30 January, 2010

Pada waktu ini jam menunjukkan 11.15 malam.

Sunyi..sepi…

Hanya kedengaran putaran kipas di bilik ini dan ketukan jari-jemari saya di papan kekunci.

Tiada rasa untuk menaip tesis lantaran sudah terlalu penat seharian tadi. Seperti biasa, jika saya dibelenggu dengan kepenatan, otak saya tiada daya untuk berfikir perkara yang serius. Jika dipaksa tentu sahaja lebih menyumbang ke arah kebuntuan…

Sendiri begini mengingatkan saya pada waktu berada di rumah penginapan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) pada Sabtu yang lalu. Meriah terasa bila ada adik-adik serumah.

Saya tersenyum. Rindu pula pada kekecohan dan keriuhan mereka.

Saya masih ingat lagi, pada waktu beginilah iaitu jam 11 lebih malam, saya dan adik-adik duduk bersembang dan ketawa kelucuan ketika kami masing-masing membuka cerita tentang kisah duduk di asrama, hal-hal kampong halaman dan juga adik-beradik. Sebenarnya pada waktu itu, saya cuba ingin menghiburkan hati seorang adik bernama Azimah yang baru kehilangan telefon bimbitnya. Ya, kelihatannya Azimah turut tertawa terhibur mendengar celoteh Aishah, Miza dan Nabilah. Tapi saya tahu….jauh di sudut hatinya, ada segudang sedih dan gusar yang tak mampu terluah dengan kata-kata. Namun apalah daya saya. Moga Azimah tabah dengan ujian yang tidak terduga. Allahumma amin.

Paling yang saya tidak boleh lupakan ialah apabila ada dua orang adik terkunci dalam bilik. Ya Allah, risaunya saya bukan kepalang. Maklumlah, baru sahaja sampai dalam rumah dan penat tak hilang lagi. Semua sedang sibuk hendak bersiap-siap menghadiri program bersama pelajar UDM selepas Maghrib. Nak gosok baju lagi..nak mandi lagi..nak solat lagi.. tiba-tiba:

“Akak..Miza dan Nabilah terkunci dalam bilik!!!!” Saya pun kata “Apa??!!”

Aduiii..kalut-kalut!!!



Kita yang lapan orang ni pun, berusaha untuk menyelamatkan dua orang puteri ini sehingga ada di antara kami menendang pintu secara serentak. Bukan sekali tapi adalah dalam dua tiga kali. Malangnya, tidak boleh buka juga! Akhirnya, dengan bantuan akhawat UDM yang memanggil seorang pakcik yang terlupa nak ditanya namanya(teruk kan? Hehe), terbuka juga pintu bilik tersebut. Alhamdulilah…

Kalau tidak…terpaksalah kami meninggalkan Nabilah dan Miza berdua di rumah dalam keadaan terkunci di bilik. Hehe =) =) Hai….inilah adik-adik namanya.

Hmmm… bila difikir-fikir, memang seronok kalau duduk beramai-ramai dengan adik-adik. Tapi itulah, saya juga yang sakit kepala nanti. Mana nak tunggu semua balik rumah, nak jaga pintu, mana nak kunci pintu bila semua dah masuk tidur, mana nak kejutkan adik-adik bangun subuh. Betul kata Miza: “Terasa macam ada mak kat rumah” hehhe.



Bukan saya lagak nak jadi mak. Cumanya, kalau kita yang paling dewasa tak reti nak jadi pemimpin untuk yang lebih muda, susah jadinya nanti. Bukankah dalam banyak keadaan yang muda memerlukan bimbingan dari yang lebih dewasa?

Sebagai orang dewasa kita seharusnya menunjukkan contoh yang baik untuk adik-adik. Bila mereka melihat contoh di hadapan mata, selalunya di situ juga mereka belajar, bagaimana hidup itu perlu dilalui. Di situ juga adanya semangat untuk mereka menatap hari esok dengan lebih cemerlang dan dengan senyuman kesabaran dan ketabahan.

Yang penting dalam apa jua bimbingan IMAN, ISLAM dan IHSAN perlu ada bagi membina TAQWA dalam jiwa.

Sekian dahulu dari saya yang sedang diulit rindu.

Rindu pada adik-adik terutamanya yang serumah dengan saya semasa di UDM =)

Wassalam

27 January, 2010



Dalam satu masa saya perlu memikirkan banyak perkara dan keutamaan saya cuma satu, TESIS MASTER saya.

Tapi begitulah, bila apa yang menjadi keutamaan saya di sampingkan dengan perkara-perkara lain, saya tidak menafikan ianya agak sedikit terbengkalai dan tertangguh.

