28 September, 2009

Bismillah

Hari pertama saya di UKM saya sudah dihujani dengan pelbagai persoalan tentang permasalahan saya yang kononnya saya berada Filipina dan memerlukan wang S1000 untuk membolehkan saya pulang ke negara saya lantaran segala barangan saya telah dirompak oleh seorang yang tidak bertanggungjawab ketika mengikuti sebuah lawatan sambil belajar di sana. Semua ini adalah gara-gara dari sebuah emel palsu yang disebarkan kepada semua contacts yang terkandung di dalam emel alqamariah@yahoo.com.

Ramai yang prihatin dan bertanya sehingga saya perlu menjelaskan cerita yang sama berulang kali. Terima kasih saya ucapkan kepada teman-teman dan guru-guru yang amat risau tentang keadaan saya sehingga ada yang meluahkan rasa bersalah kerana tidak dapat menghulurkan bantuan ketika saya amat memerlukan. Subhanallah.. terharunya saya.

Namun begitu, perlu untuk saya menyatakan bahawa emel yang diterima beberapa hari sebelum Lebaran itu adalah sebuah emel palsu yang menggunakan nama saya. Saya tidak berada di Filipina. Emel alqamariah@yahoo.com saya telah dicerobohi dan kemudiannya telah ditukar passwordnya sehingga saya sendiri tidak dapat me'log in' ke emel ini.

Dua hari sebelum itu, saya ada menerima sebuah emel dari Yahoo!Alert yang menyatakan bahawa saya perlu mensahkan email saya kerana menurutnya terlalu banyak akaun emel Yahoo! dibuka tetapi tidak aktif. Lalu untuk memastikan emel saya ini merupakan sebuah emel yang aktif saya perlu mensahkannya dengan membalas semula emel tersebut dan memberikan nama penuh, Yahoo! ID, alamat emel, PASSWORD, jantina, tarikh lahir, pekerjaan dan negara. Jika saya tidak membalas emel itu, maka akaun emel saya akan ditutup dalam masa 24 jam.

Lalu tanpa berfikir panjang saya telah memberikan segala maklumat yang diperlukan itu kepada Yahoo! Alert. Melihat kepada emelnya yang menggunakan logo Yahoo! dan templatenya yang memang tidak ubah seperti template Yahoo!, maka saya tidak mencurigai sebarang perkara. Namun setelah emel saya dicerobohi sehari selepas itu baru saya sedar bahawa emel Yahoo! Alert tersebut hanyalah sebuah emel palsu yang bukan dihantar oleh Yahoo! tetapi seorang hacker.

Seperti semudah membilang satu, dua dan tiga, hacker tersebut telah membuang semua alternate email addresses saya dari akaun alqamariah@yahoo.com, mendaftarkan emelnya ke dalam akaun alqamariah lalu menukar password saya. Semua ini membuatkan saya gagal me'log in' emel saya untuk menyelamatkannya dari disalahgunakan oleh hacker tersebut.

Saya terlalu bimbang kerana emel alqamariah@yahoo.com bukanlah sebuah emel biasa yang hanya digunakan oleh saya untuk berbalas dan men'forward' emel. Tetapi penggunaan emel ini lebih dari itu. Emel ini menyimpan pelbagai emel rasmi, confidential, personal dan beberapa kertas kerja yang amat bernilai bagi saya.Dan yang lebih membimbangkan saya ialah jika hacker tersebut menggunakan nama saya untuk melakukan sebarang perkara jenayah. Lalu dengan ditemani oleh suami saya, saya telah membuat laporan polis dan ianya kini berada di bawah siasatan CID ( Criminal Investigation Department ). Saya juga berusaha memaklumkan perkara ini kepada pihak Yahoo! agar mereka membantu saya untuk mendapatkan semula emel ini. Dan Alhamdulillah setelah hampir seminggu menunggu dan berusaha, akhirnya saya mendapatkan semula emel alqamariah@yahoo.com dengan bantuan Yahoo!Singapore.

Alhamdulillah saya tidak kehilangan sebarang emel tetapi saya kehilangan semua contacts dan emel rakan-rakan saya di dalam akaun ini. Saya sendiri tidak mengerti mengapa ianya di delete oleh hacker tersebut. Walaubagaimanapun, tidak mengapa. Yang pentingnya saya berjaya mendapatkan semula emel saya.

Akhir sekali, mengapa saya menceritakan semua ini?

Pertama, saya ingin memberitahu bahawa emel yang bertajuk 'save me from this' bukan dari saya dan ianya adalah emel palsu.

Kedua, saya telah berjaya mendapatkan semula emel ini dan saya masih menggunakannya seperti biasa.

Ketiga, sebagai peringatan untuk kita bersama bahawa jangan percaya kepada sebarang emel yang meminta agar memberikan password emel anda.

Sesungguhnya peristiwa ini banyak mengajar saya agar lebih berhati-hati di kemudian hari.

Sekian

Wassalam

Sakinah Saptu

0 Comments:

Post a Comment