30 November, 2009

Siri perjalanan yang saya namakan dengan ‘siiruu fil ardi fanzuru’ (berjalanlah di muka bumi dan lihatlah) pada kali ini terlakar kenangannya selama 9 hari di South Island, New Zealand. Kehadiran saya ke sana sememangnya tanpa sebarang persediaan awal dalam mengenali bumi itu lantaran terlalu sibuk dengan pengajian dan peperiksaan. Atas sebab itu, saya pergi ke sana tanpa gambaran sebenar bagaimanakah ia melainkan dengan mendengar cerita-cerita dari suami saya yang sering cuba untuk meyakinkan kepada saya dengan kata-katanya: “ Tempat ini best….tempat ini cantik. Ada itu..ada ini dan bla..bla..bla” =)

TIBA DI CHRISTCHURCH INTERNATIONAL AIRPORT

Maka pada hari yang telah dijadualkan, saya dan suami selamat tiba di Christchurch International Airport pada 14 November 2009 setelah 10 jam berada di dalam kapal terbang Singapore Airlines. Sungguh, saya amat tidak selesa berada di tempat duduk pada waktu yang selama itu. Mengiring ke kanan salah dan mengiring ke kiri pun salah. Semuanya serba tidak kena. Akibatnya saya tidak dapat tidur yang menyebabkan kepala saya pening sejurus selepas turun dari kapal terbang dan apa yang saya inginkan pada waktu itu ialah cepat-cepat ke hotel agar dapat melelapkan mata walaupun hanya seketika.



MASJID AL-NUR LAMBANG KEWUJUDAN MUSLIM DI SOUTH ISLAND, NEW ZEALAND

Kemudian setelah berehat bebepa jam di Millennium Hotel, Christchurh, tempat pertama yang kami kunjungi ialah Masjid al-Nur. Masjid al-Nur atau dikenali juga sebagai Muslim Association of Canterbury terletak berhadapan dengan Hagley Park di Riccarton merupakan satu-satunya masjid yang terdapat di bandar tersebut. Ianya tidaklah sebesar mana. Hanya sederhana besar. Apapun besar atau kecil bukanlah utama bagi saya. Yang penting, wujudnya masjid di situ. Ini kerana keberadaannya di situ, sudah cukup membuatkan hati saya lega. Lega kerana adanya saudara seislam ketika sedang berada jauh di atas bumi yang sekitarnya lebih meriah dengan manusia-manusia yang tidak bertuhankan Allah yang Esa.





Kunjungan kami di sana sentiasa mendapat sapaan mesra dari para jemaah yang rata-ratanya terdiri di kalangan orang Afrika dan Arab. Dari pemerhatian saya, mereka menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa perbualan. Malah melihat pada buku-buku yang terdapat di rak-rak masjid dan pameran bukunya di pintu utama masjid, kesemuanya adalah kitab-kitab dalam bahasa Arab. Namun begitu, saya tidak menafikan bahawa adanya orang Melayu atau pun mungkin orang Indonesia yang bergiat aktif di masjid tersebut. Ini kerana semasa membelek-belek buku-buku di dewan solat Muslimahnya yang tidak sebesar mana itu, saya terjumpa sebuah buku dalam bahasa Melayu yang tajuk utamanya ialah ‘Panduan Berdakwah’. Bukan itu sahaja, malah saya terjumpa kitab dalam bahasa jawi yang bertajuk ‘Hadith Empat Puluh’. Semua itu menguatkan andaian saya bahawa jemaah di Masjid al-Nur itu juga tidak lekang dari dikunjungi Muslim berbangsa Melayu.




Melayu Malaysia lebih dikenali di sana. Saya masih ingat lagi ketika pertama kali melihat kami di tempat meletak kereta, seorang jemaah berbangsa Afrika bernama Yasin dan rakannya (mungkin bapanya) bertanya adakah kami daripada Malaysia. Bila kami memberitahu bahawa kami merupakan warga Singapura, terdapat kejutan yang amat sangat di wajah mereka berdua. Sebenarnya mereka baru mengetahui bahawa ada Muslim di Singapura. Suami saya menerangkan kepada mereka bahawa di Singapura terdapat ramai Muslim dan banyak Masjid yang mana masjidnya sentiasa aktif dan penuh dengan pelbagai program. Mereka berdua mengangguk-anggukan kepala sambil tersenyum gembira mendengarkan penjelasan itu. Saya juga tersenyum. Lalu saya berkata dalam hati, rupanya, masih ada lagi orang yang tidak tahu kewujudan Islam dan Muslim di Singapura. Sekurang-kurangnya kehadiran kami di Masjid itu untuk bersolat Maghrib dan mengenali masjid di Christchurch, boleh dianggap sebagai duta kecil dari Singapura dalam memaklumkan kepada mereka bahawa wujudnya Islam di Singapura.