Saya tertekan...saya tidak menafikan itu

Mana mungkin saya tidak tertekan ...kerana saya manusia biasa.

Setiap hari saya memikirkan tentang Jalsah Ilmiyyah Quraniyyah

Setiap hari saya memikirkan tugas pembaikian modul PJJ yang tertangguh

Setiap hari saya memikirkan amanah ustaz Wan kepada saya

Setiap hari juga saya memikirkan perkara-perkara lain yang tak boleh saya elakkan dari memikirkannya

Kadang-kadang sakit kepala dan sesak dada ini dibuatnya, tetapi saya tidak boleh berlepas tangan dari melaksanakan semuanya...saya perlu menyelesaikannya!

Lebih-lebih lagi saya perlu menyelesaikan TESIS MASTER saya dengan sebaik mungkin. Kelmarin suami saya sudah memberikan 'amaran' awal kepada saya:

"Jangan jadi macam sem lepas"

Minggu ini saya terlalu letih sebenarnya

kesihatan saya juga agak tidak memberangsangkan (terpaksa menelan ubat yang agak banyak)

sehinggakan idea untuk menaip ayat pada bab 2 tesis saya menjadi beku dan kaku

Bila begitu keadaannya

Seperti biasa...saya banyak termenung dan merenung

MEMUHASABAH DIRI

Hamba tanpa jemu mencari kekuatan

terus-terusan belajar membaja keikhlasan

moga hati sentiasa dibungai ketenangan

demi meneruskan sebuah PERJUANGAN

Ya Allah...yassir walaa tu'assir Ya Karim

25 January, 2010

Saya masih penat pada waktu ini.

Penat yang dibawa balik dari Terengganu masih belum hilang lagi …

Pada hari Sabtu dan Ahad yang lalu, saya telah menjejakkan kaki ke Terengganu untuk kali kedua. Jika dulunya iaitu pada tahun 2008, saya ke sana kerana menemani Fatayat Ghufran ke Kem Remaja Cemerlang kali ke-5 di Pulau Redang, Terengganu. Tapi kali ini kedatangan saya ke Terengganu adalah sebagai wakil pensyarah Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah (JPQS), Fakulti Pengajian Islam, UKM ke Universiti DaruI Iman Malaysia (UDM). Program lawatan ke UDM dan sekitar Terengganu ini disertai oleh 50 lebih orang pelajar yang majoritinya terdiri di kalangan pelajar tahun akhir JPQS.



Walaupun penat dan banyak kerja saya yang tertangguh lantaran mengikuti program ini tetapi saya tidak merasa kesal sedikit pun. Ini kerana ikatan ukhwah antara saya dan
adik-adik akhawat pra siswazah JPQS yang menyertai program ini semakin terkait kukuh.

Alhamdulillah. Saya mengukir senyuman kerana berjaya mencapai objektif saya. Objektif saya ke sana bukanlah semata-mata untuk mewakili pensyarah (JPQS) tetapi lebih dari itu sebenarnya. Antaranya ialah untuk mendekati adik-adik akhawat JPQS dan mengenali mereka dengan lebih dekat lagi. Malah saya juga yakin, kehadiran saya di program itu, memberi ruang kepada mereka mengenali siapakah saya yang sebenarnya. Jika selama ini ada yang rasa malu dan segan bila bertemu saya (sehingga kadang-kadang saya tahu ada yang pura-pura tidak nampak saya walaupun sudah berjalan sebeleh-menyebelah) ataupun segan untuk berbual dengan saya tetapi sekarang tidak lagi. Mereka sudah berani bertanya, berbual panjang, bercerita, bergurau, meluah rasa malah ada yang sudah berani menyanyikan saya sebuah lagu. Tersenyum sampai telinga saya dibuatnya bila teringat gelagat dan telatah adik-adik ini. Rupa-rupanya kebanyakan mereka berjiwa penyayang, prihatin, manja serta menghormati insan yang lebih tua dari mereka yang mereka panggil ‘kakak’. Alhamdulillah, dua hari bersama mereka cukup membuatkan saya terhibur dan kini merindui mereka.



Sebenarnya saya ingin mereka tahu bahawa sebagai seorang pelajar sarjana JPQS, saya tidak pernah melihat mereka dengan sebelah mata. Saya sentiasa sudi untuk memberikan tunjuk ajar, berkongsi ilmu malah sudi juga untuk menjadi tempat mereka berbicara dan meluah rasa. Moga saya dapat menjadi figur yang mampu membakar semangat mereka untuk terus menuntut ilmu dengan penuh semangat dan mendidik diri ke arah kebaikan.

