21 March, 2010

Bismillah

Saya ingin berbicara tentang beberapa perkara dan saya tidak mahu mengulas panjang tentang perkara-perkara itu. Cuma yang pentingnya, saya mahu anda berfikir dan sama-sama memuhasabah diri.

BICARA 1

Saya agak terguris apabila melihat gambar merpati dua sejoli (pasangan kekasih) pelajar pengajian Islam di paparkan di ruangan facebook. Semakin saya terguris apabila rakan-rakan sepengajiannya mengucapkan tahniah dan memberi ucap selamat pada gambar tersebut.



Cemburukah saya?
Atau sudah kenapa dengan saya sehingga saya memandang serius perkara itu?

Ketahuilah, untuk apa saya cemburu. Tergurisnya saya ialah kerana perkara mungkar itu sudah dipandang enteng oleh kebanyakan Muslim dan lebih membuatkan saya terguris ialah yang memandang enteng itu ialah penuntut pengajian Islam.

Beritahu pada saya, dalil mana yang mengatakan pasangan kekasih itu boleh bergambar bersama?

Ya Allah, di mana letaknya iman? Di mana perginya Taqwa?

Atau sekurang-kurangnya ingin saya bertanya, tidak adakah rasa sensitif dalam diri bila hukum agama itu di pandang sebelah mata oleh pelajar pengajian Islam?

Jangan berkata pada saya: "ENTAH...TAK TAHU"

Tiada guna belajar agama bertahun-tahun jika untuk perkara yang sudah jelas ini pun, kita masih mengatakan "Entah"

*******************************

BICARA 2

Saya menjadi semakin bengang, bila ustaz dan ustazah yang belum bernikah saling membalas-balas komen di ruangan Facebook dengan memanggil pasangannya:

"baby"...."bee"

Aduiiii....saya pula yang jadi malu!

Facebook itu bukan khidmat pesanan ringkas, segala komen dibaca oleh umum.

Tidakkah itu hanya menjatuhkan maruah diri sebagai seorang Muslim dan Muslimah berpengajian Islam?

********************************

BICARA 3

Ilmu bukan setakat apa yang ada di dewan kuliah dan tutorial.



Jika masa ini, kita tidak kuasa untuk menghadiri wacana ilmiah, seminar ataupun apa jua perbincangan ilmiyah, buruk sungguh perangai kita.

Nampak benar, kita tidak ada rasa cinta pada ilmu walau kita bergelar penuntut ilmu. Selama mana apa yang disampaikan itu tidak ada kaitan dengan peperiksaan, maka ianya tidak penting bagi kita. Semua itu hanya menghabiskan masa dan tenaga sahaja.

Kita sanggup berhabis duit untuk perkara-perkara lain.

Tetapi tidak untuk menghadiri program Ilmiyyah. Tidak juga untuk membeli kitab.
Kita lebih sanggup membeli majalah hiburan dari majalah Ilmiyyah.

Kita sering berfikir sepuluh kali untuk pergi ke seminar-seminar yang menuntut kita untuk membayar duit pendaftaran. Lebih menghairankan lagi, kita juga berfikir banyak kali untuk menghadiri program Ilmiyyah yang tidak menuntut kita mengelaurkan walau seringgit dua.

Tetapi, dalam banyak keadaan kita tidak perlu dipujuk dan dipaksa untuk menghadiri makan malam kolej, diajak berjalan-jalan ke pusat membeli-belah, menghabiskan masa sehari suntuk berbual-bual di rumah teman kita dan mengikuti apa jua aktiviti yang tidak memerlukan kita untuk duduk mendengar ilmu yang panjang berjela. Jika aktiviti itu, aktiviti yang happy-happy, usah dipujuk-pujuk untuk kita ikuti. Kerana kita memang sedia happy untuk hadiri.

Kebanyakan kita begitu dan memang begitu.

Jika begitulah...di mana letaknya nilai diri kita sebagai penuntut ilmu?

*******************************

Teringat-kata-kata ustaz Sabri Mohamed kepada saya tempoh hari tentang pelajar-pelajar Muslimah menghadiri kuliah dengan make-up berwarna-warni di wajah:


Kata beliau:

"Mereka ni, bukan tak tahu. Kalau kita beritahu, memang mereka dah tahu pun apa yang kita nak beritahu. Cuma masalahnya, HIDAYAH tu....Hidayah bukan milik kita"

Subhanallah

Lantas saya teringat firman Allah s.w.t:



Maksudnya: "Bukanlah kewajipanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allahlah yang memberi petunjuk (memberi taufiq) kepada siapa yang dikehendakiNya" (al-Quran,al-Baqarah, 2:272)

Ya...HIDAYAH ITU BUKAN MILIK KITA

20 March, 2010

Alhamdulillah, baru pulih dari demam panas yang amat menyeksakan.

