28 April, 2010



"Ramai RINDU pada akak"

Saya mengukir senyuman ketika mendengar ucapan itu. Benar, sudah terlalu lama saya menghilang dari UKM. Tentu sahaja ada insan-insan yang mencari dan tentu sahaja ada insan-insan yang merindui.

Beberapa minggu kebelakangan ini, laman facebook saya dipenuhi dengan ucapan perpisahan dan video perpisahan yang dibuat khas buat tatapan rakan-rakan tersayang. Begitu juga banyak gambar-gambar yang dinaikturun sebagai tanda kenangan untuk semua rakan-rakan tahun 3 pengajian.

Minggu ini adalah minggu terakhir pelajar-pelajar tahun 3 UKM menjadi penghuni UKM.

Itu bermakna saya bakal berpisah dengan adik-adik tahun 3 Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah, FPI, UKM.

Saya termenung seketika...

Mungkinkah saya menghadiahkan kepada mereka dengan pelukan perpisahan?

Ada air jernih mula bergenang di kolam mata saya.

TAHUN 2008

Teringat perpisahan pada tahun 2008 dahulu.

Satu demi satu adik-adik (rakan seperjuangan sepanjang 3 tahun peringkat sarjana muda di UKM) saya peluk erat dengan tangisan sebelum saya berangkat pulang ke Singapura.

Saat itu ucapan maaf dilafaz, ucapan sayang diucap dan pelbagai ucapan pujian dan penghargaan saling dihadiahkan.

Semua itu diluah dalam dakapan kasih sayang penuh ukhwah yang tidak tergambar sayunya.

Tangisan...esakan...sedu-sedan...bagai ada kematian.

Ya Allah..peritnya jiwa saya pada ketika itu.

Sakitnya perpisahan sehingga sedu-sedan saya tidak berakhir walau kereta yang dipandu oleh suami saya sudah meluncur laju meninggalkan bumi UKM.

Mereka masih saya ingat, masih saya kenang dan masih saya rindui.


TAHUN 2009

Tahun 2009 pula menjelang....

Sekali lagi, dengan perasaan berat saya hadiahkan dakapan perpisahan untuk adik-adik(akhawat) JPQS saya yang bakal bergelar graduan.

Ada air mata tapi tiada sedu sedan kerana saya sudah belajar dari perpisahan yang pertama.

Dakapan demi dakapan erat dari adik-adik memang amat menyentuh jiwa dan perasaan.

Sayu dan pilu.

Pada mereka saya berpesan: "Gunakan ilmu yang ada dengan amanah dan sebaik-baiknya"

TAHUN 2010

Kini tahun 2010...

Saya perlu menghadapi perpisahan yang sama.

Cuma pada kali ini saya berada jauh dari adik-adik. Saya tidak dapat meluangkan banyak masa tatkala mereka sedang menghadapi saat-saat akhir di bumi UKM.

Ada sebak dan ada juga rasa terkilan...

Kerana mereka juga adik-adik yang baik
adik-adik yang prihatin
adik-adik yang penyayang
adik-adik yang tahu erti menghormati

***********************

Setiap tahun saya berganti adik-adik JPQS.

Mereka hadir dalam hidup saya bagai suria di pagi hari.

Ceria dan penuh kasih sayang.

Saya tidak punya apa-apa untuk mereka melainkan kata-kata semangat dan nasihat untuk mereka meneruskan perjuangan dalam menuntut ilmu al-Quran dan al-Hadith.

Saya tidak kisah jika mereka ingin berbicara panjang dengan saya.

Tidak saya marah jika mereka ingin bergurau dan menyakat saya.

Saya juga tidak punya masalah jika mereka ingin mengadu apa jua hal kepada saya.

Malah saya juga tidak menafikan saya seringkali menjadi orang tengah untuk mereka menyampaikan apa yang terbuku di hati kepada pensyarah JPQS.

Cumanya, jika mereka sedar bahawa dalam bicara saya seringkali ada nasihat dan
jika mereka fahami bahawa dalam gurauan saya seringkali ada perkara yang ingin saya peringatkan.

Kerana HIKMAH ITU ADALAH SEGALANYA.

Baru lahir kasih sayang dan baru ada rasa ingin menghormati.

Saya ingin mereka belajar bahawa menjadi yang paling tua tidak bererti kita perlu mendominasi, kita perlu ego, kita juga perlu memaksa yang muda mendengar kata kita dan seterusnya menghormati kita.

Sebenarnya menjadi yang paling tua itu menyandang tanggungjawab yang amat besar iaitu untuk mendidik dan menjadi contoh terbaik untuk yang muda.

KITA TIDAK AKAN DIHORMATI DAN DIKASIHI MELAINKAN KITA MENGHORMATI DAN MENGASIHI ORANG LAIN.