8 MALAM BAGAIKAN 6 PETANG

Seterusnya kami cuba mencari kedai makanan halal yang kami perolehi maklumat ‘kehalalannya’ melalui internet untuk mengisi perut yang lapar. Namun pencarian kami agak hampa kerana kedai makanan halal yang kami kunjungi semuanya sudah tutup dan jika ada yang buka pun, saya jadi tidak selera lantaran botol-botol wine tersusun cantik di depan kedai makanan tersebut. Untuk berjalan-jalan di sekitar bandar Christchurch pula tiada gunanya kerana menjadi kebiasaan kehidupan di sana bahawa jam 5.30 atau 6.00 petang adalah waktu untuk berehat dari melaksanakan sebarang urus niaga. Maka peluang kami untuk mencuci mata di bandar itu sememangnya tiada kerana sewaktu kami keluar dari masjid, jam sudah menunjukkan ke angka 9 malam. Untuk pengetahuan, waktu maghrib di sana adalah jam lapan lebih malam dan suasana jam lapan malam itu seperti jam 6 petang di sini. Terang dan masih cerah sehingga tak terasa bahawa siang sedang merangkak ke waktu malam sebenarnya.

Malam di sana tidaklah semeriah malam-malam di kota Singa yang tidak pernah mengenal erti rehat dari sebarang pekerjaan dan hiruk-pikuk bandar. Suasananya tenang dan sepi. Kebanyakan rumah-rumahnya gelap tiada cahaya lampu sehingga membuatkan saya tertanya-tanya mana perginya kebanyakan penduduknya. Mungkinkah sudah dibuai lena walau malam masih terlalu muda? Dan akhirnya, hari pertama di Christchurch, New Zealand hanya terlakar kenangannya di Masjid al-Nur.

HARI KEDUA BERMULA EPISOD MENJELAJAH

Pada keesokan harinya kami mengunjungi Sunday Market yang terletak di Riccarton Park, Christchurch. Ia dikenali sebagai New Zealand’s Largest outdoor market yang mempunyai lebih dari 300 buah gerai. Di situ, barang-barang dijual dengan harga yang rendah. Seronok berkunjung dari satu gerai ke satu gerai melihat pelbagai barangan seperti peralatan rumah, pakaian dan aksesori perhiasan. Kebanyakannya cantik-cantik dan ada juga yang pelik-pelik =) Sayur-sayuran , buah-buahan dan bahan makanan mentah juga turut dijual di situ.





NANDO'S = ALWAYS HALAL

Seterusnya kami menuju ke Rumah Temasek untuk makan tengah hari. Tapi sayangnya, kunjungan kami ke sana hanya dapat melihat kedainya yang sudah tidak beroperasi lagi.



Lalu dengan rasa hampa kami cuba pula mencari kedai makanan Nando’s. Setibanya di sana, saya amat gembira kerana itulah satu-satunya kedai makanan halal yang berjaya kami temui. Melihat kata-kata ‘Always halal’ di kaca kedainya suami saya terus berkata: “Nasib baik ada”. Alhamdulillah, lega rasanya. Maklumlah hari sudah agak petang pada waktu itu dan saya pun susah terlalu lapar. Untuk pulang semula ke hotel dan memasak, tentu sahaja ianya mengambil masa yang sememangnya suntuk bagi kami kerana selepas itu kami bercadang untuk mengunjungi The Christchurch Gondola.(Sebab New Zealand bukanlah seperti Singapura, kalau lambat-lambat nanti pukul 5.30 petang semua tempat tutup. Jadi, kami perlu cepat untuk mengejar masa).





THE CHRISTCHURCH GONDOLA

Kunjungan kami ke The Christchurch Gondola amat menyeronokkan saya. Dengan menaiki gondola kami tiba di puncak gunung Cavendish. Daripada puncak gunung itu, kami dapat melihat Lyttelton harbour dan kawasan sekitarnya dengan berlatarbelakang Lautan Pasifik. Begitu juga dapat melihat keindahan Southern Alps, Mount Hut dan Pegasus Bay, Lake Ellesmere dan Banks Peninsula. Pemandangannya memang cukup indah. Sukar untuk saya menerangkan keindahan itu.










Dari atas gunung itu, saya melihat keindahan ciptaan Allah yang luas terbentang di hadapan mata.

