26 October, 2009

20 October, 2009



Apabila saya membaca kembali penulisan saya bertajuk "Bila pelajar madrasah belajar tanpa penghayatan", saya teringat kata-kata Dr Azwira pada malam diskusi Hadith tempoh hari:

"Kalau tahu hukum-hakam, tahu adab dan tahu segalanya, tapi tak de TAQWA, pun tak le jadi"

Saya terkesan sungguh dengan kata-kata itu.

Begitu juga apabila suami saya banyak menceritakan kepada saya realiti kehidupan masyarakat Muslim yang kebanyakannya hanya Muslim pada namanya. Walau kadangkala sukar untuk akal saya menerima wujudnya Muslim yang sebegitu, tapi saya perlu akur..inilah realiti kehidupan.

Semua itu membuatkan saya insaf dan duduk memuhasabah diri.

Dan berikut saya muatkan kembali penulisan saya yang bertajuk "Bila pelajar Madrasah belajar tanpa penghayatan" untuk kita sama-sama memuhasabah dan sama-sama berusaha menanam taqwa dalam jiwa.

*************************

“Mak, betul ke, ***** dah tak pakai tudung? Tadi kawan kakak cerita kat kakak”, tanya saya kepada emak inginkan kepastian.Saya bertanya kepada emak saya kerana emak saya baik dengan emak rakan saya ini.

“Ye ke?”, Mak saya pula yang menyoal saya kembali.

“Mak ni, kakak tanya mak lah”

“Alah…hari tu adalah kawan mak cakap, dia kerja je tak pakai tudung”

“Eh…kakak tak boleh lah..mak dia tak marah ke? Kawan kakak kata suami dia tak kisah. Kakak tak boleh terimalah! kan dua-dua (suami isteri) sekolah madrasah Al******.Kenapalah mcm tu?” rugut saya penuh kesal.

“Alah..mak dia tak kisah, nak cakap apa”, kata mak saya dengan selamba.

“Pelik lah…”, saya masih dibaluti kehairanan.

“Entah, eh? Kalau mak dia macam aku tak pelah jugak..mak dia lagi warak orangnya. Orang kuat masjid”, kata mak saya lagi.

‘Hai mak, mengaku tak warak nampaknya’, bisik saya dalam hati. Hahaha…

Kesal

Saat mendengar cerita itu daripada rakan saya petang kelmarin, di dalam hati ini cuma ada segudang kesal. Saya berasa kesal apabila tindakan itu disokong oleh ibu dan suaminya. Dan apa yang membuatkan saya bertambah-tambah kesal kerana keluarga itu saya kenali sebagai mereka yang kuat berpegang dengan agamanya dan kawan saya dan suaminya itu pula merupakan anak didik daripada sebuah madrasah yang masyhur di Singapura.

Terdetik persoalan di dalam hati saya, adakah wajar dengan alasan sukar untuk mendapatkan pekerjaan kita menanggalkan tudung yang sememangnya WAJIB dipakai oleh seorang Muslimah? Sedangkan kita masih boleh berusaha untuk mendapatkan pekerjaan di mana pekerjaan itu tidak menuntut kita untuk menanggalkan tudung? Belum ada orang yang bertudung mati kebuluran dan hidup merempat kerana tiada pekerjaan! Dan jika ada pun, mungkin salah diri sendiri yang tidak mahu berusaha mencari rezeki sesuai syariat.

Saya termenung sebentar lalu berdoa:

اللهم اهدني و سددني
"Ya Allah berikanlah aku petunjuk dan luruskanlah aku"

(Hadith riwayat Muslim dalam kitab sahihnya; Kitab al-Du'a, Bab al-Du'a bi al-Hidayah wa al-Sadad)

Sebenarnya saya kecewa…

Jika anak didik madrasah sendiri tidak yakin bahawa berusaha untuk menegakkan perintah Allah s.w.t dan menjunjung sunnah Rasul-Nya nescaya Allah s.w.t sentiasa mempermudahkan segala urusan dan menunjukkan jalan untuk setiap permasalahan, bagaimana anak didik madrasah kita ingin dijadikan sebagai ikon ataupun contoh Muslim cemerlang dunia dan akhirat kepada mereka yang bukan berpendidikan madrasah?