Akhirnya saya berkata pada diri :

Andai kita yang dewasa belajar menjadi manusia yang prihatin, sudi berkongsi dan mengasihi pada yang muda, mereka juga belajar menjadi manusia prihatin, sudi berkongsi dan mengasihi.

Syaratnya mudah sahaja:

Buangkan rasa tinggi diri kerana kita tak hebat mana.

21 January, 2010

Ku pejam mata membawa diri
Jauh..jauh, ke tasik Pukaki
Di sana ku lihat tenang airnya
Damai jiwa tiada terkata
Hanya memuji dalam hati
…..Subhanallah…..



Biru air sebiru langit
Awan putih terhias di tasik
Bagai terlukis indah di dada Pukaki
Sedangkan ku tahu ianya lukisan dari Ilahi
Lalu ku puji lagi
…..Subhanallah….





Luas saujana mata memandang
Tiada jemu ku buang pandang
Ingin ku sentuh airnya dengan tangan
Tapi hasrat tak kesampaian
Bagai kain biru luas terbentang
Memang indahnya bukan kepalang
Kusebut lagi

…..Subhanallah…..

Ku lihat lagi sayang ditinggalkan
Ku lihat lagi dengan senyuman
Senyuman bagai salam perpisahan
Pada tasik Pukaki yang kini hanya kenangan

Damainya sungguh mengasyikkan
Sungguh ia nikmat ciptaan Tuhan
Lalu terdetik keinsafan
Pada kalam Allah yang sering berulang
“Fabiayyi alaa i rabikumaa tukazzibaan”
(Maka nikmat tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”

-Ku coret kata-kata ini tika rindu berbunga pada Tasik Pukaki, New Zealand-

19 January, 2010

Ku coret kata ini
tika jiwa rindu pada Aoraki

Di kejauhan ku lihat ia
Aduh..tidak sabar ingin bersua
Ingin ku tatap ia dengan mata
Rupanya ku tatap juga dengan jiwa

Subhanallah

Damainya jiwa hamba
Sejuknya mata hamba
Sesejuk salji di Gunung Aoraki
Tak ku rasa sejuk itu dengan jari-jemari
Cukup hanya ku rasa sejuknya dengan hati

Sekali lagi,

ku ucapkan

Subhanallah

Berada di sekitar pergunungan
Melihat perhiasannya yang Allah aturkan
Putih salji dipuncak gunungnya
Aliran deras air jernihnya
Kehijauan tumbuh-tumbuhannya
Warni warni bunga-bungaannya
Tiupan dingin anginnya

Indah…

Lalu ku ucapkan

Subhanallah

Penciptaan itu bukti kebesaran Tuhan
Allah s.w.t yang hebatNya tiada tandingan

Bibirku mengukir senyuman
Mengakui kehebatan Tuhan
Tiada henti memuji di hati

Di sebalik senyuman
Adanya kekerdilan

Lalu imanku berbicara
Sedarlah dirimu hanya HAMBA…



Kata-kata ini dicoret bila terkenang suasana di Aoraki Mount Cook, New Zealand.

17 January, 2010

Kisah Lama

Kisah Lama 1

Semasa saya di tahun satu pengajian Sarjana, saya pernah dipelawa oleh seorang adik dan rakan-rakannya yang sedang berehat di Masjid UKM sementara menunggu kuliah seterusnya agar mengikuti program ke Langkawi untuk pelajar tahun tiga. Bila saya bertanya berapa bayarannya, dia ada menyebut harganya tapi saya tidak berapa ingat jumlah yang sebenar. Cuma yang pasti, ianya berjumlah RM 100++.

Saya kata: "Mahalnya...sayang duit akak."

Adik itu pun berkata: "Alaaa, kak. Bukan selalu. Jom lahhh"

Saya senyum.

"Yelah....memang bukan selalu. Tapi dengan duit tu, akak boleh beli kitab. Mungkin dua buah kitab. Betul, tak?"

Adik itu dan kawan-kawannya tersenyum. Tersenyum dengan wajah yang berkerut-kerut. Mungkin mereka merasa 'terpukul' dengan kata-kata saya. Kerana setelah itu adik itu pun berkata:

"ALAMAK....MALUNYER KITA. INSAF KEJAP"

Saya ketawa kecil melihat wajah adik itu lalu meninggalkan sedikit nasihat sebelum berlalu keluar dari dewan solat Muslimah, Masjid UKM:

"Simpan duit, tau! Nanti boleh beli kitab. Adik-adik kan dah nak graduate. Nanti susah kalau balik kampung nak mengajar tapi tak ada kitab rujukan. Lainlah, kalau di kampung, ada library macam PTSL (Perpustakaan Tun Seri Lanang)"

"Hah! dengar tu..kan Kak Sakinah dah bagi tazkirah!", ujar kawannya yang seorang lagi. Mereka semua ketawa geli hati.

