqman Hakeem, Ahmad Naim dan kesemua adik-adik tahun tiga JPQS yang amat prihatin dan menghargai kehadiran saya dalam hidup mereka.
5- Kesemua rakan-rakan pengajian Master yang mengenali saya.
6- Kesemua AJK Jalsah Ilmiyyah Quraniyyah (JIQ).
7- Para pelajar saya: Farah Shahidah, Izzati, Nadia, Sya dan kesemuanya yang pernah mendapat bimbingan saya di kelas tutorial Kajian Ulum al-Hadith.
8- Dan kesemuanya yang tidak saya teringat dan tidak tersebut namanya sedangkan mereka adalah insan yang amat baik pada saya.

Akhir sekali- MUNGKIN JUGA SAYA PERLU UCAPKAN SELAMAT TINGGAL PADA UKM. Doakan yang terbaik untuk saya. Jika ada ilmu dan kebaikan yang pernah saya ajarkan dan tunjukkan, maka sebar-sebarkanlah ia, moga ianya menjadi amal saya yang tidak terputus walau nyawa berpisah dari badan.

Sekian

Wassalam.

0 Comments:

Post a Comment