Saya mengukir senyuman. Tidak manis tetapi pahit.

Pahit lantaran bakal berlakunya perpisahan.

SALAM PERPISAHAN

Kepada adik-adik tahun 3 JPQS saya ucapkan salam perpisahan dan selamat bergelar graduan JPQS, FPI, UKM. Ketahuilah:

"Dalam hati ini ada selautan kasih untuk mu
Dari kasih ini kubentuk sebuah harapan
Ku hiasi ia dengan persahabatan
Untuk melihatmu sebagai pejuang Islam"

"Perpisahan pasti ada tangis dan sendu tapi ia tentunya menghadiahkan rindu.
Bersabarlah, kerana perpisahan bukan akhir kepada perjuangan. Tetapi ia adalah permulaan pada sebuah perjuangan sebagai seorang da'i.
Tanpa teman dan rakan-rakan di sisi.
Lalu bagaimanakah kamu dan ilmumu?
Adakah kamu akan terus tetap dalam dakwah atau mengalah?
Adik, itulah antara tujuan perpisahan agar kamu sedar erti perjuangan sebenarnya".

=) =) =)

AKAK SAYANG SEMUANYA.

P/S: Terus terang saya katakan,bukan mudah menjadi seorang kakak kepada berbelas (atau mungkin berpuluh) adik akhawat JPQS.

24 April, 2010

Bismillah

Pagi ini saya menerima sebuah hadiah dari seorang guru saya. Sebuah nasyid tentang pendakwah Muslimah.

Ianya membuatkan saya tersenyum.

Katanya: "Saya nak Kak teruskan perjuangan"



Terima Kasih di atas hadiah ini.

Jazahullahu Khairan Jazilan =)

19 April, 2010



Lagi beberapa minggu sahaja semester kali ini bakal berakhir.

Berbeza dari semseter sebelumnya. Saya tidak mengakhiri semester ini dengan peperiksaan. Lega...

Tetapi siapa sangka...lega itu hanya lega pada zahirnya tetapi batinnya..tidaklah selega menyebut perkataaN 'LEGA'.

Benar saya tidak diuji dengan peperiksaan tetapi saya diuji dengan dugaan yang lebih besar dari peperiksaan.

SAKIT

Saya tidak mengeluh, malah saya tidak juga bertanya mengapa saya yang terkena penyakit. Saya cuma melaluinya, menghadapinya dan berusaha untuk memulihkan kesihatan saya sehingga seperti sediakala.

SUDAH MASUK SEBULAN...

Ada gusar
Ada bimbang

Namun saya tidak mahu berputus asa
Terus-terusan menguatkan semangat diri
Terus-terusan jua meyakinkan pada diri
ALLAH MAHA MENGETAHUI APA YANG TERBAIK UNTUK DIRI INI

Alhamdulillah
Saya masih mampu tersenyum untuk semua 'hadiah' ini
walau saya agak pendiam dan malas untuk berbicara panjang
walau ada kemuraman yang tidak boleh diselindungkan
walau ada titisan air mata yang tidak mampu ditahan-tahan

Kerana saya tahu air mata adalah hiasan ujian
menangis bukan tanda tidak redha dan sabar
menangis adalah juga tanda kekuatan dan kesabaran

Semester ini sememangnya unik
terlalu banyak ujian
terlalu banyak dugaan
terlalu banyak perasaan yang dikorbankan
terlalu banyak juga air mata yang dimengalirkan

Akhirnya, saya terpaksa menghabiskan akhir semester ini di rumah sendiri
dengan terbaring lemah di atas katil dalam banyak keadaan, menelan pelbagai pil, menahan sakit yang sering datang dan pergi dan kadangkala membuatkan orang-orang yang mengasihi saya terpaksa berjaga dari tengah malam hingga ke subuh hari lantaran menanti saya di wad kecemasan.

Ketahuilah, saya bukan mengeluh malah tidak sekali merintih dengan takdir.

Ini sekadar sebuah luahan rasa di akhir semester yang bakal melabuhkan tirainya.

Saya tersenyum.

Pada senyuman itu ada air mata syukur.

Syukur kerana Allah sedang memperingatkan kepada saya tentang sesuatu....


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya besarnya pahala itu setimpal dengan kekuatan ujian. Sesungguhnya Allah, sekiranya Dia cinta kepada sesuatu kaum Dia akan menguji mereka. Sesiapa yang redha akan mendapat keredhaan dan sesiapa yang marah akan mendapat kemurkaan.” H.R al-Tirmidhi – Hukumnya Sahih (Sahih al-Jami’No. 992)

12 April, 2010

Bismillah

Sudah tiga hari saya berada di Kota Singa.

Keadaan saya? Minta didoakan agar cepat sembuh seperti sediakala.