Geleng kepala dan tersenyum sendiri saya bila mengingatkan kisah itu.

Kisah Lama 2

"Kak..kalau akak jadi pensyarah. Saya akan pesan pada anak saya: "Jangan masuk kelas ustazah Sakinah. Aduiii..SUSAH!!", kata Faridah Hanim kepada saya.

Saya senyum sahaja.

Saya tahu dia stress kerana melakukan tugasan berkumpulan dengan saya.

BUKAN MUDAH. SEBAB SAYA CEREWET.

Bukan saya mengada-ngada.

Cuma, saya ingin adik-adik sepengajian saya belajar, betapa pentingnya membuat sesuatu tugasan DENGAN PENUH BERKUALITI.

Kerana peribadi kita seringkali dinilai melalui hasil kerja kita.

Dan seharusnya seorang Muslim itu memperlihatkan hasil kerja yang CEMERLANG.

Kisah Lama 3

"Best pergi bilik kak Sakinah, nanti hang dapat tazkirah free!!!", ujar Syuhada' penuh sungguh-sungguh pada kawannya.

Aikk...budak ni! - saya terperanjat!!!.

Tidak tahu samada perlu tersenyum atau ketawa.

Pelik!

Ramai kata saya suka beri tazkirah.

Padahal selalunya saya rasa, saya seolah-olah lebih banyak menghadiahkan 'bebelan' pada adik-adik terutamanya Syuhada'. Tak sangka pula, bebelan saya jadi tazkirah, ya?

=) =) =)

.......................

Hmm... kalau nak diceritakan satu persatu kisah-kisah lama, tentu sahaja tidak akan habis hingga ke esok hari. Macam mak saya kalau sudah bercerita tentang masa dia muda-muda dulu. Hai..tak balik lah orang dibuatnya kalau dilayankan =)=)=)

Bimbang-bimbang saya mewarisi sikap mak saya yang suka bercerita. Bila berbual susah nak berhenti. He he he. Tapi tidak mengapa, asal ceritanya, cerita yang sahih tentu sahaja bawa kebaikan pada yang lain, kan? =)

Sengaja saya buka kisah lama.

Sebenarnya untuk memotivasikan diri juga.

Agar hidup lebih menjadi manusia yang 'memberi' walau hanya dengan kata-kata peningkat motivasi diri.

Saya terjumpa sekeping kertas di dalam buku disertasi pra siswazah saya. Di atas sekeping kertas itu saya menulis:

"Hidup biar berbakti, walau tidak dipuji"

.................

09 January, 2010

05 January, 2010

Bismillah



Fail Penyeliaan Siswazah sudah berada di tangan saya dan sebuah lagi sudah bertukar tangan pada penyelia saya. Manakala proposal yang asalnya hanya berdakwat hitam kini sudah dihiasi dengan dakwat merah. Itu maknanya, ianya perlu diperhalusi dan seterusnya mengorak langkah masuk ke bab 2.

Apapun pada malam ini saya tidak mahu berbicara panjang tentang Tesis/Disertasi, cuma ingin berkongsi tentang bicara demi bicara yang bermain jauh di sudut hati saya sejak akhir-akhir ini.

BICARA 1

Hari itu, apabila saya mendapat sms demi sms pilu dari seorang adik yang sudah terlalu lama tidak bersua, saya berkata dalam hati dengan penuh simpati:

"Pernikahan bagi seorang wanita amat besar ertinya. Kalau boleh biarlah itu yang pertama dan terakhir. Namun perceraian kadangkala tidak dapat dijangka. Hari ini kita mengikat tali akad, belum tentu ianya tersimpul mati. Walau diri merayu, walau jiwa sayu. Untuk apa bagi lelaki mengambil tahu. Ini kerana di luar sana, ramai lelaki yang tidak ber'hati'. Bagi wanita yang teraniya dengan pernikahan yang sementara hanya keimanan sebagai penguat untuk terus melihat hari esok dengan penuh ketabahan. Bagi wanita yang melayari bahtera pernikahan yang baru berbulan, telah bertahun, berbelas tahun dan berpuluh tahun, bersyukurlah kerana masih ada suami di sisi"

BICARA 2

Pada satu ketika, apabila saya teramat sedih kerana tidak memperolehi apa yang saya inginkan, saya berkata hampir separuh nangis dalam hati:

"Jika pintu yang hamba sukai itu sudah tertutup, hamba mohon Ya Rabb tunjukkanlah hamba pintu-pintu lain untuk hamba menjadi insan yang lebih 'memberi'..tenangkanlah hati ini..."