Berpayungkan langitnya yang biru. Berhamparankan buminya yang menghijau.

Menghirup udara segarnya. Merasa kesejukan tiupan anginnya.

Damainya jiwa. Indahnya rasa.

Lalu terucap di dalam hati saya firman Allah s.w.t:





Maksudnya: Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, dan Allah Maha Perkasa atas segala sesuatu[189]Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal,[190](iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan Ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka[191](al-Quran, Ali Imran: 189-191)

Subhanallah!

"Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka"

*Sila ke pautan berikut untuk melihat gambar-gambar yang selebihnya pada hari pertama dan kedua saya di sana.

New Zealand - Hari Pertama
New Zealand - Hari Kedua

23 November, 2009

Salam kasih untuk semua setelah agak lama menghilang dari dunia maya.

Alhamdulillah, saya selamat tiba di Singapura pada jam 5 lebih petang semalam. Saya kembali menghirup udara kota Singa setelah 9 hari berada di Bumi New Zealand.

Subhanallah, sebuah perjalanan yang tak mungkin saya lupakan hingga ke akhir hayat.



Setiap kali saya memandang keindahan buminya, setiap kali itu juga terbayang di ruang mata saya ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tentang bumi, gunung, langit, malam dan juga siang dan setiap kali saya tersenyum dek terpesona dengan keindahan ciptaan Allah, setiap kali itu juga seakan ayat-ayat al-Quran itu dibacakan di
telinga saya, menusuk terus ke lubuk jiwa.



Subhanallah!

Perjalanan ini lebih menjadikan saya seorang hamba yang merasa diri benar-benar hamba dan merasa betapa maha Agungnya Allah s.w.t.

P/S: Insya Allah, saya akan menulis mengenai percutian saya selama 9 hari di bumi New Zealand agar sama-sama dapat merasa betapa hebatnya ciptaan Allah s.w.t.
Moga perkongsian itu nanti bukan setakat perkongsian sebuah percutian tetapi yang lebih utama ialah agar kita sama-sama dapat melihat dengan mata seterusnya tidak lupa untuk bertanya pada iman: "Bagaimanakah ia? Semakin meningkatkah? Atau sebaliknya?"

13 November, 2009

Assalamualaikum w.b.t

Kepada pengunjung setia blog umairah-sh, saya tiada di Singapura bermula dari 13-22 Nov 09. Sebarang pesanan boleh ditinggalkan di ruangan 'Salam Ukhwah' atau diemelkan ke alqamariah@yahoo.com

Sekian.

Wassalam.

06 November, 2009



Sebuah KEPUTUSAN.

Dalam banyak perkara, saya akui amat sukar untuk saya membuat keputusan.

Sama ada keputusan itu jawapannya - YA atau TIDAK, keduanya memberikan implikasi pada diri saya. Malah bukan diri saya seorang tetapi banyak pihak.

Saya tahu keputusan itu bakal mengundang gusar dan hiba di hati insan-insan yang mengenali saya, walaupun ianya bukanlah lagi sebuah keputusan yang muktamad. Bagi pihak saya, tentu sahaja perlu untuk mempertimbangkannya semula.

Sedih itu bakal ada pada mereka, terutamanya adik-adik saya sama ada yang sepengajian Master mahupun adik-adik di peringkat sarjanamuda di UKM. Begitu juga bagi segelintir pelajar yang pernah menduduki kelas tutorial Kajian Ulum al-Hadith saya dan sentiasa menghubungi saya untuk mendapatkan nasihat dan pandangan.

Saya yakin, KETIADAAN saya bakal dirasai oleh semua orang.

Rakan-rakan,
adik-adik,
pelajar-pelajar,
dan
PENSYARAH.

Cuma, saya tidak dapat menyatakan sebuah keputusan itu secara muktamad kerana saya sendiri masih menanti kepada keputusan lain di mana keputusan itulah yang bakal mencorak keputusan saya nanti.

Tiba-tiba ada sebak singgah di jiwa ini, bila saya teringat kata-kata:

"Kalau akak tak de, kami macam mana? Siapa nak ajar?"

"Kalau akak tak de, tak de orang nak dengar luahan saya..."

................... - [Tiada kata seindah bahasa untuk saya luahkan perasaan saya yang sebenarnya]

Hmmm...itu sahaja yang dapat saya coretkan pada malam ini.

Coretan pertama selepas berakhirnya peperiksaan yang 'terakhir'.

Insya Allah, kita jumpa lagi pada coretan yang lain...

Coretan dari kota Singa.


[Teringat kata-kata Dr Azwira tadi: "Lepas ni sambung PHD pula"] =)