05 January, 2010

Bismillah



Fail Penyeliaan Siswazah sudah berada di tangan saya dan sebuah lagi sudah bertukar tangan pada penyelia saya. Manakala proposal yang asalnya hanya berdakwat hitam kini sudah dihiasi dengan dakwat merah. Itu maknanya, ianya perlu diperhalusi dan seterusnya mengorak langkah masuk ke bab 2.

Apapun pada malam ini saya tidak mahu berbicara panjang tentang Tesis/Disertasi, cuma ingin berkongsi tentang bicara demi bicara yang bermain jauh di sudut hati saya sejak akhir-akhir ini.

BICARA 1

Hari itu, apabila saya mendapat sms demi sms pilu dari seorang adik yang sudah terlalu lama tidak bersua, saya berkata dalam hati dengan penuh simpati:

"Pernikahan bagi seorang wanita amat besar ertinya. Kalau boleh biarlah itu yang pertama dan terakhir. Namun perceraian kadangkala tidak dapat dijangka. Hari ini kita mengikat tali akad, belum tentu ianya tersimpul mati. Walau diri merayu, walau jiwa sayu. Untuk apa bagi lelaki mengambil tahu. Ini kerana di luar sana, ramai lelaki yang tidak ber'hati'. Bagi wanita yang teraniya dengan pernikahan yang sementara hanya keimanan sebagai penguat untuk terus melihat hari esok dengan penuh ketabahan. Bagi wanita yang melayari bahtera pernikahan yang baru berbulan, telah bertahun, berbelas tahun dan berpuluh tahun, bersyukurlah kerana masih ada suami di sisi"

BICARA 2

Pada satu ketika, apabila saya teramat sedih kerana tidak memperolehi apa yang saya inginkan, saya berkata hampir separuh nangis dalam hati:

"Jika pintu yang hamba sukai itu sudah tertutup, hamba mohon Ya Rabb tunjukkanlah hamba pintu-pintu lain untuk hamba menjadi insan yang lebih 'memberi'..tenangkanlah hati ini..."

Saya tidak dapat lena. Saya memejamkan mata saya sambil berdoa "Ya Hayyu Ya Qayyum birahmatika Astaghith". Dalam pada itu, saya sedar ada air jernih di hujung mata saya. Namun saya tidak mengendahkannya hinggalah ke subuh hari....

BICARA 3

Pada beberapa hari yang lepas, ketika menonton sebuah drama di Hotel bersama suami saya, saya agak terkejut dengan sebuah dialog yang diucapkan oleh seorang pelakon (Maaf, tak tahu siapa pelakonnya, maklumlah jarang menonton televisyen):

"Hari ni suami orang. Esok lusa, siapa tahu jadi suami kita"

Aduhh!!! Macam nak putus jantung saya. Ya Allah....

Saya terus bertanya kepada suami saya:

"Jid, ada ke perempuan macam ni? Tak malunya!!"

Suami saya jawab:

"Eh, ramai! Ada perempuan suka suami orang. Suami orang suka isteri orang!"

Seterusnya drama itu menunjukkan wanita tersebut sanggup mengupah bomoh demi mendapatkan suami orang itu. Akhirnya, akibat dishir dia terpesona juga dengan wanita yang selama ini dimarahinya kerana asyik menggodanya. Seramnya saya walau saya tidak menafikan itu adalah realiti yang banyak terjadi di kalangan Masyarakat Melayu. Dan pada malam itu, saya menatap wajah suami saya yang telah lena dibuai mimpi lalu menyusun bicara di dalam hati:

"Peritnya jiwa bila berjauhan. Sering membilang hari untuk sebuah pertemuan. Lindungilah kami Wahai yang Maha Pengasih dan Maha Mengasihani. Lindungilah suami hamba, ketika hamba tiada di sisinya..."

BICARA 4

Ada pada satu hari saya amat berkecil hati dan terasa hati. Air mata saya hampir-hampir mengalir. Tapi kerana saya tidak mahu dikawal oleh perasaan, saya gagahi juga untuk tersenyum. Kerana saya selalu berkata pada diri:

"Senyum itu indah walau hati berkalang gundah"

BICARA 5

Pada beberapa minggu yang lalu, saya terpaksa duduk di bilik kolej tanpa sebarang peralatan dan kemudahan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Selama tiga hari saya tidur berbantalkan lengan, menahan kedinginan malam tanpa selimut tebal, menggaru gatal kaki dan tangan pada gigitan nyamuk yang mengganggu tidur yang sebenarnya tidak lena. Saya pujuk diri dan berkata:

"Sabar Sakinah. Mujur ada katil dan tilam untuk tidur. Belum lagi tidur di atas lantai tanpa sebarang alas. Usah merungut. Sabar...semua ini bertujuan untuk mengajar diri agar menjadi hamba Allah yang lebih bersyukur di atas nikmat"

BICARA DEMI BICARA

Memang itu sikap saya.

Berbicara dalam hati untuk menguatkan diri.

Tiada pada yang lain saya minta kekuatan itu....

melainkan dari Allah jua.

0 Comments:

Post a Comment