Saya tidak dapat lena. Saya memejamkan mata saya sambil berdoa "Ya Hayyu Ya Qayyum birahmatika Astaghith". Dalam pada itu, saya sedar ada air jernih di hujung mata saya. Namun saya tidak mengendahkannya hinggalah ke subuh hari....

BICARA 3

Pada beberapa hari yang lepas, ketika menonton sebuah drama di Hotel bersama suami saya, saya agak terkejut dengan sebuah dialog yang diucapkan oleh seorang pelakon (Maaf, tak tahu siapa pelakonnya, maklumlah jarang menonton televisyen):

"Hari ni suami orang. Esok lusa, siapa tahu jadi suami kita"

Aduhh!!! Macam nak putus jantung saya. Ya Allah....

Saya terus bertanya kepada suami saya:

"Jid, ada ke perempuan macam ni? Tak malunya!!"

Suami saya jawab:

"Eh, ramai! Ada perempuan suka suami orang. Suami orang suka isteri orang!"

Seterusnya drama itu menunjukkan wanita tersebut sanggup mengupah bomoh demi mendapatkan suami orang itu. Akhirnya, akibat dishir dia terpesona juga dengan wanita yang selama ini dimarahinya kerana asyik menggodanya. Seramnya saya walau saya tidak menafikan itu adalah realiti yang banyak terjadi di kalangan Masyarakat Melayu. Dan pada malam itu, saya menatap wajah suami saya yang telah lena dibuai mimpi lalu menyusun bicara di dalam hati:

"Peritnya jiwa bila berjauhan. Sering membilang hari untuk sebuah pertemuan. Lindungilah kami Wahai yang Maha Pengasih dan Maha Mengasihani. Lindungilah suami hamba, ketika hamba tiada di sisinya..."

BICARA 4

Ada pada satu hari saya amat berkecil hati dan terasa hati. Air mata saya hampir-hampir mengalir. Tapi kerana saya tidak mahu dikawal oleh perasaan, saya gagahi juga untuk tersenyum. Kerana saya selalu berkata pada diri:

"Senyum itu indah walau hati berkalang gundah"

BICARA 5

Pada beberapa minggu yang lalu, saya terpaksa duduk di bilik kolej tanpa sebarang peralatan dan kemudahan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Selama tiga hari saya tidur berbantalkan lengan, menahan kedinginan malam tanpa selimut tebal, menggaru gatal kaki dan tangan pada gigitan nyamuk yang mengganggu tidur yang sebenarnya tidak lena. Saya pujuk diri dan berkata:

"Sabar Sakinah. Mujur ada katil dan tilam untuk tidur. Belum lagi tidur di atas lantai tanpa sebarang alas. Usah merungut. Sabar...semua ini bertujuan untuk mengajar diri agar menjadi hamba Allah yang lebih bersyukur di atas nikmat"

BICARA DEMI BICARA

Memang itu sikap saya.

Berbicara dalam hati untuk menguatkan diri.

Tiada pada yang lain saya minta kekuatan itu....

melainkan dari Allah jua.

04 January, 2010

Bismillah

Semester baru sebenarnya sudah bermula sejak dua minggu yang lalu. Cuma saya sahaja yang baru memulakan semester pada hari ini lantaran perlu menyelesaikan beberapa perkara dan menghadiri Seminar Takhrij al-Hadith di UM pada 30 & 31 Disember lepas.

Semester kali ini pastinya berbeza dari semester-semester yang lepas. Ini kerana pengajian saya secara kerja kursus sudah selesai dan kini hanya perlu menumpukan pada penulisan disertasi. Dan Alhamdulillah, pagi tadi saya mendapat khabar gembira. Proposal yang diusulkan telah diluluskan oleh pihak jabatan.


Saya akan memulakan penulisan saya pada bulan ini. Semoga Allah s.w.t permudahkan segala urusan saya. Allahumma Amin.

**************************

Untuk adik-adik (BANAT) Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah (Tahun 3)

Jika ada sebarang permasalahan dan kemusykilan untuk PENULISAN ILMIAH, boleh bertemu dengan saya dengan terlebih dahulu menghubungi saya melalui YM (alqamariah@yahoo.com)

Sekian

Wassalam