Cuma untuk masa ini, saya tidak ada keinginan untuk berbicara panjang dengan sesiapa.

Mohon maaf, andai khidmat pesanan ringkas yang dihantar tidak berbalas, sapaan melalui Yahoo Messengger tidak dilayan (saya tidak online sebenarnya) dan apa jua komentar di facebook saya cuma menjawab dengan senyuman tanpa kata-kata dan kadangkala saya hanya mendiamkan sahaja dan menjawab bila mana saya rasakan perlu.

Saya masih terus berjuang untuk kesihatan saya dan beberapa perkara lain.

Lalu saya rasa saya perlu menyepi dan menyendiri buat seketika.

Sunyi dari sebarang bicara.

Sepi dari sebarang berita.

Insya Allah, saya akan kembali....

04 April, 2010

Dengan lafaz bismillah saya memulakan bicara

Untuk pengetahuan semua, kondisi saya masih lagi kurang memberangsangkan tetapi saya tidak mahu menunda lagi meluah rasa pada hari ini.

Bimbang kerana siapa tahu, esok lusa saya tidak berpeluang menaip lagi...tidak berpeluang menatap blog umairah-sh.

Berbicara dari hati...

Saya dan Denggi

Minggu ini, sudah masuk minggu ketiga saya lemah dan tidak berdaya. Mungkin baru pulih atau mungkin masih belum pulih. Saya sendiri sukar untuk menjangkakan tahap kesihatan saya. Ini kerana demam saya seringkali datang dan pergi.

Akibat terlalu memaksa diri untuk menjayakan Forum Perdana Jalsah Ilmiyyah Quraniyyah pada 1 April yang lepas, keesokan malamnya saya diserang demam dan sakit kepala secara tiba-tiba. Sakitnya tidak pernah saya rasa sebelum ini. Sehingga saya mengalirkan air mata yang bukan sedikit dan sehingga hendak bangun ke tandas pun saya tidak mampu. Mujur dua orang adik saya, Ayu dan Sa'adah sanggup datang dari Kolej Keris Mas ke bilik saya di Kolej Ungku Omar untuk melihat keadaan saya dan mereka mengambil tindakan cepat membawa saya ke klinik dengan menaiki teksi.

Sesungguhnya menunggu mereka datang dari kolej Keris Mas adalah satu penyeksaan. Sakitnya kepala saya, Allah sahaja yang tahu. Saya sudah mula membayangkan yang tidak-tidak dan dengan deraian air mata saya mengucapkan kalimah La Ilaha Illah berulang-ulang kali.

Apapun, Alhamdulillah. Pada hari ini, saya masih boleh duduk di hadapan laptop menaip dan membaca dan dalam banyak keadaan saya menghadap laptop dengan keadaan berbaring dek kerana ketidakmampuan saya untuk duduk berlama-lamaan seperti kebiasaannya. Saya mohon doa dari semuanya untuk kesihatan saya.

Jalsah Ilmiyyah Quraniyyah (JIQ)

Alhamdulillah, Jalsah Ilmiyyah Quraniyyah telah menutup tirainya pada semester ini dengan Forum Perdana JIQ kali-1. Forum yang diadakan buat julung-julung kalinya itu mendapat sambutan dari para pelajar, pensyarah dan juga individu luar dari UKM. Kejayaan Forum itu menandakan JIQ adalah satu program yang layak menaikkan nama Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, FPI, UKM walau usianya baru setahun jagung.



JIQ mampu bergerak sendiri dengan ajknya yang hanya 7 orang. Sebenarnya saya selalu percaya bahawa ajk yang sedikit tidak menandakan kita lemah dan tidak mampu dan ajk yang ramai pula tidak bererti ianya sebuah organisasi yang gah, hebat dan mantap. Jika setiap ajk mengerti dengan bidang tugas masing-masing dan sentiasa bersedia untuk membantu dan memberikan komitmen, maka tidak menjadi masalah yang besar walau dalam sebuah jawatankuasa itu hanya dianggotai oleh 3 orang. Yang penting, kita bijak meletakkan setiap ajk di tempatnya. Suami saya selalu berkata kepada saya:

'Kita lihat kemahiran yang ada pada diri seseorang dan kemudiannya kita gunakan kemahiran yang ada pada seseorang itu dengan sepenuhnya. Letak diri seseorang itu di tempat yang betul, baru sesuatu yang ingin kita lakukan dapat berjalan dengan jayanya'.

Melihat kejayaan JIQ membuatkan saya menjadi gusar hati untuk meninggalkannya. Entah bagaimana situasi JIQ pada semester hadapan. Ini kerana sebahagian ajk JIQ akan membawa haluan masing-masing. Saya akui bahawa untuk menghidupkannya yang hampir mati pada awal semester ini merupakan satu cabaran yang amat sukar bagi saya. Terlalu banyak yang saya tempuhi dan saya juga tidak menafikan terlalu banyak air mata yang saya baziri. Daripada JIQ 'zero' kini sudah menjadi HERO.

