23 December, 2010


16 December, 2010

Saya senyum.

Saya bersyukur dan bangga kerana dewasa ini masjid-masjid di Singapura mempunyai kumpulan remajanya yang hebat-hebat. Bukan semuanya lelaki malah ada juga remaja Muslimah. Mereka sama-sama mengembeleng tenaga bagi merancakkan program-program masjid untuk para remaja Islam di Singapura. Dan dalam banyak keadaan hasilnya adalah CEMERLANG! Subhanallah...




Perjuangan mereka dalam mengajak rakan-rakan remaja Islam mereka yang lain untuk mendekati masjid bukanlah calang-calang usaha. Saya tahu dan amat faham bahawa tentu terlalu banyak pengorbanan yang perlu dilakukan terutamanya dari sudut masa dan tenaga. Justeru, semua itu tidak boleh dipandang dengan sebelah mata. Namun, penulisan saya pada kali ini tidak mahu menyentuh tentang sebarang program yang telah mereka laksanakan. Saya cuma ingin berbicara tentang remaja muslimah yang bergiat aktif di masjid-masjid Singapura yang selalunya lebih dikenali dengan panggilan FATAYAT.

Penting untuk saya tegaskan bahawa remaja muslimah yang ingin berjuang untuk Islam, perlu memahami, menghayati dan mempraktikkan ajaran Islam dengan sebaiknya berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Ini kerana kita bukan sekadar mahu mempunyai remaja muslimah yang hanya tinggi dari sudut semangat juang mereka membawa remaja muslimah lain mendekati Islam dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti tetapi kita juga mahu mereka mempunyai KEFAHAMAN YANG TINGGI dari sudut akidah, ibadah, mu'amalah dan akhlak.


Kenapa saya katakan begini? Kerana saya mahu mengejutkan para remaja Muslimah yang aktif di masjid tapi kurang pengetahuan agamanya malah ada yang tidak mahir dan masih merangkak dalam membaca al-Quran dari tidur mereka yang panjang. Bukan niat saya ingin mematikan semangat mereka dalam berjuang melaksanakan dakwah tetapi saya cuma ingin mereka sedar dan seterusnya bersegera untuk meningkatkan diri mereka dari tidak tahu kepada tahu dan faham [dalam masa yang sama tidak berhenti dari terus bergiat aktif]. Keaktifan mereka di masjid sememangnya adalah sesuatu yang amat terpuji tetapi mereka tidak boleh membiarkan diri mereka terkapai-kapai dalam ketidaktahuan tentang banyak perkara dalam agama Islam. Ini kerana jika remaja Muslimah yang memperjuangkan Islam masih lagi keliru dan tidak faham dengan syariat Islam itu sendiri, bagaimana mereka ingin memimpin orang lain ke jalan yang benar?


Maka saya tidak hairan jika berlakunya ikhtilat (percampuran antara lelaki dan perempuan) yang agak sukar dibendung di kalangan belia dan beliawanis masjid. Tidak juga saya hairan jika masjid menjadi tempat belia dan beliawanis ini menjalin hubungan kasih terlarang dan saya juga tidak pelik jika ada remaja Muslimah masjid yang berpakaian menutup aurat tetapi sebenarnya tidak menutup aurat.


Atas sebab itu, pihak masjid tidak boleh berpada bila mana mereka sudah berada dengan kita di dalam kepompong masjid. Ini kerana kita bukan hanya ingin mereka SETAKAT MENDEKATI MASJID dan MENJADI SUKARELAWAN MASJID tetapi kita ingin mereka MENJADI REMAJA MUSLIMAH yang berkualiti terutamanya dari sudut AKIDAH, IBADAH dan AKHLAK dengan mendapat PEMBELAJARAN DAN KEFAHAMAN ITU DI MASJID.


Kita tidak boleh beranggapan bahawa tatkala seorang remaja Muslimah itu sudah mendekati masjid, menjadi ahli bagi kumpulan belianya dan dalam masa yang sama menjadi sukarelawan masjid, mereka dengan sendirinya boleh menjadi manusia baik yang faham agama. Jika ada pun begitu, ia hanya 3 dalam 10 orang. Lalu bagaimanakah keadaan untuk 7 orang lagi dalam 10 orang itu? Kita membiarkan atau kita berusaha untuk mentarbiahkan? Atau kita kata: "Tak apalah..dah bagus tu dia nak sama-sama dengan kita di Masjid, lama-lama nanti, dia fahamlah. Dia tolong kita pun dah dapat banyak pahala kalau dia ikhlas".


Sebenarnya kesudian mereka untuk berada dalam kumpulan belia masjid mengharapkan diri mereka ditarbiyah dan mendapat pengisian rohani yang sebaiknya. Mereka memerlukan masjid dalam merubah mereka kepada jati diri muslimah yang sebenar. Justeru, kita jangan hanya tahu mengggunakan khidmat mereka dalam 'mengimarahkan' program-program masjid tetapi tidak pandai pula membalasnya dengan cara yang saya kira wajar diberikan kepada mereka. Contohnya: jika mereka tidak pandai membaca al-Quran, usahakan kelas untuk mereka belajar hingga pandai membaca. Jika mereka tidak faham tentang hukum-hakam agama, usahakan satu kuliah khas untuk mereka belajar tentangnya. Bagi saya ini merupakan tanggungjawab masjid yang perlu diberi perhatian agar remaja muslimah mereka terbimbing bukan sahaja dari sudut kepimpinan dan organisasi tetapi juga dari sudut keimanan dan jati diri.

Semua itu adalah penting agar mereka kekal bersama dengan masjid dan merasa bahawa keberadaan mereka di masjid benar-benar berbaloi untuk agama dan diri mereka. Maaf saya kata, amat malanglah andai sesebuah masjid itu hanya mempunyai remaja Muslimah yang hebat dari sudut KUANTITInya tetapi tidak dari sudut KUALITINYA.


Wallahu'alam.

30 November, 2010

Ramai Muslimah yang menutup aurat tetapi sebenarnya tidak menutup aurat. Perkara ini kelihatannya semakin berleluasa di kalangan para ustazah yang mempunyai pendidikan agama yang bukan setakat di sekolah rendah tetapi sudah sampai ke peringkat universiti. Malah sudah juga bergelar graduan pengajian Islam. Ia adalah sesuatu yang sememangnya tidak sedap di pandang mata. Ini kerana yang sudah tahu itu seolah-olah buat-buat tidak tahu. Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan ia adalah satu fenomena yang amat mendukacitakan.


Apabila seorang yang tahu dan faham dengan apa yang dikehendaki oleh syariat meletakkan diri umpama orang awam bagaikan satu musibah dalam institusi pembelajaran agama. Agama dicemarkan dan dirosakkan dengan pencampuran antara yang bukan agama dengan yang agama menyebabkan masyarakat Islam keliru yang mana satu agama dan yang mana satu bukan agama. Akhirnya masyarakat Islam yang seringkali cenderung beramal dengan amalan seorang agamawan itu melihat yang bukan agama itulah agama. Akibatnya timbullah kata-kata seperti ini: 'Ustazah tu pun pakai macam ni? Kalau agama kata tak boleh dan salah, kenapa dia pakai. Takkan ustazah tu tak tahu..." Sedih, bukan? Ketahuilah, semua ini berlaku dek kejahilan dan ketidakmahuan mempraktikkan ajaran agama oleh orang agama itu sendiri. [Ini baru sahaja dalam bab penutupan aurat seorang Muslimah belum lagi dalam bab-bab lain dalam hal akidah dan ibadah].






Saya tidak berniat untuk menyindir sesiapa, malah bukan juga berniat untuk mengutuk 'usaha murni' muslimah-muslimah dalam mempelbagaikan pemakaian tudung dan memperkenalkan pakaian-pakaian yang kononnya adalah 'busana Muslimah'. Cumanya saya prihatin, mungkin dalam keghairahan untuk melakukan kebaikan kita terlupa dengan kehendak asal syariat itu sendiri.

Ada kata: "Keimanan aku bukan terletak pada labuhnya tudung aku".

Ya, benar..siapalah kita untuk menilai keimanan seseorang dari sudut pemakaiannya. Memang kita tidak layak. Tetapi menutup aurat dengan sempurna dan melabuhkan tudung itu adalah SATU KEWAJIPAN yang dituntut dalam agama tidak kira kamu itu baik atau tidak. Jika kita kata kita beriman, tentu sahaja kita bertindak sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya,bukan?


Mungkin ada antara akhawat Muslimah saya yang bergelar ustazah terlupa, Allah s.w.t telah berfirman:





Maksudnya: "Wahai nabi, Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" [al-Quran, al-Ahzab:59].

Nabi s.a.w pula bersabda yang mana maksudnya:

"Dua jenis ahli neraka: (1) Orang yang mempunyai cemeti seperti ekor lembu untuk memukul manusia (2) Wanita yang berpakaian seolah-olah tidak berpakaian. Mereka condong semasa berjalan dan mencondongkan orang yang melihat. Kepala mereka seperti bonggol unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan mencium baunya....." [H.R Muslim].



Akhawat bergelar ustazah yang saya kasihi, belajar agama menuntut kita memahami dan mempraktikkannya lebih-lebih lagi bila mana ianya WAJIB. Dalam hal-hal yang JELAS DAN TERANG seperti ini, kita tidak boleh beramal mengikut 'rasa', adakah beriman dengan al-Quran dan hadis Nabi s.a.w yang sahih itu perlu separuh-separuh? Mana yang kita suka dan mengikut selera kita, kita laksanakan. Manakala mana yang kita tidak sukai dan tidak menepati citarasa kita [dan peredaran zaman], kita tinggalkan?


Dalam hal ini, saya tidak perlu berbual panjang lebar dan berjela-jela. Cukuplah penulisan ringkas ini sekadar mengetuk minda kita yang terlupa barangkali agar tersedar supaya perkara ini dilihat semula berdasarkan tuntutan syariat. Suka untuk saya katakana bahawa aurat perlu ditutup sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya bukan sebagaimana yang dikehendaki oleh peredaran zaman dan trend yang melanda dunia fesyen. Moga perkara ini dapat kita muhasabahkan bukan sahaja untuk diri yang sedang membaca tetapi diri saya juga.

Wallahu'alam.