Di mana silapnya sebenarnya? Adakah ini kerana kita terlalu yakin bahawa pelajar madrasah kita sudah cukup baik dan mampu berdikari untuk membezakan yang hak dan yang batil lantaran mereka disogokkan dengan ilmu pengajian Islam selama berbelas-belas tahun? Tetapi adakah kita sedar bahawa ramai pelajar madrasah kita hanya datang ke madrasah untuk belajar tanpa ada kesedaran untuk apa mereka belajar ilmu agama dan kebanyakan mereka juga beramal serta beribadah dengan taklid buta.

Hakikatnya ramai pelajar madrasah yang 'belajar tanpa penghayatan'. Dan konsep 'belajar tanpa penghayatan' inilah yang dibawa oleh mereka hingga ke universiti. Akibatnya mereka belajar pengajian Islam hanya untuk menyempurnakan hasrat menjejakkan kaki ke universiti dan menggenggam segulung kertas bernama ijazah! Paling malang apabila ada di antara mereka menjalani kehidupan seperti orang-orang yang tidak memahami hukum-hakam dan syariat tuhan dan akhirnya pulang ke Singapura ingin menyandang jawatan sebagai pendidik dan pendakwah untuk anak-anak Islam dan masyrakat Islam!

Sesaknya dada saya…bagai tidak mampu bernafas dengan baik apabila memikirkan tentang anak-anak berpengajian Islam ini. Jiwa ini benar-benar terguris….

Benarlah…ini dia fitnah (ujian) akhir zaman!

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim dengan sanadnya daripada Abu Hurairah yang bermaksud: sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Bergegaslah membuat amalan-amalan untuk mengatasi fitnah. Fitnah itu seperti potongan malam yang gelap. Lelaki itu di waktu pagi akan beriman dan di waktu petang akan menjadi kafir atau petang beriman dan pagi kafir. Dia akan menjual agama untuk mendapatkan dunia.

(Hadith riwayat Muslim dalam kitab sahihnya, Kitab al-Iman, Bab al-Hath ’ala al-Mubadarah bi al-’Amal Qabla Tadhahuri al-Fitan)

Menjual agama untuk mendapatkan dunia? Nauzubillah. Iman dan Islam tidak boleh dijadikan cagaran untuk mendapatkan dunia lantaran keduanya itu merupakan nikmat yang paling besar yang Allah s.w.t campakkan di dalam hati seorang hamba. Lalu perbanyakkanlah berdoa agar hati kita sentiasa tetap di dalam agama-Nya untuk berjuang menjunjung perintah Allah s.w.t dan Sunnah Rasul-Nya pada hari ini, esok dan selamanya.

يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك
“Wahai yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku dalam agama-Mu”

(Hadith riwayat al-Tirmidhi dalam kitab sunannya, Kitab al-Da’awat An Rasulillah, Bab Ma Jaa Fi Aqdi al-Tasbih bi al-Yad. Hadith ini dihukum sahih oleh al-Albani di dalam kitabnya sahih al-Tirmidhi (No 3522)

***********************************

Akhirnya saya sedar, bagaimana hebat pun kita menjadi insan yang terpelajar dan dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Begitu juga yang mana haram dan yang mana halal. Dan walaupun kita sudah mempelajari agama sedari sekolah tadika sehinggalah ke peringkat universiti, tetapi bila tiada taqwa, dengan mudah sahaja kita boleh memandang sebelah mata kepada perkara-perkara maksiat dan haram yang sememangnya kita ketahui.

Lalu suka untuk saya katakan, Hidup ini tidak indah andai tiada TAQWA.

07 October, 2009

Pada awalnya ketika diberitakan tentang kebakaran Masjid Kampong Siglap oleh teman saya, Fadiah, melalui Yahoo Messengger saya agak kurang percaya. Maklumlah, bimbang-bimbang ianya hanya sekadar khabar angin yang disampaikan dari mulut ke mulut. Lebih-lebih lagi dengan keadaan saya dan teman saya itu yang berada jauh dari kota singa. Sukar juga untuk saya memastikan kebenaran khabar yang disampaikan. Tetapi setelah ditunjukkan kepada saya berita ringkas dari laman web channelnewsasia.com, barulah saya meyakini berita itu. Saya membacanya tanpa mengelipkan mata.

