22 February, 2010

Malam ini saya ingin berbicara...

Satu ketika saya pernah ditanya tentang bagaimana saya boleh belajar dalam keadaan saya yang diuji dengan pelbagai macam dugaan.

Saya menjawab dengan sebuah senyuman: "Perjuangan perlu diteruskan..."

Saya tahu di kala ini, saya sendiri sedang berjuang untuk duduk di hadapan laptop dan kitab-kitab, walau jika dilihat pada keadaan sebenar - saya tak mampu untuk duduk lama kerana teramatlah lemahnya dan kepeningan.



Inilah dia...bila berada di saat-saat memerlukan kepada kefokusan, Allah s.w.t tidak meninggalkan saya dengan ujian. Saya tersenyum. Senyuman manis berbaur dengan pahit.

Ketika menyebut tentang pahit manis saya teringat sambungan kata-kata ustaz Fadhil pada status saya di ruangan Facebook bertarikh 17 Februari 2010 yang berbunyi: "Sabar itu pahit" kemudian beliau menyambung dengan berkata: "kerana syurga itu manis"


Ya..kerana memikirkan manisnya syurga saya sering memilih untuk bersabar walau saya akui kadangkala saya juga gagal menahan sebak dan sendu di jiwa dek beratnya ujian yang Allah s.w.t hadiahkan.

Ramai orang bertanya kepada saya:

"Ustazah, cakap sabar tu mudah..tapi nak buat bukan senang,kan?"

Sudah tentu! Saya akui malah tidak sekali saya menafikannya.

Sukar...

Ini kerana dalam sebuah hadith sahih, Nabi s.a.w sendiri bersabda:

حفت الجنة بالمكاره وحفت النار بالشهوات

Maksudnya: Syurga itu dikelilingi dengan perkara-perkara yang tidak disukai dan neraka itu pula dikelilingi dengan perkara-perkara syahwat (yang disukai) [H.R Muslim, No 7079]

Kebanyakan orang tidak suka pada ujian. Kesusahan, penyakit dan kesedihan kerana semuanya itu menyusahkan hidup dan menggangu ketenteraman jiwa. Itulah antara perkara yang tidak disukai. Jalan menuju syurga itu dikelilingi dengan perkara-perkara tersebut. Inginkan syurga dan pahala? Ingin dihapuskan dosa-dosa? Lalu apalah salahnya memujuk hati dan diri: Bersabarlah...

Saya mengukir senyuman. Subhanallah...

Maka atas dasar kuatnya jiwa saya berpegang pada hadith itu, saya katakan pada diri, hadapilah semuanya dengan tabah. Walau bila dikhabarkan oleh doktor bahawa saya perlu memakan 2 jenis ubat antibiotik yang kuat [memang kuat ubatnya sehingga menjadikan saya lemah, menggigil dan terasa seperti hendak muntah]kemudian menyambungnya lagi dalam masa enam bulan. Saya hanya menganggukkan kepala dan tersenyum...

Ya ALLAH...sedangkan sungguh...beratnya hati saya ketika itu. Allah sahaja Maha mengetahui.

Inilah perjuangan, tidak ada yang mudah-mudahnya.

"Perjuangan perlu diteruskan!"

Saya tidak mahu kalah dan menyerah. Sebagaimana yang pernah saya katakan dalam sebuah penulisan saya yang bertajuk 'Mawaar..usah pergi dengan hati yang kosong':

"USAH MENGALAH BILA SUSAH DAN USAH BERALAH BILA TERASA SEOLAH-OLAH KALAH"

Menuntut ilmu itu juga adalah jalan menuju ke syurga, maka tidak ada yang mudahnya ketika melalui jalan-jalan menuju ke syurga.

Saya mengukir senyuman. Moga ada padanya ketabahan.


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya besarnya pahala itu setimpal dengan kekuatan ujian. Sesungguhnya Allah, sekiranya Dia cinta kepada sesuatu kaum Dia akan menguji mereka. Sesiapa yang redha akan mendapat keredhaan dan sesiapa yang marah akan mendapat kemurkaan.”
H.R al-Tirmidhi – Hukumnya Sahih (Sahih al-Jami’No. 992)

0 Comments:

Post a Comment