24 November, 2010

Bismillah

Mungkin ada yang tertanya-tanya tentang perkembangan diri saya. Alhamdulillah sudah hampir dua minggu saya berada di kota Singa. Masih duduk di rumah dengan kebanyakan masanya berada di hadapan laptop dan membaca. Kini sedang menanti tarikh untuk menduduki ujian lisan (viva) bagi disertasi yang telah dihantar pada bulan lalu.

Namun pada hari ini saya tidak mahu berbicara tentang disertasi saya. Tetapi ada perkara lain yang telah mengetuk minda saya untuk menarikan jari-jemari di atas papan kekunci ini.

Setiap pagi saya akan menikmati minuman madu hangat sebelum makanan lain di isi ke dalam perut saya. Pada waktu meminum madu itu saya duduk di meja makan yang terletak di ruang tamu dengan menghadap dinding yang ditampal 4 poster oleh suami saya. Antara empat poster tersebut, satu posternya seringkali menarik perhatian saya. Poster itulah yang saya lihat hampir setiap hari iaitu setiap kali saya minum madu, setiap kali saya sarapan dan setiap kali saya menikmati makanan tengah hari. Senang kata, setiap kali duduk di situ sendirian, poster itu akan saya tatap walau saya tahu saya tetap akan menatap perkara yang sama.

Poster itu tidaklah cantik mana, tapi ada sesuatu yang menarik perhatian saya iaitu 'SYURGA'.







Jalan menuju syurga tidaklah semudah yang diucapkan dan diimpikan. Banyak perhentian yang perlu disinggah, itupun belum tentu bila tiba pada perhentian ketiga terakhir (titian sirat), kita akan selamat sampai ke destinasi bernama syurga.

Setiap hari saya melihat poster itu dengan penuh muhasabah. Dahulu saya ada melihat poster yang hampir serupa dengan itu di bilik Dr Fadlan Mohd Othman. Hampir setiap hari juga saya melihat poster itu di biliknya. Pada mulanya saya hanya memandang sepi pada poster itu, tetapi bila suatu hari ketika anaknya yang bernama Maryam, tiba-tiba mengajak saya ke poster itu, kemudian menunjukkan kepada saya dengan jari telunjuknya yang comel sambil berkata: "Apa ni?" Saya senyum lalu menjawab: "Poster".



Inilah poster yang ditampal di bilik Dr Fadlan. Cumanya poster itu berwarna. Anaknya Maryam, telah meminta saya membaca setiap objek di poster itu bermula dari DUNIA hingga SYURGA.

Kemudian anak kecil itu meletakkan jari telunjuknya bermula dari DUNIA dan meminta saya membacakan untuknya. Jarinya berpindah dari satu perhentian ke satu perhentian sehinggalah tiba ke perhentian yang terakhir iaitu SYURGA. Setelah itu saya jadi terdiam seketika. Jiwa saya bergetar saat itu lalu berkata dalam hati: "Ya Allah, jalan menuju ke syurgaMu tidak lah semudah diucapkan dan diimpikan". Bermula dari hari itu, saya sering menatap poster itu ketika sendirian di bilik Dr Fadlan. Terus terang saya katakan, ia mampu memotivasikan diri untuk terus-terusan menjadi manusia taat, baik dan beramal saleh.


Setelah itu [ketika saya sudah tidak terlibat dengan JALSAH], kehidupan saya tidak lagi diserikan dengan poster itu. Lama tidak menatapnya sebagaimana saya berpeluang menatap poster itu bila setiap kali melaksanakan tugasan JALSAH di bilik Dr Fadlan. Hinggalah kemudian saya pulang ke Singapura dan melihat poster yang hampir serupa ditampal oleh suami saya di dinding rumah. Kali ini, memang setiap hari poster itu menjadi tatapan saya. Ia sering membuatkan saya menginsafi diri sendiri. Dalam hati ada gentar dan takut kerana akur diri ini tidak akan terlepas untuk berada pada perhentian demi perhentian itu. Entah bagaimana keadaan diri pada waktu itu. Pada hari yang pasti itu, saya sendiri tidak pasti kedudukan saya.


Amatilah poster itu.



Kita semua akan berada di situasi itu. Kita semua akan mati dan melalui alam barzakh sehinggalah sangkakala ditiupkan. Itulah hari kiamat. Kita bakal melaluinya bersama, di tempat yang sama dan pada masa yang sama. Ke mana kita ingin lari? Ke mana pula ingin kita bersembunyi? Kita akan melalui semua itu dan tiba pada destinasi sebenar kita: Syurga atau neraka. Bayangkan situasi itu lalu adakah kita masih lagi terfikir untuk merancang melakukan dosa?


Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:

"Aku bersumpah demi hari kiamat (1) Dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri) (2) Apakah manusia mengira, bahwa kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang belulangnya? (3) Bukan demikian, Sebenarnya kami Kuasa menyusun (kembali) jari jemarinya dengan sempurna. (4) Bahkan manusia itu hendak membuat maksiat terus menerus. (5) Ia berkata: "Bilakah hari kiamat itu?" (6) Maka apabila mata terbelalak (ketakutan) (7) Dan apabila bulan telah hilang cahayanya (8) Dan matahari dan bulan dikumpulkan (9) Pada hari itu manusia berkata: "Ke mana tempat berlari?" (10) Sekali-kali tidak! tidak ada tempat berlindung!(11) Hanya kepada Tuhanmu sajalah pada hari itu tempat kembali.(12) Pada hari itu diberitakan kepada manusia apa yang telah dikerjakannya dan apa yang dilalaikannya (13)Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri, (14) Meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya (15)" [al-Quran, al-Qiyamah: 1-15].

Saya kembali melihat 'SYURGA' di poster itu.

Sesungguhnya jalan menuju syurga itu ada pelbagai, maka terpulang bagi diri kita jalan mana yang ingin kita pilih. Allah s.w.t tidak hanya menetapkan satu jalan sahaja bagi kita kerana DIA MAHA TAHU tak semua kita MAMPU untuk melalui jalan yang sama.




Ketahuilah, syurga itu dihuni oleh hamba-hambaNYA yang BERKUALITI dan CEMERLANG. Maka seharusnya kita mendidik diri menjadi manusia BERKUALITI dan CEMERLANG dari sudut akidah, ibadah dan muamalah. Tetapi jika sekiranya kita asyik LEMAH DAN TIDAK PERLUKAN PADA KUALITI DAN KECEMERLANGAN, layakkah kita menjadi penghuni syurga?
Lalu tanyalah pada diri:
SYURGA atau NERAKA???

13 November, 2010

Oleh Dr Azwira Abd Aziz

[Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM]




Berdasarkan hakikat bahawa kesahihan amalan zahir dan batin saling berperanan dalam menentukan kesahihan amalan seseorang muslim, maka Islam telah meletakkan satu prinsip agama yang penting iaitu kewajipan berbeza dengan amalan golongan bukan Islam, baik dari segi kepercayaan, cara ibadat mahu pun budaya hidup. Islam menuntut umatnya supaya tidak meniru cara ibadat dan budaya hidup golongan bukan Islam, kerana peniruan itu dibimbangi boleh membawa kepada asimilasi agama dan budaya yang akhirnya akan menghakis identiti umat dan seterusnya melemahkan jati diri mereka. Asas bagi prinsip ini terkandung dalam banyak nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah, antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Maksudnya:

“Kesudahannya, Kami jadikan engkau (Muhammad) menjalankan satu syariat
(yang cukup lengkap) dari perkara agama,
maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang yang tidak mengetahui”[1].

Semua golongan bukan Islam adalah termasuk dalam pengertian ‘orang yang tidak mengetahui’, kerana mereka adalah golongan yang jahil dengan syariat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Dalam konteks ini, Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata (maksudnya):
Dan Dia (Allah) melarang Baginda daripada mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui, sedangkan termasuk dalam maksud orang-orang yang tidak mengetahui itu ialah semua orang yang menyalahi syariatnya[2].

Dalam ayat lain, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Maksudnya:

“…Dan janganlah pula mereka (orang beriman) menjadi seperti orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka,
setelah orang itu melalui masa yang lanjut, maka, hati mereka menjadi keras,
dan ramai di antara mereka menjadi fasik”[3].

Sheikh Al-Islam Ibn Taimiyyah mentafsirkan ayat ini dengan katanya yang bermaksud:
Maka maksud firmanNya “Dan janganlah pula mereka (orang beriman) menjadi”, adalah satu larangan mutlak daripada meniru mereka (ahli Kitab), meskipun ia khusus bagi larangan daripada meniru kekerasan hati mereka, tetapi kekerasan hati itu adalah hasil daripada maksiat[4].

Manakala Al-Hafiz Ibn Kathir pula menyimpulkan maksud ayat itu dengan katanya yang bermaksud:

Dan kerana inilah Allah melarang orang beriman daripada meniru mereka (ahli kitab) dalam apa jua perkara usul dan furu’[5].

Selain daripada ayat-ayat Al-Quran, terdapat banyak hadith Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjadi asas bagi prinsip ini, sehingga ada ulama yang mengumpulkan lebih daripada 30 buah hadith sahih mengenainya[6], seperti:

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap umatnya daripada menggunakan serunai dan loceng sebagai seruan solat pada zaman awal Islam kerana ia menyerupai cara puak Yahudi dan Nasrani sehinggalah Baginda diwahyukan dengan azan[7].

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam daripada solat pada waktu Matahari sedang terbit dan waktu ia sedang terbenam kerana ia adalah waktu sujud golongan penyembah Matahari[8].

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam daripada menjadikan perkuburan para anbiya’ dan shalihin sebagai tempat ibadat kerana yang demikian itu adalah amalan golongan Yahudi dan Nasrani[9].

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam daripada bersolat dengan berbungkus sehelai kain tanpa mengilasnya di tempat kilasan kerana yang demikian itu adalah perbuatan golongan Yahudi[10].

Suruhan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam supaya umatnya sekali sekala bersolat sambil memakai selipar dan khuf kerana puak Yahudi tidak mengharuskan[11].

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam daripada duduk bertongkat dengan tangan kiri dalam solat kerana yang demikian itu adalah cara duduk puak Yahudi[12].

Peringatan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap umatnya supaya bersahur bila berpuasa kerana golongan ahli Kitab berpuasa tanpa bersahur[13].