Terima Kasih kepada 2 pelajar saya, Farah dan Izzati kerana berusaha menjaga saya di Jabatan semalam sehingga sanggup menemani saya dalam perjalanan pulang ke Kolej Ungku Omar. Begitu juga kepada Adilah, di atas kesudiannya untuk datang ke bilik saya, membelikan makanan dan menemani saya sehinggalah ke waktu maghrib tadi. Jazakunnalllahu Khaira.



Sepanjang saya tidak tahan dengan demam yang terlalu panas sedari awal pagi semalam, saya teringat pada sabda Nabi s.a.w:

لاَ تَسُبِّي الْحُمَّى فَإِنَّهَا تُذْهِبُ خَطَايَا بَنِيْ آدَمَ كَمَا يُذْهِبُ الْكِيْرُ خَبَثَ الْحَدِيْدِ.

Maksudnya:

Janganlah kamu mencaci maki penyakit demam, kerana sesungguhnya dengan penyakit itu Allah akan menghapuskan dosa-dosa anak Adam sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran-kotoran (karat) besi. (H.R Muslim)

Subhanallah, sabarnya saya semalam menahan sakit kepala dan badan. Mata saya berpinar-pinar. Badan saya bisa-bisa sehingga segala pergerakan saya di dalam solat amat menyakitkan. Malah saya tiada sedikit pun keinginan untuk menjamah makananan. Saya sangkakan demam itu hanya semalam tetapi hingga pagi tadi ia masih belum beransur pulih. Saya mula risau. Risau yang amat sangat.

Ini kerana saya mempunyai banyak tugasan dan program untuk dilaksanakan dan diselesaikan sepanjang minggu ini. Mungkin kerana terlalu letih dan kurang tidur kerana asyik memikirkan tentang program-program yang bakal dijalankan pada akhir bulan ini dan bulan April, akibatnya ia mengganggu kesihatan saya.

Teringat kata-kata Dr Rokiah semalam ketika saya mengadu padanya bahawa saya sakit kepala dan sakit badan. Dr Rokiah kata:

"Hmmm...Anti kuat sangat kerja! Anti ingat, anti orang muda boleh kerja terus, jer ke? Kena rehat juga"

Saya tersenyum kelat mendengar kata-kata Dr Rokiah. Memang betul pun apa yang dikatakan olehnya.

Nak buat macam mana, kan? Kalau bukan saya yang buat semua itu, pada siapa lagi yang boleh saya harapkan? Dah memang itu kerja saya dan ditambah pula dengan masa yang semakin suntuk. Segalanya perlu pada tindakan yang cepat.

Geleng kepala saya melihat diri saya sendiri, kerana ketika sedang menahan sakit kepala dan gigilan kerana kesejukan yang amat sangat, saya masih boleh mengsms ajk JIQ dan menelefon sana-sini untuk meminta kepastian dan bantuan tentang banyak perkara.

Allahu Akbar... saya melepaskan nafas dengan berat.

Saya memerlukan kerjasama yang bukan sedikit dari semua ajk JIQ. Saya memerlukan KOMITMEN YANG SEPENUHNYA dari semuanya...kerana saya tahu, saya tidak mampu untuk melakukannya sendirian.

Allahumma La Sahla Illa ma Ja'altahu Sahla...

12 March, 2010

Bismillah

Berikut saya bawakan satu artikel oleh Hafiz Firdaus sebagai perhatian dan renungan bersama.

Sila klik link berikut untuk membacanya.

Semoga bermanfaat.

Sebelum Anda Berdiri.
HafizFirdaus.com - Friday, 12 March 2010

09 March, 2010

Semalam...




Semalam ada tangisan hiba.

Itulah yang pertama kalinya sepanjang 5 tahun berada di UKM.
Di hadapan seorang adik....
Saya menangis bagaikan seorang anak kecil.

Namun ketika dia menggenggam jari-jemari saya, dia memberikan saya kekuatan untuk meneruskan segalanya.