Ya, saya mampu tersenyum syukur melihat kebangkitannya kini. Tapi adakah saya perlu melihat ia kembali zero dan berkubur setelah berhempas pulas melalui pelbagai jerih-perih yang bukan calang-calangnya? Justeru, banyak perkara yang perlu saya PERTIMBANGKAN dan saya perlu membuat satu keputusan yang bijak... untuk DIRI SAYA dan juga JIQ.

Tetapi seperti biasa ...ALANGKAH SUKARNYA MEMBUAT SATU KEPUTUSAN.

Ya Allah...permudahkanlah segala urusan saya dan tunjukkanlah apa yang terbaik untuk saya dan insan-insan di sekeliling saya.

TESIS

Saya perlu menyelesaikan apa yang perlu saya selesaikan sebelum semester ini berakhir dan sebelum saya berangkat pulang ke kota Singa.

Moga segalanya dipermudahkan walau saya tahu tidak mudah....lebih-lebih lagi dengan keadaan saya yang teramat lemah.

MAAFKAN SAYA

Di kesempatan ini, saya ingin memohon maaf kepada semua yang mengenali saya. Maafkan saya jika selama ini saya ada melakukan kesilapan dan kesalahan yang mana mungkin saya sengajakan atau tidak sengajakan. Saya manusia biasa tidak pula ma'sum, tentu banyak perkara yang saya lakukan ada yang mengguris hati dan perasaan.

Ya, saya akui..saya seringkali inginkan yang terbaik. Dan dalam menginginkan yang terbaik, dalam banyak keadaan saya seperti memaksa dan mengkrtik itu dan ini. Bukan kerana saya mengada-ngada. Tetapi saya cuma ingin anda tahu, MUSLIM PERLU CEMERLANG DALAM BANYAK PERKARA. JUSTERU, SAYA AMAT PRIHATIN TENTANG KETELITIAN SESEBUAH KERJA YANG DILAKSANAKAN. Jika ada yang terasa selama mana bekerja dengan saya, mohon sangat-sangat dimaafkan segalanya.

Satu perkara ingin saya tekankan, bagi mereka yang sering iri hari pada saya atau kurang berkenan pada saya, buang sahajalah perasaan itu. Ini kerana saya tidak punya apa-apa. Saya akui saya adalah insan yang 'HIGH-PROFILE' tapi itu semua bukan saya yang minta. Saya tidak pernah berusaha meng'high-profile' kan diri saya. Nikmat itu dari Allah s.w.t dan semuanya milik Allah s.w.t. AKHIRNYA, SAYA MEMANG TIDAK PUNYA APA-APA.

Setiap kesalahan insan pada saya telah saya maafkan dan saya tidak mahu membawa semua itu hingga ke hujung nyawa saya. Cuma yang pentingnya, apa yang berlaku saya catatkan sebagai sejarah dan itu tidak bermakna saya tidak memaafkan.

TERIMA KASIH

Ingin saya senaraikan insan-insan di UKM yang layak mendapat ucapan terima kasih dari saya:

1- Ustaz Fadlan Mohd Othman
2- Dr Azwira Abd Aziz
3- Ketua Jabatan, para pensyarah dan kakitangan Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, FPI, UKM.
4- Adik-adik saya: Aishah Othman, Ayu, Sa'adah, Ida, Adilah Othman, Nabilah Said, Miza, Azimah, Akmaliah, Najihah, Luqman Hakeem, Ahmad Naim dan kesemua adik-adik tahun tiga JPQS yang amat prihatin dan menghargai kehadiran saya dalam hidup mereka.
5- Kesemua rakan-rakan pengajian Master yang mengenali saya.
6- Kesemua AJK Jalsah Ilmiyyah Quraniyyah (JIQ).
7- Para pelajar saya: Farah Shahidah, Izzati, Nadia, Sya dan kesemuanya yang pernah mendapat bimbingan saya di kelas tutorial Kajian Ulum al-Hadith.
8- Dan kesemuanya yang tidak saya teringat dan tidak tersebut namanya sedangkan mereka adalah insan yang amat baik pada saya.

Akhir sekali- MUNGKIN JUGA SAYA PERLU UCAPKAN SELAMAT TINGGAL PADA UKM. Doakan yang terbaik untuk saya. Jika ada ilmu dan kebaikan yang pernah saya ajarkan dan tunjukkan, maka sebar-sebarkanlah ia, moga ianya menjadi amal saya yang tidak terputus walau nyawa berpisah dari badan.

Sekian

Wassalam.