Saranan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam supaya umatnya menyegerakan berbuka puasa kerana golongan Yahudi dan Nasrani melewatkannya[14].

Saranan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam supaya umatnya berpuasa ‘Asyura’ pada hari kesembilan dan kesepuluh kerana golongan Yahudi dan Nasrani hanya berpuasa pada hari kesepuluh sahaja[15].

Saranan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam supaya jemaah haji bergerak dari Muzdalifah ke Mina sebelum terbit matahari kerana golongan Musyrikin biasanya bergerak selepas matahari terbit melepasi puncak Bukit Thubair di Makkah[16].

Kekeliruan Dan Jawapan

Kesemua hadith di atas menyokong dan menguatkan tafsiran ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan prinsip berkenaan. Namun mungkin ada yang terkeliru dan mengatakan bahawa suruhan supaya berbeza dan larangan daripada meniru golongan bukan Islam hanya dalam perkara ibadat ritual seperti solat, puasa dan haji sahaja, bukan dalam perkara adat, budaya dan cara hidup. Kekeliruan ini boleh dijawab dengan dua jawapan, pertama jawapan bersifat umum manakala kedua jawapan secara khusus (spesifik):

Jawapan Umum

Telah sedia maklum bahawa Islam adalah satu cara hidup (The Way of Life) yang meliputi seluruh aktiviti kehidupan manusia. Justeru menghadkan ajaran Islam kepada ibadat-ibadat ritual semata-mata adalah satu daripada bentuk fahaman sekularisma.
Anas bin Malik radhiallahu 'anh telah meriwayatkan sebuah hadith yang menceritakan bahawa golongan Yahudi mengharamkan sebarang bentuk pergaulan dengan isteri yang berada dalam haid, sehinggakan dalam hal-hal yang tiada kaitan dengan persetubuhan seperti makan minum dan bergurau. Maka ketika ayat berkenaan haid diturunkan[17], Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan maksud ayat berkenaan dengan sabdanya:

اصنعوا كل شيء إلا النكاح.

Maksudnya:

“Kamu buatlah apa saja (ketika isteri kamu dalam haid) kecuali persetubuhan”.

Mendengar sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ini, mereka (orang Yahudi) berkata:

ما يريد هذا الرجل أن يدع من أمرنا شيئا إلا خالفنا فيه.

Maksudnya:

“Lelaki (Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) ini tidak akan membiarkan satu pun dari amalan kita kecuali dia berbeza dengan kita dalam melakukannya”[18].


Kata-kata orang Yahudi ini menunjukkan bahawa Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan perbezaan dengan mereka dalam semua perkara meliputi semua urusan kehidupan, sehingga terkeluar dari mulut mereka keluhan terhadap perbezaan yang banyak itu. Pengajaran yang tersirat di sebalik hadith ini ialah, bahawa suruhan supaya berbeza dan larangan daripada meniru golongan bukan Islam itu bukan terhenti setakat ibadat ritual semata-mata, bahkan juga meliputi perkara adat, budaya dan cara hidup.

Jawapan Spesifik

Terdapat banyak hadith sahih yang menunjukkan bahawa suruhan supaya berbeza dan larangan daripada meniru golongan bukan Islam memang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuklah dalam perkara-perkara adat dan budaya. Antara hadith-hadith yang menunjukkan sedemikian ialah:

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap umatnya daripada menghormati Baginda secara berlebihan (memuja) sebagaimana kaum Nasrani memuja Nabi Isa[19].

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam daripada menghormati orang yang duduk dengan cara berdiri kerana yang demikian itu adalah cara penghormatan orang Parsi terhadap pembesar mereka[20].

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap kaum lelaki daripada memakai pakaian yang dicelup dengan warna mua’sfar (merah oren) kerana ia merupakan warna pakaian orang bukan Islam[21].

Larangan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam daripada meniru cara berpakaian golongan bukan Islam[22].

Suruhan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam supaya kaum lelaki memendekkan misai dan membela janggut kerana ahli Kitab, Majusi dan Musyrikin mencukur janggut dan membela misai[23].

Suruhan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam supaya kita menginaikan janggut atau uban kerana ahli Kitab tidak menginaikan janggut dan uban mereka[24].

Suruhan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam supaya kita memakai seluar atau kain sarung bersilih ganti kerana kebiasaan ahli Kitab ialah memakai seluar sahaja[25].

Suruhan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam supaya kita memakai khuf atau selipar bersilih ganti kerana kebiasaan ahli Kitab ialah memakai khuf sahaja[26].

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam daripada duduk sambil menongkat tangan ke belakang kerana ia adalah cara duduk golongan Yahudi[27].

Larangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam daripada bermain buah dadu kerana ia adalah sejenis judi yang dimainkan oleh orang ‘ajam (bukan Arab)[28].

Peniruan Tetap Haram Meskipun Dengan Niat Yang Baik

Kaedah usul fiqh telah menetapkan bahawa nas-nas yang bersifat suruhan menjurus kepada konsekuensi hukum wajib kecuali jika ada qarinah (petunjuk ilmiah) yang mengubah hukum wajib itu kepada sunat, manakala nas-nas yang bersifat larangan pula menjurus kepada konsekuensi hukum haram kecuali jika ada qarinah yang mengubah hukum haram itu kepada makruh[29].

Berdasarkan kaedah ini, maka nas-nas suruhan supaya berbeza mesti difahami sebagai wajib kerana tidak ada qarinah yang menunjukkan ia hanya sekadar sunat, manakala nas-nas larangan daripada peniruan pula mesti difahami sebagai haram kerana tidak ada qarinah yang menunjukkan ia hanya sekadar makruh.

Dengan perkataan lain, Islam mewajibkan umatnya berbeza dengan golongan bukan Islam dan pada masa yang sama mengharamkan umatnya meniru mereka. Akan tetapi timbul satu persoalan, jika peniruan itu dilakukan dengan niat atau tujuan yang baik, maka adakah ia tetap haram? Jawapannya, ia tetap dilihat sebagai haram kerana prinsip ibadat dalam Islam telah menetapkan bahawa tujuan yang baik tidak sekali-kali akan menghalalkan cara. Ini kerana syarat penerimaan amalan bukan terletak pada niat baik semata-mata, tetapi juga pada cara yang betul sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

Dari sudut yang lain, larangan Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam daripada meniru golongan bukan Islam seperti sabdanya: “Jangan kamu melampau memujaku sebagaimana golongan Nasrani melampau memuja (Nabi) Isa Ibn Maryam”[30], adalah lahir daripada kebimbangan Baginda terhadap pujian berlebihan yang boleh membawa kepada kesyirikan, sepertimana yang berlaku kepada golongan Nasrani. Justeru kebimbangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam termasuk dalam kaedah fiqh yang masyhur dikenali sebagai Sad Az-Zarai’ (menutup pintu-pintu kemudaratan).

Namun apa yang dibimbangi oleh Baginda itu telah benar-benar menjadi kenyataan apabila ramai dari kalangan umat Islam pada hari ini tanpa mereka sedari telah meniru amalan golongan bukan Islam, bukan sahaja dalam perkara kebudayaan seperti cara berpakaian dan berhibur, malah peniruan juga berlaku dalam perkara ibadat khusus seperti amalan berzikir menggunakan ‘biji tasbih’ secara beramai-ramai dengan suara yang nyaring, bermelodi disertai hayunan badan dan kepala[31].

Malahan, tanpa mereka sedari ramai dari kalangan mereka terdedah kepada bahaya kesyirikan dan kekufuran melalui amalan salawat yang mempersekutukan sifat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dengan sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala[32]. Maka benarlah sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

لتتبعن سنن من كان قبلكم
شبرا بشبر وذراعا بذراع،

حتى لو دخلوا جحر ضب لدخلتموه،

قالوا: اليهود والنصارى؟

قال: فمن؟.

Maksudnya:

“Sesungguhnya kamu akan ikut cara golongan sebelum kamu
sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta,

hatta jika mereka masuk lubang biawak pun nescaya kamu akan mengikutinya.”

Sahabat bertanya: “Golongan Yahudi dan Nasranikah (yang kamu maksudkan)?”

Baginda menjawab: “(Kalau tidak mereka) siapa lagi?”[33].


Hikmah Di Sebalik Suruhan Berbeza Dan Larangan Peniruan

Semua ayat dan hadith di atas serta banyak lagi nas lain yang semaksud dengannya, menunjukkan bahawa kewajipan menyalahi etika ibadah, budaya dan cara hidup golongan bukan Islam adalah sebahagian daripada prinsip agama. Namun timbul persoalan di sini, apakah hikmah di sebalik prinsip ini dan kenapa pihak syara’ kelihatan begitu prihatin terhadapnya? Jawapannya ialah kerana peniruan dan persamaan budaya hidup akan membibitkan rasa kasih sayang serta wala’ (kepatuhan), sedangkan kasih sayang dan wala’ kepada golongan yang tidak beriman bercanggah dengan tuntutan iman, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Maksudnya:

“Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat saling berkasih sayang dengan orang yang menentang Allah dan RasulNya,
sekalipun mereka itu terdiri daripada bapa-bapa, anak-anak,
saudara-mara dan ahli keluarga. Mereka (orang beriman) itulah orang yang
Allah telah tanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka
dengan pertolongan yang datang daripadanya”[34].


Menjelaskan maksud ayat ini, Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata (maksudnya):

Allah Subhanahu wa Ta’ala menegaskan bahawa tidak ada seorang pun orang beriman yang saling berkasih sayang dengan orang yang tidak beriman. Sesiapa yang menyayangi orang yang tidak beriman, maka dia bukan seorang yang beriman. Oleh kerana persamaan amalan zahir itu adalah punca terbibitnya kasih sayang, maka ia (persamaan amalan zahir) adalah haram[35].

Di samping membibitkan kasih sayang yang menjadi bukti kelemahan iman, persamaan amalan zahir juga menjadi faktor kepada terhakisnya identiti dan kemerosotan jati diri kerana kekuatan jati diri bergantung kepada kekuatan iman. Berdasarkan hikmah dan alasan ini, maka, setiap muslim wajib berbeza dengan golongan bukan Islam dalam semua aktiviti kehidupan mereka meliputi cara berpakaian, cara berjalan, cara makan minum, cara menghias rumah, cara berbelanja, cara berhibur, cara bergaul, cara berekreasi, cara bersukan dan sebagainya. Dengan perbezaan itu, mudah-mudahan jati diri keimanan dapat dibina di atas asas yang mantap, yang tidak boleh digugat oleh arus kehidupan moden.

