07 October, 2009

Pada awalnya ketika diberitakan tentang kebakaran Masjid Kampong Siglap oleh teman saya, Fadiah, melalui Yahoo Messengger saya agak kurang percaya. Maklumlah, bimbang-bimbang ianya hanya sekadar khabar angin yang disampaikan dari mulut ke mulut. Lebih-lebih lagi dengan keadaan saya dan teman saya itu yang berada jauh dari kota singa. Sukar juga untuk saya memastikan kebenaran khabar yang disampaikan. Tetapi setelah ditunjukkan kepada saya berita ringkas dari laman web channelnewsasia.com, barulah saya meyakini berita itu. Saya membacanya tanpa mengelipkan mata.

Kerosakan teruk akibat kebakaran. Gambar ini telah dimuat turun oleh Kak Halimah melalui laman facebooknya.


Ya Allah..tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat terkaitnya ukhwah...

Teringat saya pada kata-kata saya dalam penulisan yang bertajuk 'Nikmat dan Rahmat':

"Itulah masjid yang memulakan pelbagai sejarah dalam hidup saya.

Di situlah saya memperolehi ilmu dan pengalaman. Dari seorang tutor biasa kepada seorang yang mengajar tahfiz secara sepenuh masa. Di situ juga saya belajar mengenal hati budi manusia, mengajar saya agar lebih banyak memuhasabahkan diri dan yang paling saya tidak dapat lupakan masjid itu jugalah tempat saya mengenali kekasih hati yang kini bergelar suami."


Ya Allah..sesaknya dada saya menerima berita itu sebenarnya. Sedih dan sayu. Malah tiada kata yang mampu terungkap untuk mengungkap sebuah perasaan.

Teringat juga kali terakhir saya duduk sendirian setelah selesai solat Hari Raya Aidilfitri yang lalu di dewan solat Muslimah. Saya melihat sekeliling dewan itu.

Ada rasa sayu menyelinap masuk ke dalam jiwa.

Ada segudang rindu yang tak mampu saya tolak menjadi tetamu.

Sayu kerana sudah lama tidak bertandang ke situ dan rindu kerana mengenang memori lalu bersama rakan-rakan sekerja, para pelajar Iqra' dan Tahsin al-Quran dan juga para pelajar Tahfiz al-Quran.

Seketika itu juga, terbayang di mata saya pelajar-pelajar Muslimah Tahfiz dengan uniform madrasah duduk di sana sini di dewan solat pada waktu petang. Di situ, mereka mengulang al-Quran dan membuat persediaan untuk mentasmi' hafalan pada kelas malamnya. Itulah suasana yang indah, sejuk dan mententeramkan jiwa....

Sungguh...airmata saya bergenang.

Setiap sudut ruang dewan solat Muslimah itu, adanya memori yang membuat rindu tidak segan silu bertandang.

Saya menundukkan wajah saya. Tak mampu rasanya menatap lebih jauh pada dewan solat itu.

Kemudian ada seseorang menyentuh lengan saya dengan sentuhan lembut. Saya mengangkat wajah. Merenung wajah seorang wanita yang sudah lama tidak bertemu. Saya ingat dia. Dialah satu-satunya pelajar di bawah program 'Tahsin al-Quran' yang berjaya mengkhatamkan al-Qurannya di hadapan saya. Setiap hari dia datang ke masjid dengan berjalan kaki semata-mata untuk memperdengarkan bacaannya.

Kami berjabat salam dan berpelukan. Lalu dia berkata:

"Dah lama saya tunggu nak jumpa ustazah. Saya tak pernah lupa ustazah"

Allahu akbar.... saya terus melepaskan tangisan yang saya tahan sedari tadi.

Dia juga mengalirkan airmata lalu memeluk saya untuk kedua kalinya dengan lebih erat.

Saya sendiri tak mampu katakan apa-apa melainkan ucapan "Terima Kasih".

Dia menghadiahkan senyuman dan anggukan lalu beredar membiarkan saya sendiri ditemani dengan tangisan rindu yang tiada bertepi.

Dewan solat Muslimah itulah yang menjadi saksi pada sebuah pertemuan yang seketika cuma tapi cukup bererti.

Ya Allah, kini Kau takdirkan dewan solat itu musnah dijilat api.

Dan diri ini sentiasa percaya, tentu sahaja ada hikmah di sebalik sebuah musibah.

Sesungguhnya Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

"Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu)" (al-Quran, As-Syuraa:30)

...........

0 Comments:

Post a Comment