Jazahallahu Khaira....

07 March, 2010



Aku tak punya apa
hanya insan biasa
tiada niat untuk ku mengangkat diri
apatahlagi disanjung dipuji
buanglah jauh rasa dengki itu
kerana aku bukan sainganmu

Akhirnya aku akur
menjadi manusia baik itu teramat sukar
makin tidak ku mengerti ..
bila manusia 'baik' tidak suka pada manusia baik
rupanya manusia 'baik' juga reti untuk berdengki
hmmm...
manusia oh manusia...

Mujur Sakinah Saptu hanya ada satu
Jika dia dua,
tidak tahu apa jadi pada dunia

Ya Hayyu Ya Qayyum
Birahmatika Astaghith...

03 March, 2010

Usai solat Isyak sebentar tadi ada air jernih mengalir di pipi. Saat saya rasa betapa beratnya jiwa ini dengan bebanan dan harapan, saya teringat pada nasihat ustaz Azwira satu ketika dulu kepada saya. Ustaz berpesan: "“Cuba check balik keikhlasan diri kita”.

Pada malam ini, saya membaca semula catatan saya berkenaan pesanan itu pada penulisan saya bertarikh 2 Disember 09.

Berikut saya kirimkan semula catatan tersebut.

**************************************************

Air mata saya mengalir juga…
Setelah sekian lama saya menahan sebak dan sendu yang bermain di jiwa
Setelah saya berusaha melepasi satu demi satu ujian yang Allah s.w.t ‘hadiah’kan pada saya
Dan pada hari ini
Pada petang tadi
Saya hampir tewas
Ya Allah…berat untuk saya tanggung sebenarnya….
(mungkin pada orang lain tidak ada apa-apa ,tetapi tidak pada saya)

Dan pada malam ini, saya merenung kembali kata-kata Dr. (ustaz) Azwira kepada saya siang tadi:

“Cuba anti muhasabah kembali diri anti, ada tak perkara-perkara yang menarik yang ada pada diri anti yang menyebabkan ‘dia’ selalu nak datang?”

Saya mengerutkan dahi saya. Saya bertanya kembali meminta kepastian:

“ ‘Menarik’? Maksud, Ustaz?”

Lalu dia menerangkan dengan penuh bersungguh-sungguh pada saya:

“Senang macam ni. Anjing. Anjing suka pada tulang kan? Kemudian kita bawa tulang. Anjing itu pun datang pada kita. Kita halau dia. Dia pergi. Tapi kemudian dia ikut kita lagi. Kita halau. Dia pergi Kemudian dia ikut kita lagi. Sebab apa? Sebab kita ada tulang yang menarik perhatian dia untuk ikut kita. Anti faham tak?”

Walaupun dia masih berkias-kias tetapi saya akhirnya faham juga maksudnya. Saya menganggukkan kepala saya dengan anggukan lemah. Ya, saya faham.

Maafkan saya kerana tidak dapat menceritakan apakah perbincangan sebenar dan seterusnya antara saya dan dia pada satu pertemuan yang saya niatkan tetapi tidak saya aturkan dengannya pagi tadi. Hanya pertemuan yang secara tiba-tiba.

Cuma apa yang mampu saya katakan ialah dalam hidup ini perlu banyak muhasabah. Macam ustaz Azwira ada kata juga pada saya tadi: “Cuba check balik keikhlasan diri kita”.

Ya, kita manusia biasa
Terkadang leka
Terkadang terluka
Kerana leka dan terluka kadangkala kita lupa meletakkan diri kita pada keikhlasan
Keikhlasan mungkin berganti dengan ikutkan perasaan.


Airmata saya mengalir….

Dalam berdakwah
Dalam menjalankan yang hak
Mungkin kita ada silapnya
Mungkin kita ada ujubnya
Cuma terkadang kita tidak sedari keberadaannya
Lantas muhasabah diri itu adalah utama
Walau dakwah umpama makanan kita
KITA BUKAN MANUSIA HEBAT!!!
Tanya pada diri masih adakah keikhlasan?!


Air mata saya semakin tidak dapat saya bendung
Terus meluncur laju bersama sebak di kalbu…..

Periksa kembali keikhlasan diri kita
Apa khabarkah ia?



Sedutan kisah dari filem Ayat-ayat Cinta. Saya katakan pada diri saya: "Allah sedang berbicara padamu tentang SABAR dan IKHLAS, Sakinah"