Pun begitu, prinsip kewajipan berbeza ini tidak menghalang umat Islam daripada menjalinkan hubungan kerjasama dan perpaduan dengan golongan bukan Islam. Islam menggalakkan kita bekerjasama dan bersatu padu dalam segala hal yang berkaitan dengan pembangunan dan kepentingan bersama. Piagam Madinah yang termeterai antara umat Islam dengan puak-puak Yahudi dan kabilah-kabilah Arab membuktikan bahawa hubungan kerjasama dan perpaduan dengan golongan bukan Islam amat digalakkan oleh Islam. Cuma, kerjasama dan perpaduan itu perlu dipastikan berlaku dalam bentuk akomodasi dan intergrasi yang mampu mempertahankan identiti Islam dan bukan dalam bentuk asimilasi yang boleh menghakis jati diri agama.

Nota Kaki:

[1] Al-Jaathiah, 45:18.
[2] Ibn Taimiyyah, Iqtida’ As-Sirat Al-Mustaqim Fi Mukhalafat Ashab Al-Jahim, hal:8.
[3] Al-Hadid, 57:16.
[4] Ibn Taimiyyah, Iqtida’ As-Sirat Al-Mustaqim, hal:43.
[5] Ibn Kathir, Tafsir Al-Quran Al-A’zim, 4:332.
[6] Al-Albani, Jilbab Al-Mar’ah Al-Muslimah Fi Al-Kitab Wa As-Sunnah, hal:166-212.
[7] Sahih Sunan Abi Daud, no:498.
[8] Sahih Muslim, no:832.
[9] Sahih Muslim, no:530-532.
[10] Sahih Sunan Abi Daud, no:635.
[11] Sahih Sunan Abi Daud, no:652.
[12] Mustadrak Al-Hakim, lihat: Jilbab Al-Mar’ah, hal: 175.
[13] Sahih Muslim, no:1096.
[14] Musnad Ahmad, lihat: Jilbab Al-Mar’ah, hal: 176.
[15] Sahih Muslim, no:1134.
[16] Sahih Al-Bukhari, no:3626.
[17] Al-Baqarah, 2:222.
[18] Sahih Muslim, no:302.
[19] Sahih Al-Bukhari, no:3445.
[20] Sahih Muslim, no:413.
[21] Sahih Muslim, no:2077.
[22] Sahih Muslim, no:2069.
[23] Sahih Al-Bukhari, no:5553.
[24] Musnad Ahmad, lihat: Jilbab Al-Mar’ah, hal: 184-185
[25] Al-Albani, Jilbab Al-Mar’ah hal:184-185.
[26] Al-Albani, Jilbab Al-Mar’ah, hal:184-185.
[27] Sahih Sunan Abi Daud, no:4848.
[28] Musnad Ahmad, lihat: Jilbab Al-Mar’ah, hal: 198-200.
[29] Wahbah Az-Zuhaili, Usul Al-Fiqh Al-Islami, 1:234-235.
[30] Sahih Al-Bukhari, no:3261.
[31] Untuk mendapat penjelasan yang terperinci tentang perkara ini sila lihat: Hafiz Firdaus Abdullah, 2000, Zikir-zikir Selepas Solat Fardu Sebagaimana Yang Diajar Dan Dilakukan Oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, Johor, hal:81-102.
[32] Seperti Salawat Syifa’. Penulis khususkan perbincangan mengenainya dalam sebuah rencana berjudul:Kekaburan Salawat Syifa’ Perlu Dijelaskan.
[33] Sahih Muslim, no:2669.
[34] Al-Mujadalah, 58:22.[35] Ibn Taimiyyah, Iqtida’ As-Sirat Al-Mustaqim, hal:6-7.
* Penulisan ini dipetik dari buku 15 Asas Jati diri Muslim Cemerlang, hlm 39-53.

10 November, 2010

Oleh Sakinah Saptu

Al-Tanjim adalah satu istilah yang agak asing bagi kebanyakan masyarakat Islam. Ia adalah ilmu nujum yang dapat menafikan tauhid dan menjerumuskan pelakunya kepada kemusyrikan kerana orang itu menyandarkan sesuatu kejadian kepada selain Allah s.w.t.[1]

Menurut Ibn Taimiyyah: “al-Tanjim adalah meramal kejadian-kejadian di bumi berdasarkan petunjuk keadaan bintang”.[2] Maka atas dasar itu, al-Munajjim iaitu ahli nujum layak dikategorikan sebagai peramal.

Ilmu nujum sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Qaul al-Mufid 'ala Kitab al-Tauhid terbahagi kepada dua jenis[3]:

i. Ilmu al-Ta’thir. Ia terbahagi kepada tiga:

Pertama: Meyakini bahawa bintang-bintang mampu memberi kesan. Maknanya bintang-bintanglah yang mencipta peristiwa-peristiwa dan kejahatan. Ini adalah syirik besar.

Kedua: Menjadikan ia sebab untuk mendakwa ada padanya (bintang-bintang itu) ilmu ghaib. Contohnya bintang itu menentukan nasib seseorang sama ada kehidupannya bahagia ataupun tidak.

Ketiga: Menyakini ia adalah penyebab berlakunya kebaikan dan keburukan. Contohnya bila berlaku sesuatu dia menisbahkan kejadian itu kepada bintang dan tidaklah dia melakukan ini melainkan setelah berlakunya peristiwa tersebut. Maka ini dikategorikan sebagai syirik kecil.

ii. Ilmu al-Tasyir

Ilmu nujum jenis ini digunakan untuk tujuan kemaslahatan agama, petunjuk arah dan untuk mengetahui musim (dingin atau panas). Dari sinilah muncul hisab takwim, penentuan cuaca dan sebagainya. Maka jenis yang ini dibolehkan dalam Islam.

Mungkin antara sebab mengapa kepercayaan pada al-Tanjim tidak disedari menjalar dalam kehidupan masyarakat Islam ialah kerana dewasa ini ramalan menggunakan bintang lebih dikenali dengan nama horoskop. Horoskop atau ramalan zodiak adalah carta atau diagram yang menunjukkan kedudukan relatif objek langit seperti matahari, bulan, dan planet. Perkataan horoskop berasal dari bahasa Yunani yang bermaksud "melihat jam". Untuk memperoleh horoskop seseorang, tempat, hari dan tarikh lahir orang itu mesti diketahui. Tarikh itu pula akan jatuh pada salah satu daripada 12 lambang zodiak yang sedia ada iaitu Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagittarius, Capri­corn, Aquarius, dan Pisces. Menurut ilmu astrologi setiap zodiak itu mempunyai keperibadiannya yang tersendiri dan nasib setiap orang adalah berdasarkan kepada zodiak serta kedudukan matahari, bulan dan planet pada hari itu.[4]


Kebanyakan dari masyarakat Islam tidak menyedari bahawa perbuatan membaca dan mempercayai horoskop adalah dilarang dalam Islam. Malah perkara ini, jika diamati telah menjadi satu budaya masyarakat Islam terutamanya di kalangan muda-mudi untuk mengetahui bintang (zodiak) masing-masing dan seterusnya mendapatkan ramalan berkenaan apa yang bakal berlaku pada mereka berdasarkan kepada bintang zodiak tersebut. Paling ketara yang dapat dilihat hari ini ialah apabila ramai masyarakat Islam yang terjebak dengan permainan kuiz ramalan nasib dan horoskop di laman sosial Facebook.[5] Perlu ditegaskan bahawa membaca atau sekadar ingin mengetahui nasib diri melaluinya walaupun tidak mahu mempercayainya adalah sama hukumnya sebagaimana seseorang itu berjumpa bomoh tetapi tidak mempercayai kata-katanya. [Rujuk: Perkhidmatan Ahli Sihir Dalam Arus Pemodenan]. Justeru itu, seorang Muslim perlu membebaskan dirinya dari mempunyai sebarang hubungan dengan horoskop melainkan jika penglibatannya dalam horoskop adalah bertujuan untuk menerangkan kebatilan dan kesyirikan yang terkandung padanya kepada orang lain.

Sesungguhnya larangan untuk melibatkan diri dalam ilmu perbintangan dan hal-hal berkaitan horoskop telah dinyatakan sejak dahulu lagi oleh baginda Nabi s.a.w dalam hadisnya, sebagaimana berikut:

عن زيد بن خالد الجهني أنه قال : صلى لنا رسول الله صلى الله عليه و سلم صلاة الصبح بالحديبية على إثر سماء كانت من الليلة فلما انصرف أقبل على الناس فقال : هل تدرون ماذا قال ربكم. قالوا الله ورسوله أعلم قال : أصبح من عبادي مؤمن وكافر فأما من قال مطرنا بفضل الله ورحمته فذلك مؤمن بي وكافر بالكوكب وأما من قال بنوء كذا وكذا فذلك كافر بي ومؤمن بالكوكب. [6]

Maksudnya: Daripada Zaid bin Khalid al-Juhniyy bahawasanya beliau berkata: Kami solat subuh bersama Rasulullah s.a.w di Hudaibiyyah setelah semalamnya turun hujan. Tatkala selesai, Nabi s.a.w menghadap orang ramai lalu bersabda: Tahukah kalian apa yang difirmankan oleh Tuhan kalian?” Mereka menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengatahui. Rasulullah s.a.w menjawab (Allah berfirman): Pada pagi ini ada di antara hambaku yang beriman kepadaku dan ada yang kafir. Adapun orang yang berkata hujan turun kepada kami kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya, maka dia beriman kepadaKu dan kafir kepada bintang. Sedangkan orang yang berkata hujan turun kepada kami kerana bintang itu dan ini, maka dia kafir kepadaKu dan beriman kepada bintang


عن ابن عباس قال : قال النبي صلى الله عليه و سلم : من اقتبس علما من النجوم اقتبس شعبة من السحر زاد مازاد .7]

Maksudnya: Daripada Ibn 'Abbas beliau berkata: “Siapa yang mempelajari satu cabang dari ilmu nujum, maka sesungguhnya dia telah mengambil satu bahagian dari ilmu sihir. Semakin bertambah (ilmu yang dipelajari), maka semakin bertambahlah (dosanya)."