Kerosakan teruk akibat kebakaran. Gambar ini telah dimuat turun oleh Kak Halimah melalui laman facebooknya.


Ya Allah..tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat terkaitnya ukhwah...

Teringat saya pada kata-kata saya dalam penulisan yang bertajuk 'Nikmat dan Rahmat':

"Itulah masjid yang memulakan pelbagai sejarah dalam hidup saya.

Di situlah saya memperolehi ilmu dan pengalaman. Dari seorang tutor biasa kepada seorang yang mengajar tahfiz secara sepenuh masa. Di situ juga saya belajar mengenal hati budi manusia, mengajar saya agar lebih banyak memuhasabahkan diri dan yang paling saya tidak dapat lupakan masjid itu jugalah tempat saya mengenali kekasih hati yang kini bergelar suami."


Ya Allah..sesaknya dada saya menerima berita itu sebenarnya. Sedih dan sayu. Malah tiada kata yang mampu terungkap untuk mengungkap sebuah perasaan.

Teringat juga kali terakhir saya duduk sendirian setelah selesai solat Hari Raya Aidilfitri yang lalu di dewan solat Muslimah. Saya melihat sekeliling dewan itu.

Ada rasa sayu menyelinap masuk ke dalam jiwa.

Ada segudang rindu yang tak mampu saya tolak menjadi tetamu.

Sayu kerana sudah lama tidak bertandang ke situ dan rindu kerana mengenang memori lalu bersama rakan-rakan sekerja, para pelajar Iqra' dan Tahsin al-Quran dan juga para pelajar Tahfiz al-Quran.

Seketika itu juga, terbayang di mata saya pelajar-pelajar Muslimah Tahfiz dengan uniform madrasah duduk di sana sini di dewan solat pada waktu petang. Di situ, mereka mengulang al-Quran dan membuat persediaan untuk mentasmi' hafalan pada kelas malamnya. Itulah suasana yang indah, sejuk dan mententeramkan jiwa....

Sungguh...airmata saya bergenang.

Setiap sudut ruang dewan solat Muslimah itu, adanya memori yang membuat rindu tidak segan silu bertandang.

Saya menundukkan wajah saya. Tak mampu rasanya menatap lebih jauh pada dewan solat itu.

Kemudian ada seseorang menyentuh lengan saya dengan sentuhan lembut. Saya mengangkat wajah. Merenung wajah seorang wanita yang sudah lama tidak bertemu. Saya ingat dia. Dialah satu-satunya pelajar di bawah program 'Tahsin al-Quran' yang berjaya mengkhatamkan al-Qurannya di hadapan saya. Setiap hari dia datang ke masjid dengan berjalan kaki semata-mata untuk memperdengarkan bacaannya.

Kami berjabat salam dan berpelukan. Lalu dia berkata:

"Dah lama saya tunggu nak jumpa ustazah. Saya tak pernah lupa ustazah"

Allahu akbar.... saya terus melepaskan tangisan yang saya tahan sedari tadi.

Dia juga mengalirkan airmata lalu memeluk saya untuk kedua kalinya dengan lebih erat.

Saya sendiri tak mampu katakan apa-apa melainkan ucapan "Terima Kasih".

Dia menghadiahkan senyuman dan anggukan lalu beredar membiarkan saya sendiri ditemani dengan tangisan rindu yang tiada bertepi.

Dewan solat Muslimah itulah yang menjadi saksi pada sebuah pertemuan yang seketika cuma tapi cukup bererti.

Ya Allah, kini Kau takdirkan dewan solat itu musnah dijilat api.

Dan diri ini sentiasa percaya, tentu sahaja ada hikmah di sebalik sebuah musibah.

Sesungguhnya Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

"Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu)" (al-Quran, As-Syuraa:30)

...........

03 October, 2009

Bismillah

Terjumpa video 'Sekitar Seminar Iman Orang Asing'.

Sebuah majlis ilmu yang baik bertempat di Universiti Malaya.



Untuk melihat beberapa pengisian majlis tersebut, sila ke link ini.