25 January, 2010

Saya masih penat pada waktu ini.

Penat yang dibawa balik dari Terengganu masih belum hilang lagi …

Pada hari Sabtu dan Ahad yang lalu, saya telah menjejakkan kaki ke Terengganu untuk kali kedua. Jika dulunya iaitu pada tahun 2008, saya ke sana kerana menemani Fatayat Ghufran ke Kem Remaja Cemerlang kali ke-5 di Pulau Redang, Terengganu. Tapi kali ini kedatangan saya ke Terengganu adalah sebagai wakil pensyarah Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah (JPQS), Fakulti Pengajian Islam, UKM ke Universiti DaruI Iman Malaysia (UDM). Program lawatan ke UDM dan sekitar Terengganu ini disertai oleh 50 lebih orang pelajar yang majoritinya terdiri di kalangan pelajar tahun akhir JPQS.



Walaupun penat dan banyak kerja saya yang tertangguh lantaran mengikuti program ini tetapi saya tidak merasa kesal sedikit pun. Ini kerana ikatan ukhwah antara saya dan
adik-adik akhawat pra siswazah JPQS yang menyertai program ini semakin terkait kukuh.

Alhamdulillah. Saya mengukir senyuman kerana berjaya mencapai objektif saya. Objektif saya ke sana bukanlah semata-mata untuk mewakili pensyarah (JPQS) tetapi lebih dari itu sebenarnya. Antaranya ialah untuk mendekati adik-adik akhawat JPQS dan mengenali mereka dengan lebih dekat lagi. Malah saya juga yakin, kehadiran saya di program itu, memberi ruang kepada mereka mengenali siapakah saya yang sebenarnya. Jika selama ini ada yang rasa malu dan segan bila bertemu saya (sehingga kadang-kadang saya tahu ada yang pura-pura tidak nampak saya walaupun sudah berjalan sebeleh-menyebelah) ataupun segan untuk berbual dengan saya tetapi sekarang tidak lagi. Mereka sudah berani bertanya, berbual panjang, bercerita, bergurau, meluah rasa malah ada yang sudah berani menyanyikan saya sebuah lagu. Tersenyum sampai telinga saya dibuatnya bila teringat gelagat dan telatah adik-adik ini. Rupa-rupanya kebanyakan mereka berjiwa penyayang, prihatin, manja serta menghormati insan yang lebih tua dari mereka yang mereka panggil ‘kakak’. Alhamdulillah, dua hari bersama mereka cukup membuatkan saya terhibur dan kini merindui mereka.



Sebenarnya saya ingin mereka tahu bahawa sebagai seorang pelajar sarjana JPQS, saya tidak pernah melihat mereka dengan sebelah mata. Saya sentiasa sudi untuk memberikan tunjuk ajar, berkongsi ilmu malah sudi juga untuk menjadi tempat mereka berbicara dan meluah rasa. Moga saya dapat menjadi figur yang mampu membakar semangat mereka untuk terus menuntut ilmu dengan penuh semangat dan mendidik diri ke arah kebaikan.

Akhirnya saya berkata pada diri :

Andai kita yang dewasa belajar menjadi manusia yang prihatin, sudi berkongsi dan mengasihi pada yang muda, mereka juga belajar menjadi manusia prihatin, sudi berkongsi dan mengasihi.

Syaratnya mudah sahaja:

Buangkan rasa tinggi diri kerana kita tak hebat mana.

0 Comments:

Post a Comment