Adapun sebab Islam melarang penggunaan bintang, planet dan matahari sebagai sumber ramalan adalah kerana ilmu-ilmu ghaib tidak tersimpan dalam objek-objek tersebut. Apabila seorang Muslim menggunakan bintang, planet dan matahari untuk membuat ramalan tertentu, seolah-olah dia mempercayai objek-objek tersebut mampu mengkhabarkan kepadanya ilmu ghaib tentang sesuatu yang akan berlaku. Ini semua adalah kepercayaan yang salah kerana tiada siapa atau apa jua yang mengetahui ilmu ghaib kecuali Allah s.w.t.[8]

Sesungguhnya Allah s.w.t telah berfirman:


Maksudnya: Katakanlah lagi: "Tiada siapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah” (65)[9]

Nota Kaki:
[1] Yazid Abdul Qadir Jawas, hlm. 289.

[2] Ali al-Syaikh, Jil. 2, hlm. 420.

[3] al-cUthaimin, Qaul al-Mufid cala Kitab al-Tauhid, Jil. 2, hlm. 5-7. [Perbahasan ini dipetik dengan pengubahsuaian oleh pengkaji].

[4] Wikipedia Ensiklopedia Bebas, Horoskop, t.th, http://ms.wikipedia.org/wiki/Horoskop%20%5b22 Ogos 2008].


[5] Facebook ialah sebuah tapak web rangkaian sosial yang dikendali dan dimiliki secara persendirian oleh Facebook, Inc dengan mempunyai 500 juta pengguna aktif hingga Julai 2010. Facebook diasaskan oleh Mark Zuckerberg bersama teman-teman sebiliknya dan rakan-rakan sekursus Sains komputernya iaitu Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes. (Wikipedia The free Encylopedia, Facebook, http://en.wikipedia.org/wiki/Facebook%20%5b2 September 2010]).

[6] al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab sifah al-Salah, Bab Yastaqbilu al-Imam al-Nas idha sallama, No. 810 & Kitab al-Istisqa’, Bab Qaul Allah ta’ala: “Watajcaluna rizqakum wa antum tukadhdhibun”, No. 991 & Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, Bab bayan kufr man qala mutirna ibnau’i, No. 240.


[7] Abu Daud, Sunan Abi Daud, Kitab al-Tibb, Bab fi al-Nujum, No. 3905 & Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Kitab al-Adab, Bab Tacallum al-Nujum, No. 3729.
Hukum hadis: Dinilai sahih oleh al-Dhahabi dalam kitab al-Muhadhdhab, No. 6/3233, al-cIraqi dalam kitab Takhrij al-Ihya’, No. 4/144 & Abani dalam kitab Sahih Abi Daud, No. 3905 & Sahih Ibn Majah, No. 3017.


[8] Hafiz Firdaus, 13 Perkara yang Mencemari Kemurnian Tauhid, Jahabersa, Johor Bahru, 2008, hlm. 66.

[9] al-Qur’an, al-Naml 27:65.

31 October, 2010

Kenapa semangat wanita solehah bisa melemah bila dibukakan pintu dunia kepada mereka?

Kenapa semangat wanita solehah bisa melemah saat mereka sudah bernikah dan berketurunan?

Mana lagi semangat yang tinggi itu, semangat yang tidak menginginkan selain Allah sebagai pengganti?



"Pendorong utama untuk meningkatkan semangat bagi seorang Muslimah adalah bergaul dengan sesama Muslimah yang rajin beribadah, belajar dan beramal serta memperhatikan ucapan mereka untuk dijadikan tauladan"

Dipetik dari buku:
Membina Motivasi Muslimah, 'Isom bin Muhammad Asy-Syarif, Solo, al-Qawam, 2005, hlm 60.

14 October, 2010

Kadang-kadang di kala kita terlalu letih dan terasa sesaknya dada untuk menarik nafas, kita cuma punya air mata untuk meluahkan kepenatan itu lantaran sudah tidak terkatanya kita dengan lambakan kerja yang tidak tertanggung sebenarnya.


Terkejar ke sana dan ke mari kerana diulit dengan amanah dan tanggunggjawab sering membuatkan dahi kita berkerut seribu. Itu belum lagi kita memikirkan tentang orang-orang yang kadangkala terpaksa kita abaikan kerana kerja yang tidak pernah mengenal erti ihsan. Ditambah pula apabila orang-orang yang kita sayang tidak mengerti akan betapa jiwa kita sebenarnya mengharap pengertian pada sebuah lelah yang tidak terluah. Lebih menyakitkan, kita sering dikatakan orang yang mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan orang yang dekat di hati.

Tatkala memikirkan tentang lambakan kerja itu
Memikirkan tentang orang-orang yang menikam kita dari belakang
Menganiaya kita, mengutuk kita, menghina kita dan menyisihkan kita
Memikirkan tentang orang-orang yang terguris dek kesibukan kita
Memikirkan tentang diri sendiri yang terabai...

Sakit dada kita menahan semua itu
Sesak lagi jiwa kita menahan sendu
Lalu kita duduk sendirian
Seorang diri tanpa teman di sisi
pasti,
ada air jernih mengalir di pipi

Ia mengalir deras
malah mungkin kalah derasnya air di kali….

Akhirnya kita akur bahawa kita lemah
Kita perlukan Allah s.w.t untuk menguatkan kita
Lalu kita perlu terus-terusan berbicara (mengadu) kepada Nya
pada bicara itu tentu ada sendu
meluahkan segala yang terbuku di kalbu
walau Dia maha tahu
tapi kita tak pernah jemu
terus ingin berbicara dan mengadu
kerana kita sendiri pasti
pujukan-Nya selalu indah sekali.

Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, kegundah-gulanaan sehingga duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian dari kesalahan-kesalahannya" (H.R al-Bukhari)

09 October, 2010

Bismillah

Semenjak dua tiga hari kebelakangan ini, saya asyik memikirkan tentang Jalsah Ilmiyyah Quraniyyah. Mungkin kerana Forum Perdana Jalsah kali-2 baru sahaja berakhir pada Khamis lalu dan mungkin juga masih terkenangkan insiden saya 'membebel teruk' di bilik penyelarasnya kerana pengurusan yang agak kurang memberangsangkan tempoh hari.




Ya, saya sedar dan teramat faham bahawa Jalsah bukan milik saya. Apatahlagi untuk merasa ia adalah hak eksklusif yang diberikan kepada saya untuk mengendalikannya. Hakikatnya ia adalah hak milik Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan untuk dihidupkan semula oleh penyelarasnya kepada saya suatu ketika dulu. Maka atas dasar amanah dan tanggungjawab itu, saya tidak mahu melihatnya sebagai sebuah kerja sampingan yang hanya dipandang sebelah mata. Ini kerana ia bukanlah sebuah organisasi anak-anak kecil di sekolah rendah mahupun anak-anak remaja di sekolah menengah tetapi ia sebuah organisasi yang dianggotai oleh mereka yang terdiri di kalangan manusia yang layak dan bakal mendapat gelaran 'intelektual Muslim' di institusi bernama universiti.

Saya pernah berkata kepada penyelarasnya:

"Jalsah umpama anak angkat saya. Dilahirkan oleh orang lain tetapi saya dengan sukarela mengambilnya ketika ia berada di tahap 'nyawa-nyawa ikan' sehingga ia dapat membesar, bergerak dan berjalan seperti sekarang ini."

Maka jika saya sudah menganggapnya sebagai 'seorang anak', itu maknanya betapa besar nilai Jalsah itu pada diri saya.

Atas sebab itu, meletak jawatan sebagai setiausaha (ketika saya masih belum bersedia untuk melepaskannya) pada bulan Julai lalu mengundang tangis yang bukan sehari dua. Sukar untuk saya berpisah dari 'anak' saya yang baru pandai berjalan itu sebenarnya. Tetapi akhirnya, dengan nasihat oleh penyelarasnya, saya dapat menerima perpisahan itu lantaran saya juga sedar dan faham di sana ada amanah dan tanggungjawab yang LEBIH PENTING untuk saya laksanakan. Dia meyakinkan kepada saya bahawa keputusan saya adalah keputusan yang bijak.

Walaupun saya tidak lagi menjadi setiausahanya kini tetapi saya masih merasa bertanggungjawab untuk membantu dan masih sudi untuk mengembleng idea dan tenaga bersama AJKnya yang lain bagi mengatasi masalah yang dihadapi olehnya. Paling penting, walaupun kini ia sudah berada di bawah jagaan orang lain, mana mungkin saya membiarkan 'anak' saya itu tatkala ia tidak diuruskan dengan sebaiknya dan amat memerlukan kepada bantuan saya. Jika saya hanya melihatnya dan membiarkannya sedangkan saya masih mampu untuk menghalangnya dari tersandung dan terjatuh ketika ia berjalan, maka apalah gunanya saya menganggap ia sebagai 'seorang anak'.

Maka maafkan saya jika ada yang masih tertanya-tanya mengapa saya tetap 'sibuk' dengan hal-hal Jalsah. Bukan saya ingin menyibuk, masuk campur atau merasa sayalah yang paling layak untuk memberikan arahan tetapi saya hanya prihatin dan merasa bertangunggjawab untuk membetulkan apa yang saya rasa tidak sepatutnya berlaku.

Hmmm..rasanya cukuplah setakat ini saya meluahkan isi hati saya tentang Jalsah. Ini kerana semakin banyak saya berbicara mengenainya, saya bimbang ia bakal membuat luka lama berdarah kembali.

Ketahuilah, penulisan ini BUKAN bertujuan untuk mencanangkan pada dunia betapa hebatnya saya sebagai seorang setiausaha dan mantan setiausaha tetapi lebih kepada luahan rasa kepada sesuatu yang AMAT SAYA SAYANGI DAN HARGAI.

Akhir sekali, SATU AMANAH DAN TANGUNGGJAWAB ITU BOLEH MENJADI BEGITU INDAH BILA ANDA MELAKSANAKANNYA DENGAN PENUH KASIH SAYANG DAN KECINTAAN.

Sekian, Wassalam.

17 September, 2010

Oleh Sakinah Saptu

Arus pemodenan yang melanda dunia tidak pernah menghalang masyarakat Muslim dari terus-terusan mencari pakar ilmu ghaib (ahli sihir) yang mereka yakini dapat menyelesaikan segala permasalahan dan keinginan mereka. Kadangkala bila diperhatikan, menjadi sesuatu yang tidak masuk dek akal bila ada di kalangan masyarakat Islam menyerahkan kebanyakan urusan seperti demam dan selsema hinggalah ke urusan mencari jodoh dan masalah rumahtangga kepada bomoh dan dukun.


Dewasa ini, khidmat para bomoh, dukun dan mereka yang senama dengannya pula sudah setanding dengan peredaran zaman bila mana mereka menggunakan perkhidmatan internet untuk mengiklankan perkhidmatan mereka, menyenaraikan jampi-serapah dan mempromosikan bahan-bahan sihir mereka yang disertai dengan jaminan dari mereka akan keberkesanan dan kemujarabannya. Kejayaan mereka menguasai arus pemodenan ini merupakan satu gerbang yang mendekatkan masyarakat Muslim pada dunia mistik serba khurafat dan syirik. Pendek kata, tidak ada apa yang mustahil untuk mendapatkan apa jua khidmat dan bahan sihir kerana semuanya kini berada di hujung jari.

Dalam hal ini, Zaenal Abidin Syamsudin menyatakan dalam bukunya berjudul Membongkar Dunia Kelinik Dan Perdukunan Berkedok Karamah bahawa:

Di antara hal yang perlu diwaspadai adalah bahawa para tukang sihir mempermainkan akidah ummat Islam di mana mereka menampakkan diri seakan-akan sebagai tabib, ahli hikmah, ustaz atau kiyai. Sehingga mereka menyesatkan kaum Muslimin yang sedang sakit agar menyembelih kambing atau ayam dengan ciri-ciri tertentu yang ditujukan kepada jin.[2]

Perihal berjumpa bomoh dan mendapatkan khidmat mereka sebenarnya sudah disentuh dalam al-Quran dan oleh Nabi Muhammad s.a.w sejak dahulu lagi. Dalam al-Quran, Allah s.w.t mengingatkan dalam firman-Nya:

[3]ألم تر إلى الذين أوتوا نصيبا من الكتاب يؤمنون بالجبت والطاغوت


Maksudnya: Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang diberi bahagian dari al-kitab? Mereka percaya kepada jibt dan taghut (51)

Dalam kitab Tafsir al-Quran al-‘Azim menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan al-Jibt dalam ayat di atas ialah al-Sihr (sihir), al-Kahin (dukun) dan kalimah yang terdapat pada berhala, dukun dan tukang sihir. Manakala al-Taghut bermaksud syaitan.[4]

Sesungguhnya baginda juga telah menyatakan larangan dari mendatangi dan berjumpa bomoh sebagaimana yang boleh diteliti dalam sabda-sabda baginda berikut:

عن معاوية بن الحكم السلمى قال قلت يا رسول الله أمورا كنا نصنعها فى الجاهلية كنا نأتى الكهان. قال : فلا تأتوا الكهان



Maksudnya: Daripada Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulamiyy, beliau telah berkata: Aku berkata: Wahai Rasulullah ada beberapa perkara yang telah kami lakukan semasa Jahiliyyah, sesungguhnya kami berjumpa bomoh. Lalu baginda bersabda: “Janganlah kalian berjumpa bomoh”… [5]

عن بعض أزواج النبى -صلى الله عليه وسلم- عن النبى -صلى الله عليه وسلم- قال : من أتى عرافا فسأله عن شىء لم تقبل له صلاة أربعين ليلة


Maksudnya: Daripada sebahagian isteri-isteri Nabi s.a.w. Daripada Nabi s.a.w, baginda telah bersabda: “Sesiapa yang berjumpa tukang ramal dan bertanya padanya tentang sesuatu, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam”. [6]

عن أبي هريرة والحسن عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : من أتى كاهنا أو عرافا فصدقه بما يقول فقد كفر بما أنزل على محمد صلى الله عليه و سلم

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah dan al-Hasan. Daripada Nabi s.a.w, baginda telah bersabda: “Siapa yang mendatangi tukang ramal atau dukun[7] kemudian membenarkan apa yang dikatakan olehnya, maka sesungguhnya orang itu telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w”.[8]


Menerusi daripada hadith-hadith tersebut, jelas kepada kita bahawa hukum berjumpa dan mendapatkan khidmat bomoh terbahagi kepada dua:

(1) Jika seseorang itu berjumpa dengan bomoh, dukun atau yang seumpama dengannya lalu bertanyakan sesuatu kepadanya tetapi tidak mempercayainya, maka solatnya tidak diterima selama empat puluh malam.

(2) Manakala jika dia mempercayainya, maka dia telah kafir dan terlepas dari agama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.


___________________________________________

[2] Zaenal Abidin Syamsudin, Membongkar Dunia Klenik dan Perdukunan Berkedok Karomah, Pustaka Imam Abu Hanifah, Jakarta, 2008, hlm 86.
[3] al-Quran, al-Nisa’ 4:51.
[4] Ibn Kathir, Jil. 2, hlm 334. [Dipetik dengan pengubahsuaian oleh penulis]
[5] H.R Muslim dalam Kitab Sahihnya; Kitab al-Salam, Bab Tahrim al-Kahanah wa Ityan al-Kuhhan, No. 5949 & Kitab al-Masajid, Bab Tahrim al-Kalam fi al-Solah, No. 1227 dengan penambahan pada lafaz hadithnya sebagaimana berikut:

قلت ومنا رجال يخطون. قال « كان نبى من الأنبياء يخط فمن وافق خطه فذاك ». قال قلت جارية لى كانت ترعى غنيمات قبل أحد والجوانية إذ اطلعت عليها إطلاعة فإذا الذئب قد ذهب بشاة منها وأنا من بنى آدم آسف كما يأسفون لكنى صككتها صكة فعظم ذاك على رسول الله -صلى الله عليه وسلم- فقلت أفلا أعتقها قال « ائتنى بها ». قال فجئته بها فقال « أين الله ». قالت فى السماء. قال « من أنا ». قالت أنت رسول الله. قال « أعتقها فإنها مؤمنة ».

Takhrij Kutub al-Arba’ah: H.R Abu Daud dalam kitab Sunannya; Kitab al-Solah, Bab Tasymit al-‘Atis fi al-Solah, No. 931 & al-Nasa’i dalam kitab Sunannya; Kitab al-Solah, Bab al-Kalam fi al-Solah, No. 1218.
Hukum Hadith: Dinilai Sahih oleh al-Albani dalam kitabnya Sahih Abi Daud, No. 930 dan Sahih al-Nasa’i, No. 1217.
[6] Ibid., No. 5957.
[7] Al-Kahin ialah orang yang meramal apa yang akan terjadi, mengaku mengetahui rahsia-rahsia (perkara ghaib) dan menguasai ilmu ghaib. Al-'Arraf ialah orang yang mengaku mengetahui dengan kefahaman (keistimewaan) yang diberikan kepadanya. Mereka mengaku mengetahui banyak perkara menggunakan sebab (alamat-alamat) yang menunjukkan kepada berlakunya sesuatu. Contohnya ada barang yang dicuri, dia tunjukkan siapa yang mencurinya. (al-Baghawi, al-Husain bin Mas’ud, Syarh al-Sunnah, al-Maktab al-Islamiyy, Beirut, 1983, Jil. 12, hlm 182)



Menurut al-Hilali, termasuk perkara yang diharamkan ialah meramal dengan melempar batu, ilmu astrologi (ilmu perbintangan), ilmu ramal dengan melihat garis tangan, meramal dengan nombor, meramal dengan melihat air di mangkuk dan sebagainya semua ini termasuk praktik perdukunan. (al-Hilali, Salim bin Ied, Ensiklopedi Larangan Menurut al-Quran & al-Sunnah, Terj: Abu Ihsan al-Atsari, Pustaka Imam Asy-Syafi’I, Jakarta, 2008, Jil. 1, hlm 102.)


[8] H.R Ahmad bin Hanbal dalam kitab Musnadnya, Musnad al-Mukthirina min al-Sahabah, Musnad Abi Hurairah r.a, No. 9532.
Hukum Hadith: al-Haithami dalam kitab Majma’ al-Zawaid, No. 5/121: periwayat hadith ini adalah thiqah. Manakala Ibn Baz dalam kitab Majmu’ al-Fatawa ibn Baz pula mengatakan: sanad hadithnya sahih, No. 9/421.

09 September, 2010


24 August, 2010

Bila anda belajar, pastikan anda betul-betul belajar.

Menjiwai & memahami apa yang anda pelajari adalah penting.


Ilmu bukan setakat diperolehi dalam buku teks dan nota kuliah. Jika anda hanya berpada dengan kedua itu, itu bukan belajar namanya. Itu hanya belajar untuk peperiksaan.

Jika anda boleh bersengkang mata membaca sebuah novel yang tebal, mengapa anda beralasan untuk membaca sebuah kitab yang boleh menyelesaikan masalah ummat?


Adakah kerana kita TERLALU SIBUK?
Sibuk dengan HIBURAN dan sibuk dengan MELAYAN PERASAAN?

FIKIRKANLAH....

UNTUK DIRI SAYA DAN JUGA ANDA
[TERUTAMANYA PELAJAR PENGAJIAN ISLAM]

21 August, 2010

Dia Istimewa

Dia istimewa kerana dia Suami saya...

Terharu mengenangkan kebaikannya menjaga dan menyara hidup saya. Saya melihat sekeliling saya dan memegang kerusi empuk yang saya duduk lalu bertanya pada diri:
"Mungkinkah saya merasai semua ini tanpa sokongan, galakan dan dorongan dari dia?"



Saat melihat atau mendengar orang lain yang bergelar isteri pulang setiap minggu dalam keadaan letih dan sendirian sama ada dengan menaiki bas atau memandu kereta semata-mata untuk bertemu suami mereka, saya berkata lagi dalam hati:

"Alangkah bertuahnya saya kerana suami saya tidak mengizinkan saya melakukan itu malah dia yang datang sebulan sekali ke sini untuk bertemu saya. Memandu jauh dari Kota Singa ke bumi UKM. Itu bukan satu pengorbanan yang kecil"

Sebelum dia kembali ke kota Singa dia akan memastikan segala keperluan saya tersedia seperti makanan, ubat-ubatan, buku-buku dan peralatan lain yang saya perlukan. Kerana seperti kebiasaannya saya tidak diizinkan keluar dari kawasan UKM melainkan ada perkara yang benar-benar penting.

Sungguh...dia teramat baik pada saya walau saya tidak menafikan kadangkala kata-katanya amat pedas untuk saya terima. Kerana dialah pengkritik dan penasihat saya yang paling jujur, paling hebat dan paling berani. Dari kritikan dan nasihatnya itu saya banyak belajar walau pada mulanya ada airmata yang menemani. Saya faham, semua itu adalah untuk kebaikan saya dan dia mahu saya menjadi seorang isteri yang takut pada penciptanya dan menggigit sunnah Rasulnya. Dia mahu saya menjadi isteri yang tidak cengeng dan lemah, tidak mengalah dengan ujian dan seorang isteri yang belajar agama dengan tekun seterusnya mempraktikkan dan mengajarkan ilmunya.

SAYA FAHAM SEMUANYA ADALAH UNTUK KEBAIKAN SAYA DUNIA DAN AKHIRAT.

Justeru itu, dia ISTIMEWA ... TERAMAT ISTIMEWA... =)

Saya rindukan dia....

19 August, 2010

Bismillah

Pada malam ini saya ingin berbicara.

TENTANG DIRI SAYA DAN JUGA ANDA =)



Ada tangis yang berlagu. Tapi saya berusaha menyimpan kemas jauh di sudut hati saya. Tidak mahu melepaskan tangisan itu, bukan kerana ego tetapi mungkin masanya belum sesuai. Atau mungkin, saya sudah letih untuk melepaskan tangisan di atas sebab yang sama.

Saya tidak mahu menjadi manusia lemah semangat. Ingin terus kuat walau dalam apa jua keadaan. Kadang-kadang, jika ikutkan kata hati, ingin sahaja saya menangis semahunya. Tapi, orang kata, ikutkan hati, kita akan mati. Lalu saya memilih untuk ikut kata IMAN-Sabarlah wahai diri. Kerana itulah jua yang pernah suami saya pesan. Katanya: "Bila berfikir, fikirlah dengan IMAN"

Badan saya memang tidak kuat. Atas sebab itu, suami saya banyak meninggalkan kepada saya pelbagai macam ubat dan pelbagai macam makanan tambahan agar hari-hari saya dibantu dengan semua itu. Apapun yang penting, itu bukan penghalang untuk saya terus bersemangat melalui kehidupan sebagai seorang pelajar dan pembimbing kepada pelajar-pelajar, adik-adik dan rakan-rakan. Saya selalu percaya, bila kita kuat, kita akan menguatkan orang lain. Maka itulah pentingnya keberadaan kita di sisi orang lain.

Keadaan saya yang begini, bukan baru. Seingat saya semasa pengajian saya di peringkat pra siswazah lebih teruk dari ini. Dalam banyak keadaan, saya terpaksa menghafal dan mengulangkaji pelajaran dalam keadaan berbaring dan dengan deraian air mata. Tapi sekali lagi ingin saya tegaskan itu bukan penghalang untuk kita mencapai kejayaan. Bila kita merasakan itu penghalang, kita sebenarnya hanya mencipta alasan untuk tidak memiliki takhta kecemerlangan setanding dengan orang lain.

Ketahuilah, semua orang menghadapi masalah yang pelbagai. Saya dengan masalah saya dan anda dengan masalah anda. Tetapi usah menjadikan masalah itu sebagai batu penghalang untuk anda dari menuntut ilmu dengan sebaik-baiknya.

Ilmu itulah sebenarnya yang menguatkan anda untuk terus teguh menghadapi ujian yang Allah s.w.t hadiahkan. Namun jika anda hanya ada ilmu, tanpa penghayatan dan pemahaman yang jelas, maka tentu sahaja anda tidak merasakan apa-apa. Anda akan merasa hidup anda KOSONG. KESUSAHAN dan UJIAN yang anda lalui itu hanya menyusahkan hidup anda. Anda akan menjadi manusia cengeng yang hanya merintih dengan nasib diri anda yang anda rasakan amat malang. Padahal jika anda faham, ujian itu sebenarnya amat bermakna untuk sebuah kehidupan.

Bermakna yang bagaimana? =)

Saya tidak mahu menjawab soalan itu. Saya serahkan kepada anda untuk memikirkannya.

Bacalah al-Quran dan tafsirnya.
Bacalah Hadith Nabi s.a.w yang sahih serta fahamkannya.

Maka saya yakin, anda akan menemui jawapannnya.

Sebelum saya akhiri, saya ingin tinggalkan anda dengan persoalan ini:

"Jika para Anbiya' yang sememangnya ma'sum dan dijanjikan syurga tidak terlepas dari menghadapi pelbagai jerih-perih kehidupan yang mencengkam jiwa dan raga, lalu atas alasan apakah Allah s.w.t akan meninggalkan anda dari tidak dihadiahi dengan ujian dan kesusahan? Sedangkan Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? [al-Quran, al-Ankabut:2]"

Lalu, saya ingin menasihati diri saya dan jua diri anda yang membaca:

Yakinlah, apa jua yang ALLAH S.W.T takdirkan untuk diri kita itu, bukanlah dengan saja-saja.Pastinya ada sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Akhir sekali, Senyum itu indah walau hati berkalang gundah.

Wallahu'alam =)

10 August, 2010

Bismillah

Salam Ramadhan buat semua pengunjung setia blog umairah-sh.



Tiada banyak yang ingin saya bicarakan pada malam ini lantaran kondisi kesihatan yang tidak berapa baik. Mohon doa dari semuanya untuk kesihatan saya.

Kemungkinan tiada banyak yang dapat saya kongsikan dengan semua pada bulan ini dek kerana dibelenggu dengan amanah yang belum lagi sampai ke penghujungnya. Kemungkinan juga saya perlu berehat seketika sekali lagi dari menulis melainkan jika di sana terdapat perkara-perkara yang saya rasa amat perlu untuk dibicarakan, diluahkan dan dikongsikan bersama.

Apapun saya rindu Ramadhan di tanah air sendiri berbanding di bumi singgahan ilmu ini. Pasti yang belum pernah memijak Kota Singa di bulan Ramadhan berasa pelik dengan kenyataan saya, tapi percayalah Kota Singa tidak pernah sunyi dengan pesta ibadahnya walau kami adalah minoriti Muslim dan bukan sebuah negara Islam. Justeru, ada kerinduan yang menggamit jauh di sudut hati...

Pada mereka yang menantikan dan sering tertanya-tanya tentang kepulangan saya ke kota Singa. Insya Allah, saya akan kembali berada di kota itu pada 4 malam terakhir Ramadhan. Tentu indah rasanya dapat merasai detik-detik akhir Ramadhan di bumi sendiri :)

Akhir sekali, semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya dan menjadi medan untuk kita sama-sama mentarbiyah diri menjadi hamba Allah penuh taqwa.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan atas kaum sebelum kalian, agar kalian bertaqwa”.
(Al Baqarah: 183)

01 August, 2010

Terima kasih guru
bicaramu menghalau pilu yang hadir
nasihatmu menghadirkan semangat yang kian meminggir
kini ada senyum terukir di bibir.

Katamu:
"Jangan ada sedih, sahutlah cabaran itu, selesaikan ia,janji pada saya!"
Sebak di dada memang tak dapat ku tahan
Airmata mengalir tanpa paksaan
Katamu lagi:
"Menangis hari ini adalah lebih baik dari kamu menangis di kemudian hari"
Lalu bersama tangisan itu, ku ucap:
"Janji"

Telah ku lafaz kata janji,
Pergilah wahai duka, berbahagialah wahai hati.

Kini segalanya bermula
bagi menunaikan janji yang terpatri.

Terima Kasih Guru.




** Catatan ringkas Nasihat dan Wasiat untuk Para Penuntut Ilmu:

Seorang penuntut ilmu wajib menghormati ustaz (gurunya) yang telah mengajarnya, wajib beradab dengan adab yang mulia, juga harus berterima kasih kepada guru yang telah mengajarkan ilmu yang bermanfaat kepadanya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Tidak termasuk golongan kami, orang yang tidak menghormati yang lebih tua, tidak menyayangi yang lebih muda dan tidak mengetahui hak seorang ulama"[H.R Ahmad dan al-Hakim. Dihukum Hasan dalam kitab Sahih al-Jami', No: 5443]

Syaikh al-Allamah Abdurrahman bin Nasir al-Sa'di rahimahullah berkata:

"Seorang penuntut ilmu harus memperbaiki adabnya terhadap seorang gurunya, memuji Allah yang telah memudahkan baginya dengan memberikan kepadanya orang yang mengajarkannya dari kebodohan, menghidupkannnya dari kematian (hati) nya, membangunkannya dari tidurnya, serta mempergunakan setiap kesempatan untuk menimba ilmu darinya. Hendaklah dia memperbanyakkan do'a bagi gurunya, baik ketika ada mahupun ketika tidak ada. Kerana Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

"Siapa telah berbuat kebaikan kepadamu, maka balaslah kebaikannya itu. Jika engkau tidak mendapati apa yang dapat membalas kebaikannya itu, maka berdo'alah untuknya hingga engkau menganggap bahawa engkau benar-benar telah membalas kebaikannya"[H.R Abu Daud dan dihukum sahih dalam kitab Sahih Abi Daud, No 1672]

Adakah kebaikan yang lebih agung daripada kebaikan ilmu? Padahal, setiap kebaikan itu akan terputus kecuali kebaikan ilmu, nasihat dan bimbingan.
(Dipetik dari buku bertajuk: 'Menuntut Ilmu Jalan Menuju Syurga' oleh Yazid Abd Qadir Jawas, hlm 268-269)

30 July, 2010

"Tangisanku hanya berlagu di hati
Mengenang akan hadirnya rindu
Tatkala esok akan bermula musim sepiku
Aku terpaksa walau hati tidak rela
Maka terjawab satu persoalan
Adakah kita akan berpisah?
Ya, senandung hiba mula berirama
Tika esok kita berpisah"




Dari Ibn Mas’ud r.a dia berkata: Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Siapa yang mengalami kesusahan atau kesedihan, hendaklah dia berdoa dengan mengucapkan kalimah-kalimah berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ابْنُ عَبْدِكَ ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَداً مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ القُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي، وَنُورَ بَصَرِي، وَجِلاَءَ حُزْنِي، وَذَهَابَ هَمِّي

Maksudnya: “Ya Allah, aku adalah hamba-Mu, anak hamba lelaki dan hamba perempuan-Mu, diriku berada di dalam genggaman-Mu, jiwaku berada di tangan-Mu, hukum-Mu berlaku pada diriku, keadilan keputusan-Mu berlaku terhadap diriku, aku memohon kepada-Mu dengan menyebut semua Asma’-Mu yang Engkau namakan diri-Mu dengannya atau Engkau turunkan dalam kitab-Mu atau Engkau mengajarkannya kepada seorang di antara makhluk-Mu atau Engkau memeliharanya di dalam ilmu ghaib di sisi-Mu. Jadikanlah al-Quran sebagai cahaya dadaku, kebahagiaan hatiku, penghapus kesedihanku dan pelenyap kesusahanku”

Maka, seorang dari satu kaum berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang-orang yang rugi adalah orang yang tidak membaca doa tersebut.” Nabi s.a.w menjawab: “Benar, kerana itu perlu kepada mereka yang mendengarnya mengajarkannya (kepada orang lain)” (H.R Ibn Hibban dan hadith ini dihukum sahih dalam kitab Sahih al-Targhib, No. 1822)

26 July, 2010

TANGKAL

Bismillah

Alhamdulillah, selepas menanti akhirnya Allah s.w.t mentakdirkan saya sekali lagi berada di bawah bumbung Kolej Ungku Omar. Lalu pada pagi Jumaat yang lepas saya mendaftarkan nama sebagai penghuni kolejnya untuk kali ke 10. Setelah mendapatkan kunci bilik, saya bergegas ke blok yang diberikan kepada saya. Bloknya tidak lah jauh dari kafe dan ianya terletak betul-betul di tengah-tengah kolej. Dengan lafaz bismillah, saya melangkahkan kaki masuk ke bilik yang agak suram dan tidak bermaya. Saya memerhatikan suasana sekelilingnya. Tingkapnya pecah, pintu almarinya satu hilang dan papan kenyataannya sudah berpisah dari tembok. Habuknya pula, tak perlu cakap. Memang jelas ketebalannya. Saya melepaskan lafaz berat, lalu berkata dalam hati: “Nak buat macam mana? Bersyukurlah. Yang penting dapat bilik!”. Seterusnya saya ingin bergegas keluar dari bilik kerana ingin menghadiri sebuah mesyuarat yang sedang berjalan pada waktu itu. Tetapi tiba-tiba saya terpaku melihat kertas yang tertampal di belakang pintu bilik saya. Saya agak kaget bila melihatnya. Kemudian saya amatinya dengan betul dan saya baca satu demi satu tulisan bahasa Arab itu. Saya mengerutkan dahi, lalu berkata dalam hati: “hmmm..tangkal!! Aduii, kenapa pula dengan bilik ni?”

Pada waktu itu, saya malas hendak memikirkan lebih lanjut mengenai tangkal itu. Bagi saya, mungkin penghuninya dahulu jenis yang penakut dan lemah semangat ataupun mungkin dia sering diganggu oleh makhluk halus. Justeru, saya tidak kuasa untuk mengambil tahu tentang hal itu. Namun, kekagetan saya timbul lagi tatkala saya melihat satu lagi ayat ‘tangkal’ tapi kali ini bukan di bilik saya. Kali ini, ianya terletak di papan notis dalam blok. Timbul di benak saya satu persoalan: “Kenapa pula dengan blok ini? Berhantu ke?” Apapun, persoalan itu saya kira bukanlah satu perkara penting untuk saya jawab dan bicarakan di ruangan ini. Sebenarnya saya terpanggil untuk bersuara apabila saya melihat logo Gabungan Mahasiswa GMUKM beserta dengan laman blognya tertera di hujung kertas itu. Dengan sebaris tulisan berbunyi: “Tampal di empat penjuru rumah”.



Lalu tangan saya tidak teragak-agak untuk menanggalkan kertas itu dari papan notis lantaran saya melihat bahayanya kertas itu terhadap akidah seorang Muslim. Lebih-lebih lagi saya risaukan ialah apabila penghuni blok itu berasa ‘selamat’ dengan adanya tampalan ayat-ayat ini di papan notis di dalam blok. Maka di situ, boleh sahaja menyebabkan berpindahnya rasa kebergantungan mereka kepada selain Allah s.w.t lantaran penghuni bloknya lebih mengharapkan kuasa sekeping kertas sebagai pelindung dari mengharap dan memohon perlindungan Allah s.w.t.

Sebenarnya tidak menjadi satu masalah besar jika kita menyediakan risalah kepada mahasiswa/siswi tentang doa-doa pendiding menurut al-Quran dan al-Hadith yang sahih sebagai panduan untuk dibaca dan diamalkan oleh rakan-rakan di kampus. Tetapi yang menjadi permasalahannya ialah apabila kita memberikan panduan yang tidak diajar oleh Nabi s.a.w dan menyatakan di dalam kertas itu: “Tampal di empat penjuru rumah”. Ini kerana kenyataan itu sekaligus mengangkat tulisan ayat suci al-Quran tersebut menjadi tangkal dan tentu sahaja bagi pihak-pihak yang tidak mengetahui tentang hukum menggantung dan menampal tangkal akan melakukan sebagaimana yang disarankan dalam kertas tersebut. Ketahuilah, sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “Siapa yang menggantung tangkal, maka dia telah melakukan kesyirikan” [H.R Ahmad bin Hanbal dalam kitab Musnadnya, No 17458. Hukum hadith: Sahih dalam kitab al-Silsilah al-Sahihah, No 492]

TANGKAL?

Mungkin ada yang kurang pasti berkenaan dengan tangkal. Maka perlu untuk saya jelaskan bahawa tangkal itu ialah sesuatu yang dikalungkan di leher atau bahagian dari tubuh seseorang dengan tujuan mendatangkan manfaat atau menolak mudarat sama ada kandungan tangkal itu adalah al-Quran, benang, kulit, kerikil dan seumpama dengannya. Dan tidak semestinya pula tangkal itu digantung di leher atau bahagian tubuh badan tetapi apa jua yang ditampal, disangkut dan diletak di sesuatu tempat seperti beg tangan, kocek, pintu, penjuru rumah, tingkap dan sebagainya dengan tujuan untuk mendinding diri atau ‘memagar’ sesuatu tempat tersebut, maka itu juga dikategorikan sebagai tangkal.

Tangkal terbahagi kepada dua jenis:

PERTAMA: TANGKAL YANG TIDAK BERSUMBERKAN AL-QURAN.

Ia dilarang oleh syariat Islam. Jika seseorang itu percaya bahawa tangkal itu adalah subjek atau faktor berpengaruh, maka ia dinyatakan musyrik dengan tingkat syirik besar. Tapi jika dia percaya bahawa tangkal hanya menyertai datangnya manfaat atau mudarat, maka dia dinyatakan telah melakukan syirik kecil. Contohnya dia masih percaya bahawa Allah s.w.t adalah punca keselamatan dan tangkal itu hanyalah ikhtiar. Maka dalam hal ini, dia telah melakukan syirik kecil.

Dari Ibn Mas’ud r.a beliau berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “ Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah adalah syirik”
[Hadith Sahih. Kitab al-Silsilah al-Sahihah No. 2972)

Maksud jampi dalam hadith di atas ialah jampi serapah yang tidak menurut al-Quran dan al-Sunnah yang sahih dan yang dimaksudkan dengan tiwalah pula ialah sesuatu yang digunakan oleh wanita untuk merebut cinta suaminya.

Perlu dinyatakan bahawa sesungguhnya tangkal diharamkan oleh syariat Islam kerana ia mengandung makna keterikatan hati dan tawakal kepada selain Allah s.w.t dan membuka pintu bagi masuknya kepercayaan-kepercayaan yang rosak tentang pelbagai hal yang ada. Akhirnya ia mampu menghantar kepada syirik yang besar.

KEDUA: TANGKAL YANG BERSUMBERKAN DARI AL-QURAN

Dalam hal ini, ulama berbeza pendapat, iaitu ada sebahagian membolehkan dan ada yang mengharamkannya. Namun, pendapat yang paling kuat ialah pendapat yang mengharamkannya. Ini kerana dalil yang mengharamkan tangkal sebagai perbuatan syirik tidak membezakan sama ada tangkal itu berasal dari al-Quran ataupun bukan dari al-Quran.

Maka dengan membolehkan tangkal dari al-Quran sebenarnya kita telah membuka peluang menyebarkan tangkal dari jenis pertama yang jelas-jelas haram. Maka sarana yang dapat menghantar kepada perbuatan haram mempunyai hukum haram yang sama dengan perbuatan haram itu sendiri. Ia juga menyebabkan tergantungnya hati kepadanya sehingga pelaku akan ditinggalkan oleh Allah s.w.t dan diserahkan kepada tangkal tersebut untuk menyelesaikan masalahnya. (Penjelasan dipetik dari Syarah Aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah oleh Yazid Abdul Qadir Jawas, hlm 299-301, dengan pengubahsuaian dan penambahan dari penulis)

Dengan itu, berdasarkan daripada penjelasan di atas, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa tidak seharusnya pihak Gabungan Mahasiswa UKM menyediakan kertas-kertas seperti ini kepada mahasiswa/siswi. Perlu untuk saya tegaskan bahawa perkara yang melibatkan akidah seperti ini seharusnya dirujuk dahulu kepada para agamawan yang thiqah. Saya faham bahawa GMUKM berniat baik untuk membantu rakan-rakan pelajar yang diselubungi ketakutan apabila menghadapi situasi-situasi getir seperti berlaku insiden pukau-memukau, serangan orang minyak dan sebagainya. Namun, pihak GMUKM juga perlu sedar bahawa sesuatu bantuan dan panduan yang ingin dihulurkan perlulah selaras dengan al-Quran dan al-Hadith yang sahih. Harapan saya, pihak GMUKM mengambil perhatian serius dalam perkara ini dan akan lebih berhati-hati dalam hal seumpama ini pada masa-masa akan datang.

Wallahu’alam.